Bahaya Ulser Kaki Diabetes Tidak Dicegah Dari Awal!

Diabetes yang tidak dikawal boleh menjadi kronik dan mengakibatkan pelbagai komplikasi penyakit termasuklah ulser yang sering terjadi pada kaki. 

Ulser diabetes adalah luka terbuka yang terjadi disebabkan oleh masalah peredaran darah atau kerosakkan deria rasa yang berpunca daripada kerosakkan saraf. Saraf yang rosak datang daripada paras gula yang tinggi. 

Kudis kecil yang tidak sembuh boleh jadi ulser. Ulser yang tidak dirawat akan menyebabkan sel-sel mati. Seterusnya boleh sebabkan pemotongan atau amputasi kaki atau tangan.

Ulser yang biasa terjadi untuk pesakit diabetes adalah ulser kaki. Gula dalam darah tinggi menyukarkan proses penyembuhan luka dan ia boleh menjadi kronik. Luka yang tidak sembuh meningkatkan risiko jangkitan bakteria.

Menurut kajian, 15% pesakit diabetes bakal mendapat Ulser Kaki Diabetes (UKD) dan 80% dari jumlah ini berakhir dengan pemotongan kaki (amputasi). Secara dasarnya 50% rakyat Malaysia tidak tahu mereka menghidap diabetes.

Punca ulser diabetes :

a) Kurang peredaran darah

Diabetes juga mengganggu peredaran darah ke kaki. Mereka boleh mendapat penyakit arteri periferal (PAD). Darah tidak mengalir ke kaki dengan baik dengan jumlah yang cukup . Oksigen yang dibawa turut berkurang. Ini akan melambatkan proses penyembuhan luka untuk berlaku.

b) Gula tinggi dalam darah (hyperglycemia)

Paras gula yang tinggi menyukarkan proses penyembuhan luka ulser. Gula yang tinggi akan mengganggu fungsi sel darah putih. Sel darah putih adalah komponen penting dalam sistem imunisasi badan. Apabila sel darah ini tidak dapat berfungsi dengan baik, badan tidak dapat melawan jangkitan bakteria dan menutup luka.

Di samping itu, gula yang tinggi akan mengeraskan saluran darah arteri dan menyempitkan saluran darah. Ini akan mengurangkan peredaran darah dan oksigen ke kawasan luka. Jadinya, luka memerlukan masa untuk sembuh.

c) Kerosakan saraf

Diabetes boleh merosakkan saraf (neuropati) yang akan mengganggu penyembuhan luka. Gula yang tidak terkawal akan merosakkan saraf sehingga menghilangkan rasa pada kaki. Pada peringkat awal, pesakit diabetes akan rasa kebas-kebas atau kesemutan pada bahagian kaki. Lama-kelamaan, rasa sensasi ini akan hilang sehingga tidak sedar terjadinya luka pada kaki.

Risiko mendapat ulser diabetes :

Merokok memingkatkan risiko diabetes.
  • Penyakit vaskular periferal 
  • Diabetik neuropati – kerosakan saraf
  • Paras gula tidak terkawal 
  • Merokok 
  • Diabetik nefropati – kerosakan buah pinggang
  • Sejarah ulser kaki / pembedahan pemotongan kaki

Simptom ulser diabetes :

Ulser menjadi hitam kerana sel mati
  • Keluar cecair daripada kaki
  • Bengkak
  • Merah, rasa sakit pada kaki (iritasi) 
  • Berbau pada kaki
  • Eschar (tisu berwarna hitam pada ulser disebabkan darah tidak sampai ke kawasan terlibat)
  • Perubahan warna kulit

Komplikasi ulser diabetes :

Ulser diabetes boleh dirawat jika dikesan awal. Tetapi ia boleh menjadi teruk jika dibiarkan. Kaki boleh menjadi hitam akibat sel mati disebabkan darah dan oksigen tidak sampai ke bahagian tersebut. Keadaan yang tidak dicegah daripada awal meningkatkan risiko pemotongan (amputasi) kaki. 

Tips jaga luka kencing manis

1. Kawal gula

Kurangkan air manis untuk mengawal paras gula dan cepat sembuhkan luka.

Tabiat suka mengambil makanan dan minuman manis menjadi salah satu punca terjadinya diabetes selain makan secara berlebihan. Makanan dan minuman manis mengandungi gula ringkas seperti glukosa yang akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Hal ini kerana gula merupakan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh badan. 

Paras gula dalam darah yang tinggi akan melambatkan proses penyembuhan luka. Oleh itu, untuk menyembuhkan luka dengan cepat, kurangkan pengambilan makanan atau minuman tinggi gula untuk memastikan paras gula berada di tahap normal. 

Gantikan minuman manis seperti air bikarbonat, air kordial dan air manis dengan air kosong 8 gelas sehari (1 liter).

Manakala untuk makanan, gantikan makanan manis seperti kuih-muih, kek dan donut kepada makanan yang lebih berkhasiat seperti makanan berasaskan bijirin penuh, oat dan barli. Makanan ini membantu memberi rasa kenyang dengan lebih cepat di samping mengawal paras gula dalam darah.

2. Pemakanan sihat & seimbang

Makanan seimbang boleh kawal paras gula.

Pemakanan yang sihat mengandungi karbohidrat, protein, dan serat dalam kuantiti yang betul. Menurut pinggan sihat Malaysia oleh KKM, karbohidrat dan protein perlu diambil suku pinggan iaitu segenggam karbohidrat dan setapak tangan protein. Manakala serat perlu diambil separuh pinggan merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran. 

Serat akan melambatkan penyerapan gula dalam darah, seterusnya mengawal paras gula dalam darah. Selain itu, ia juga memberi rasa kenyang dengan cepat dan untuk jangka masa lama. Dengan ini, pengambilan kuantiti makanan dan berat badan dapat dikawal, gula berada di paras normal.

3. Makanan cepatkan sembuh luka

Makanan tinggi vitamin C bantu cepat sembuhkan luka.

Makanan tinggi protein, vitamin C, vitamin A, zink dan zat besi baik untuk penyembuhan luka. Vitamin C dan zat besi membantu dalam penghasilan kolagen. Kolagen ini penting untuk membaiki tisu yang rosak. Ia akan menarik fibroblast (sel darah putih) dan menggalakkan pemendapan kolagen baru di kawasan luka. Kajian juga membuktikan vitamin dan mineral ini mempercepatkan penyembuhan luka.

Vitamin C diperlukan untuk membantu penyerapan zat besi untuk menghasilkan darah baru. Contoh makanan tinggi vitamin C adalah jambu batu, oren, brokoli, bayam dan tomato. 

Contoh makanan tinggi zat besi adalah ayam, daging merah, bayam, sayur berdaun hijau dan buah-buahan kering (kismis & aprikot). 

4. Pemakaian yang sesuai

Pemilihan kasut yang sesuai penting untuk mengelakkan daripada terluka.

Pemilihan kasut yang sesuai sangat penting untuk mengelakkan kecederaan. Kasut yang tidak terlalu ketat boleh memberi pengudaraan pada kaki. Di samping itu, elakkan kasut dengan tapak yang keras dan bertali untuk mengurangkan geseran kasut dengan kaki. Elakkan juga daripada berjalan kaki tanpa kasut kerana risiko untuk luka sangat tinggi.

Selain itu, periksa kasut sebelum memakainya jika terdapat benda tajam yang boleh melukakan kaki. Pesakit diabetes dengan masalah saraf akan hilang rasa pada pada kaki sehingga tidak sedar ada luka. Oleh itu, mereka perlu sentiasa berhati-hati. 

Jika memakai stokin, ganti stokin dengan kerap, guna stokin bersih & kering. Elakkan stokin dan kaki yang basah kerana ia akan merangsang pertumbuhan bakteria yang boleh menjangkiti kawasan luka.

5. Cuci luka dengan bersih dan pastikan kaki tidak basah dan terlalu kering

Untuk elakkan ulser kaki, lembapkan kaki dengan krim pelembap.

Lembapkan kaki dengan krim pelembap selalu. Elakkan kulit yang terlalu kering dan basah. Pastikan kaki di suhu bilik.

Pastikan kaki kerap dicuci dengan air suam. Kemudian, lapkan kaki dan dicelah-celah jari kaki sehingga betul-betul kering. Kawasan yang sempit dan lembap meningkatkan pembiakan bakteria dan kulat. Oleh sebab itu, celah-celap jari perlu dikeringkan sebaiknya.

Cara mengelakkan ulser :

Kuku perlu dipotong kemas.
  • Basuh kaki setiap hari
  • Pastikan kuku kaki dipotong kemas untuk mengelakkan terluka
  • Pastikan kaki kering dan lembap mengelakkan pembiakan bakteria
  • Tukar stoking dengan kerap untuk mengelak jangkitan
  • Pakai kasut yang sesuai

Konklusi

Pesakit diabetes yang tidak menjaga paras gula berisiko mendapat pelbagai komplikasi diabetes termasuklah ulser diabetes. Ulser yang tidak dirawat daripada awal boleh menyebabkan amputasi (pemotongan) kaki. Pemeriksaan doktor secara berkala penting untuk mengetahui perkembangan pesakit diabetes. Gaya hidup sihat dengan kerap bersenam dan mengamalkan makanan sihat dan seimbang boleh membantu mengawal paras gula dalam darah di tahap normal. 

Rujukan:

  1. Diabetic Feet
  2. How does diabetes affect wound healing?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here