5 Khasiat Daun & Buah Bidara Untuk Kesihatan

Bidara adalah dari tumbuhan renek dengan ketinggian mencecah 15 meter. Ia berasal daripada keluarga Ramnaceae yang turut dikenali dengan nama saintifik  Ziziphus Mauritiana. 

Ia mudah dijumpai di kawasan beriklim panas seperti di Asia Tenggara. Ia boleh bertahan dengan pelbagai keadaan tanah yang memudahkan ia tumbuh di mana-mana saja seperti di kawasan yang masin, kemarau serta pembalakan. 

Buah dan daun daripada pokok bidara kedua-duanya mempunyai khasiat untuk kesihatan. Buahnya berbentuk bulat atau bujur seakan telur dengan kulit yang halus dan licin. Manakala, daun bidara berwarna hijau berkilat pada bahagian atas dan putih pada bahagian bawah.

Warna buah akan bertukar mengikut kematangan iaitu dari hijau ke kuning kejinggaan, dan kemerahan apabila masak. Isinya berwarna putih dan mempunyai rasa masam manis. Ketika belum masak (matang), buah bidara mempunyai aroma kuat yang lebih menarik berbanding ketika matang.

Kegunaan bidara :

Bidara diambil buah dan daunnya untuk tujuan kesihatan. Ia dijadikan ubat tradisional untuk merawat pelbagai penyakit dengan bahan aktifnya. Daunnya juga digunakan oleh orang Islam untuk memandikan mayat. Bijinya juga diambil untuk merawat masalah cirit-birit, loya tekak dan muntah.

Buahnya boleh dimakan segar. Namun, kini ia lebih banyak dipasarkan dalam bentuk buah yang dikeringkan untuk mengekalkan ketahanan buah tersebut. Buah segar ini juga boleh disimpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegarannya.

Nutrisi bidara :

Bidara adalah tumbuhan yang tinggi dengan nutrisi daripada daun dan buahnya. Ia mengandungi bahan aktif berberine, quercetin, kaempferol, sitosterol, stigmasterol, lanosterol dan diosgenin

Daun dan buah bidara mempunyai nutrisi yang berbeza. 

  • Tenaga: 634.13kJ
  • Lembapan: 55.45%
  • Protein Kasar: 14.59%
  • Karbohidrat: 19.39%
  • Lemak: 1.51%
  • Serat kasar: 13.89%

Antara komponen lain atau bahan aktif yang terdapat dalam daun bidara adalah saponin, asid tripernoik, asid lemak flavonoid, fenolik, glikoside, terpenoid, tannin dan alkaloid. Komponen ini mengandungi fungsi anti-radang yang melindungi badan dan membantu proses penyembuhan penyakit. Dalam pada itu, bahan aktif ini juga bersifat anti-bakteria yang mencegah pertumbuhan bakteria dalam badan.

Manakala untuk setiap 100g buah bidara, ia mempunyai kalori 79 kcal.

  • Karbohidrat: 20.23g
  • Protein: 1.2g
  • Lemak: 0.2g
  • Kalsium: 21mg
  • Zat Besi: 0.48mg
  • Magnesium: 10mg
  • Fosforus: 23mg
  • Kalium: 250mg
  • Natrium: 3mg
  • Zink: 0.05mg
  • Vitamin C: 69mg
  • Vitamin A: 40IU

Buah bidara mengandungi serat, asid lemak omega-6 (asid linoleik) dan vitamin C. Ia juga mengandungi asid triterpenik yang bersifat anti-radang, antioksidan dan melindungi hati daripada kerosakan. Kandungan vitamin C daripada buah bidara adalah 20 kali ganda buah-buahan sitrus.

Khasiat bidara pada kesihatan :

1. Kawal kolesterol dengan daun

Kolesterol diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hormon, vitamin D dan sel dalam badan. Ia boleh diperoleh daripada pengambilan sumber makanan tinggi lemak atau dihasilkan oleh organ hati. 

Hati memerlukan kolesterol untuk menghasilkan hempedu iaitu sejenis cecair yang terlibat dalam memproses dan mencerna lemak. 

LDL kolesterol adalah kolesterol jahat yang akan membawa kolesterol ke saluran darah arteri. Manakala, HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang akan menyerap kolesterol dari arteri untuk dibawa ke hati untuk diproses dan dikeluarkan daripada badan. Namun, kolesterol yang berlebihan dalam darah akan memberi komplikasi pada kesihatan. Kolesterol yang berkumpul dalam salur darah akan membentuk plak pada dinding salur darah dan mengeras. Ini seterusnya akan menyempitkan saluran darah dan menghalang peredaran darah.

Daun bidara mengandungi bahan aktif yang membantu mengawal paras kolesterol dalam darah iaitu saponin dan serat. Serat akan mengikat komponen kolesterol dan menghalangnya daripada memasuki saluran darah dan mengalir ka bahagian badan yang lain.

2. Kawal paras gula dalam darah

Bacaan gula yang tinggi dalam darah terjadi apabila insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas tidak dapat berfungsi dengan baik. Insulin ini diperlukan untuk membawa glukosa (gula) daripada saluran darah ke dalam sel badan untuk dijadikan tenaga. Kegagalan fungsi insulin berlaku sama ada insulin itu tidak dapat bertindak balas dengan glukosa dalam darah atau insulin tidak dihasilkan dengan cukup.

Gula yang tidak terkawal akan memberikan komplikasi pada kesihatan badan. Daun dan buah bidara mengandungi bahan anti-diabetik yang akan mengawal paras gula dalam darah. Bahan aktif seperti polysaccharides, flavonoids, terpenoids, tannins dan alkaloid mempunyai kesan hipoglisemik. Dengan mengamalkan buah atau daun bidara samada dalam bentuk minuman, boleh membantu mengawal paras gula dalam darah dan mencegah kencing manis.

3. Melancarkan penghadaman & elak cirit-birit

Usus yang tidak bergerak dengan lancar akan mengganggu penghadaman dan boleh mengakibatkan sembelit. Manakala, cirit-birit berlaku apabila makanan yang dimakan, melalui sistem penghadaman dengan laju sehingga usus tidak sempat menyerap cecair atau sistem pencernaan menghasilkan cecair berlebihan. Kesannya, najis mengandungi air berlebihan menjadikan najis cair dan berair. 

Kandungan bahan aktif dan serat yang tinggi daripada buah dan duan bidara membantu melancarkan pergerakan usus dan proses penghadaman serta mengelakkan cirit-birit.

Ini dibuktikan dengan kajian yang menyatakan 22% daripada kaum India mengalami masalah sembelit kronik. Dalam kajian lain juga menunjukkan daun bidara boleh menghalang mekanisma yang merangsang cirit-birit. Oleh itu, bidara membantu melancarkan penghadaman dan mencegah cirit-birit.

4. Menguatkan sistem imuniti

Vitamin C yang terdapat dalam buah bidara membantu menguatkan imuniti badan melawan penyakit dan agen jangkitan. Dengan sistem imun yang kuat, ia juga membantu menyembuhkan luka dengan cepat. Kandungan bahan aktif seperti saponin, flavonoid, triterpenoid dan tanin yang bersifat antioksidan dan anti-mikrob daripada daun bidara mempermudahkan penyembuhan luka.

Buah dan daun bidara mempunyai komponen anti-bakteria yang mencegah pertumbuhan bakteria. Dengan ini, ia juga membantu menguatkan sistem imun daripada jangkitan bakteria, kulat dan fungi. Daun bidara terbukti boleh melawan bakteria Bacillus Cereus dan Proteus Vulgaris. 

5. Mengawal perjalanan darah

Buah bidara kaya dengan pelbagai nutrisi termasuk vitamin dan mineral seperti zat besi dan fosforus. Kedua-dua mineral ini membantu mengawal pengaliran darah yang lancar. Zat besi yang rendah dalam darah boleh melemahkan otot, menyebabkan keletihan, mengganggu penghadaman, dan pening kepala. Oleh itu, dengan mengamalkan buah bidara, ia membantu mengembalikan nutrisi yang diperlukan oleh badan. Dengan bidara, ia juga memastikan perjalanan darah yang lancar.

Konklusi :

Bidara adalah sejenis tumbuhan yang kaya dengan pelbagai nutrisi yang penting untuk badan. Ia boleh didapati dalam bentuk teh, jus serta kapsul yang lebih mudah untuk diambil. Mengamalkannya dengan konsisten boleh membantu badan mendapatkan manfaat daripada tumbuhan ini. Namun, kesan daripada tumbuhan ini berbeza ke atas individu. Amalkannya dengan konsisten.

Rujukan :

  1. Aruna Bhatia & Tulika Mishra (2010) Hypoglycemic activity of Ziziphus mauritiana aqueous ethanol seed extract in alloxan-induced diabetic mice, Pharmaceutical Biology, 48:6, 604-610, DOI: 10.3109/13880200903218935
  2. Dahiru, Daniel & O, Obidoa. (2009). Effect of Aqueous Extract of Ziziphus mauritiana Leaf on Cholesterol and Triglyceride Levels in Serum and Liver of Rats Administered Alcohol. Pakistan Journal of Nutrition. 8. 10.3923/pjn.2009.1884.1888.  
  3. Prakash O, Usmani S, Singh R, Singh N, Gupta A, Ved A. A panoramic view on phytochemical, nutritional, and therapeutic attributes of Ziziphus mauritiana Lam.: A comprehensive review. Phytother Res. 2021 Jan;35(1):63-77. doi: 10.1002/ptr.6769. Epub 2020 Jul 6. PMID: 32633009.
  4. Abalaka, M. E., Daniyan, S. Y., & Mann, A. (2010). Evaluation of the antimicrobial activities of two Ziziphus species (Ziziphus mauritiana L. and Ziziphus spinachristi L.) on some microbial pathogens. African Journal of Pharmacy and Pharmacology4(4), 135-139.
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here