7 Tips Hadapi Situasi Berak Berdarah Sebelum Menjadi Kronik

Tengah membuang tiba-tiba ada darah keluar?!!

Mesti pernah kan alami gejala macam ni? Lagi-lagi bila sembelit. Dengan najis keras, terasa pedih dubur. 

Berak berdarah boleh dikesan pada tisu tandas atau toilet bowl. Ia boleh dikategorikan sebagai melena atau hematochezia. 

Hematochezia, ialah darah berwarna merah segar dalam najis. Ia biasanya dari kawasan usus besar dan perlu melalui laluan yang pendek untuk keluar. Sebab itu warnanya masih merah. Melena ialah najis hitam dari bahagian salur penghadaman atas. Darah menjadi hitam kerana ia telah teroksida apabila sampai ke dubur (anus).

Punca

1. Buasir

Buasir adalah bengkak salur darah disebabkan tekanan yang terjadi pada kawasan dubur. Apabila bengkak ini bergesel dengan najis terutamanya najis keras, ia akan menyebabkan salur darah ini terbuka dan jadinya luka.

Berak berdarah disebabkan buasir tidak sakit dan seteruk kanser. Ia selalunya boleh hilang setelah beberapa ketika.

2. Fisur anus

Fisur anus adalah koyak pada dinding anus (usus besar). Bila najis melalui kawasan ini, akan wujud sensasi pedih dan terbakar. Seterusnya, pendarahan boleh berlaku.

3. Ulser perut

Ulser bukan saja ada di mulut, tapi juga di kawasan perut dan usus. Apabila jumlah cecair asid gastrik yang dihasilkan tidak seimbang, ia akan merosakkan dinding saluran pencernaan dan menyebabkan ulser. Keadaan ini akan menyebabkan najis menjadi hitam seperti tar. 

Ulser adalah bukaan kulit atau luka yang terjadi pada dinding perut. Rembesan asid gastrik yang terkena pada luka di dinding perut boleh menyebabkan pendarahan. 

4. Kanser

Berak berdarah adalah simptom awal kanser usus. Oleh itu, sebaiknya buat pemeriksaan doktor dahulu untuk mengenal pasti punca masalah berak berdarah.

Adakah darah merah lagi teruk dari darah hitam

Setiap warna darah menentukan lokasi pendarahan berlaku.

Merah terang : pendarahan pada bahagian usus besar bawah (kolon atau rektum)

Merah gelap atau maroon : pendarahan di usus besar atas atau usus kecil

Malena (gelap dan najis sepert tar) : pendarahan di perut (seperti ulser)

Lagi lama darah dalam saluran usus, ia akan semakin gelap. Bahan kimia semulajadi untuk penghadaman akan memecahkan semua makanan yang melalui saluran penghadaman. Darah akan makin gelap bila lagi lama darah berjumpa bahan kimia ini. 

Jika darah berwarna merah terang, ia adalah dari bahagian bawah usus atau ia melalui usus dengan cepat. 

Tips elak & atasi berak berdarah

1. Minum air cukup

Minum 2 – 3 liter air sehari boleh bantu elak sembelit. Air yang cukup dalam badan membantu melancarkan penghadaman dan mencegah masalah berkaitan usus. Berak berdarah boleh disebabkan najis keras seperti sembelit yang melalui saluran pencernaan. Jika tidak boleh minum air kosong, boleh cuba air lemon, air detox atau “buttermilk”.

2. Makan makanan sihat – tinggi serat

Makanan berkhasiat dan cukup serat boleh membantu mengurangkan masalah sembelit. Sembelit yang kronik dan berterusan memaksa kita untuk meneran dengan lebih untuk mengeluarkan najis dari badan. Najis yang keras boleh mengoyakkan dinding usus di dubur. Sebab itu, kita akan lihat darah keluar semasa membuang air besar. 

Serat mudah larut akan membentuk gel dalam usus dan dicerna oleh bakteria baik. Manakala serat tidak larut akan mengumpul najis dalam bentuk gumpalan dan mengelakkan cirit-birit. 

Contoh makanan tinggi serat adalah

  • Roti wholemeal
  • Nasi beras perang
  • Oat 
  • Buah
  • Sayur
  • Barli

Buah-buahan dan sayur-sayuran lebih mudah untuk didapati setiap hari. Ia bukan saja boleh bantu cegah masalah berak berdarah malah melawaskan sistem penghadaman dan mengelakkan sembelit serta cirit birit. 

3. Elak minuman berkafein

Kafein bukan saja dalam kopi tapi juga dalam teh dan coklat. Bila diambil berlebihan akan menyebabkan sembelit. Usus akan menyerap air dari najis dan menyebabkannya menjadi kering. Hal ini kerana air diperlukan untuk menstabilkan keadaan di dalam badan. Najis yang keras ini apabila melalui usus boleh menyebabkan luka pada dinding usus yang selalu dikesan semasa membuang air besar.

4. Elak makanan meningkatkan radang

Radang adalah keadaan sistem badan melawan jangkitan bakteria, virus dan kecederaan untuk menyembuhkan diri sendiri. Tetapi, bila berlebihan, ia akan mengancam sistem badan.

Keradangan menyebabkan kita ingin membuang air besar dengan kerap. Ini kerana usus besar akan mengecut dan mengosong dengan kerap. Radang akan menghakis dinding usus besar seterusnya kudis dan ulser boleh terjadi. Ulser ini akan menyebabkan nanah dan najis berdarah. 

Antara contoh makanan yang boleh menyebabkan radang adalah daging merah, pemanis tambahan, makanan manis, dan karbohidrat halus. Antara alternatif yang boleh dilakukan adalah dengan menggantikan makanan ini dengan makanan yang lebih sihat.

Selain itu, makanan ini juga akan menyebabkan sembelit. Najis yang keras itu apabila melalui usus boleh melukakan dinding usus. Maka sebab itu ada darah dalam najis.

5. Elak makanan berproses

Makanan berproses mengandungi garam yang tinggi. Apabila garam ini tinggi dalam badan, badan akan menyerap air daripada makanan yang dicerna untuk menstabilkan keadaan dalam salur darah. Keadaan ini akan mengeraskan najis dan menyebabkan sembelit. Najis keras yang melalui usus boleh menyebabkan luka pada dinding usus. Sebab itu, kita boleh lihat darah ketika membuang air besar.

6. Elak meneran

Meneran kerana ingin membuang air besar dengan najis keras boleh memberi tekanan pada salur darah di dubur. Semakin lama, ia akan membengkak dan membenjol keluar yang dikenali sebagai buasir. Najis keras yang bergesel dengan bengkak ini boleh mengoyakkan salur darah. Oleh itu, boleh adanya darah dalam najis. Maka, elakkan diri daripada meneran dengan kuat ketika membuang air besar.

7. Elak duduk lama di toilet

Sembelit akan menyebabkan kita mengambil masa yang lama untuk membuang air besar walaupun terasa ingin membuang. Kita akan memaksa diri dengan meneran. Jadi, ia memberi tekanan pada salur darah di dubur seterusnya boleh membengkak. Bengkak ini bila terkena najis yang keras akan sebabkan luka. Maka, wujudnya najis berdarah. Justeru itu, elakkan diri daripada duduk lama di toilet.

Kesan tidak dirawat:

Jika berak berdarah tidak dirawat dari awal, ia akan meningkatkan risiko jangkitan. Ini kerana luka akan membuka ruang untuk bakteria dan virus memasuki badan manusia. Ia boleh pergi ke seluruh badan melalui aliran darah.

Malah, risiko anemia juga tinggi. Anemia ialah kehilangan sel darah merah yang banyak. Keadaan ini boleh menyebabkan kita kekurangan oksigen kerana oksigen dibawa dalam badan melalui darah.

Konklusi:

Najis berdarah boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti buasir, sembelit, kanser dan ulser usus. Keadaan yang tidak dirawat dari awal akan memburukkan lagi masalah ini. Oleh itu, amalkan tips-tips sihat ini boleh bantu kurangkan masalah najis berdarah.

Rujukan:

  1. Diet for blood in stool
  2. What’s the Difference Between Hematochezia and Melena?

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here