Obesiti Pembunuh Senyap Rakyat Malaysia!

Malaysia merupakan negara dengan rekod kadar obesiti paling tinggi berbanding dengan 9 negara Asia Tenggara yang lain. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia merekodkan sebanyak 15.6% kadar obesiti. Data ini diambil daripada Laporan Semakan Populasi Dunia tahun 2019.

Selain itu, berdasarkan rekod Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, dianggarkan sebanyak 50.1% penduduk di Malaysia menghadapi masalah berat badan berlebihan. Dalam data yang sama, dinyatakan 1 dalam setiap 2 individu dewasa di Malaysia menghadapi masalah obesiti.  

Masalah obesiti ini sudah menjadi suatu norma dalam kalangan masyarakat walaupun keburukannya kerap sekali disiarkan di televisyen, sosial media, malah di tempat awam. Masih ramai masyarakat negara ini memandang remeh dan tidak menganggap obesiti ini sebagai penyakit. Malah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri mengklasifikasikan masalah obesiti ini sebagai epidemik dan penyakit kronik.

Image Source: istockphoto.com

Masalah obesiti ini memberi impak negatif dari segi rupa, bentuk badan, mental dan juga kesihatan seseorang. Tidak dinafikan menangani masalah obesiti adalah antara perkara yang sukar dari segi perubahan pemakanan, keadaan kesihatan lain dan gaya hidup. Namun, kebanyakan masyarakat kita lebih selesa untuk mengabaikan masalah ini.

Apa Itu Obesiti?

Obesiti adalah pengumpulan lemak berlebihan sehingga menyebabkan berat badan seseorang individu melebihi tahap normal dan memberi kesan kepada kesihatan. Bagaimana keadaan obesiti ini diukur?  

Antara kaedah yang biasa digunakan untuk mengukur tisu yang dipenuhi lemak yang berlebihan adalah dengan menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI). BMI atau terma penuhnya Body Mass Index ini diukur menggunakan berat badan dan ketinggian seseorang individu. Formula BMI ini mempunyai kategori dalam beberapa tahap dan berbeza untuk jantina lelaki dan wanita.

  

Image Source: hellodoktor

Kategori BMI untuk wanita

  1. < 18.4 : kurang berat badan (underweight)
  2. 18.5 – 24.9 : normal
  3. 25 – 29.9 : berat badan berlebihan (overweight)
  4. > 30 : obese 

Kategori BMI untuk lelaki

  1. < 18.4 : kurang berat badan (underweight)
  2. 18.5 – 22.9 : normal
  3. 23 – 26.9 : berat badan berlebihan (overweight)
  4. > 27 : obese

Sangat penting untuk kita sentiasa peka dan ambi tahu tentang berat badan dan BMI kita. Ini dapat membantu kita untuk lebih prihatin dalam mengurus atau mengawal berat badan terutamanya bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan. Bukan itu sahaja, malah individu yang kurang berat badan juga perlu menitikberatkan BMI mereka, kerana berat badan yang berkurangan juga boleh membawa risiko kesihatan.

Ramai yang tahu tentang penyakit atau masalah obesiti tapi tidak ramai yang tahu bahawa ada beberapa jenis obesiti.

Jenis Obesiti

Image Source: istockphoto.com
  1. Obesiti Makanan

Obesiti makanan adalah sejenis obesiti di mana seseorang individu mempunyai ketagihan dengan makanan tidak sihat seperti makanan ringan dan makanan segera. 

  1. Obesiti Aktif

Obesiti aktif adalah sejenis obesiti yang berkait rapat dengan kekurangan bersenam dan aktiviti fizikal. Ini menyebabkan bahagian badan seseorang individu dengan jenis obesiti ini membentuk lemak dengan cepat.

  1. Obesiti Gluten

Biasa berlaku dalam kalangan wanita sewaktu tempoh perubahan hormon seperti semasa mencapai akil baligh, kehamilan dan menopaus.

  1. Obesiti Keresahan

Berkait rapat dengan tahap tekanan dan kemurungan. 

  1. Obesiti Aterogenik

Sejenis obesiti yang sangat berbahaya kerana disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol yang boleh menjejaskan organ dan pernafasan.

  1. Obesiti Vena

Obesiti Vena ini disebabkan oleh masalah pada aliran darah dalam vena. Biasa terjadi semasa kehamilan.

Setiap jenis obesiti ini mempunyai punca-puncanya yang tersendiri.

Faktor Risiko dan Punca Obesiti

Kebiasaannya, sesuatu keadaan atau penyakit tidak terjadi dengan sendirinya. Semestinya ada faktor atau punca yang mengakibatkan sesuatu keadaan dan penyakit.

Terdapat beberapa punca dan faktor yang meningkatkan risiko untuk seseorang mengalami masalah obesiti.

Pemakanan yang tidak sihat

Image Source: istockphoto.com

Kita sering dinasihatkan untuk menjaga atau mempunyai diet pemakanan yang sihat dan seimbang supaya badan dapat nutrisi yang mencukupi. Pemakanan yang sihat dan seimbang tidak bermakna kita perlu pantang makanan ringan, segera dan manis sepenuhnya. Mengamalkan kesederhanaan adalah jalan yang terbaik terutamanya dalam pengambilan makanan segera, makanan ringan, makanan dan minuman manis.

Pengambilan makanan tidak sihat secara berlebihan akan menyebabkan badan kita memerangkap lebih banyak lemak dan kalori. Antara tabiat pemakanan yang tidak sihat adalah seperti:

  • Minum terlalu banyak minuman bergula dan bergas.
  • Tidak mengawal pengambilan gula.
  • Makan makanan segera dan makanan ringan dalam jumlah yang banyak.
  • Tidak minum air kosong yang mencukupi.

Genetik keluarga

Image Source: istockphoto.com

Faktor genetik keluarga juga boleh menyebabkan seseorang individu mengalami masalah obesiti. Hal ini kerana, genetik boleh bertindak menjejaskan bagaimana badan kita memproses makanan menjadi tenaga dan bagaimana lemak disimpan.

Sekiranya, ibu bapa mempunyai masalah obesiti, anak-anak mereka juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah yang sama. 

Gaya hidup tidak aktif

Image Source: istockphoto.com

Gaya hidup yang tidak aktif merujuk kepada kekurangan seseorang individu itu bersenam atau melakukan aktiviti fizikal dalam kehidupan sehariannya.

Sekiranya kurang aktif, tenaga yang disimpan dalam bentuk lemak boleh membawa kepada obes. Hal ini kerana, apabila seseorang individu mempunyai gaya hidup yang tidak aktif, lemak-lemak yang terperangkap dalam badan tidak dapat dibakar atau dibuang.

Keadaan kesihatan

Image Source: istockphoto.com

Selain daripada pemakanan dan gaya hidup, faktor masalah kesihatan juga boleh menyebabkan seseorang individu mempunyai masalah obesiti seperti sindrom Cushing dan pengambilan ubat-ubatan seperti antidepresan.

Malah, ada juga masalah atau keadaan kesihatan lain yang boleh menyebabkan obesiti seperti:

  • Osteoartritis
  • Sindrom ovari polycystic (PCOS)
  • Sindrom Prader-Willi dimana seseorang dilahirkan dengan kelaparan berlebihan.
  • Hipotiroidisme di mana kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan hormon penting tertentu dengan cukup.

Komplikasi Kesihatan Akibat Obesiti

Image Source: istockphoto.com

Masalah obesiti sering dipandang rendah. Oleh itu, kesedaran perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat terutamatanya masyarakat di Malaysia. Obesiti bukan sahaja merujuk kepada peningkatan berat badan semata-mata, malah ia boleh meningkatkan risiko komplikasi kesihatan yang lain.

Penghidap obesiti berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan seperti:

  • Gangguan sistem pencernaan (pedih ulu hati, GERD, etc)
  • Ketidaksuburan dan mati pucuk
  • Diabetes Mellitus/Kencing Manis
  • Masalah kardiovaskular (Serangan jantung, Aritmia, Penyakit Jantung Koroner, Kegagalan jantung, Strok).
  • Risiko menghidap kanser payudara, serviks, ovari, rahim, rektum, pankreas, hati, buah pinggang dan prostat meningkat.
  • Osteoartritis akibat daripada bebanan berlebihan terhadap sendi.
  • Mudah mendapat masalah tekanan darah tinggi.

Kurangkan Risiko Obesiti: Rawatan dan Pencegahan

Image Source: istockphoto.com

Semestinya antara cara untuk mengurangkan risiko seseorang untuk mengalami masalah obesiti adalah dengan menjaga pemakanan dan gaya hidupnya. Walaubagaimanapun, untuk individu yang menghidap masalah obesiti, ianya bukan bermaksud sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan kesihatan dan kehidupan sendiri. 

Selain daripada mengambil ubat atau suplemen yang boleh membantu menurunkan berat badan, terdapat langkah-langkah lain dalam penulisan ini yang boleh diamalkan. 

  1. Mendapatkan rawatan doktor

Individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti yang terjadi akibat daripada penyakit yang tertentu hendaklah mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Begitu juga dengan individu yang mengalami masalah obesiti yang disebabkan oleh masalah mental seperti kemurungan, anxiety dan sebagainya. Inidvidu ini perlu merujuk kepada ahli terapi atau doktor psikiatri untuk rawatan.

  1. Mengubah corak pemakanan

Bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti boleh cuba untuk mengubah corak pemakanan kepada yang lebih seimbang. Antara perubahan corak pemakanan yang boleh dibuat adalah dengan mengamalkan pemakanan rendah karbohidrat dan rendah lemak.

Intermittent fasting juga boleh diamalkan tetapi perlu mendapatkan konsultasi dan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Intermittent fasting adalah satu sistem berpuasa untuk mengawal waktu makan dengan menggunakan keupayaan fisiologi sistem penghadaman untuk membakar lemak secara semula jadi. 

  1. Perubahan gaya hidup

Antara perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan untuk menurunkan atau mengawal berat badan adalah dengan meningkatkan kekerapan bersenam atau aktiviti fizikal. 

Dengan melakukan senaman ringan atau aktiviti fizikal seperti berjalan sebanyak 7000 langkah sehari boleh mengelakkan tenaga daripada makanan yang kita makan disimpan di dalam badan kita dalam bentuk lemak. 

Melakukan sebarang senaman atau aktiviti fizikal selama 20-30 minit setiap hari juga sudah memadai, yang penting konsisten!

  1. Pembedahan Bariatrik

Individu yang memenuhi kriteria tertentu boleh melakukan pembedahan bariatrik untuk membantu mengawal berat badan. Pembedahan bariatrik adalah pembedahan mengecilkan perut atau memintas sebahagian daripada usus kecil. 

Walaubagaimanapun, hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum membuat sebarang keputusan.

Senaman Untuk Individu Obesiti

  1. Aerobik dalam air (Water Aerobics)
Image Source: istockphoto.com

Senaman aerobik dalam air sangat digalakkan untuk individu obesiti. Hal ini kerana, air dapat menyokong berat badan dan membuat diri rasa lebih ringan untuk melakukan pergerakan. Bukan itu sahaja, malah boleh mengurangkan impak pada sendi.

  1. Menggunakan Stationary Bike
Image Source: istockphoto.com

Stationary Bike atau Exercise Bike ini kebiasaannya mempunyai tempat untuk bersandar yang sangat berguna untuk keselesaan fizikal individu obesiti. Dengan menggunakan basikal jenis ini, ia boleh menguatkan jantung dan paru-paru selain daripada membantu membakar lemak.

Melakukan senaman berbasikal dengan Stationary Bike 30 minit sehari dan 5 kali seminggu sangat baik untuk golongan dewasa terutamanya yang mempunyai berat badan berlebihan.

Pengurusan Makanan Untuk Individu Obesiti

Image Source: istockphoto.com

Individu obesiti perlu mengurangkan pengambilan kalori secara berperingkat, teratur dan tidak drastik.

Bagaimana nak kurangkan pengambilan kalori? Antara caranya adalah seperti:

  • Penggunaan minyak dan lemak yang sedikit dalam masakan.
  • Pengurangan penggunaan gula seperti gula pasir, gula perang, madu dan gula tersembunyi dalam makanan dan minuman.
  • Banyakkan minum air kosong sekiranya mengambil makanan tinggi dengan serat untuk melawaskan pencernaan.
  • Banyakkan pengambilan makanan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh seperti oats untuk rasa kenyang yang lama.

Kesimpulan

Konklusinya, sangat penting untuk kita sentiasa peka dengan berat badan, pemakanan, gaya hidup dan keadaan kesihatan diri. Hal ini kerana, obesiti boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira peringkat usia.

Rujukan

  1. Overweight & Obesity | CDC
  2. Obesity
  3. Malaysia negara paling tinggi obes di Asia Tenggara – Kosmo Digital
  4. Apa Itu Obesiti, Faktor Berat Badan Berlebihan Serta 6 Jenis-Jenisnya
  5. Badan Gempal Itu Obesiti? Baca Maklumat Lengkap Ini – Hello Doktor
  6. Obesiti (Obesity) – Maksud, Penyebab dan Cara Mengatasi – DoctorOnCall
  7. Exercises for Obese People: Ease Into Working Out
  8. Pemakanan bagi Berat Badan Berlebihan – PORTAL MyHEALTH
  9. Obesity
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here