Sperma Malas Punca Isteri Tak Boleh Hamil?!

Fakta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan satu daripada enam atau tujuh pasangan kemungkinan mengalami kesukaran untuk menimang zuriat. Kesukaran memperoleh zuriat ini dilihat sebagai satu masalah yang besar bagi pasangan yang sudah berkahwin sehingga ada yang sanggup menghabiskan ratusan duit, tenaga, emosi dan usaha.

Image Source: istockphoto.com

Akibat daripada belum memperoleh zuriat selepas beberapa tahun sudah berkahwin menyebabkan pasangan ini sering dipandang rendah dan dijadikan bahan jenaka oleh orang-orang dan keluarga sekeliling. Tanggapan orang sekeliling akan memberikan tekanan yang membahayakan pasangan berkahwin tersebut dan juga rumah tangga mereka. 

Image Source: istockphoto.com

Kebiasaannya, wanita atau isteri yang dipersalahkan apabila suatu pasangan mengalami kesukaran untuk menimang zuriat. Sepatutnya, tiada mana-mana pihak perlu dipersalahkan dalam hal ini. Sebaliknya, sang suami dan isteri perlu bekerjasama untuk atasi masalah ketidaksuburan masing-masing.

Kaum lelaki juga boleh mempunyai masalah kesuburan seperti wanita. Sama seperti kaum wanita, ketidaksuburan boleh menjejaskan usaha pasangan lelaki dan perempuan untuk mendapatkan zuriat.

Ketidaksuburan lelaki bukanlah suatu perkara yang ganjil atau jarang berlaku. Ia boleh berlaku kepada mana-mana lelaki di serata dunia. Walaubagaimanapun, masyarakat seringkali menyalahkan kaum wanita apabila suatu pasangan berkahwin tidak dapat menzahirkan zuriat.

Dalam penulisan ini, akan diterangkan dengan lebih dalam mengenai ketidaksuburan lelaki untuk kesedaran bersama terutamanya kaum lelaki yang sudah berkahwin. 

Punca & Faktor Risiko Ketidaksuburan Lelaki

Image Source: istockphoto.com
  1. Faktor persekitaran

Faktor gaya hidup dan persekitaran boleh memberi kesan kepada kesuburan lelaki terutamanya integriti sperma mereka. Pendedahan kepada objek panas berdekatan kawasan testis lelaki seperti penggunaan komputer riba untuk tempoh masa yang lama boleh mengubah suhu ideal untuk penghasilan sperma.

  1. Terdedah kepada bahan kimia

Kuantiti sperma yang berkualiti boleh terjejas apabila individu lelaki kerap terdedah kepada bahan kimia lazim yang banyak digunakan dalam industri. Antara bahan kimia industri adalah benzene, toluene dan racun.

Bukan itu sahaja, malah pendedahan kepada sinar radiasi dan logam berat untuk tempoh masa yang lama juga boleh memberi kesan kepada kesuburan lelaki.

  1. Faktor gaya hidup

Gaya hidup seseorang lelaki juga memberi kesan kepada integriti sperma secara langsung dan tidak langsung. Antara faktor gaya hidup yang memainkan peranan penting dan boleh mempengaruhi kesuburan lelaki adalah seperti pemakanan dan kesihatan mental dan fizikal.

Gaya hidup yang tidak sihat boleh menyebabkan ketidaksuburan lelaki melalui perkara seperti:

  • Masalah berat badan sehingga menyebabkan obesiti
  • Stress kronik dan kemurungan
  • Mempunyai tabiat merokok atau penggunaan alkohol berlebihan
  • Pengambilan ubat atau suplemen untuk jangka masa yang lama
  1. Jangkitan kuman

Jangkitan kuman seperti jangkitan saluran kencing (UTI) yang terjadi pada kawasan tiub uretra dan berdekatan boleh menjejaskan kesuburan. Hal ini kerana bakteria merebak ke kawasan kelenjar prostat dan bahagian struktur reproduktif yang lain. Akibatnya, kuantiti, kualiti dan kecergasan sperma akan terbantut.

  1. Testis tidak turun

Apa yang dimaksudkan dengan testis tidak turun? Proses testis turun dari abdomen ke dalam kantung telur adalah suatu keadaan yang penting dan boleh mempengaruhi penghasilan hormon testosteron.

Lelaki yang mengalami keadaan ini kebiasaannya mempunyai kadar testosteron yang sangat rendah dan perlu dirawat pada peringkat awal.

  1. Ejakulasi Retrograd

Ejakulasi retrograd merujuk kepada keadaan ejakulasi terbalik di mana air mani masuk ke dalam pundi kencing dan tidak keluar daripada zakar. Keadaan kesihatan ini boleh menyebabkan lelaki mandul.

Individu yang mengalami ejakulasi retrograd ini akan mengalami orgasm kering tanpa air mani. Ejakulasi retrograd kebiasaannya terjadi akibat masalah kencing dan penyakit saraf.

  1. Masalah Varikosel

Varikosel juga adalah keadaan kesihatan yang dialami kaum lelaki di mana saluran vena pada testis membengkak. Hal ini kerana, aliran darah yang berlebihan menyebabkan susu kantung telur menjadi tidak ideal bagi penghasilan sperma dan menyebabkan ketidaksuburan lelaki.

  1. Masalah seksual lain

 Antara masalah seksual lain yang mempengaruhi kesuburan dan minat seseorang lelaki untuk melakukan hubungan seks adalah seperti:

  • Mati pucuk
  • Ejakulasi pramatang
  • Kesakitan sewaktu hubungan seks

Walaubagaimanapun, usah khuatir, kebanyakan punca atau faktor risiko ini boleh dicegah dan dirawat untuk meningkatkan kembali kesuburan lelaki. Terdapat beberapa jenis ketidaksuburan lelaki yang perlu diberi perhatian, ini mungkin dapat memberikan kaum lelaki sedikit gambaran terhadap ketidaksuburan mereka.

Jenis Kelainan Sperma Lelaki

Image Source: istockphoto.com

Akibat daripada jenis-jenis kelainan sperma ini, isteri tidak boleh hamil!. Kaum lelaki kena tahu, jenis-jenis kelainan sperma ini boleh menjejaskan tahap kesuburan lelaki.

  1. Hipospermia – Jumlah ejakulasi yang sedikit.

Kelainan sperma jenis Hipospermia ini merujuk kepada jumlah ejakulasi yang terlalu sedikit di mana jumlah tersebut tidak sampai ⅓ sudu atau kurang daripada 1.5ml cecair. 

Keadaan Hipospermia ini dipercayai berlalu akibat daripada masalah ejakulasi retrograd (ejakulasi terbalik). Keadaan ini menyebabkan air mani masuk ke dalam pundi kencing dan tidak keluar melalui uretra sewaktu ejakulasi.

  1. Azoospermia – Tiada sperma dalam air mani

Azoospermia adalah keadaan di mana seseorang lelaki boleh menghasilkan isipadu normal air mani tetapi tiada sperma di dalamnya. Disebabkan oleh keadaan Azoospermia di mana air mani mempunyai rupa yang normal, jadi analisis air mani perlu dibuat untuk mendiagnosis keadaan ini.

Antara punca Azoospermia adalah:

  • Masalah genetik
  • Kecacatan struktur pada laluan reproduktif lelaki
  • Halangan pada laluan seminal di mana laluan air mani dan sperma bertembung
  1. Aspermia – Tiada sperma mahupun air mani sewaktu klimaks

Keadaan Aspermia bermaksud seseorang individu hanya mengalami orgasm kering sehingga klimaks. Individu yang mengalami kelainan sperma jenis Aspermia ini tidak mengeluarkan sperma dan air mani sewaktu ejakulasi.

Antara punca Aspermia adalah:

  • Ejakulasi terbalik
  • Kecacatan genetik
  • Reproduktif tidak normal
  • Ketidakseimbangan hormon
  • Kencing manis
  • Rawatan kanser testis
  • Masalah disfungsi seks kronik
  1. Oligozoospermia – Kekurangan kuantiti sperma

Keadaan Oligozoospermia mempunyai 4 tahap iaitu ringan, sederhana, teruk dan ekstrem. Apabila seseorang lelaki mempunyai masalah kuantiti sperma rendah dia juga akan mengalami masalah berkaitan pergerakan dan bentuk sperma.

Oligozoospermia boleh berlaku akibat daripada:

  • Masalah genetik
  • Rawatan kanser
  • Masalah Varikosel
  • Ketidakseimbangan hormon
  • Penyakit seliak
  • Kesan sampingan ubat
  • Kecacatan struktur pada laluan reproduktif
  • Testis tidak turun
  • Jangkitan kuman
  • Kencing manis tidak terkawal
  1. Asthenozoospermia – Pergerakan sperma tidak cergas

Individu lelaki yang mengalami masalah pergerakan sperma yang tidak cergas atau tidak normal akan turut mengalami masalah kekurangan kuantiti sperma.

Antara punca dan faktor risiko yang boleh menyebabkan keadaan ini adalah seperti:

  • Toksin
  • Pemakanan tidak sihat
  • Tabiat merokok
  • Menghidap penyakit kronik
  • Pengambilan alkohol berlebihan
  • Penyalahgunaan dadah
  • Kesan sampingan ubat
  1. Teratozoospermia – Sperma tidak mempunyai bentuk yang normal

Teratozoospermia adalah masalah kelainan sperma di mana sperma seseorang lelaki tidak mempunyai bentuk yang normal. Kepala sperma yang normal berbentuk bujur dan mempunyai ekor yang panjang seperti berudu.

Bentuk sperma yang tidak normal adalah ia mempunyai lebih daripada 1 kepala dan lebih daripada satu ekor. Sperma tidak normal ini mempunyai peluang tipis untuk bersenyawa dengan ovum wanita.

Keadaan ini boleh berpunca daripada kecacatan genetik.

  1. Oligoasthenoteratozoospermia – Pakej 3 dalam 1

Oligoasthenoteratozoospermia (OAT) adalah gabungan 3 jenis kelainan sperma iaitu kuantiti sperma sedikit, pergerakan sperma tidak cergas dan sperma berbentuk tidak normal. Pakej 3 dalam 1 ini antara punca lelaki mengalami masalah kesuburan lelaki.

  1. Necrozoospermia – Zombie sperma

Masalah kelainan sperma ini merujuk kepada keadaan di mana terjadinya kematian sperma. Punca keadaan ini masih belum dikenal pasti kerana Necrozoospermia ini merupakan jenis kelainan sperma yang jarang berlaku.

  1. Leukocytospermia – Sel darah putih mencelah masuk

Leukocytospermia ini merujuk kepada keadaan di mana air mani seseorang individu mengandungi sel darah putih. Ini boleh menjejaskan integriti sperma sehingga mengakibatkan masalah kesuburan.

Kehadiran sel darah putih ini di dalam air mani boleh menjadi tanda masalah autoimun atau jangkitan.

Lelaki Perlu Buat Ujian Air Mani

Image Source: istockphoto.com

Kaum lelaki perlu peka dengan tahap kesihatan atau kecergasan air mani masing-masing terutamanya yang bergelar suami dan sedang berusaha untuk ‘conceive’ zuriat bersama isteri. Melalui ujian air mani ini, kaum lelaki boleh tahu tahap kesuburan mereka. Ia akan menganalisis air mani dan sperma lelaki dari segi daya tahan, kuantiti, bentuk, pergerakan dan kesihatan sperma.

Kebiasaannya doktor akan melakukan 2-3 ujian atau analisis sperma berasingan untuk mendapatkan teori konsisten tahap kesihatan sperma. Selain daripada kuantiti, bentuk dan pergerakan sperma, ujian ini juga menganalisis isipadu sperma, tahap pH, masa pencairan dan tahap fruktosa.

Setelah melakukan ujian air mani, barulah kaum lelaki boleh tahu sekiranya ada masalah dengan kesuburan mereka. Kalau ya, dari segi apa dan sebagainya. Ini juga akan memudahkan doktor untuk mendiagnosis dan memberi rawatan lanjut yang bersesuaian kepada mereka.

Herba Alternatif: Tongkat Ali & Ubi Jaga

Image Source: istockphoto.com

Tongkat Ali

Herba hutan Tongkat Ali ini sudah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sejak turun-temurun seperti meningkatkan kesuburan lelaki. Tongkat Ali spesies Eurycoma longifolia paling banyak digunakan berbanding spesies yang lain. 

Mana-mana produk makanan atau minuman herba yang dipasarkan untuk meningkatkan tenaga lelaki pasti mengandungi ekstrak Tongkat Ali spesies ini. Hal ini kerana, ia telah dibuktikan melalui banyak kajian saintifik di mana Tongkat Ali sememangnya memberi tenaga tambahan kepada lelaki. Pada tahun 2010, terdapat kajian yang diterbitkan, Asian Journal of Andrology yang menyatakan ekstrak tumbuhan herba ini berpotensi mengatasi masalah sperma lelaki.

Antara kelebihan Tongkat Ali yang lain adalah:

  • Membantu membina otot
  • Mengurangkan tekanan emosi
  • Meningkatkan kecekapan komposisi badan

Ubi Jaga

Dikenali dengan nama Ubi Jaga, herba ini berasal daripada keluarga Smilacaceae dengan nama saintifiknya Smilax myosotiflora. Ubi Jaga juga dikenali dengan nama-nama lain seperti akar ali, akar tanding dan ubi besi. Sangat popular dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Herba Ubi Jaga tumbuh dengan liar di kawasan hutan belukar yang jauh. Walaupun banyak tumbuh di kawasan jauh daripada perhatian orang ramai, kini Ubi Jaga dikenali masyarakat dan banyak ditanam secara komersial. 

Bahagian akar ubinya kaya dengan afrodisiak yang meningkatkan rangsangan seksual kepada lelaki dan perempuan. Selain itu, tumbuhan herba Ubi Jaga juga banyak digunakan oleh orang Asli dan masyarakat Melayu untuk menambah tenaga dan metabolisma badan. 

Khasiat lain Ubi Jaga:

  • Tingkatkan imunisasi badan
  • Memberi rasa kenyang untuk jangka masa lama
  • Membantu mengatur paras kolesterol
  • Membantu mengawal masalah Hipertensi
  • Stabilkan mood

Tips Hadapi Masalah Ketidaksuburan Lelaki

Image Source: istockphoto.com
  1. Mengamalkan gaya hidup yang seimbang

 Pemakanan sihat dan seimbang serta gaya hidup yang aktif dapat meningkatkan kualiti sperma seseorang lelaki. Tabiat merokok juga perlu ditinggalkan, hal ini kerana ia bukan sahaja boleh memberi kesan kepada diri sendiri dan sperma malah isteri juga akan mendapat kesan buruk merokok. 

Melakukan senaman secara berkala juga dapat meningkatkan kesuburan, tahap testosteron dan kualiti sperma lelaki.

  1. Membuat pemeriksaan kesihatan seksual di klinik atau hospital

Pemeriksaan kesihatan seksual memainkan peranan penting dalam mengenalpasti masalah yang mempengaruhi kesuburan seseorang lelaki dan masalah-masalah lain yang memudaratkan kesihatan. Rawatan lanjut juga akan diberikan.

  1. Menangani stres dengan baik

Tekanan atau stres boleh menjejaskan kepuasan seks dan kesuburan seseorang. Hal ini terjadi akibat daripada peningkatan hormon kortisol. Apabila seseorang stres berpanjangan, hormon kortisol akan meningkat dan dan testosteron akan menurun.

  1. Membuat perancangan bersama isteri

Perancangan bersama isteri adalah sangat penting dalam usaha untuk conceive zuriat. Dengan melakukan perancangan bersama, suami boleh tahu bila sang isteri sedang subur dan mempunyai peratus hamil yang tinggi. 

Perancangan lain yang boleh dibuat bersama isteri adalah mempertimbangkan penggunaan teknologi seperti kaedah bantuan persenyawaan dan pemancutan beradas (intrauterine insemination).

Kesimpulan

Usaha menimang zuriat adalah usaha bersama suami dan isteri. Hentikan budaya menyalahkan kaum isteri apabila terdapat kesukaran dalam proses untuk hamil. Hal ini kerana kaum suami juga memainkan peranan dalam menyumbang benih untuk disenyawakan. Bukan itu sahaja, malah kaum suami juga berisiko untuk mengalami masalah ketidaksuburan dari segi kualiti, kuantiti dan pergerakan sperma.

Walaubagaimanapun, kebanyakan jenis ketidaksuburan lelaki boleh dirawat. Dapatkan konsultasi pakar sebelum membuat sebarang keputusan.

Rujukan

  1. 7 Sebab Orang Lelaki Kena Buat Ujian Kiraan Air Mani, Boleh Tahu Subur Ke Tidak!
  2. Male infertility – Diagnosis and treatment – Mayo Clinic
  3. Ketidaksuburan Lelaki – PORTAL MyHEALTH
  4. 5 Langkah Tingkatkan Kualiti Air Mani, Tip No. 2 Bagi Isteri Cepat ‘Lekat’!
  5. Male Infertility Investigation – KL Fertility Centre
  6. How common is male infertility, and what are its causes? | NICHD
  7. Male Infertility Treatments
  8. Male infertility is soaring. So why do doctors keep blaming the woman when she can’t have a baby?FEMAIL investigates
  9. When Women Bear the Burden of Infertility to Protect the Male Ego
  10. Male Infertility: Symptoms, Diagnosis & Treatment – Urology Care Foundation
  11. Male Infertility | Johns Hopkins Medicine
  12. Low sperm count – Symptoms and causes – Mayo Clinic
  13. 9 Masalah Kelainan Sperma Yang Mungkin Jadi Punca Isteri Masih Belum Hamil!
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here