7 Masalah Kesihatan Yang Dialami Wanita Tanpa Sedar

Hampir semua wanita mengalami masalah kesihatan berkaitan kewanitaan sama ada ia ringan atau kronik. Malah ia menjadi kerisauan apabila masalah ini mengakibatkan sukar hamil.

Setiap masalah kesihatan wanita terjadi dengan sebab yang berbeza. Antara punca utama masalah ini adalah hormon tidak stabil, jangkitan bakteria dan pertumbuhan tidak normal. Masalah kewanitaan ini boleh menyerang golongan remaja dan dewasa. Ia boleh mengganggu kitaran haid yang normal. 

Masalah yang tidak dicegah daripada awal boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit sehingga mengganggu kesuburan.

Jenis – jenis masalah kesihatan wanita:

1. Dismenorea

Dismenorea adalah sakit pada bahagian bawah perut.

Dismenorea adalah senggugut iaitu kesakitan yang dialami ketika atau sebelum datang haid. Ia adalah kekejangan dan rasa sakit yang berdenyut-denyut di bahagian bawah perut. Hal ini berlaku kerana peningkatan penghasilan hormon prostaglandin yang boleh menyebabkan rahim rehat dan mengecut. 

Hormon ini akan merangsang pengecutan otot yang seterusnya menyingkirkan lapisan dalam rahim seterusnya mencetuskan kesakitan serta keradangan. Keadaan yang teruk boleh terjadi jika kontraksi (penguncupan) yang terlalu kuat berlaku pada rahim. Ia boleh menekan saluran darah disekeliling rahim dan memutuskan bekalan oksigen ke tisu otot.

Prostaglandin dihasilkan di dinding dalam rahim (endometrium) dengan rangsangan daripada hormon progesteron selepas pengeluaran telur (ovum). 

Dismenorea terbahagi kepada 2 jenis iaitu dismenorea primer dan dismenorea sekunder. 

Dismenorea primer adalah kesakitan yang dialami remaja dan awal dewasa. Ia tiada kaitan dengan risiko penyakit. Masalah ini biasanya dialami selepas 2 atau 3 tahun baligh. Makin meningkat usia, kesakitan akan berkurang dan boleh hilang selepas melahirkan anak. 

Manakala dismenorea sekunder adalah kesakitan yang dialami oleh golongan dewasa yang boleh disebabkan penyakit seperti endometriosis dan radang pelvis. Pesakit dengan dismenorea berisiko menyebabkan kesuburan terganggu. 

2. Leukorea  

Leukorea adalah lelehan vagina yang pekat dan berwarna keputih-putihan. Ia juga dikenali sebagai keputihan. Keputihan ini terdapat beberapa jenis warna seperti putih, kuning/hijau, merah, merah jambu, kelabu dan jernih. Setiap warna memberi maksud berbeza.

Keputihan terjadi disebabkan 2 faktor iaitu:

Fisiologi

Berlaku semasa akil baligh, ovulasi dan dalam tempoh kitaran haid. Ia adalah keadaan biasa yang berlaku sebelum kitaran haid atau semasa fasa kesuburan. Lendir yang keluar biasanya berwarna putih, sedikit dan cair.

Patologi

Keputihan jenis ini bersifat kronik dan mempunyai risiko penyakit. Ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria atau kulat dan penyakit berbahaya. Lendir yang keluar biasanya lebih banyak, kental, berketul dan berbau busuk serta mengakibatkan kegatalan pada faraj. Ia mempunyai warna yang lebih keruh seperti kelabu, kuning atau hijau.

Jangkitan boleh berlaku daripada kuman seperti bakteria vaginosis dan parasit seperti trikomoniasis, yang biasa berlaku ekoran seks tanpa perlindungan. Keputihan juga didorong oleh penyakit kelamin seperti klamidia atau gonorea, sistem imunisasi tubuh badan yang lemah, gangguan hormon serta pengambilan pil perancang keluarga. Oleh itu, penjagaan kebersihan sangat disarankan untuk mengelakkan risiko jangkitan bakteria dan kuman.

3. Endometriosis

Endometriosis tumbuh di luar bahagian rahim wanita.

Endometriosis adalah ketumbuhan tisu sama yang meliputi dinding rahim yang tumbuh di luar rahim. Dinding rahim dikenali sebagai endometrium. Salah satu punca terjadinya masalah dalaman wanita ini adalah kerana darah haid mengalir ke saluran tiub fallopio, memasuki ruangan pelvik dan melekat pada tisu di luar rahim. Ia boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian pelvik serta masalah kesuburan.

Simptom yang biasa dialami :

  • Haid yang banyak dan tak teratur
  • Senggugut (dismenorea)
  • Sakit semasa hubungan seks
  • Sakit di bahagian pelvis dan bawah abdomen (pertengahan haid)

Wanita yang mengalami endometriosis mempunyai rasa sakit yang berbeza-beza. Ada yang mempunyai ketumbuhan yang banyak tetapi tiada rasa sakit. Ada juga yang mempunyai ketumbuhan yang sedikit tetapi rasa terlalu sakit.

4. Fibroid rahim

Fibroid tumbuh pada dinding bahagian dalam rahim.

Fibroid adalah sejenis ketumbuhan yang tumbuh di dinding atau otot rahim. Juga dikenali sebagai ‘Leiomyoma’ atau ‘Myoma’. Ia tidak berbahaya tetapi sekiranya bertukar kepada leiomyosarcoma, ia boleh berbahaya. Fibroid juga boleh berkembang dan meningkatkan risiko pembedahan.

Fibroid dirangsang oleh hormon estrogen. Terdapat 3 jenis iaitu fibroid subserosal, fibroid intramural, dan fibroid submucosal.

Fibroid subserosal adalah fibroid yang tumbuh di luar rahim. Apabila makin membesar, ia boleh memberi tekanan pada organ sekeliling atau rasa sakit. 

Fibroid intramural adalah fibroid yang tumbuh di dinding otot rahim

Fibroid submucosal adalah fibroid di bawah lapisan rahim dan boleh memasuki rongga rahim, pendarahan yang banyak dan risiko komplikasi

Fibroid pedunculated boleh tumbuh di dalam rongga rahim atau luar rahim

Antara simptom yang biasa dialami dengan masalah fibroid :

  • Pendarahan haid yang berlebihan atau menyakitkan
  • Pendarahan antara haid
  • Kembung perut
  • Kerap membuang air kecil (ini boleh berlaku apabila fibroid memberi tekanan pada pundi kencing)
  • Sakit semasa melakukan hubungan seks
  • Sakit belakang
  • Sembelit
  • Keputihan kronik
  • Ketidakupayaan untuk membuang air kecil atau mengosongkan pundi kencing sepenuhnya
  • Perut kelihatan buncit

Fibroid adalah penyakit yang boleh hilang. Ia akan mengecut selepas bersalin dan setelah tamat fasa menopause.

5. Sindrom ovari polisistik  (PCOS)

PCOS boleh mengakibatkan sukar hamil.

PCOS adalah sindrom yang melibatkan masalah hormon. Wanita dengan masalah ini akan menghasilkan hormon lelaki (androgen) yang lebih dan mengakibatkan kitaran haid terganggu serta menjejaskan kesuburan. 

Ovari polisistik adalah sista-sista (kantung) kecil berisi cecair seperti darah, lemak dan tisu yang berkumpul dalam ovari. Masalah ini boleh dirangsang oleh beberapa faktor seperti genetik, rintangan insulin dan keradangan. Insulin yang dihasilkan berlebihan dalam badan akan merangsang ovari menghasilkan lebih banyak hormon lelaki. Keradangan yang berlebihan juga akan meningkatkan hormon androgen.  

Wanita yang mengalami masalah ini akan mengalami kesukaran untuk mengandung. Malah, mereka juga berisiko mendapat rintangan insulin, dislipidemia, hipertensi dan penyakit berkaitan obesiti.

6. Penyakit radang pelvis (PID)

Sakit belakang salah satu simptom penyakit radang pelvis.

Penyakit radang pelvis (PID) adalah jangkitan dan keradangan pada rahim, tiub fallopia dan ovari. Ia berpunca daripada bakteria klamidia atau genorea yang memasuki vagina daripada hubungan seksual bebas.  

Antara simptom daripada PID adalah :

  • Sakit dan ngilu di bahagian bawah abdomen
  • Pelepasan bau busuk atau warna cecair faraj tidak normal
  • Sakit semasa hubungan seks
  • Tompokan antara haid
  • Menggigil atau demam
  • Mual, muntah, atau cirit-birit
  • Hilang selera makan
  • Sakit belakang dan mungkin kesukaran berjalan
  • Kesakitan atau lebih kerap buang air kecil

Jika dikesan di peringkat awal, penyakit radang pelvis boleh sembuh. Tetapi, kerosakan yang berlaku disebabkan bakteria tidak akan berubah. Namun begitu, jika ia dibiarkan akan meningkatkan risiko komplikasi seperti parut di ovari, tiub fallopian, dan rahim, kehamilan ektopik (hamil luar rahim) dan tubo-ovarian abscess (TOA) (nanah yang terjadi disebabkan jangkitan di tube fallopian dan ovari). 

7. Vaginitis

Vaginitis adalah keradangan yang berlaku di vagina. Ia menyebabkan lelehan, rasa gatal dan sakit. Biasanya ia akan sembuh.

Ia berlaku disebabkan 2 faktor iaitu jangkitan dan bukan jangkitan. Jangkitan berpunca daripada bakteria, kulat atau organisma parasit yang dikenali seperti  Streptococcus, Staphylococcus, Escheria coli, Neisseria gonorhea, Chlamydia trachomatis, Trichomas vaginalis, Mycoplasma hominis, dan juga HPV, Cytomegalovirus.

Vaginitis disebabkan bukan jangkitan berlaku disebabkan paras estrogen yang berkurang selepas menopause serta penyakit kulit tertentu 

Simptom yang boleh dikesan akibat vaginitis adalah:

  • Kegatalan di kawasan intim
  • Lelehan berwarna kelabu, putih, cair atau berbuih
  • Keradangan  
  • Sakit dan tidak selesa ketika membuang air kecil

Vaginitis boleh hilang sendiri apabila bakteria yang menjangkiti bahagian vagina keluar daripada badan. Tetapi, ia boleh kembali jika tidak dijaga kebersihan bahagian alat sulit.

Vaginitis yang tidak dirawat boleh menyebabkan ketidaksuburan, sakit bahagian pelvik yang teruk serta mengandung luar rahim. Pencegahan awal dapat mengelakkan jangkitan.

Tips pencegahan : 

1. Makan makanan sihat

Pengambilan makanan sihat dan lengkap seperti bijirin penuh, protein tanpa lemak, dan serat tinggi membantu memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Antara contoh makanan adalah buah, sayur, bijirin penuh dan ikan. Pemakanan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh membantu mengawal nafsu makan lebih baik berbanding pengambilan makanan karbohidrat ringkas seperti gula, kek dan gula-gula. Ini membantu mengekalkan berat badan pada tahap normal. Berat badan memainkan peranan penting kerana ia boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan wanita.

Kajian membuktikan buah dan sayur membantu mengurangkan penyakit ginekologi wanita berbanding makanan tinggi lemak, daging merah dan makanan tanpa sayur dan serat. Menurut kajian yang dikumpulkan, ia menyatakan daging merah boleh meningkatkan risiko endometriosis. 

Diet DASH adalah pemakanan berasaskan sayur, buah, bijirin penuh, rendah lemak, sodium dan kolesterol. Diet ini terbukti membantu menurunkan hormon androgen (hormon lelaki) yang menyebabkan sindrom ovari polisistik (PCOS). Justeru itu, pemakanan sihat sangat disarankan untuk para wanita untuk mengekalkan kesihatan dalaman.

2. Kekal berat badan sihat

Berat badan sihat dapat mencegah penyakit seperti PCOS yang berpunca daripada lebihan berat badan. Berat badan berlebihan akan mengganggu kitaran hormon yang menyekat pengeluaran telur (ovum) untuk pensenyawaan. Kesannya, wanita akan mengalami kesukaran untuk mengandung.

3. Penjagaan kebersihan 

Kebersihan sangat penting untuk mengelakkan jangkitan bakteria. Kebersihan diri yang tidak dijaga dengan baik membuka ruang untuk bakteria berkembang dan menyebabkan iritasi (gatal, merah dan bengkak). Vagina adalah bahagian yang mudah dijangkiti. Oleh itu, penggunaan pantiliner dan pad perlu ditukar selalu untuk mengelakkan jangkitan. Oleh yang demikian, kebersihan pada kawasan tersebut amatlah penting.

4. Urus tekanan dengan baik

Tekanan perkembangan boleh mengganggu kitaran hormon. Hormon yang tidak stabil akan mengganggu dan pelepasan telur dari ovari. Apabila telur tidak dilepaskan, wanita tidak dapat mengandung. 

Konklusi:

Masalah dalaman wanita yang tidak dirawat boleh menyebabkan ketidaksuburan dan sukar mengandung. Pemakanan dan gaya hidup boleh memberi kesan kepada kitaran hormon dalam badan wanita di samping penjagaan kebersihan yang perlu di titik berat. 

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here