VAGINISMUS WUJUD DALAM KALANGAN WANITA! SUAMI TOLONG BAGI SOKONGAN BUAT ISTERI!

Baru-baru ini viral dengan cerita seorang wanita mengalami masalah faraj terkunci akibat takut untuk bersama dengan suami. Kata wanita tersebut, suaminya mengancam untuk menceraikannya sekiranya masalah ini tidak diselesaikan. 

Image Source: kisahdunia.com

Tidak lama kemudian, wanita tersebut membatalkan rawatannya dengan seseorang doktor akibat sudah diceraikan suaminya.

Apa sebenarnya yang terjadi? Bolehkah faraj wanita terkunci? Keadaan ini masih dilihat sebagai satu masalah yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia akibat daripada kekurangan pendedahan.

Menurut perkongsian Dr. Kash Mustafa, faraj seseorang wanita yang mempunyai fobia terhadap hubungan intim akan tertutup, mengetat dan otot-otot faraj menjadi keras seperti dinding. 

Keadaan ini dikenali sebagai Vaginismus. Dalam penulisan ini, akan diterangkan dengan lebih teliti mengenai keadaan Vaginismus ini. Kaum lelaki terutamanya yang bergelar suami harus peka dan memberikan semangat serta sokongan kepada isteri yang mengalami masalah Vaginismus. 

Definisi Vaginismus

Image Source: istockphoto.com

Vaginismus adalah reaksi automatik badan kepada fobia atau rasa takut terhadap ‘benda’ yang memasuki vagina atau vaginal penetration. Keadaan ini boleh terjadi waktu berhubungan intim bersama suami atau melakukan ujian pap smear. 

Wanita yang mempunyai masalah seksual Vaginismus ini akan mengalami keadaan di mana otot farajnya mengetat atau mengejang apabila disentuh. Situasi ini boleh menjadi tidak selesa atau menyakitkan buat wanita yang mengalaminya, terutamanya apabila dipaksa.

Kebiasaannya wanita yang mempunyai masalah seksual Vaginismus tidak dapat mengawal reaksi badan mereka terutamanya sewaktu melakukan hubungan intim.

Jenis Vaginismus

Vaginismus Primer (Primary Vaginismus)

Vaginismus Primer merujuk kepada keadaan di mana seseorang wanita mengalami kesakitan apabila sesuatu memasuki farajnya seperti zakar lelaki sewaktu hubungan intim atau tampon. Keadaan atau jenis Vaginismus ini boleh kekal untuk jangka masa yang lama atau sepanjang hayat.

Vaginismus Sekunder (Secondary Vaginismus)

Vaginismus jenis sekunder adalah di mana seseorang wanita pernah melakukan hubungan intim atau seks yang tidak menyakitkan tetapi boleh mengalami masalah Vaginismus untuk masa akan datang.

Simptom Vaginismus

Image Source: istockphoto.com

Hubungan seks yang menyakitkan (dyspareunia) adalah salah satu tanda masalah Vaginismus. Rasa sakit ini kebiasaannya akan hilang tetapi tidak bagi wanita yang mengalami masalah seksual ini. Sesetengah wanita menyatakan mereka merasa sensasi terbakar atau rasa seperti zakar melanggar dinding yang keras sewaktu hubungan seks.

Antara simptom Vaginismus yang lain adalah seperti:

  • Fobia terhadap seks
  • Kurang keinginan untuk melakukan seks
  • Tidak dapat memasukkan alat tampon ketika haid
  • Mengelak daripada melakukan ujian pap smear

Wanita yang mengalami masalah Vaginismus tidak dapat mengawal simptom-simptom ini dan perlukan rawatan.

Punca-Punca Vaginismus

Image Source: istockphoto.com

Faktor psikologi sering dikaitkan dengan keadaan atau masalah faraj terkunci, tetapi faktor fisiologi juga boleh menyumbang kepada keadaan disfungsi seksual ini.

Antara punca atau faktor psikologi yang menyebabkan Vaginismus adalah seperti:

  • Kegelisahan
  • Takut untuk melakukan hubungan seks
  • Mempunyai trauma penderaan seksual atau dirogol
  • Mempunyai emosi negatif terhadap seks
  • Tidak terdedah kepada pengetahuan mengenai seks selamat

Manakala, ada juga wanita yang mengalami Vaginismus yang terjadi akibat daripada faktor fisiologi seperti:

  • Jangkitan yis pada faraj
  • Jangkitan saluran kencing (UTI)
  • Mengalami komplikasi selepas bersalin
  • Kekeringan faraj yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon
  • Mengalami keradangan faraj selepas menopaus

Rawatan & Kaedah Tangani Vaginismus

Image Source: istockphoto.com

Terdapat rawatan yang akan diberikan oleh pakar untuk membantu atasi masalah Vaginismus ini, jadi kaum wanita jangan risau ya! Bukan itu sahaja, malah ada beberapa kaedah seperti senaman untuk bantu kaum wanita yang terkesan tangani Vaginismus. Gabungan rawatan untuk minda dan fizikal adalah sangat disarankan untuk mengatasi Vaginismus wanita.

  1. Terapi Psikoseksual
Image Source: istockphoto.com

Terapi psikoseksual adalah sejenis terapi untuk membantu kaum wanita lebih memahami perasaan, perubahan badan dan hubungan intim bersama pasangan. Terapi ini juga menerapkan terapi minda kerana Vaginismus adalah satu masalah seksual yang berkait rapat dengan psikologi seseorang wanita.

Ini akan memudahkan pakar untuk membantu pesakitnya memahami dan membendung isu-isu yang menyebabkan masalah Vaginismus ini. Selain itu, rawatan ini juga akan membantu wanita untuk mengendalikan dan mengawal rasa takut dan rasa risau terhadap hubungan seks.

  1. Mengamalkan Senaman Kegel
Image Source: TTHME.com

Senaman kegel atau juga dikenali sebagai Pelvic Floor Exercise. Senaman ini membantu mengendurkan otot lantai pelvis. Malah, otot-otot berdekatan faraj juga akan jadi lebih relaks.

Sangat digalakkan untuk mengamalkan senaman kegel ini sekurang-kurangnya 10 kemutan, 3 kali sehari.

  1. Menggunakan Dilator Faraj
Image Source: Google.com

Penggunaan dilator faraj adalah selamat. Secara umumnya, ia bukanlah untuk meregangkan faraj wanita tetapi ia untuk memberi keselesaan kepada wanita dengan memasukkan dilator ini ke dalam faraj secara berperingkat.

Dilator faraj ini juga mempunyai saiz yang berbeza dan boleh dipilih mengikut keselesaan masing-masing.

Kesimpulan

Kesimpulannya, untuk merawat dan mengatasi sebarang penyakit ia bukanlah semudah yang disangka. Usaha, disiplin dan masa perlu dititikberatkan dalam proses menangani sebarang penyakit bukan sahaja Vaginismus.

Selain itu, sokongan daripada orang-orang terdekat seperti dalam konteks Vaginismus ini, wanita memerlukan sokongan daripada suaminya untuk menghadapi masalah seksual ini. Oleh itu, suami juga perlu memainkan peranan sebagai pasangan kepada isterinya dengan memahami keadaan isteri, memberi masa dan perhatian serta sokongan sepenuhnya untuk rawatan.

Rujukan

  1. Vaginismus: Tips & tricks | Carolina Pelvic Health
  2. Vaginismus: Apa yang Anda Perlu Tahu | Vibrance
  3. Vaginismus – NHS.
  4. Vaginismus: Dyspareunia, Causes, Symptoms, Treatment 
  5. Wanita hidap ‘Vaginismus’ takut bersama suami selama enam tahun – Kosmo Digital
  6. Vaginismus: Symptoms, Causes, Treatments, and More
  7. Vaginismus: why it happens and how you can deal with it
  8. Vaginismus: Types, Causes, Symptoms, and Treatment
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here