Kolesterol tinggi punca utama untuk kita mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung dan strok. Sebanyak 15% daripada kematian pada tahun 2019 disebabkan oleh penyakit jantung dan statistik dibuat berdasarkan kematian yang disahkan secara perubatan. Ini membuktikan bahawa setiap tahun penyakit jantung menjadi punca utama kematian masyarakat di Malaysia. Risiko untuk kita mendapat penyakit jantung dan strok bermula dengan masalah kolesterol tinggi.
Kolesterol tinggi, rendah atau normal semuanya bermula dengan pemakanan harian dan gaya hidup kita tersendiri. Kedua-dua faktor ini membentuk kesihatan tubuh badan kita. Dua komponen ini sangat signifikan dalam memastikan kesihatan tubuh badan sesuai dengan usia kita. Hal ini kerana, kita akan tampak sangat aneh untuk menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung dan strok di usia muda. Bayangkan di usia dimana darah kita masih panas membara, kudrat masih kuat dan sihat tetapi kita tidak menjaganya dengan baik.
Mencegah lebih baik daripada merawat dan seharusnya kita mengambil peluang ketika muda ini untuk menjaga corak gaya hidup dan pemakanan. Ini kerana, kecuaian dalam menjaga 2 faktor penting ini boleh meragut kebahagian dan juga nyawa kita. Terdedah kepada pelbagai risiko komplikasi kesihatan yang disebabkan oleh kolesterol yang tinggi seperti strok, penyakit jantung, xanthelasma dan penyakit arteri periferal. Bukan itu sahaja, dalam penulisan ini juga akan membahaskan bagaimana kolesterol tinggi menjejaskan penglihatan mata.
Jenis Kolesterol: HDL dan LDL
Kolesterol terdiri kepada dua jenis iaitu: HDL dan LDL. HDL ialah high-density lipoprotein merupakan kolesterol baik yang berpotensi untuk melindungi kita daripada sakit jantung dan strok.
LDL pula low-density lipoprotein ialah kolesterol jahat atau kolesterol tak baik. Kolesterol jahat ini merangkumi sebahagian besar daripada jumlah kolesterol dalam tubuh badan manusia. Kolesterol LDL ini biasanya melekat pada dinding arteri dan membentuk plak yang akan mendorong terjadinya aterosklerosis. Aterosklerosis adalah penyempitan pembuluh darah arteri yang disebabkan oleh pengumpulan plak kolesterol.
Tanda-tanda Kolesterol Tinggi
- Terdapat bintik-bintik atau benjolan kuning pada kelopak mata.
Benjolan atau bintik-bintik kuning akan naik pada kelopak mata. Dikenali sebagai Xanthelasma, benjolan ini kebiasaannya tidak menjejaskan penglihatan dan kesihatan mata. Benjolan Xanthelasma ini terbentuk daripada kolesterol dalam badan. Ia boleh menganggu penampilan diri dan terdapat rasa tidak selesa pada bahagian mata.
Bukan sahaja benjolan kuning kolesterol muncul di kelopak mata, malah di bahagian seperti lutut, kaki dan siku yang dikenali sebagai Xanthomas. Gejala ini juga tidak menyakitkan tetapi benjolan kolesterol ini boleh menjadi sebesar jarum sehingga sebesar buah anggur.
2. Angin Ahmar
Lebih dikenali sebagai strok, keadaan ini terjadi akibat daripada sel otak yang mati disebabkan oleh gangguan pada aliran darah ke otak. Sekiranya tidak dirawat dengan segera, boleh menyebabkan kematian dan kecacatan yang kekal. Tanda-tandanya juga boleh datang secara tiba-tiba seperti rasa keliru, sukar untuk bercakap, hilang keseimbangan dan koordinasi badan. Bukan itu sahaja, malah boleh hilang kawalan pada anggota seperti kaki, tangan dan wajah.
3. Serangan Jantung
Risiko untuk mendapat serangan jantung boleh meningkat apabila plak-plak kolesterol bergumpal di arteri dan menyebabkan saluran darah tersumbat. Saluran darah ini juga boleh pecah akibat plak kolesterol yang banyak. Ini akan membentuk darah beku yang akan menyekat aliran darah yang membawa oksigen.
Gejala yang sering terjadi apabila plak kolesterol bergumpal di arteri seperti:
- Sakit kepala
- Berpeluh sejuk
- Tidak selesa dalam perut
- Asid Refluks (pedih ulu hati)
- Sakit dada
- Sesak nafas
- Lesu
4. Penyakit Arteri Periferal (PAD)
Penyakit Arteri Periferal terjadi apabila darah terhalang daripada memasuki ke organ perut, buah pinggang dan anggota badan yang lain. Ini terjadi kerana pengumpulan kolesterol yang kronik sehingga menyumbat laluan aliran darah ke anggota badan.
Penghidap Penyakit Arteri Perferal (PAD) sering mengalami gejala seperti:
- Luka lambat sembuh
- Kebas dan lenguh kaki
- Rasa terbakar di bahagian jari kaki
- Kuku kaki menebal
- Kaki terasa sejuk
Bagaimana Kolesterol Tinggi Menjejaskan Penglihatan Mata
Lemak kolesterol yang berlebihan dalam badan mengganggu aliran darah ke anggota badan dan ini termasuk juga anggota mata. Gangguan pada saluran darah akan menyebabkan bekalan oksigen ke mata tidak mencukupi.
Aliran darah ke anggota badan seperti buah pinggang sahaja sudah memberikan komplikasi kesihatan, apalagi sekiranya aliran darah ke mata terganggu. Retina dalam mata dan penglihatan boleh terjejas.
Antara komplikasi penglihatan yang boleh terjadi akibat kolesterol berlebihan dalam badan sehingga menganggu aliran darah adalah degenerasi makula. Komplikasi ini sebenarnya adalah satu perubahan atau kemerosotan pada bahagian retina (saraf) dalam mata. Gangguan penglihatan ini juga boleh kekal untuk jangka masa yang lama.
Komplikasi degenerasi makula ini adalah antara masalah penglihatan yang terjadi kepada warga emas. Penghidapnya akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian seperti membaca dan melihat muka seseorang.
Individu yang menghidap degenerasi makula akan mengalami gangguan penglihatan seperti garisan lurus kelihatan bengkok pada pandangan mereka. Bukan itu sahaja, sekiranya dibiarkan berlarutan, imej yang dilihat akan berubah menjadi satu medan hitam yang boleh mengembang ke medan penglihatan yang jelas. Akhirnya penghidap berkemungkinan akan kehilangan penglihatannya 100 peratus.
Kecuaian dalam mencorak pemakanan yang sihat menjadi salah satu faktor utama penyebab degenerasi makula ini. Sebagai contoh pemakanan yang tidak sihat yang dimaksudkan adalah pengambilan makanan tinggi lemak, gula, kolesterol dan kurang sayur. Kolesterol dan bahan toksik yang tidak dibuang akan berkumpul dalam saraf retina mata dan akan membentu mendapan. Hal ini akan menjejaskan sel-sel makula dan fungsinya yang menyebabkan penglihatan menjadi kabur.
Inilah bagaimana kadar kolesterol yang tinggi dalam badan bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan organ dan anggota badan seperti jantung dan buah pinggang malah penglihatan mata. Aliran darah ke mata yang terganggu oleh plak kolesterol da sel-sel makula yang mati boleh merosakkan penglihatan seseorang individu secara kekal. Sehingga hari ini masih lagi tiada rawatan untuk pesakit degenerasi makula yang boleh menyembuhkannya sepenuhnya.
Kesimpulan
Kolesterol tinggi berpotensi untuk membawa pada kepada kesihatan kita kerana ia berkait rapat dengan risiko penyakit kronik yang lain. Hampir kebanyakan kematian di Malaysia yang berpunca daripada penyakit jantung bermula dengan masalah kolesterol tinggi yang tak dikawal.
Malah kesihatan mata juga akan terjejas disebabkan oleh plak-plak kolesterol yang menyumbat dan menganggu aliran darah ke anggota mata. Hal ini akan menyebabkan penglihatan menjadi kabur pada mulanya dan akan merosot sehingga pesakit menjadi buta.