5 Khasiat Kacip Fatimah, Herba Dari Alam Khas Untuk Wanita

Sebut saja kacip fatimah, pasti dah kenal. Herba yang sangat popular untuk para wanita di Malaysia dan Asia Tenggara.

Herba ini boleh dijumpai di kawasan Hutan Hujan Tropika di Malaysia dan Indonesia. Tumbuhan herba ini terdapat dalam beberapa jenis di Malaysia seperti var. Alata, var. Lanceolata dan var Pumila.

Nama ‘Fatimah’ diambil daripada nama wanita bangsawan. Malah, ia juga dikaitkan dengan kesihatan dan semangat wanita.

Antara salah satu herba yang mempunyai banyak nama. Kacip fatimah juga dipanggil Selusoh Fatimah, rumput Siti Fatimah, akar Fatimah, kacit Fatimah, kacip Patimah, kunci Fatimah, pokok pinggang, rumput palis, tadah matahari, mata pelanduk rimba, bunga belungkas hutan, remoyan batu atau Sangkoh. Ia daripada keluarga Myrsinaceae.

Herba ini sering dijadikan jamu kesihatan. Kacip fatimah terkenal dalam perawatan tradisional untuk membantu mempercepatkan proses kelahiran bayi dan memulihkan kesihatan wanita selepas bersalin. Selain itu, ciri-ciri antioksidan dan anti-radang daripada kacip fatimah membantu merawat pelbagai jenis penyakit. 

Ia juga boleh membantu mencegah pembentukkan sel-sel kanser, menguatkan tulang, dan mengelakkan risiko penuaan. Bukan sahaja untuk wanita, lelaki juga boleh mendapat manfaat daripada herba ini. Herba ini juga boleh membantu mengurangkan masalah buasir.

Secara tradisional, herba ini biasanya direbus sama ada dengan campuran herba lain atau tidak dan diminum airnya. Kini, herba ini dah dimodenkan dan terdapat dalam bentuk kapsul, tablet, jus, teh dan kopi. Keseluruhan herba ini boleh dimanfaatkan untuk diri – akar, daun dan batang.

Dalam kehidupan harian, herba kacip fatimah diambil sebagai ulam-ulaman.

Nutrisi kacip fatimah:

Setiap 100gram kacip fatimah bersamaan

  • 139.38 kalori
  • 23 gram karbohidrat
  • 31 gram serat
  • 5.5 gram protein
  • 42.6 mg zat besi
  • 265.8 mg kalsium

Khasiat herba kacip fatimah:

1. Antioksidan

Tinggi dengan antioksidan seperti fenol dan flavonoid, asid askorbik, tocopherols, β-carotene dan carotenoids. Antioksidan diperlukan oleh badan manusia untuk menstabilkan radikal bebas dalam badan.

Antioksidan dihasilkan sendiri oleh badan manusia. Tetapi ia akan berkurang apabila usia meningkat. Jadi, ia perlu diambil daripada sumber makanan sebagai tambahan.

Radikal bebas dengan kuantiti normal tidak menjejaskan sistem badan. Kuantiti yang berlebihan akan merosakkan sel-sel dalam badan dan menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Oleh itu, kacip fatimah mengandungi antioksidan yang diperlukan oleh badan kita untuk melindungi diri daripada risiko penyakit.

2. Memulihkan otot rahim selepas bersalin

Herba kacip fatimah sering digunakan untuk menguatkan sistem peranakan wanita terutamanya selepas bersalin. Fitoestrogen daripada kacip fatimah membantu menguatkan dan mengetatkan faraj.

Walaubagaimanapun, kandungan fitoestrogen yang berlebihan akan mengganggu keseimbangan hormon dalam badan. 

Kajian membuktikan kacip fatimah membantu menguatkan dan mengecutkan rahim dengan cepat selepas bersalin. Selain itu, herba ini juga berfungsi mengurangkan risiko kehilangan darah semasa bersalin. Oleh itu, kacip fatimah baik untuk mengetatkan dan memulihkan dalaman wanita.

Selain itu, kacip fatimah juga membantu mempercepatkan proses kelahiran bayi.

3. Mengawal paras gula dalam darah

Kencing manis terjadi apabila organ pankreas tidak dapat menghasilkan insulin dengan cukup atau insulin yang dihasilkan tidak dapat bertindak dengan gula dalam darah. Hasilnya, gula akan berkumpul dalam saluran darah dan tidak dapat bergerak ke sel-sel badan. Insulin diperlukan untuk membawa gula dari saluran darah ke sel-sel badan untuk menghasilkan tenaga. 

Kacip fatimah mengandungi komponen yang boleh membantu meningkatkan tindak balas insulin dengan glukosa. Kajian yang dilakukan keatas tikus kajian membuktikan kacip fatimah boleh membaiki tindak balas insulin dengan glukosa. Dengan itu, paras gula dalam darah akan menjadi terkawal. 

4. Mengawal paras kolesterol

Kolesterol ialah sejenis lemak yang akan bergerak dalam badan melalui salur darah. Ia diproses oleh organ hati. Ia diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hormon, sel-sel badan serta hempedu iaitu organ yang diperlukan untuk memproses lemak. 

Kolesterol tidak larut dalam air. Oleh itu, ia tidak terurai dalam darah. Ia akan melekat di dinding salur darah dan membentuk plak. Plak ini akan mengeraskan salur darah seterusnya memaksa jantung untuk bekerja keras untuk mengepam darah. 

Kolesterol juga boleh dijumpai dalam makanan tetapi hanya makanan berasaskan haiwan. 

Menurut kajian, kacip fatimah berupaya mengurangkan paras trigliserida dan jumlah kolesterol dalam darah. Trigliserida adalah lemak dalam salur darah. Ia datang daripada sumber makanan seperti mentega, minyak dan lebihan pengambilan kalori. Mengamalkan kacip fatimah secara konsisten dapat membantu mengawal paras kolesterol seterusnya mencegah daripada risiko komplikasi penyakit seperti penyakit jantung dan strok. 

5. Melancarkan haid, mengurangkan senggugut

Akhir sekali, herba ini juga baik untuk merangsang pengeluaran hormon wanita iaitu estrogen. Hormon ini diperlukan untuk melancarkan perjalanan kitaran haid. Herba kacip fatimah juga dapat mengurangkan kesakitan akibat senggugut.

Konklusi:

Kacip fatimah adalah herba semulajadi yang bukan saja untuk wanita tetapi baik juga untuk lelaki.

Rujukan:

  1. Mannerås L, Fazliana M, Wan Nazaimoon WM, et al. Beneficial metabolic effects of the Malaysian herb Labisia pumila var. alata in a rat model of polycystic ovary syndrome. J Ethnopharmacol. 2010;127(2):346-351.19883744
  2. Mansor, F., Gu, H. F., Ostenson, C. G., Mannerås-Holm, L., Stener-Victorin, E., & Wan Mohamud, W. N. (2013). Labisia pumila Upregulates Peroxisome Proliferator-Activated Receptor Gamma Expression in Rat Adipose Tissues and 3T3-L1 Adipocytes. Advances in pharmacological sciences, 2013, 808914.
  3. Omar, W. F. N. W., Giribabu, N., Karim, K., & Salleh, N. (2019). Marantodes pumilum (Blume) Kuntze (Kacip Fatimah) stimulates uterine contraction in rats in post-partum period. Journal of ethnopharmacology, 245, 112175.
  4. Manda, V. K., Dale, O. R., Awortwe, C., Ali, Z., Khan, I. A., Walker, L. A., & Khan, S. I. (2014). Evaluation of drug interaction potential of Labisia pumila (Kacip Fatimah) and its constituents. Frontiers in pharmacology, 5, 178.
  5. Kacip Fatimah
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here