Terbongkar: Mengapa Keropok Lekor Terengganu Lebih Baik Berbanding Makanan Ringan

Makanan ringan merupakan makanan kesukaan ramai. Ia menjadi pilihan semua golongan usia bermula dari kanak-kanak hingga dewasa. Pelbagai makanan ringan yang ada di malaysia yang terkenal. Di pasaraya atau kedai runcit, terdapat lebih daripada 10 jenama snek ringan yang ada daripada jenama dari dalam negara hinggalah ke jenama antarabangsa. 

Contoh makanan ringan: 

  • Snek kulit ikan (salted egg dory skin)
  • Kerepek (bawang, pisang, ubi)
  • Kekacang rangup
  • Snek makanan laut 
  • Snek kentang (potato crisp)
  • Maruku ikan

Keropok lekor merupakan makanan popular yang berasal dari pantai timur semenanjung Malaysia khususnya Terengganu. Dalam bahasa melayu Terengganu, lekor bermaksud lingkar. Ia dimaksudkan dengan keropok yang berlingkar. Terdapat 3 jenis keropok lekor iaitu 

  • Keropok lekor (panjang seakan sosej, direbus)
  • Keropok goreng (panjang seakan sosej, goreng)
  • Keropok keping (keping, dikeringkan dan digoreng)

Keropok lekor atau dikenali juga sebagai keropok batang mempunyai tekstur yang sedikit melekit kerana keropok ini dihasilkan daripada daging ikan yang diproses, garam, tepung sagu dan air. Ia diuli dan digentel dalam bentuk panjang bertali seperti sosej dengan panjang 6 hingga 10 inci dan segera direbus. Keropok ini sedia untuk dimakan terus kerana sudah direbus. 

Keropok lekor

Manakala keropok goreng adalah keropok lekor yang digoreng. Rasanya rangup dengan rasa isi ikan yang lembut. Sering dimakan pada waktu makan petang bersama sos cili Terengganu yang terkenal atau mayonis dan keju. 

Keropok goreng

Keropok keping pula diuli dan digentel menjadi bentuk panjang. Kemudian ia dihiris nipis dan dikeringkan di bawah matahari supaya tahan lebih lama sebelum dibungkus untuk dijual. Keropok ini perlu digoreng sebelum dimakan. Teksturnya yang ringan, mudah dibawa dan rangup menjadikannya pilihan ramai. 

Keropok keping

Kandungan utama keropok – keropok ini ialah ikan. Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, ikan telah ditetapkan tidak kurang dari 15% daripada adunan utama. Manakala tepung hanya merangkumi 70%, garam 2.5%, gula 1.5% dan monosodium glutamate (MSG) 0.3%. Kandungan ikan yang banyak menjadikannya antara makanan yang tinggi protein. Terdapat beberapa jenis ikan yang biasa digunakan iaitu ikan parang, tamban, selayang, kerisi dan lain-lain. 

Terdapat 6 manfaat keropok lekor sebagai alternatif makanan ringan:

1. Tinggi kandungan protein 

Ikan merupakan salah satu makanan tinggi protein

Keropok lekor mempunyai kandungan protein yang tinggi iaitu 16g untuk setiap 100g keropok lekor berbanding makanan ringan biasa yang mempunyai 6g protein untuk setiap 100g snek ringan. 

Protein merupakan makanan yang penting untuk badan kerana diperlukan untuk membakar tenaga untuk kegunaan harian di samping membawa oksigen ke seluruh badan dalam darah. Ia juga berperanan menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan dan penyakit. 

Protein juga bertanggungjawab dalam memastikan sel dalam badan sentiasa sihat dan menghasilkan sel-sel baru. Oleh itu, berdasarkan banyak bukti kajian, proses penyembuhan luka akan menjadi lebih cepat. Selain itu, risiko osteoporosis (tulang rapuh) dan tulang mudah patah dapat dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan yang tinggi kandungan protein secara berterusan. 

2. Memberi rasa kenyang

Keropok lekor mempunyai kandungan kalori dan protein yang tinggi. Ini dapat memberi rasa kenyang dengan cepat dan untuk tempoh masa lama. Jadi, seseorang itu berpotensi untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit. 

Kajian dalam lelaki berlebihan berat badan mendapati naikkan protein kepada 25% daripada jumlah kalori harian dapat Kurangkan mengidam dalam 60% dan keinginan untuk makan lewat malam dalam 50%

3. Tinggi zat besi dan kalsium, rendah sodium

Kalsium penting untuk kekuatan tulang.

Keropok lekor juga mempunyai nilai nutrisi seperti kandungan zat besi dan calcium yang tinggi berbanding makanan ringan. Zat besi penting untuk membawa oksigen ke otot dan otak untuk meningkatkan prestasi mental dan fizikal. Ikan dari keropok lekor juga mempunyai sumber kalsium. Kalsium ini penting untuk menguatkan tulang untuk mengelakkan tulang rapuh. 

Selain itu, keropok ini mempunyai kandungan sodium (garam) yang lebih rendah berbanding makanan ringan. Pengambilan sodium yang tinggi boleh mengakibatkan darah tinggi serta mengganggu fungsi buah pinggang. 

4. Tiada pewarna tambahan

Pewarna tambahan dalam makanan ringan seperti bertih jagung.

Keropok lekor tidak mempunyai kandungan pewarna tambahan menjadikannya sihat dan sesuai untuk dimakan sebagai makanan petang atau snek ringan. 

Makanan ringan mempunyai kandungan pewarna tambahan yang banyak. Pewarna tambahan yang digunakan dalam makanan ringan adalah yang dibenarkan oleh agensi yang disahkan seperti Food and Drug Association (FDA). Walaubagaimanapun, pewarna tambahan ini juga didapati memberi kesan kepada badan manusia.

Contohnya, ia boleh menyebabkan alergi, kanser, dan penyakit berkaitan sistem ketahanan badan (imunisasi). Pengambilan snek ringan dalam kalangan kanak-kanak secara berterusan dan dalam kuantiti yang banyak akan meningkatkan risiko masalah pembelajaran dan hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak lelaki. 

5. Perasa tambahan

Monosodium glutamate (MSG)

Keropok lekor hanya mempunyai kandungan perasa tambahan yang sedikit. Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, hanya 0.3% monosodium glutamate (MSG) dibenarkan dalam adunan keropok lekor. Kandungannya yang sedikit menjadikannya pilihan yang lebih baik dan sihat berbanding makanan ringan. 

Monosodium glutamate sering digunakan sebagai penambah perisa dalam makanan-makanan. Ia memberi rasa umami iaitu deria rasa yang kelima selain masin, manis, masam, dan pahit. Kekerapan pengambilan MSG akan menyebabkan obesiti, asthma, sakit kepala serta lebih memburukkan kerosakan otak.

6. Penambah selera

Keropok lekor boleh dimakan bersama nasi sebagai lauk atau makanan tambahan

Yang terakhir, keropok lekor juga sesuai dijadikan penambah selera atau lauk tambahan dalam makanan. Orang pantai timur lebih suka makan keropok lekor bersama nasi. 

Konklusi:

Keropok lekor mempunyai kandungan nutrisi yang lebih baik dan sihat berbanding makanan ringan. Ia tidak mempunyai perwarna tambahan serta sedikit perasa tambahan untuk menyedapkan rasa.

Oleh itu, keropok lekor sesuai dijadikan sebagai makanan alternatif atau kudapan untuk kanak-kanak dan semua golongan peringkat umur. Anda setuju tak?

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here