5 Punca Membahayakan Jantung Tanpa Sedar. No 5 Paling Tak Disangka..

Tanpa sedar, kita mungkin ada penyakit jantung. Penyakit jantung bukan lagi asing di Malaysia mahupun peringkat dunia. Menurut statistik di Malaysia pada 2018, sebanyak 18 267 individu menghidap penyakit jantung. Bilangan ini meningkat sebanyak 35.3% berbanding 2017.

Serangan jantung berlaku apabila peredaran darah yang membawa oksigen ke otot jantung berkurangan atau dihalang. Ini akan merosakkan otot yang tidak menerima oksigen dengan cukup. Penyakit jantung boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti penyakit jantung koronari dan spasme arteri koronari (pengecutan otot saluran darah arteri yang membawa darah ke jantung secara tiba-tiba). Ia boleh menyerang pelbagai peringkat umur daripada muda sehingga dewasa.

Punca membahayakan jantung tanpa sedar:

Penyakit jantung boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti pemakanan, gaya hidup tidak sihat serta daripada komplikasi penyakit lain.

1. Bengkak gusi

Gusi yang bengkak membuka ruang untuk kuman menjangkiti bahagian mulut. Kuman ini boleh memasuki saluran darah, beredar ke seluruh badan dan menyebabkan keradangan di saluran darah jantung serta jangkitan di injap jantung. Keradangan adalah proses semulajadi badan melindungi diri daripada benda asing yang menyerang badan seperti jangkitan atau kecederaan. Lebih banyak darah, bahan kimia dan darah putih dilepaskan ke kawasan terlibat untuk melawan jangkitan dan melakukan proses pemulihan. Tetapi keradangan berlebihan akan memudaratkan diri. 

Tindak balas ini akan menyebabkan simptom seperti bengkak, kemerahan, panas, sakit dan hilang fungsi (contoh: jantung gagal berfungsi dengan baik). 

Selain itu, toksin yang dihasilkan daripada jangkitan kuman ini mengakibatkan pengumpulan darah (darah beku). Apabila darah beku ini beredar ke salur darah, ia akan menyumbatkan salur darah dan menghalang peredaran darah yang lancar. Keadaan ini boleh membahayakan jantung tanpa sedar.

Menurut Persatuan Pergigian Amerika dan Persatuan Jantung Amerika, penyakit gusi meningkatkan risiko penyakit jantung disebabkan keradangan pada gusi dan jangkitan bakteria yang boleh menyempitkan saluran darah arteri. Ini dibuktikan dengan beberapa kajian yang mengaitkan penyakit gusi dan penyakit jantung. Dalam kajian terbaru menyatakan penyakit gusi meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 20%. Oleh itu, mencegah penyakit gusi boleh mencegah penyakit jantung.

2. Sleep apnea

“Sleep apnea” adalah pernafasan terhenti ketika tidur. Setiap episod “apnea” boleh berhenti selama 10 saat atau lebih dan boleh berlaku 5 ke 50 kali dalam sekali tidur. 

“Sleep apnea” terbahagi kepada 3 iaitu :

  • “Obstructive sleep apnea”
  • “Central sleep apnea”
  • “Mixed sleep apnea”

“Obstructive sleep apnea” (OSA) paling biasa dijumpai terutamanya dalam kalangan lelaki. Saluran darah yang tersumbat akan menghalang peredaran oksigen. Ia kerap terjadi dalam individu berlebihan berat badan, leher pendek dan kecil serta dagu kecil. Ia juga berpunca daripada penyumbatan pada hidung, mulut dan tekak. 

Pengumpulan lemak pada leher memberi tekanan pada saluran pernafasan sehingga menyebabkannya bertambah sempit. Bagi penghidap OSA, agak sukar untuk memastikan saluran pernafasan atas terbuka semasa tidur kerana berat badan menghalang otot yang menahannya terbuka. Setiap kali saluran pernafasan ditutup semasa tidur, pernafasan terhenti seketika; ia boleh berlaku lima hingga 30 kali sejam atau lebih, menyebabkan orang yang sedang tidur terbangun secara tiba-tiba dan tercungap-cungap.

Apabila pernafasan terhenti, badan akan melepaskan hormon tekanan (stress hormon). Keadaan yang berterusan memberi tekanan pada badan dan menyebabkan penyakit jantung seperti stroke dan tekanan darah tinggi. 

Menurut kajian, masalah “sleep apnea” yang tidak dirawat meningkatkan risiko mendapat degupan jantung tidak sekata dan penyakit jantung. Dianggarkan pesakit “sleep apnea” berisiko 2 – 4 kali ganda untuk mendapat degupan jantung tidak sekata. Malah, ianya juga meningkatkan risiko kegagalan jantung sebanyak 140%, risiko stroke sebanyak 60% dan risiko penyakit jantung koronari sebanyak 30%. 

“Sleep apnea” boleh dirawat, seterusnya mencegah risiko penyakit jantung. Penjagaan pemakanan, gaya hidup dan berat badan sihat boleh mengatasi masalah ini. 

3. Menopos

Wanita dilindungi daripada penyakit jantung dengan hormon estrogen. Menopause awal sebelum mencapai usia 46 tahun meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 2 kali ganda berbanding wanita menopause pada usia 50 tahun ke atas. Ini kerana mereka mengalami kekurangan hormon estrogen di awal usia. 

Estrogen akan melindungi wanita muda daripada penyakit jantung. Ia meningkatkan peredaran darah, kekalkan tekanan darah pada tahap stabil, menurunkan LDL kolesterol dan trigliserida dan meningkatkan HDL kolesterol. Dengan ini, kolesterol akan berada di paras stabil.

4. Individu bekerja shif malam

Bekerja shif malam sebenarnya akan mengganggu “circadian rhythm” iaitu rentak atau sistem badan anda. Mereka berisiko untuk mengalami degupan jantung tidak sekata yang dikenali sebagai “atrial fibrillation”. Kitaran hormon dalam badan manusia mempunyai kitaran masa yang sudah ditetapkan. Apabila kitaran tidur berubah, keadaan ini menyebabkan penghasilan hormon pada waktu tertentu juga akan terganggu.

Hal ini dibuktikan dalam kajian yang menyatakan bekerja shif malam meningkatkan risiko “atrial fibrillation” sebanyak 12%. Risiko ini meningkat sebanyak 18% dalam individu yang bekerja shif selama lebih 10 tahun serta meningkat 22% dalam individu yang bekerja shift malam secara purata 3 ke 8 malam sebulan. 

Kajian juga telah membuktikan bekerja shif malam selama 10 tahun atau lebih telah meningkatkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak 37%.

Namun begitu, risiko ini berkurang dalam individu yang kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan kadar sederhana atau 75 minit seminggu dengan aktiviti lasak. 

Dengan ini, terbukti bekerja malam boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung tetapi gaya hidup sihat boleh mengurangkan risiko ini.

5. Online gaming

Permainan game secara atas talian (online gaming) sudah menjadi satu trend pada masa kini. Boleh dikatakan kebanyakan anak muda kini ketagih dengan permainan game jenis ini. 

Permainan ini akan meningkatkan degupan jantung terutamanya permainan yang berunsur keganasan. Keadaan yang berterusan akan meningkatkan tekanan darah sehingga menyebabkan sakit jantung. 

Selain itu, risiko untuk obesiti turut meningkat dengan permainan game atas talian. Hal ini kerana mereka akan bermain untuk tempoh masa yang lama sehingga berjam-jam. Ini mengehadkan masa mereka untuk melakukan aktiviti fizikal tetapi tetap mengambil makanan sambil bermain.

Obesiti berlaku disebabkan pengambilan makanan yang berlebihan dan kurang pergerakan badan. Menurut kajian daripada Journal of Clinical Nutrition yang dijalankan keatas remaja lelaki sihat, mereka menunjukkan peningkatan pengambilan makanan tanpa mengira selera makan. Ketika bermain sambil makan, mereka akan terleka sehingga tidak sedar makanan sudah habis tetapi rasa ingin makan masih ada. Ia juga mungkin disebabkan isyarat rasa kenyang daripada otak terjejas atau tekanan mental daripada permainan game telah meningkatkan pengambilan makanan.

Obesiti adalah pengumpulan lemak dalam badan. Lemak ini akan menyekat saluran darah dan menghalang pergerakan darah yang turut membawa oksigen dengan lancar. Keadaan ini lama-kelamaan akan membahayakan jantung. 

Konklusi

Penyakit jantung tidak hanya berlaku disebabkan pemakanan tidak sihat dan tidak melakukan aktiviti fizikal. Ia boleh juga berlaku disebabkan faktor yang tidak disangka seperti kerap bermain permainan game atas talian dan bekerja shif malam. Gaya hidup sihat dan seimbang penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik termasuk jantung dan mencegah komplikasi penyakit lain.

Rujukan:

  1. Receding Gums
  2. Sleep Apnea and Heart Disease
  3. Working the Night Shift Linked to Heart Problems, Study Finds
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here