7 Manfaat Yang Diperakui Pengamal Perubatan Mengenai Misai Kucing

Tumbuhan misai kucing merupakan sejenis tumbuhan herba. Ia dikenali sebagai “Java tea” dalam kalangan penyelidik barat. Nama saintifiknya ialah orthosiphon stamineus (bunga ungu) atau orthosiphon aristatus (bunga putih). Misai kucing dari keluarga “lamiaceae”, boleh dijumpai di Malaysia, Indonesia and Thailand. Ia mudah hidup dengan iklim tropika. 

Tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian hingga 1.5m. Ia boleh ditanam di dalam pasu atau di atas tanah dihalaman rumah. Ia mengambil masa 3 tahun untuk mencapai tempoh matang.

Untuk makluman, minuman teh misai kucing telah menjadi minuman rasmi negeri Melaka sejak Mei 2007. Ia menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang ke negeri Melaka. Ia dijual secara meluas kepada pelancong yang datang ke negeri tersebut. 

Tumbuhan ini telah digunakan secara meluas sejak sekian lama dalam perubatan tradisional dan moden dalam pelbagai bentuk. Contohnya serbuk herba, daun yang dikeringkan, uncang teh, minuman, ekstrak, tablet dan kapsul. 

Daun misai kucing

Daun daripada tumbuhan ini digunakan dalam minuman teh dan perubatan. Ia dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan. Teh misai kucing mempunyai rasa dan warna hampir sama dengan teh-o biasa. 

Dalam perubatan, ia diketahui dapat mengawal penyakit berkaitan peredaran darah, batu karang, darah tinggi dan kencing manis. Ia juga bagus untuk mengekalkan kesihatan buah pinggang, mengekalkan fungsi hati, dan mencegah gout.

Herba ini mengandungi lebih 30 bahan kimia atau phytochemical yang membantu merehatkan otot dinding saluran darah, seterusnya melancarkan dan meningkatkan pengeluaran urin. Ini dapat mengelakkan jangkitan pada saluran kencing dan masalah edema

Di barat, ia juga digunakan untuk membuang toksin dari badan dan sebagai ubat kurus. 

Khasiat herba misai kucing:

1. Mengawal paras gula

Kajian membuktikan ekstrak tumbuhan misai kucing akan menggalakkan rembesan hormon insulin daripada pankreas. Ini seterusnya dapat mengurangkan kepekatan gula (glukosa) dalam darah. Insulin yang cukup dan efektif secara tidak langsung dapat mengawal paras gula dengan baik.

Disamping itu, kajian dalam kalangan pesakit kencing manis juga mendapati, herba ini mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah, seterusnya mengelakkan komplikasi kencing manis iaitu penyakit jantung (kardiovaskular).

2. Mengawal darah tinggi

Herba misai kucing mempunyai bahan yang akan merangsang pembuangan air dan garam daripada saluran darah. Hal ini dapat mengurangkan tekanan pada saluran darah dan jantung. Seterusnya, tekanan darah tinggi dapat dikawal. 

Kajian klinikal melibatkan campuran herba misai kucing membuktikan herba ini membantu menurunkan bacaan tekanan darah tinggi dalam kalangan pesakit darah tinggi selepas 8 minggu rawatan. 

3. Mencegah penyakit jantung

Herba misai kucing mengandungi flavonoid iaitu antioksidan. Ia mencegah penghasilan enzim yang akan menghasilkan “LDL cholesterol” iaitu kolesterol jahat. Kolesterol ini akan melekat pada dinding saluran darah dan membentuk plag seterusnya menghalang peredaran darah secara normal.

Saluran darah yang tersumbat secara berterusan akan menyebabkan penyakit jantung. Ini kerana oksigen tidak dapat disalurkan dengan baik dalam sistem peredaran darah.

4. Mencegah dan mengawal pertumbuhan sel kanser

Reactive oxygen species (ROS) dan radikal bebas akan menyebabkan kerosakkan tisu dalam organisma hidup termasuk manusia. Keadaan ini memerlukan antioksidan untuk melawan ROS dan radikal bebas daripada membuat kerosakkan.

Herba misai kucing mengandungi flavonoid dan diterpenes iaitu sejenis antioksidan serta anti-angiogenic yang akan mencegah dan mengawal pertumbuhan sel kanser. Angiogenic ialah proses penghasilan saluran darah baru yang terbentuk daripada saluran yang sudah ada. Bahan yang terdapat dalam daun herba ini menghalang proses angiogenic seterusnya sel kanser sukar untuk merebak.

Kajian telah dilakukan keatas model haiwan dan sel kultur. Ia membuktikan herba ini merencatkan pembentukkan salur darah dan menghalang penyebaran sel kanser ke organ dan tisu lain.

5. Melawan jangkitan mikroorganisma

Misai kucing mempunyai kompound fenolik yang bertindak melawan serangan bakteria. Kajian membuktikan herba ini mampu melawan pelbagai jenis bakteria yang menyebabkan keracunan makanan seperti Bacillus subtilis, Bacillus cereus, Staphylococcus aureus, Listeria monocytogenes, Escherichia coli dan Salmonella enteritidis.

Dengan ini, ia dapat menguatkan sistem imunisasi badan daripada sebarang jangkitan.

6. Mengurangkan masalah gout dan edema

Kajian membuktikan herba misai kucing mengandungi agen anti-radang iaitu eupatorin, sinensetin and ursolic acid. Agen ini bertindak mengurangkan masalah edema dengan membantu merehatkan otot dinding saluran darah, seterusnya melancarkan dan meningkatkan pengeluaran urin. 

Edema adalah bengkak disebabkan lebihan cecair yang terperangkap dalam tisu badan. Ia boleh terjadi pada mana-mana bahagian badan termasuk tangan, lengan, kaki dan pergelangan kaki. 

Herba ini juga membantu mengeluarkan asid urik daripada badan melalui saluran kencing. Ini akan mengurangkan masalah gout dan sakit sendi yang berpunca daripada lebihan ais urik yang berkumpul pada sendi-sendi dalam badan.

7. Merawat masalah gastrik

Kajian mendapati, penggunaan herba ini dapat mengurangkan ulser gastrik, mengurangkan kerosakkan lapisan mukosa, dan meningkatkan rembesan lendir (mucus) dalam perut. Oleh itu, ia dapat melindungi dinding perut daripada hakisan disebabkan rembesan asid gastrik.

Konklusi:

Konklusinya, misai kucing merupakan tanaman herba yang memberi banyak manfaat pada kesihatan. Ia patut diamalkan dalah usaha mencegah penyakit. Untuk mendapat keberkesanannya, ia perlu diminum secara konsisten.

Rujukan:

  1. Ashraf, K., Sultan, S., & Adam, A. (2018). Orthosiphon stamineus Benth. is an Outstanding Food Medicine: Review of Phytochemical and Pharmacological Activities. Journal of pharmacy & bioallied sciences, 10(3), 109–118.
  2. Chai, Tsun-Thai & Wong, Fai-Chu & Abd Manan, Fazilah & Keng fei, Ooh & Mohd Ismail, Nor Ismaliza. (2014). Orthosiphon aristatus: A review of traditional uses, phytochemical profile, and pharmacological properties.
  3. Perubatan Alternatif & Komplementari Untuk Diabetes Mellitus
  4. Benefits of Misai Kuching(Orthosiphon stamineus)
  5. Process your own Misai Kucing tea at home
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here