MAKANAN SUNNAH MAKANAN ISTIMEWA

Makanan sunnah sangat digalakkan untuk diamal dalam kehidupan seharian terutamanya bagi yang beragama Islam. Makanan sunnah ini terdapat dalam cara pemakanan Rasulullah SAW yang berkait rapat dengan kesihatan. 

Perkataan sunnah merujuk kepada sirah atau hadis yang diriwayatkan dan berhubung kait dengan Rasulullah SAW. Sunnah adalah perkataan mahupun perbuatan yang diamalkan dan dilakukan oleh baginda.

Makanan-makanan yang dimakan oleh baginda diangkat sebagai makanan sunnah yang sememangnya memberi manfaat dan kebaikan dari segi kesihatan tubuh badan kita. Kita semua tahu diet pemakanan harian kita mencorak dan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental kita. Pemakanan yang sihat sangat-sangat membantu dalam menambahbaikkan masalah kesihatan.

Oleh yang demikian, kita yang beragama Islam sangat digalakkan untuk mengamalkan makanan sunnah dalam diet pemakanan harian. Makanan sunnah dikatakan mempunyai khasiat yang baik untuk tubuh badan kita.

Antara makanan-makanan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah kurma, madu, buah tin, dan buah delima. Dalam penulisan ini akan membahaskan manfaat kesihatan yang dapat kita perolehi daripada makanan-makanan sunnah ini.

KURMA

Image Source: istockphoto.com

Kita semua sudah sedia maklum dengan kewujudan buah kurma yang banyak tumbuh di negara-negara Arab atau Timur Tengah seperti Arab Saudi, Oman, Iraq dan Mesir. Nama saintifik buah kurma ialah Phoenix dactylifera L. sudah lama menjadi salah satu sumber makanan, hampir berabad lamanya kerana ia mengandungi pelbagai nutrisi dan manfaat yang dapat kita perolehi.

Kaya dengan kandungan nutrisi seperti karbohidrat, vitamin B3, vitamin C dan tinggi serat. Mineral juga boleh didapati dalam buah kurma, jenis mineral seperti kalium, magnesium, fosforus dan kalsium yang membantu pembentukan dan kesihatan tulang. Di samping itu, buah kurma juga mengandungi fitokimia yang berbeza berdasarkan kematangan, jenis dan keadaan tanah kurma tersebut ditanam. 

Antara jenis kandungan fitokimia yang terkandung di dalam buah kurma ialah:

  • Polifenol
  • Flavonoid
  • Anthocyanin
  • Quercetin
  • Steroid
  • Tannin
  • Saponin

Dengan nutrisi dan khasiat yang banyak terkandung di dalam buah kurma, semestinya dapat memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan kita yang sentiasa memerlukan nutrisi yang cukup. Hal ini kerana, tubuh badan kita sentiasa menjalankan proses-proses penting untuk memastikan kita kekal hidup, sihat dan mampu menjalankan aktiviti harian seperti bekerja, belajar dan melakukan kerja-kerja rumah. Hanya amalkan makan kurma sebanyak 3 biji sehari dalam seminggu pun dah boleh nampak perubahan yang diberi kepada tubuh badan dan kesihatan kita. Rugi sekiranya kita sia-siakan manfaat yang dapat kita peroleh daripada buah kurma ini. Apa sebenarnya manfaat yang dapat kita peroleh dari buah kurma?

Membekalkan tenaga kepada badan

Buah kurma kaya dengan sumber karbohidrat semulajadi seperti glukosa,sukrosa dan fruktosa yang merangkumi hampir 70% buah kurma. Glukosa, sukrosa dan fruktosa ini juga diklasifikasikan sebagai karbohidrat ringkas yang senang terurai atau pecah seterusnya menjadi pembekal tenaga yang baik untuk badan. Sangat sesuai untuk dimakan sekiranya ingin bersenam, beriadah atau pun bila berasa letih dan tiada tenaga. Tambahan pula, nutrisi yang terkandung dalam buah kurma yang membantu membekalkan tenaga kepada badan adalah jauh lebih baik dan sihat berbanding dengan minuman tenaga. Hal ini kerana, nutrisi tersebut bersifat semulajadi dan tiada bahan tambahan.

Kaya dengan kandungan serat

Image Source: istockphoto.com

Seterusnya, buah kurma sebenarnya merupakan sumber serat yang sangat baik untuk saluran pencernaan kita. Dapat mencegah dan mengurangkan masalah kesulitan membuang air besar seperti sembelit biasa dan buasir. Tambahan pula, kitaran membuang air besar akan lebih teratur setiap hari. Masalah penghadaman seperti gastrik, GERD dan angin dalam badan juga dapat dikurangkan apabila sistem pencernaan dapat berjalan dengan lancar. Tak lupa juga, individu yang mempunyai masalah gastrik di mana terlalu kenyang akan memberi masalah dan terlalu lapar disarankan untuk memakan kurma kerana kurma dapat menjadi alas perut dengan nutrisinya yang cukup dan baik untuk badan.

MADU

Image Source: istockphoto.com

Lebah adalah sejenis serangga yang memainkan peranan signifikan dalam mengimbangi ekosistem. Lebah juga serangga yang istimewa yang menghasilkan madu. Madu adalah sejenis cecair yang dihasilkan oleh lebah daripada nektar tumbuhan. 

Madu adalah bahan istimewa yang memberi 1001 khasiat untuk tubuh badan kita. Bukan itu sahaja, madu juga boleh menggantikan kegunaan gula halus dan terdapat fakta yang mengatakan madu banyak digunakan dalam perubatan lebih daripada 5000 tahun.

Terdapat beberapa jenis madu seperti:

  • Madu kelulut
  • Madu manuka
  • Madu ratu
  • Madu tualang
  • Madu propolis
  • Madu yaman

Bukan sekadar mempunyai tekstur yang pekat, rasa yang manis dan sedap, madu kaya dengan manfaat yang istimewa sekiranya diamalkan dalam diet pemakanan harian kita.

Kaya dengan antioksidan

Image Source: istockphoto.com

Dalam madu terkandung banyak bahan bioaktif tumbuhan dan sebatian antioksidan yang dikenali sebagai flavonoid dan asid fenolik. Antioksidan secara umumnya membantu badan kita untuk membuang sisa toksin dari dalam sistem tubuh. Antioksidan jenis flavonoid yang tinggi dalam madu mampu membantu untuk mengurangkan risiko kita mendapat kanser, diabetes dan darah tinggi. Bukan itu sahaja, malah flavonoid juga dapat memperbaiki sel yang rosak, mengurangkan alahan, memberi kelegaan untuk arthritis dan apa-apa keradangan.

Menjaga fungsi jantung

Madu membantu untuk mengurangkan risiko untuk kita mendapat penyakit jantung. Kajian yang dilakukan mendapati madu membantu untuk melancarkan degupan jantung, mencegah kemusnahan sel-sel yang sihat, dan mengurangkan tekanan darah yang tinggi. 

Bukan itu sahaja, ada kajian yang mendapati madu boleh memperbaiki tahap kolesterol kita di mana kadar kolesterol jahat (LDL) menurun dan kadar kolesterol baik (HDL) meningkat.

Mempercepatkan proses penyembuhan luka

Dalam madu juga terkandung antibakteria dan antiseptik dimana kedua-dua sebatian ini membantu untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka. Ia juga memberikan sensasi kelembapan pada luka terbakar dengan meningkatkan aliran nutrien pada luka tersebut.

Kuman (patogen) seperti E.coli yang menjadi punca jangkitan kulit boleh disingkirkan. Selain itu, jerawat, kulit gatal dan kelemumur juga boleh dicegah dengan madu.

BUAH DELIMA

Image Source: istockphoto.com

Seterusnya, Rasulullah SAW juga mengamalkan buah delima yang kini menjadi makanan sunnah yang sangat popular. Buah delima berasal daripada pohon yang tumbuh dari Iran hinggalah ke beberapa kawasan Himalaya di utara India. Pohon buah delima ini sudah lama wujud sejak zaman purba di rantau Afrika dan Eropah lagi.

Buah daripada pohon ini, buah delima banyak digunakan untuk pelbagai perkara malah dari segi mitologi dan seni. Bukan itu sahaja, buah delima juga banyak diamalkan dalam pemakanan kerana khasiatnya yang banyak untuk kesihatan tubuh badan.

Kaya dengan nutrien dan antioksida

Buah delima ini juga kaya dengan nutrien seperti protein, sert, folat, potasium, vitamin C dan vitamin K. Selain itu, buah delima dikatakan kaya dengan sebatian antioksida malah lebih banyak daripada kandungan antioksida dalam teh hijau dan wain merah. Antioksida membantu mengelakkan kerosakan sel dan mengurangkan keradangan. Antara sebatian antioksida yang terkandung dalam buah delima adalah, Flavonoid, Asid Punicic dan Punicalagins

Dengan mengandungi nutrien-nutrien yang berkhasiat dan antioksida, kita dapat memperoleh pelbagai khasiat dan manfaat untuk kesihatan sekiranya mengamalkannya.

Membantu melawan sakit sendi dan arthritis

Image Source: istockphoto.com

Arthritis adalah penyakit sendi yang menyebabkan sendi sakit, merah, kejang dan bengkak. Punca yang sering menyebabkan masalah sendi arthritis adalah kerosakan sendi, keturunan, dan jangkitan kuman. Jenis penyakit sendi yang biasa dijumpai adalah osteoarthritis, gout dan arthritis rheumatoid.

Kajian yang dilakukan mendapati ekstrak buah delima membantu untuk menghalang enzim yang merosakkan sendi. Selain itu, kajian yang dilakukan ke atas tikus makmal menunjukkan ekstrak buah delima dapat meredakan sakit arthritis. Bukan itu sahaja, buah delima juga kaya dengan kesan anti-radang yang membantu untuk mengurangkan bengkak dan rasa sakit sendi.

Mengurangkan risiko kanser

Kaya dengan antioksida flavonoid, dengan mengamalkan buah delima kita dapat mencegah radikal bebas daripada merosakkan sel dalam badan. Beberapa kajian dibuat dan terbukti buah delima mempunyai potensi dalam mencegah kanser peparu, kanser usus, kanser prostat dan kanser payudara. Walaubagaimanapun, kebanyakan kajian ini dilakukan ke atas haiwan. Banyak kajian yang masih dalam proses untuk membuktikan manfaat ini ke atas tubuh badan manusia.

BUAH TIN

Image Source: istockphoto.com

Semestinya takkan dilupakan buah tin yang juga menjadi antara buah pilihan Rasuluah SAW sewaktu baginda masih hidup. Buah tin atau juga dikenali sebagai buah ara telah wujud sejak 1400 tahun Masihi. 

Diberi nama Ficus carica dalam latin, buah tin dikatakan sangat kaya dengan khasiat dan manfaat. Malah Rasulullah SAW juga mengamalkannya, itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa buah tin baik untuk kita.

Buah ini mempunyai rasa yang segar dan manis, berkalori rendah dan tinggi dengan nutrien. Dalam buah tin terkandung serat, kalsium, magnesium, kalium, vitamin C, vitamin B6, protein, dan karbohirat. Nutrien seperti niacin, riboflavin dan tiamin juga terkandung dalam buah istimewa ini. 

Dengan kandungan nutrisinya, tidak hairanlah kalau Rasulullah SAW mengamalkannya. Hal ini kerana buah tin memberi manfaat yang baik untuk kesihatan dengan nutrisinya yang padat.

Melancarkan pencernaan

Image Source: istockphoto.com

Gangguan dalam sistem pencernaan boleh menjadi punca masalah sembelit dan cirit-birit. Masalah ini sering terjadi apabila badan kita tidak cukup serat. Seperti kita sedia maklum pengambilan serat yang mencukupi boleh mengelakkan masalah sembelit kerana najis menjadi kering dan keras. 

Dengan mengamalkan diet pemakanan yang tinggi dengan serat boleh membantu mengurangkan gejala najis keras. Hal ini kerana, makanan yang tinggi dengan serat membantu untuk melembutkan najis. Manakala, kalau kita mempunyai najis yang cair (cirit-birit), makanan tinggi serat boleh membantu untuk mengeraskan najis secara sedang-sedang untuk memudahkan kita untuk membuang.

Buah tin kaya dengan kandungan serat yang boleh membantu untuk melancarkan pencernaan kita. Bukan itu sahaja, ia juga adalah sumber prebiotik yang baik dimana sumber ini boleh meningkatkan kesihatan sistem perncernaan.

Menjaga kesihatan kulit

Kandungan antioksidan dalam buah tin membantu untuk merangsang penghasilan kolagen yang melembabkan kulit kita. Selain itu, buah istimewa ini juga membantu untuk mengurangkan gejala gatal-gatal pada kulit.

Kajian yang dilakukan juga mendapati buah tin dapat melambatkan pembentukan kedut-kedut pada kulit.

Menguatkan tulang

Buah tin merupakan sumber kalium dan kalsium yang sangat baik. Ini kerana kedua-dua mineral ini boleh bekerjasama untuk meningkatkan kekuatan tulang kita. Dengan menguatkan tulang, kita dapat mengurangkan risiko untuk mendapat masalah osteoporosis.

Bukan sahaja menguatkan tulang, kalium juga mencegah kerosakan tulang kita manakala kalsium memainkan peranan untuk menyusun struktur tulang.

Kesimpulan

Rasulullah SAW tidak mengerjakan sesuatu dengan sia-sia, di sebalik tindakan dan amalan baginda pasti ada maksud dan manfaat yang dapat kita perolehi. Makanan-makanan seperti kurma, madu, buah delima dan buah tin kini menjadi kegemaran ramai untuk meraih pahala amalan sunnah. 

Walaubagaimanapun, kita seharusnya tahu kenapa bahan-bahan makanan ini diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW. Hal ini kerana, bahan-bahan ini mengandungi nutrisi dan khasiat kepada kesihatan yang dapat kita manfaatkan. 

Dikurniakan dengan nutrien dan khasiat yang mengagumkan, makanan-makanan ini sangat baik untuk diamalkan dalam pemakanan harian bagi membantu meningkatkan fungsi badan dan kesihatan. 

Sekadar pesanan ringkas, sebarang pengambilan untuk tujuan kesihatan hendaklah mendapat konsultasi daripada pakar terlebih dahulu.

RUJUKAN

  1. Kebaikan Buah Tin
  2. Kebaikan Kurma
  3. Kebaikan Buah Delima
  4. Fitokimia
  5. Sejarah Buah Delima
  6. Buah Delima
  7. Buah Tin dan Sistem Pencernaan
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here