Awas! Kopi Ada Steroid. Ketahui Lebih 10 Kesan Minum Kopi Mengandungi Steroid

Steroid sangat terkenal terutamanya dalam kalangan atlet dan individu tengah membina badan. Ia adalah sejenis hormon semulajadi yang dihasilkan oleh badan manusia. Ia membantu sistem badan manusia untuk berfungsi dengan baik.

Kini, terdapat steroid yang dihasilkan dalam bentuk ubat-ubatan untuk membantu mengurangkan masalah-masalah kesihatan. Ianya akan diberikan kepada pesakit atau individu dengan pengawasan pegawai perubatan dan farmasi.

Jenis-jenis steroid:

Steroid terbahagi kepada dua jenis iaitu steroid anabolik dan steroid kortikosteroid

Steroid anabolik

Steroid anabolik adalah steroid buatan yang bertindak seperti hormon lelaki (testosterone). Ia biasanya dijumpai dalam bentuk cecair suntikan. Tetapi ia juga boleh didapati dalam bentuk tablet dan sapuan krim.

Hormon testosterone ialah hormon semulajadi yang dihasilkan dalam tubuh manusia tetapi ia lebih banyak kuantitinya dalam lelaki. Ia penting untuk menjamin kesuburan lelaki dan wanita.

Steroid ini berfungsi untuk merangsang otot tisu untuk membesar dan berketul sebagai tindak balas kepada aktiviti latihan yang dilakukan. Ia menyerupai kesan hormon testosterone yang dihasilkan oleh sistem badan manusia.

Steroid jenis ini biasanya digunakan untuk membesarkan otot individu yang ingin kelihatan “sado”. Selain itu, steroid ini juga diberikan kepada lelaki yang mengalami masalah hormon testosterone yang rendah serta individu dengan masalah kehilangan jisim otot. Keadaan ini biasanya terjadi dalam pesakit seperti kanser dan AIDS. 

Walaubagaimanapun, steroid anabolik sering disalahguna. Disebabkan kelebihannya dalam meningkatkan otot, ramai individu memilih untuk mengambilnya 100 kali ganda lebih berbanding kadar yang dibenarkan oleh pihak perubatan. 

Steroid kortikosteroid

Steroid kortikosteroid adalah ubat yang digunakan untuk mengurangkan masalah keradangan. Ia bertindak seperti hormon cortisol iaitu dihasilkan oleh kelenjar adrenal. Hormon ini akan  melindungi badan daripada menghasilkan komponen yang mengakibatkan keradangan.

Antara contoh steroid jenis ini adalah prednisolone, dexamethasone dan betamethasone. Ia boleh dijumpai dalam bentuk kapsul, tablet, krim, inhaler, dan titis mata. Setiap bentuk ubat preskripsi berbeza mengikut masalah kesihatan.

Kopi dengan steroid

Pernah tular suatu ketika dulu terdapat kopi pracampuran dengan kandungan bahan terlarang seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone. Bahan-bahan ini adalah daripada kumpulan steroid. Penggunaannya dalam kopi boleh memberi kesan yang negatif kepada individu yang mengambilnya.

Ciri produk dengan steroid:

Kopi atau supplemen kesihatan yang mengandungi steroid biasanya akan menunjukkan kesan secara mendadak. Harga yang ditawarkan juga tidak setimpal dengan produk yang dikeluarkan.

Malah, terdapat syarikat yang menjualnya secara rahsia untuk mengelakkan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjejaki aktiviti mereka. Produk ini juga ada yang mengadakan tuntutan perubatan yang berlebihan.

Simptom pengambilan steroid:

Pengambilan steroid yang tak terkawal boleh menimbulkan pelbagai simptom.

  1. Berat badan naik mendadak
  2. Tanda-tanda allergik (alahan)
  3. Tidak selesa perut dan muntah
  4. Perubahan emosi yang ketara
  5. Perubahan personaliti
  6. Sakit kepala dan pening
  7. Degupan jantung pantas
  8. Mengurangkan keinginan seksual
  9. Keletihan melampau
  10. Sukar tidur
  11. Sukar bernafas
  12. Pedih ulu hati
  13. Meningkatkan pertumbuhan rambut
  14. Melambatkan penyembuhan 
  15. Berpeluh
  16. Tanda-tanda jangkitan
  17. Depressi

Kesan pengambilan produk dengan steroid

Steroid yang diambil untuk menambah komposisi otot secara berterusan dalam jangka pendek boleh menyebabkan jerawat yang teruk serta pengumpulan cecair (air) di dalam badan.

Kesan yang lebih ketara berlaku dalam kalangan lelaki. Ia akan mengurangkan kuantiti sperma, menyebabkan ketidaksuburan dan pertumbuhan payudara pada lelaki.

Wanita yang mengambil steroid juga berisiko untuk mendapat botak kepala, pertumbuhan rambut pada muka, haid tidak teratur atau berhenti serta suara yang lebih dalam. 

Penggunaan steroid untuk jangka panjang boleh merosakkan organ hati, buah pinggang dan jantung. Pengumpulan air dalam badan yang teruk boleh menyebabkan bengkak jantung dan kegagalan fungsi jantung. Steroid juga boleh meningkatkan paras LDL kolesterol (kolesterol jahat).

Tetapi berhenti daripada mengambil steroid secara mendadak boleh mencetuskan perubahan emosi, keletihan, kegelisahan, sakit otot dan kemurungan. Oleh itu, jika sudah mengambil produk dengan kandungan steroid, sebaiknya berhenti secara berkala.

Kesan mengambil kopi dengan steroid

Pengambilan kopi dengan kandungan steroid secara berterusan boleh menyebabkan kulit semakin menipis, jerawat, paras gula dalam darah meningkat, tekanan darah, melemahkan sistem imuniti dan mudah terkena jangkitan.

Penggunaan steroid dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan tulang menjadi rapuh (osteoporosis), pertumbuhan terganggu dalam kalangan kanak-kanak, lemah otot, masalah mata seperti katarak dan risiko diabetes.

Kopi dengan kandungan steroid atau bahan terlarang juga boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan lain seperti :

  1. pendarahan dalaman
  2. masalah buah pinggang
  3. sakit kepala
  4. pening
  5. flushing (rasa panas pada bahagian muka, leher dan dada)
  6. serangan jantung
  7. mudah pengsan
  8. migrain
  9. kemurungan
  10. perubahan pada penglihatan seperti penglihatan menjadi kabur, penglihatan menjadi biru, atau sensitif terhadap cahaya

Keadaan ini jika tidak dicegah dan dirawat daripada awal boleh mengakibatkan maut akibat serangan jantung atau stroke.

Contoh produk dengan kandungan steroid

Sumber : Medical Mythbusters Malaysia, Berita Harian
  • Minuman kesihatan Tonik Tuan Haji 1921
  • California Pure, Orange+
  • Kopi Panggung Al Ambiak
  • Kopi Jantan Tradisonal jenama Natural Herbs Coffee
  • Kopi Jantan Tradisional 7A.
  • Kopi pracampuran WM Coffee
  • Kopi Harimau
  • Kopi Mutiara
  • Jus Kesihatan Saidina
  • Miracle Energy Coffee
  • Kopi Strong Man.

Konklusi

Pengambilan kopi dengan kandungan steroid amat berbahaya kepada kesihatan. Kesan steroid boleh menyebabkan insomnia (sukar tidur) dan akan bertambah teruk dengan pengambilan kopi bersamanya.

Pengambilan yang berterusan dan tak terkawal tanpa pemerhatian pegawai perubatan boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi penyakit serta risiko kematian. Oleh itu, berhati-hati dalam memilih ubat dan kopi di pasaran.

Rujukan:

  1. Bulk Up Your Steroid Smarts
  2. Penggunaan Steroid
  3. Prednisone And Caffeine
  4. 21 produk mengandungi racun berjadual – Noor Hisham
  5. Perangsang seks dalam kopi bawa maut
  6. Senarai Produk Yang Diharamkan
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here