Awas Kepada Perokok! 9 Tips Mengurangkan & Mencegah Penyakit COPD

COPD adalah penyakit paru-paru tersumbat kronik (chronic obstructive pulmonary disease) iaitu penyakit melibatkan sistem pernafasan yang kronik. Ia adalah keadaan di mana saluran pernafasan menjadi sempit dan meradang (bengkak, merah atau panas). Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit ini merupakan penyebab keempat kemasukan ke hospital.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COPD menjadi punca kematian ketiga utama di seluruh dunia menjelang 2030. Di Malaysia, kajian Beban Penyakit Global menunjukkan COPD sebagai punca ketujuh kematian awal atau pramatang di Malaysia pada 2010.

COPD dan asma dianggap serupa disebabkan simptomnya hampir serupa. Asma boleh disembuhkan dengan bantuan ‘inhaler’. Tetapi, COPD tidak dapat disembuhkan sepenuhnya. Rawatan yang dijalankan adalah untuk mengurangkan simptom, menambah baik kualiti hidup dan mengurangkan risiko komplikasi penyakit.  

Kategori COPD:

Penyakit ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan. Salur udara yang membawa udara ke paru-paru rosak, bengkak dan menjadi sempit. Keadaan ini seterusnya menghalang aliran udara keluar masuk ke paru-paru. Sesetengah jenis COPD boleh meninggalkan parut, menambah kerosakan pada salur udara serta boleh menyebabkan salur udara mengeluarkan kahak berlebihan yang sukar dihilangkan. Apabila emfisema dikesan bersama bronkitis kronik, ia dikenali sebagai COPD.

COPD adalah apabila emfisema dan bronkitis berlaku serentak.

Emfisema

Emfisema adalah keadaan paru-paru kronik di mana kantung udara (alveoli) rosak, sempit, terlalu kembung, atau meregang. Kantung udara yang terlalu kembung berlaku disebabkan kerosakan pada dinding alveoli. Keadaan ini akan mengurangkan fungsi pernafasan, mengakibatkan batuk kronik dan sesak nafas.

Tisu paru-paru akan hilang keanjalan serta kantung udara dan alveoli di paru-paru membesar. Ini bermaksud paru-paru mempunyai ruang yang kecil untuk membawa oksigen ke dalam darah dan mengeluarkan karbon dioksida daripada badan. Kerosakan ini kekal dan tidak boleh dipulihkan.

Bronkitis kronik

Bronkitis adalah jangkitan pada salur udara utama paru-paru iaitu (bronchi) sehingga menyebabkan keradangan. Bronkitis yang kronik menghasilkan kahak setiap hari selama 3 bulan setahun atau sekurang-kurangnya 2 tahun. Ia adalah penyakit yang berterusan dan tidak sembuh sepenuhnya. Lazim menyerang individu yang berusia 40 tahun ke atas. Pesakit dengan masalah bronkitis kronik akan mengalami batuk untuk tempoh masa yang lama sehingga berminggu-minggu atau makan masa berbulan.

Punca penyakit COPD:

1. Merokok

Hampir 85 ke 90% penyakit COPD terjadi disebabkan merokok. Apabila rokok dibakar, ia akan menghasilkan lebih kurang 7000 bahan kimia berbahaya yang boleh merosakkan dinding paru-paru dan saluran udara. Toksin daripada rokok akan melemahkan pertahanan badan daripada serangan jangkitan bakteria, menyempit laluan udara, membengkakkan tiub udara dan merosakkan kantung udara.

2. Habuk 

Udara di sekeliling mengandungi pelbagai campuran debu, asap dan bahan kimia yang berbahaya. Pendedahan yang berterusan untuk tempoh jangka masa panjang meningkatkan risiko COPD. 

Pencemaran udara, termasuk bahan api biojisim untuk memasak, atau pencemaran di tempat kerja seperti habuk dan bahan kimia, boleh mendorong pembentukan penyakit.

Bahan penyebab COPD:

  • habuk dan asap kadmium
  • habuk bijirin dan tepung
  • habuk silika
  • asap kimpalan
  • isosianat
  • habuk arang

3. Alfa-1 antitripsin 

Alfa-1 antitripsin adalah sejenis protein yang melindungi paru-paru, dihasilkan di hati. Ia akan melindungi tisu paru-paru daripada kerosakan disebabkan agen melawan jangkitan yang dilepaskan oleh sistem imun. Akibat kekurangan protein ini, ia menyebabkan kerosakan pada tisu paru-paru yang sensitif. Ini meningkatkan risiko mendapat emfisema. Biasanya mereka mendapat COPD sejak dari usia muda apabila mula merokok. 

Faktor risiko mendapat COPD:

1. Merokok

Individu merokok berisiko tinggi untuk mendapat COPD. 9 daripada 10 kes berlaku disebabkan merokok.  Menurut statistik, wanita merokok berisiko 13 kali ganda meninggal akibat COPD berbanding wanita tidak merokok. Manakala, lelaki merokok berisiko 12 kali ganda untuk meninggal disebabkan COPD.

2. Jantina

Wanita yang tidak merokok lebih berisiko mendapat penyakit ini berbanding lelaki tidak merokok. Tetapi, individu merokok sama ada lelaki atau wanita kedua-duanya berisiko tinggi untuk mendapat COPD.  

Ini dibuktikan dengan kajian yang menyatakan COPD dalam kalangan individu tidak merokok menjangkiti 7.4% wanita berbanding 5% lelaki.

3. Umur

Individu yang lebih berusia berisiko tinggi untuk mendapat COPD. Menurut kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC) (2013), individu berusia 65 ke 74 tahun dan keatas berisiko untuk mendapat COPD. 

4. Perokok pasif

Perokok pasif adalah individu yang tidak merokok tetapi terdedah dengan asap rokok. Mereka turut berisiko mendapat COPD akibat menghidu asap rokok tersebut. 

5. Pencemaran udara – terdedah pada udara tercemar mendedahkan pada risiko COPD. 

6. Jangkitan virus menyebabkan salur pernafasan menjadi aktif

7. Genetik- Alpha 1-antitrypsin deficiency

8. Individu yang kerap mengalami jangkitan pernafasan semasa kanak-kanak

Simptom COPD:

  • Sesak nafas sewaktu melakukan aktiviti atau semasa rehat
  • Mudah penat semasa bersenam
  • Sesak nafas terutama sekali waktu pagi
  • Batuk berkahak berpanjangan
  • Nafas berbunyi (‘wheezing’)
  • Sukar menaiki atau menuruni tangga
  • Kahak yang berlebihan
  • Dada berasa ketat
  • Keletihan
  • Gangguan tidur
  • Pengurangan berat badan

Kesan COPD tidak dirawat:

Image via iStock

Fizikal

  • Jangkitan paru-paru yang kerap
  • Kegagalan sistem pernafasan (‘Respiratory failure’)
  • Lemah jantung
  • Pengurangan berat badan

Psikologi

  • Kemurungan dan keresahan
  • Tekanan kepada penjaga

Sosial

  • Pengasingan sosial – disebabkan oleh sesak nafas dan mudah penat semasa bersenam
  • Masalah kewangan – disebabkan oleh kerap masuk hospital dan rawatan yang mahal

Tips dan rawatan COPD:

Tiada rawatan spesifik untuk COPD yang membantu menyembuhkan sepenuhnya. Tetapi, jika ia dikesan di peringkat awal, komplikasi penyakit dapat dikurangkan. Antara rawatan yang dilakukan untuk mengurangkan COPD adalah 

  • Pemindahan paru-paru – untuk kes COPD teruk
  • Terapi oksigen 
  • Pembedahan membuang sebahagian paru-paru
  • Pemulihan paru-paru 
  • Vaksin influenza tahunan & pneumokokus

1. Ubat

Image via iStock

Selain itu, pengambilan ubat-ubatan juga diberikan oleh doktor perubatan seperti ipratropium bromide, salbutamol, dan terbutaline. Ubat-ubatan ini membantu melegakan ketegangan otot bronkial dan melegakan penyempitan bronkus akibat kontraksi. 

Ubat berunsur steroid akan diberikan dalam bentuk alat sedut, pil atau suntikan. Manakala ubat antibiotik untuk mencegah jangkitan bakteria. Ubat pencair kahak diberikan untuk mengurangkan kahak berlebihan yang dihasilkan di paru-paru disebabkan COPD. 

2. Berhenti merokok

Image via iStock

Di samping itu, berhenti merokok adalah kaedah terbaik untuk mengurangkan simptom dan risiko komplikasi COPD. Rokok mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh meradang dinding salur pernafasan termasuk alveoli dan bronchi. Berhenti merokok boleh mengurangkan keradangan. 

3. Berat badan sihat 

Mengekalkan berat badan sihat untuk pesakit COPD sangat penting. Hal ini kerana berat yang berlebihan akan memaksa jantung dan paru-paru untuk bekerja dengan lebih kuat seterusnya menyukarkan proses pernafasan. Tambahan pula, berat yang lebih memerlukan oksigen yang lebih untuk bernafas. 

Namun begitu, berat badan berkurangan membuatkan badan menjadi lemah, letih dan lesu. Individu ini juga berisiko untuk mendapat jangkitan. Oleh itu, mengekalkan berat badan sihat penting untuk mencegah risiko jangkitan dan membantu proses pernafasan yang lancar.

4. Melakukan aktiviti fizikal

Kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal dalam kadar sederhana selama 30 minit sehari boleh mencegah risiko penyakit seperti COPD, penyakit kardiovaskular (jantung), tekanan darah tinggi dan diabetes. Hal ini disebabkan aktiviti fizikal membantu mengekalkan berat badan sihat yang penting untuk melancarkan pernafasan. 

5. Minum air kosong dengan cukup

Sekurang-kurangnya 6 ke 8 gelas air kosong sehari disarankan untuk mengurangkan kepekatan lendir dan lebih mudah untuk batuk. Tetapi pesakit COPD yang mempunyai penyakit lain seperti penyakit jantung yang perlu mengehadkan kuantiti air, perlu mengikut saranan doktor.

Minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman berkarbonat perlu dihadkan untuk mengelakkan risiko penyakit COPD. Kajian yang lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti kesan pengambilan kafein terhadap COPD. 

6. Makanan sihat untuk COPD:

Makanan adalah sumber tenaga untuk badan melakukan aktiviti harian termasuk bernafas. Pesakit COPD memerlukan tenaga yang lebih untuk bernafas. Otot yang terlibat dalam proses pernafasan memerlukan 10 kali ganda kalori (tenaga) berbanding individu sihat. Pengambilan makanan sihat akan memberi kebaikan pada kesihatan badan.  

Nutrisi yang baik membantu badan melawan jangkitan. Jangkitan yang berlaku pada bahagian dada lazimnya memerlukan kemasukan ke hospital. Disebabkan itu, mencegah daripada jangkitan bakteria, atau virus ada lebih baik. 

Makanan untuk pesakit COPD bukan lah untuk menyembuhkan. Tetapi untuk mengurangkan komplikasi penyakit seperti mengelakkan risiko jangkitan. 

7. Serat

Image via iStock

Serat adalah makanan yang tidak boleh dicerna tetapi membantu menggerakkan makanan dalam saluran pencernaan dengan lancar. Ia turut mengawal paras gula dalam darah dengan baik dan mengurangkan paras kolesterol dalam darah dengan melambatkan penyerapan makanan daripada usus ke dalam salur darah. Sumber makanan tinggi serat antaranya adalah roti bijirin penuh, pasta bijirin penuh, buah-buahan, dan sayur-sayuran. Kajian menyatakan pengambilan serat dengan banyak mengurangkan risiko COPD sebanyak 40%.

8. Kurangkan pengambilan garam

Image via iStock

Garam mengandungi sodium. Pengambilan berlebihan akan menyebabkan badan menyimpan atau mengekalkan air dalam badan sehingga menyukarkan pernafasan. Menggantikan garam dengan rempah ratus semulajadi dalam bahan masakan adalah lebih baik. Sebagai contoh lada hitam, tomato, dan air limau.

Baca label makanan dan elakkan mengambil makanan dengan kandungan sodium melebihi 300g.

9. Tomato

Image via iStock

Tomato tinggi dengan lycopene iaitu sejenis antioksidan karotenoid. Ia membantu membaiki fungsi paru-paru dalam pesakit COPD dan mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan dalam pesakit asma.

Konklusi:

COPD boleh dicegah dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Berhenti merokok boleh mengelakkan daripada mendapat penyakit ini.

Rujukan:

  1. Scoditti E, Massaro M, Garbarino S, Toraldo DM. Role of Diet in Chronic Obstructive Pulmonary Disease Prevention and Treatment. Nutrients. 2019 Jun 16;11(6):1357. doi: 10.3390/nu11061357. PMID: 31208151; PMCID: PMC6627281.
  2. What is emphysema?
  3. Symptoms and treatment of bronchitis
  4. Chronic Obstructive Pulmonary Disease
  5. Chronic Obstructive Pulmonary Disease
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here