Sesak Nafas Bukan Mainan.. 5 Tips Hadapi Sesak Nafas Disebabkan Gastrik

Gastrik nampak biasa. Tapi sebenarnya boleh dikatakan hampir 50% penduduk dunia ada masalah gastrik. Dengan 50.8% daripada populasi di negara membangun (China, India, dan Brazil) mengalami masalah gastrik berbanding 34.7% individu di negara maju (Norway, Ireland dan Switzerland). Hal ini berlaku disebabkan proses sanitasi kurang disebabkan faktor kekurangan alat sanitasi dan kurang kesedaran tentang kebersihan. Selain itu, kepadatan penduduk dalam kawasan setempat memudahkan bakteria untuk merebak dan berjangkit.

Sistem penghadaman bermula daripada mulut, perut, usus kecil dan usus besar. Setiap bahagian dalam sistem ini mempunyai peranan tersendiri untuk mencerna makanan. Perut adalah tempat di mana makanan yang dimakan akan dikumpulkan dengan cecair penghadaman untuk dicerna.

Sistem penghadaman manusia.

Makanan yang tidak disediakan dalam keadaan bersih memudahkan bakteria untuk menjangkiti manusia. Keadaan yang tidak dirawat dari awal boleh menyebabkan gastrik dan yang lebih teruk, asid perut boleh naik semula ke saluran pernafasan (esofagus).

Masalah sukar bernafas berkait rapat pelbagai masalah kesihatan termasuklah disebabkan asid perut naik semula ke saluran esofagus yang dikenali sebagai asid refluks. 

Nafas tersekat atau sesak nafas disebabkan masalah angin dan GERD biasa terjadi pada waktu malam. Asid akan naik ke kepala melalui belakang tekak. Masalah ini boleh terjadi bersama GERD atau disebabkan GERD.

Apa itu Gastrik?

Gastrik akut

Gastrik adalah keradangan yang berlaku dalam perut. Ia terjadi disebabkan penurunan tahap perlindungan di perut seterusnya menyebabkan mudah terjadi jangkitan bakteria dan virus penyebab keradangan. 

Bakteria berpunca daripada makanan atau minuman yang tercemar. Ianya mungkin disebabkan sumber air yang digunakan tidak bersih atau makanan tersebut tidak dimasak dengan betul. Apabila “skip” makan, tahap perlindungan diri akan menurun. Bakteria jahat mudah berjangkit. Justeru itu, gastrik dan kembung perut mudah menyerang. 

Helicobacter pylori akan menyerang dinding perut dan menghasilkan enzim urease yang menyebabkan asid dalam perut menjadi kurang berasid. Keadaan ini akan melemahkan dinding perut. Seterusnya ia mendedahkan permukaan perut kepada asid dan pepsin yang boleh menyebabkan luka dan ulser. Asid perut dan pepsin adalah cecair penghadaman yang akan menghadam makanan menjadi nutrient yang akan diserap dalam sel-sel badan.

Punca sesak nafas:

Asid refluks naik semula ke esofagus.

Apabila asid naik semula ke saluran esofagus, ia boleh masuk ke paru-paru. Dengan itu, ia menghalang sistem pernafasan daripada berfungsi dengan baik. Hal ini kerana, asid ini akan menghakis dinding saluran esofagus, saluran pernafasan dan peparu. Ia boleh membengkakkan saluran pernafasan dan menghalang untuk bernafas dengan lancar. Individu yang mempunyai penyakit asma berisiko untuk mendapat serangan asma. 

Selain itu, apabila asid memasuki saluran esofagus, ia akan merangsang saraf refleks untuk mengecut bagi mengeluarkan asid daripada esofagus. Disebabkan itu, pernafasan boleh terganggu.

Kembung perut

Di samping itu, apabila terlebih makan, atau makan makanan berangin, boleh menyebabkan perut kembung dan berangin. Bila perut kembung, ia boleh menolak diafragma yang memisahkan dada dan perut ke atas. Diafragma ini berfungsi membantu proses pernafasan. Apabila diafragma ini naik ke atas, ia akan menyempitkan ruang pernafasan. Maka, terjadinya nafas pendek.  

Punca lain:

  • Lebih berat badan
  • Hiatus Hernia (perut naik ke saluran esofagus)
  • Ascites (pengumpulan cecair dalam bahagian perut)

Tips menghadapi masalah sesak nafas gastrik:

1. Makan sikit, kerap dan konsisten, elakkan makan sebelum tidur

Pengambilan makanan memainkan peranan dalam mengawal masalah nafas pendek. Apabila terlebih makan, perut akan kembung dan menolak diafragma naik ke atas dan menyempitkan ruang pernafasan. 

Dengan makan secara sikit tetapi kerap dan konsisten membantu mengelak daripada kembung perut. Risiko masalah angin dalam badan juga berkurang. Makanan juga lebih mudah untuk dicerna dan dihadam dalam perut dan usus secara berperingkat. 

Makan dekat dengan waktu tidur boleh menyebabkan rembesan asid gastrik berlaku semasa tidur dan asid naik ke saluran esofagus. Keadaan ini lama-kelamaan boleh menghakis dinding saluran pernafasan dan membengkakkan saluran ini. Tanpa disedari, ia boleh menyebabkan nafas terganggu semasa tidur. Oleh itu, elakkan daripada makan dalam kuantiti yang banyak pada satu masa.  

2. Turunkan berat badan

Berlebihan berat badan atau obesiti boleh menyebabkan sukar bernafas. Berat berlebihan di dada dan perut meningkatkan beban untuk otot yang mengawal pernafasan. Pernafasan akan menjadi sukar dan pendek. Justeru itu, apabila berat badan dikawal, lebih mudah untuk sistem pernafasan berjalan dengan lancar. 

Obesiti adalah penyebab berlaku kekerapan pedih ulu hati. Ia juga meningkatkan tekanan pada bahagian perut dan memudahkan asid perut untuk naik semula ke saluran esofagus. 

Kurangkan berat badan dengan kurangkan pengambilan makanan tinggi lemak boleh mengurangkan kalori dan risiko pedih ulu hati. Kaedah terbaik untuk mengawal berat badan adalah dengan mengamalkan suku-suku separuh (suku-karbohidrat, protein; separuh-sayur dan buah). Banyakkan makanan tinggi serat juga boleh membantu memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Maka, pengambilan makanan akan berkurang dan berat lebih terkawal.

3. Kenalpasti punca GERD

Nafas tersekat boleh terjadi disebabkan asid refluks naik semula ke saluran esofagus yang dipanggil GERD. Oleh itu, untuk mengelakkan masalah nafas tersekat, makanan yang boleh merembeskan asid gastrik dengan berlebihan perlu dielakkan. Sebagai contoh, makanan pedas, makanan berminyak dan berlemak, minuman berkafein dan makanan masam. Dengan ini, masalah nafas tersekat dapat dikurangkan dan dikawal.

4. Elakkan makanan pedas

Makanan pedas tidak menyebabkan gastrik. Tetapi, ia boleh memburukkan lagi keadaan gastrik sedia ada. Ia boleh meningkatkan rembesan asid gastrik dari perut. Apabila keadaan ini berterusan, keadaan yang lebih teruk boleh berlaku. Asid gastrik akan naik semula ke esofagus dan menghakis dinding esofagus. Oleh itu, kurangkan makanan pedas dalam makanan harian. 

5. Berhenti merokok

Berhenti merokok bantu kurangkan nafas tersekat

Nikotin yang terkandung dalam rokok akan mengendurkan dan melemahkan injap diantara esofagus dan perut. Ini akan membenarkan jus dan asid perut untuk naik semula ke saluran esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati. Jus daripada perut ini adalah bahan kimia yang akan memecahkan makanan dalam perut. Jus dan asid ini bersifat menghakis dan boleh menghakis dinding esofagus, seterusnya menyebabkan keradangan.

Konklusi:

Nafas tersekat atau sesak nafas boleh berlaku disebabkan masalah angin dan gastrik. Pelbagai kaedah boleh dilakukan seperti makan secara sikit tetapi kerap, kawal berat badan, elakkan punca GERD serta berhenti merokok. Keadaan yang tidak dirawat akan menyebabkan komplikasi pernafasan yang boleh mengancam nyawa.

Rujukan:

  1. Acid Reflux and Shortness of Breath
  2. What causes acid reflux and shortness of breath?
  3. Acid Reflux and Shortness of Breath
  4. Helicobacter Pylori
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here