7 fakta menarik yang wajib anda tahu sebelum minum kopi 3 in 1

Krimer sering digunakan sebagai pengganti susu dalam minuman seperti teh, kopi, minuman coklat, kopi 3 in 1 dan juga pencuci mulut. Ia juga digunakan dalam masakan serta pembuatan kek.

Terdapat dua jenis krimer di pasaran iaitu krimer tenusu dan krimer bukan tenusu. Krimer tenusu berasaskan haiwan seperti lembu, kambing, biri-biri dan unta. Ia mempunyai lemak trans semulajadi dan laktosa (sejenis karbohidrat yang ada dalam susu dan produk tenusu)

Krimer tenusu dihasilkan dengan mengeluarkan 60% air dari susu biasa. Terdapat 2 jenis krimer tenusu iaitu susu sejat penuh krim dan susu pekat manis penuh krim.

Krimer bukan tenusu berasaskan tumbuhan iaitu minyak sayuran. Ia berfungsi seperti susu tetapi tidak mempunyai laktosa. Krimer ini boleh menjadi pengganti krimer tenusu atau susu segar yang berasaskan haiwan. Krimer bukan tenusu sesuai untuk orang yang mempunyai masalah “lactose intolerance” dan allergi disebabkan susu lembu.

Krimer bukan tenusu dijual di pasaran dalam bentuk serbuk, cecair dan sejuk beku. Krimer dalam bentuk serbuk lebih di pasarkan kerana lebih mudah dikendalikan, disimpan serta tahan lebih lama disamping harganya yang murah.

Untuk penyimpanan, krimer bukan tenusu dalam bentuk serbuk perlu disimpan di tempat sejuk, kering dan bertutup rapat. Manakala krimer bukan tenusu dalam bentuk cecair perlu disejukkan dan disimpan dalam bekas bertutup rapat.

Terdapat 7 fakta tentang krimer yang anda harus tahu.

1. Krimer bukan tenusu berasaskan minyak kelapa sawit.

Minyak kelapa sawit mengandungi campuran lemak tepu dan lemak tak tepu.

Lemak tepu terkenal dengan sifatnya yang akan menyebabkan penyakit kardiovaskular. Tetapi, kajian menunjukkan, pengambilan dalam kadar sederhana  tidak menyebabkan masalah kesihatan.

Kajian juga membuktikan minyak kelapa sawit tidak akan menyebabkan pembentukkan plak dalam saluran darah yang seterusnya boleh mengakibatkan penyakit jantung.

2. Krimer bukan tenusu mempunyai antioksidan

Krimer bukan tenusu berasaskan minyak kelapa sawit yang mengandungi tocotrienol iaitu vitamin E, sejenis antioksidan yang dapat melindungi diri daripada penyakit jantung dan kanser.

3. Krimer bukan tenusu bebas kolesterol

Minyak kelapa sawit dapat merendahkan bacaan kolesterol jahat (LDL), dan menaikkan bacaan kolesterol baik (HDL). Kajian telah membuktikan minyak kelapa sawit memberi kesan positif terhadap bacaan kolesterol dalam darah dan bacaan lipoprotein. Satu kajian juga menunjukkan kesan minyak kelapa sawit ke atas bacaan lipid yang menyerupai minyak zaitun.

4. Krimer bukan tenusu bebas lemak trans

Krimer bukan tenusu berasaskan minyak kelapa sawit. Minyak kelapa sawit tidak perlu melalui proses hidrogenasi untuk menghasilkan krimer berbanding minyak sayuran lain.

Minyak kelapa sawit mengandungi campuran lemak tepu dan lemak tidak tepu. Oleh kerana tiada proses hidrogenasi, proses penghasilan krimer tidak akan menukarkan lemak tepu dan lemak tidak tepu dari minyak sawit kepada lemak trans.

Lemak trans boleh membahayakan kesihatan dan produk berasaskan lemak trans tidak dibenarkan dikeluarkan oleh Food and Drug Association (FDA). Ini kerana, apabila lemak trans masuk ke dalam badan, ia akan melekat pada saluran darah dan menyebabkannya tersumbat seterusnya menyebabkan penyakit jantung.

5. Susu krimer boleh menyebabkan kencing manis

Krimer tenusu dan krimer bukan tenusu berisiko menyebabkan kencing manis jika diambil pada kadar berlebihan.

Krimer tenusu asli tanpa tambahan gula (susu sejat penuh krim) tidak mengganggu bacaan gula dalam darah. Tetapi, krimer tenusu dengan tambahan gula (susu pekat manis penuh krim) boleh menyebabkan kencing manis.

Krimer bukan tenusu juga mempunyai gula tambahan iaitu pepejal sirap jagung untuk menambah rasa dan menjadi pemanis yang menyerupai manis dari sumber tenusu. Krimer ini juga mengandungi maltodekstrins yang bertindak membaiki rasa, kepekatan dan meningkatkan jangka hayat krimer tersebut.

Maltodekstrin merupakan kanji dari tumbuhan dan mempunyai rasa yang sederhana manis atau neutral. Ia mudah dicerna dan menyerap seperti glucose. Mempunyai bacaan indeks glisemik yang tinggi disebabkan sifatnya yang mudah menyerap. Jadi, ia akan meningkatkan bacaan gula dalam darah jika diambil pada kuantiti yang banyak. Penghidap kencing manis perlu berhati-hati dalam pengambilan makanan yang mengandungi maltodekstrin.

Walaubagaimanapun, maltodekstrin seringkali digunakan dalam kuantiti yang sedikit dalam makanan dan tidak akan memberi kesan ke atas pengambilan makanan berasaskan karbohidrat. Maltodekstrin masih selamat untuk diambil oleh penghidap kencing manis selagi mana kuantitinya sedikit dan terkawal.

Kekerapan pengambilan krimer boleh menyebabkan kencing manis

6. Krimer boleh mengganggu sistem penghadaman dan immuniti badan

Krimer bukan tenusu mengandungi maltodekstrin yang boleh mengganggu sistem penghadaman dan juga sistem immuniti badan jika seseorang tidak mempunyai daya ketahanan badan yang kuat.

Maltodekstrin boleh mengubah bakteria dalam usus menjadikan kita terdedah kepada penyakit. Ia boleh menghalang pertumbuhan bakteria baik (probiotik) dalam sistem penghadaman dan juga meningkatkan bakteria seperti e.coli yang akan menyebabkan penyakit autoimmun seperti “Crohn’s disease”.

Bakteria E.coli boleh menyebabkan penyakit berkaitan autoimmun

7. Krimer lebih murah dan tahan lama.

Krimer tenusu dan krimer bukan tenusu tahan lebih lama berbanding susu segar. Krimer tenusu mengalami proses pasteurization dan mempunyai gula tambahan yang bertindak sebagai bahan pengawet. Manakala krimer bukan tenusu mengalami proses hidrogenasi yang membolehkannya tahan lebih lama.

Krimer tenusu dan krimer bukan tenusu memberi kesan kepada kesihatan, tetapi krimer bukan tenusu adalah pilihan yang lebih baik. Pengambilan kedua-dua jenis krimer ini haruslah dalam kuantiti yang seimbang dengan makanan lain. Buatlah pilihan yang bijak!

Jenis-jenis krimer di pasaran

Rujukan:

  1. http://palmoilis.mpob.gov.my/publications/TOT/tt196.pdf
  2. https://www.medicalnewstoday.com/articles/19627
  3. https://www.healthline.com/health/food-nutrition/is-maltodextrin-bad-for-me#how-its-made
  4. https://livehealthy.chron.com/nondairy-creamers-trans-fats-9268.html
  5. https://www.medbroadcast.com/channel/nutrition/food-safety/7-things-you-need-to-know-about-non-dairy-coffee-creamer
  6. Odia, O. J., Ofori, S., & Maduka, O. (2015). Palm oil and the heart: A review. World journal of cardiology7(3), 144–149. https://doi.org/10.4330/wjc.v7.i3.144
  7. Ong ASH, Goh SH. Palm Oil: A Healthful and Cost-Effective Dietary Component. Food and Nutrition Bulletin. 2002;23(1):11-22. doi:10.1177/156482650202300102

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here