5 Rahsia Khasiat Hempedu Bumi Yang Tidak Pernah Tahu

Hempedu bumi adalah sejenis tumbuhan herba yang mempunyai jangka hayat pendek iaitu 1 tahun. Nama saintifiknya adalah Andrographis paniculata dan Justicia latebrosa. Selain itu, ia juga mempunyai pelbagai nama di Malaysia seperti akar cerita, hempedu tanah, bidara (Melayu), mompoit (Sabah), sambiloto (Indonesia), kalmegh (India), nilavempu (Tamil) chuan xin lian (China) dan King of the bitter & green Chiretta (Inggeris).

Tumbuhan hempedu bumi berasal dari Asia Tenggara iaitu China dan India. Ketinggian tumbuhan ini boleh mencapai 60 ke 70cm. Mudah dijumpai di kawasan lapang dan tanah ditumbuhi rumput. Di Malaysia, lazimnya ia ditanam di belakang rumah atau di dalam pasu untuk tujuan perubatan. Ia sesuai dengan semua jenis tanah (bris, liat dan gambut) serta memerlukan saliran yang baik.

Penggunaan hempedu bumi:

Hempedu bumi boleh ditanam di kawasan rumah.

Hempedu bumi adalah tumbuhan perubatan yang popular digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai jenis penyakit termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, kanser, ulser, leprosy, bronchitis, penyakit kulit, masalah penghadaman dan jangkitan bakteria di Asia, Afrika dan Amerika. 

Tumbuhan ini mengandungi ciri-ciri anti-bakteria, anti-radang, antioksidan, anti-diabetes, dan anti-jangkitan. Tumbuhan ini telah digunakan dalam bidang perubatan sejak dahulu di China, India dan Jawa untuk merawat pelbagai penyakit temasuklah penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit berjangkit, luka, ulser dan menghapuskan cacing dalam usus. 

Daun hempedu bumi direbus untuk diambil airnya. Air rebusan yang pahit dipercayai mengandungi bahan kimia semulajadi yang baik untuk kesihatan badan. Air daripada daun ini berupaya merawat demam, tekanan darah tinggi, cirit-birit, ulser, gigitan serangga serta menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan. Air rebusanya juga boleh mengawal kencing manis.

Nutrisi hempedu bumi:

Hempedu bumi adalah sejenis tumbuhan herba yang kaya dengan bahan kimia semulajadi. Kajian menyatakan hempedu bumi mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semulajadi yang baik untuk kesihatan daripada kumpulan diterpenoids lactone dengan kadar 60 ke 70%. Contoh bahan kimia itu adalah angrographolide dan neoangrographolide. Ia juga mengandungi diterpenes, lactones dan flavonoid termasuk 5, 7, 2’, 3’-tetramethoxyflavanone, serta flavonoids lain, andrographolide diterpenoids, dan polyphenols. Setiap bahan kimia ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Khasiat hempedu bumi:

1. Anti-bakteria

Image via iStock

Hempedu bumi telah digunakan dengan meluas untuk merawat pelbagai penyakit termasuklah jangkitan bakteria. Bahan aktif daripada hempedu bumi iaitu andrographolide bertindak sebagai anti-bakteria. Ia melindungi diri daripada jangkitan bakteria, virus dan fungus.

Ini dibuktikan dengan kajian yang menyatakan andrographolides and arabinogalactan proteins daripada hempedu bumi menunjukkan ciri-ciri anti-bakteria dan anti-fungus.

Selain itu, kajian lain turut membuktikan andrographolide (bahan aktif utama hempedu bumi) mengandungi kesan anti-bakteria. Dengan ini, hempedu bumi boleh digunakan melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan fungus yang mudah menjangkiti manusia. 

Tumbuhan ini boleh menjadi bahan baru untuk ubat anti-bakteria.

2. Melancarkan pernafasan

Image via iStock

Sistem pernafasan bemula di hidung hingga peparu. Jangkitan yang berlaku dalam saluran pernafasan akan mengganggu pernafasan yang lancar.

Kajian telah dilakukan ke atas 896 peserta kajian yang diberi ekstrak hempedu bumi. Hasil kajian menunjukkan ekstrak hempedu bumi berkesan mengurangkan simptom jangkitan saluran pernafasan akut. 

Selain itu dalam kajian lain menunjukkan ekstrak hempedu bumi mengurangkan simptom selsema. Selsema boleh menutup rongga hidung dan mengganggu pernafasan yang lancar. Ia boleh disebabkan jangkitan atau alahan. Antara simptom yang ditunjukkan seperti hidung berair, sukar tidur, dan sakit tekak. 

Oleh itu, hempedu bumi boleh digunakan untuk melancarkan sistem pernafasan dan melindungi saluran pernafasan daripada jangkitan.

3. Mengawal paras gula

Image via Stock

Diabetes terjadi apabila glukosa (gula) yang dicerna daripada makanan tidak bertindak balas dengan insulin yang dihasilkan oleh pankreas. Ia mungkin disebabkan rintangan insulin atau insulin yang dihasilkan sedikit.  

Gula ini perlu dibawa ke dalam sel badan oleh insulin untuk ditukar menjadi tenaga. Apabila ia tidak dapat bertindak balas dengan insulin, gula akan berkumpul dalam salur darah dan dikenali sebagai hiperglisemia. 

Kajian membuktikan ekstrak hempedu bumi mengandungi ciri-ciri anti-hiperglisemia yang akan mengawal paras gula dalam darah. Ujian toleransi glukosa oral (OGTT) yang dilakukan ke atas haiwan kajian menunjukkan penurunan paras gula dalam darah apabila dirawat menggunakan metformin atau 200mg/kgBW ekstrak hempedu bumi.

Selain itu, kajian lain turut membuktikan ekstrak hempedu bumi membantu menurunkan paras gula dalam darah dalam haiwan kajian yang mengalami masalah diabetes.

4. Anti-radang 

Image via iStock

Radang adalah proses di mana sel darah putih melindungi badan daripada jangkitan dan serangan perosak luar seperti bakteria dan virus. 4 simptom utama radang adalah kemerahan, panas, bengkak dan sakit.  

Keradangan adalah tindak balas normal dalam badan. Tapi kadar berlebihan boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, jantung dan kanser. 

TNF-alpha (tumor necrosis factor) adalah agen keradangan. Apabila agen ini diaktifkan, ia akan meningkatkan bilangan protein yang akan menghalang laluan isyarat insulin dan menyebabkan insulin tidak dapat bertindak balas dengan glukosa. Maka, terjadilah rintangan insulin.

Di samping itu, TNF adalah sejenis protein yang akan melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. Ia juga terlibat dalam proses penyembuhan luka secara semulajadi. 

Hempedu bumi mengandungi bahan aktif andrographolide, isoandrographolide, 7-O-methylwogonin dan skullcapflavone-1 yang bertindak sebagai anti-radang. Ia akan melindungi sistem badan daripada bahan-bahan penyebab keradangan.

5. Menguatkan sistem imun

Image via iStock

Sistem imuniti adalah sistem pertahanan badan yang akan melindungi badan daripada jangkitan virus, bakteria dan fungus. Sistem imuniti manusia memerlukan peransang untuk melindungi diri daripada serangan benda asing. Mengekalkan pemakanan sihat dapat menyeimbangkan sistem imuniti dan bersedia melawan jangkitan dan virus. 

Hempedu bumi mengandungi sejenis kompound yang dikenali sebagai andrographolide yang bertindak menguatkan sistem immuniti. Kompound ini akan merangsang keupayaan sel imuniti untuk mengeluarkan serpihan sel dan membaiki tisu badan. Makrofag adalah sel efektor (sel aktif jangka pendek yang melindungi badan dalam tindak balas imuniti) yang kuat bagi sistem imun semulajadi. Manakala andrographolide boleh mengawal dan menyesuaikan tindak balas imun terhadap virus dan bakteria. 

Kajian menunjukkan hempedu bumi berkesan mengurangkan simptom selsema, sakit tekak dan jangkitan peparu. Ia dibuktikan lagi dengan laporan kesihatan daripada doktor perubatan Todd Nelson dari Denver, Colorado. Melalui laporan itu, hempedu bumi 70 – 80% berkesan keatas pesakit selsema. Ia mengurangkan intensiti simptom jika diambil dalam tempoh 24 jam. 

Kesan sampingan

Hempedu bumi selamat untuk diambil oleh semua golongan. Kesan sampingan daripada hempedu bumi adalah cirit-birit, muntah, kemerahan, sakit kepala, hidung berair, dan keletihan. Kesan sampingan ini biasanya berlaku apabila diambil berlebihan. Herba ini masih selamat jika diambil 340mg setiap hari selama 12 bulan.

Konklusi

Hempedu bumi adalah tumbuhan herba yang kian dipopularkan dalam bidang perubatan tradisional. Kandungan bahan aktifnya iaitu andrographolide baik untuk mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit. 

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

  1. Saya ada penyakit kencing manis saya mkn suplemen hempedu bumi tapi x berkesan dan bacaan gula dlm darah masih tinggi mcmana hempedu bumi boleh boleh turun gula padahal saya dah mkn sebelum suplemen hempedu bumi tapi x turun pun

    • supplemen apa ya? ada kandungan gula ka dalam tu?
      dari segi pemakanan macam mana ya, ada pantang makanan atau minuman manis tak?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here