Ubi Jaga Khasiat Hutan Untuk Lelaki & Wanita

Siapa kata khasiat ubi jaga untuk lelaki sahaja? Wanita pun boleh dapat manfaat daripada ubi jaga ni tau. Apa khasiat Ubi Jaga? Nak tahu kena la baca sampai habis. 

Dikenali dengan nama Ubi Jaga, herba ini berasal daripada keluarga Smilacaceae dengan nama saintifiknya Smilax myosotiflora. Ubi Jaga juga dikenali dengan nama-nama lain seperti akar ali, akar tanding dan ubi besi. Sangat popular dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Herba Ubi Jaga tumbuh dengan liar di kawasan hutan belukar yang jauh. Walaupun banyak tumbuh di kawasan jauh daripada perhatian orang ramai, kini Ubi Jaga dikenali masyarakat dan banyak ditanam secara komersial. 

Bentuk fizikalnya yang mempunyai daun yang nipis dan permukaan daun yang berwarna hijau berkilat membuatkannya mudah untuk dikenalpasti. Bukan itu sahaja, herba Ubi Jaga ini juga boleh mengeluarkan bunga daripada celahan daunnya. Herba yang batangnya halus dan kulitnya yang licin ini dikatakan salah satu sumber pertanian di negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.

Nutrisi terkandung dalam Ubi Jaga

Menurut satu penulisan buletin Forest Research Institute Malaysia (FRIM) Ubi Jaga ini dilaporkan banyak digunakan dalam perubatan tradisional di Malaysia. Herba ini digunakan untuk merawat sifilis (penyakit kelamin) dan rheumatism. Selain itu, Ubi Jaga juga banyak digunakan untuk mengubati luka dan masalah kulit, ulser, dan keradangan.

Banyak betul kegunaan Ubi Jaga dalam perubatan tradisional di Malaysia, apa yang terkandung dalam Ubi Jaga ini sebenarnya? Dalam Ubi Jaga, ada terkandung mikronutrien dan makronutrien yang baik untuk badan kita. Makronutrien dan mikronutrien yang terkandung dalam Ubi Jaga ialah karbohidrat, protein, serat, vitamin A,B,C, kalium dan kalsium.

Di samping itu, terdapat kajian yang dilakukan dan didapati herba Ubi Jaga juga mengandungi fitonutrien. Fitonutrien yang terkandung dalam Ubi Jaga ialah alkaloid, flavonoid, tanin, kumarin, saponin, stigmasterol, sitosterol dan campesterol. Fitonutrien didefinisikan sebagai fitokimia yang menjadi agen untuk menghasilkan antioksidan dan antiradang. Antioksidan adalah sebatian kimia yang membantu badan kita merencatkan kerosakan sel yang berpunca daripada molekul tak stabil dan radikal bebas. Manakala antiradang pula menjadi tindak balas badan kita untuk membasmi jangkitan dan kecederaan yang memudaratkan. 

Herba tumbuhan Ubi Jaga yang kaya dengan fitonutrien baik untuk tubuh badan, jadi tidak hairanlah banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Dengan fitonutrien dan nutrisi yang terkandung dalam Ubi Jaga ini, agak-agak apa manfaat yang kita boleh dapat daripada tumbuhan ini ya?

Manfaat Ubi Jaga

1. Meningkatkan Sistem Imunisasi Badan

Image via iStock

Vitamin C yang terkandung dalam Ubi Jaga memainkan peranan signifikan dalam meningkatkan sistem imunisasi badan kita. Hal ini kerana, sifat Vitamin C yang antioksidan berpotensi mempertahankan imunisasi dan melawan radikal bebas. 

Tambahan pula, Vitamin C memang signifikan untuk badan kita kerana ia mampu merendahkan risiko penyakit kanser, strok dan sakit jantung. Vitamin C boleh merendahkan risiko penyakit tersebut dengan membasmi patogen. Proses apoptosis dimana sel yang berbahaya akan direncatkan bila berlakunya jangkitan dalam badan dapat ditingkatkan dengan adanya Vitamin C dalam badan.

2. Pilihan Terbaik Untuk Orang Berdiet

Jumlah kalori yang ada dalam 1g Ubi Jaga hanyalah sebanyak 0.86 kCal. Sekiranya dibandingkan dengan jumlah kalori ubi yang lain seperti ubi kentang dan ubi keledek, Ubi Jaga mempunyai jumlah kalori terendah. Dengan jumlah kalori yang rendah, Ubi Jaga sangat baik untuk diamalkan dalam pemakanan orang berdiet untuk kurangkan berat badan.

Malah, jika kita amalkan Ubi Jaga dalam diet harian semestinya kita dapat memenuhi keperluan nutrisi dalam badan kita. Ini kerana dalam Ubi Jaga terdapat nutrisi seperti Vitamin A,B,C dan kalsium. Ubi Jaga juga adalah sumber serat yang sangat baik dimana ia memberikan rasa kenyang untuk jangka masa yang lama. Ini akan membantu orang berdiet daripada mengambil makanan secara berlebihan.

3. Mengawal Paras Kolesterol Tinggi

Image via iStock

Paras kolesterol tinggi bermaksud kolesterol jahat dalam arteri (LDL) lebih banyak daripada kolesterol baik (HDL). Ada 2 jenis kolesterol yang kita kena tahu, HDL dan LDL. HDL adalah kolesterol baik dan LDL adalah kolesterol jahat. Gejala penyakit terjadi bila ada banyak kolesterol LDL dalam arteri. Kolesterol HDL penting untuk membawa kolesterol LDL yang melekat di dinding arteri ke hati untuk dibuang. Itu sedikit sebanyak perbezaan antara kolesterol HDL dan LDL.

Ada kajian yang dilakukan untuk mengkaji keberkesanan terapi antioksidan dan mendapati kesan positif terhadap individu yang tinggi paras kolesterolnya. Ubi Jaga kaya dengan antioksidan berpotensi untuk memecah dan menghalang pembentukan plak kolesterol di dinding arteri.

Di samping itu, kesan antioksidan dalam Ubi Jaga juga boleh membantu untuk mengurangkan kadar kolesterol jahat dalam badan kita. Kesimpulannya, Ubi Jaga baik diamalkan untuk orang yang ada masalah dengan paras kolesterol yang tak stabil.

4. Membantu Mengawal Hipertensi

Hipertensi atau lebih dikenali oleh masyarakat di Malaysia sebagai tekanan darah tinggi. Penyakit ini dikatakan sebagai suatu penyakit yang membunuh dalam diam kerana ia tidak mempunyai gejala yang ketara. Tekanan darah tinggi boleh menjadi punca yang menyumbang kepada penyakit kronik lain dan kematian sekiranya tidak diambil tindakan. Malah, Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi II sendiri mengatakan tekanan darah tinggi telah menjadi punca 24% kematian di negara ini.

Individu yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan untuk mengamalkan pemakanan yang mengandungi natrium yang rendah dan tinggi kalium. Natrium yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Kalium mempunyai tindak balas bertentangan dengan natrium. Kalium membantu merendahkan tekanan darah dan membantu membuang natrium melalui air kencing. Ubi Jaga adalah contoh bahan makanan yang mengandungi kalium yang tinggi dan natrium rendah baik untuk diamalkan oleh penghidap tekanan darah tinggi.

5. Lain-lain Manfaat

Image via iStock

Badan rasa lesu dan penat? Tumbuhan herba Ubi Jaga juga banyak digunakan oleh orang Asli dan masyarakat Melayu untuk menambah tenaga dan metabolisma badan. Tak dilupakan juga, bahagian akar ubinya kaya dengan afrodisiak yang meningkatkan rangsangan seksual kepada lelaki dan perempuan. Ubi Jaga juga digunakan secara meluas untuk mengubati demam, stabilkan emosi, merawat masalah kulit dan batuk-batuk.

Akhirnya, ada kajian dibuat dimana pengkaji mendapati Ubi Jaga mengandungi sebatian kimia. Sebatian kimia yang dimaksudkan ialah anthocyanin yang dikatakan membantu mengembangkan fungsi otak serta mengurangkan risiko penyakit nyanyuk.

Kesimpulan

Konklusinya, Ubi Jaga adalah tumbuhan herba yang digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang Asli. Setelah banyak kajian yang dilakukan, didapati Ubi Jaga sememangnya mempunyai nutrisi dan khasiat yang baik untuk tubuh badan kita. Walaubagaimanapun, sebelum mengamalkan apa jua herba tumbuhan sebagai salah satu komponen untuk meningkatkan kesihatan tubuh, konsultasi daripada pakar adalah dinasihatkan.

RUJUKAN

  1. 10 Khasiat Ubi Jaga yang Perlu anda Tahu
  2. Know Thy Herbs – Ubi Jaga
  3. What Is an Aphrodisiac?
  4. Aphrodisiacs: Fact or Fiction?
  5. FAKTA TENTANG UBI JAGA
  6. Tekanan Darah Tinggi / Hipertensi
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here