Diabetes ketoasidosis (DKA) adalah komplikasi daripada penyakit diabetes yang boleh mengancam nyawa. Ia lazim berlaku dalam pesakit diabetes jenis 1 apabila paras gula dalam darah tidak terkawal. Tetapi pesakit diabetes jenis 2 boleh juga mendapat penyakit ini.
Pesakit diabetes jenis 1 lebih terdedah dengan DKA kerana mereka tidak boleh menghasilkan insulin sendiri dan bergantung sepenuhnya dengan suntikan insulin. Pesakit diabetes jenis 2 jarang terdedah dengan DKA kerana paras insulinnya masih boleh dikawal.
Kadar penghidap penyakit ini meningkat dari 8.5 ke 15.6 untuk 100,000 orang untuk tempoh setahun. Dalam 1 kajian yang dilakukan, daripada 132 peserta kajian, 62.9% pesakit DKA adalah wanita dan 47% daripada etnik Melayu. Kadar kematian dalam kajian ini adalah 17.6%.
Punca terjadi Diabetes Ketoasidosis :
Penyakit DKA terjadi apabila badan tidak mempunyai insulin yang mencukupi untuk membawa glukosa (gula) dari dalam saluran darah ke sel badan untuk menghasilkan tenaga. Kesannya, gula akan berkumpul dalam saluran darah yang dikenali sebagai diabetes.
Disebabkan itu, hati akan menggunakan lemak yang disimpan sebagai tenaga dalam proses yang turut menghasilkan asid yang dikenali sebagai keton. Keton yang dihasilkan dengan cepat dan banyak akan berkumpul dalam badan pada paras bahaya. Lagi banyak lemak digunakan, lagi tinggi paras keton dalam badan. Paras gula dan keton yang tinggi dalam badan dikenali sebagai diabetes ketoasidosis.
Penyebab utama berlakunya DKA adalah
- Suntikan insulin tidak mencukupi
- Penyakit atau jangkitan
Faktor risiko berlaku diabetes ketoasidosis :
- Mempunyai diabetes jenis 1
- Berusia di bawah 51 tahun
- Tidak mengambil suntikan insulin mengikut preskripsi
- Sakit perut dengan muntah berlebihan
- Jangkitan seperti pneumonia, jangkitan saluran kencing dan sepsis
- Penyakit usus akut ; pankreatitis
- Penyakit jantung akut ; Sakit jantung & Strok
- Mengandung
- Baru menjalani pembedahan
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti steroid atau antipsychotic
- Darah beku di peparu
Simptom diabetes ketoasidosis :
- Paras gula dalam darah tinggi (melebihi 250mg/dL)
- Dahaga terlampau
- Membuang air kecil banyak lebih dari kebiasaan
Diabetes ini yang tidak dirawat akan menunjukkan simptom yang lebih teruk :
- Nafas laju
- Kulit dan bibir mulut kering
- Muka merah
- Nafas berbau buah
- Sakit kepala
- Kekejangan atau sakit otot
- Terlalu letih
- Loya tekak dan muntah
- Pening
- Sakit perut
Komplikasi daripada diabetes ketoasidosis :
1. Hipoglisemia
Individu dengan masalah hiperglisemia (gula tinggi) berisiko untuk mendapat hipoglisemia (gula rendah) ketika menjalani rawatan untuk DKA. Simptom jarang ditunjukkan dalam fasa ini.
2. Hipokalemia & hiperkalemia
Individu dengan masalah DKA biasanya mempunyai paras serum potassium yang tinggi. Namun, ketika rawatan terapi insulin dilakukan, mereka berisiko mempunyai paras serum potassium yang rendah disebabkan potassium dibawa ke sel-sel badan.
3. Cerebral edema
Komplikasi ini adalah komplikasi teruk yang paling kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Ia menjadi penyumbang tertinggi dalam kes kematian kanak-kanak melibatkan penyakit diabetes.
DKA adalah pertukaran cecair yang cepat di antara sel dalam dan luar badan. Ia berlaku disebabkan pengaliran darah ke otak tidak mencukupi sebelum rawatan diabetes ketoasidosis. Komplikasi ini boleh berlaku sebelum rawatan atau beberapa jam selepas rawatan DKA. Ketika rawatan DKA dilakukan, pengurangan kepekatan di luar sel dengan cepat menyebabkan otak membengkak. Otak yang membengkak ini dikenali sebagai cerebral edema.
Tips & rawatan untuk diabetes ketoasidosis :
Rawatan untuk pesakit DKA adalah untuk menstabilkan paras gula dan insulin dalam darah.
Diabetes ketoasidosis dirawat dengan menggunakan suntikan insulin untuk membawa glukosa (gula) ke dalam sel badan dan digunakan sebagai tenaga. Apabila gula dan insulin berfungsi dengan baik, simpanan lemak tidak diperlukan sebagai tenaga. Oleh itu, keton baru tidak akan dihasilkan. Justeru itu, badan boleh mengeluarkan keton berlebihan dalam badan dengan lancar.
1. Ganti dengan cecair
Ketika episod DKA terjadi, cecair akan hilang daripada badan dengan banyak dan perlu diganti semula. Keadaan ini akan mengurangkan jumlah darah yang mengalir dalam badan dan menyukarkan keton untuk dikeluarkan daripada badan. Penggantian cecair membantu mengembalikan air dalam badan seterusnya mengembalikan perjalanan darah.
2. Ganti dengan elektrolit
Apabila paras insulin rendah, elektrolit dalam badan turut rendah. Elektrolit penting untuk membantu jantung dan saraf untuk berfungsi dengan baik.
3. Minum air dengan cukup
Minum air kosong dengan cukup dapat mengembalikan cecair dalam badan yang hilang secara semulajadi. Selain itu, ia juga membantu mengeluarkan keton daripada badan melalui air kencing. Keton yang tinggi dalam badan adalah tanda insulin rendah atau tidak cukup. Sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter air kosong sehari membantu mencegah dehidrasi.
4. Pemakanan sihat
Mengawal pemakanan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes ketoasidosis. Diabetes ini terjadi disebabkan glukosa (gula) tidak ditukar kepada tenaga untuk digunakan, mengakibatkan pengumpulan gula dalam darah. Oleh itu, asid darah keton dihasilkan apabila lemak yang disimpan dalam hati digunakan untuk menghasilkan tenaga. Kandungan keton berlebihan dalam badan individu diabetes akan mengakibatkan diabetes ketosidosis.
Antara makanan yang perlu dikawal adalah :
- makanan dan minuman manis seperti kek, kuih manis, ais krim, air bikarbonat, teh tarik, minuman boba
- sapuan roti yang mengandungi gula tambahan seperti jem, kaya dan marmalad (jem oren)
- gula seperti gula perang, gula putih, gula melaka, gula batu, gula madu
- makanan ruji seperti mee, pasta, nasi, roti,biskut dan buah perlu dikawal kuantiti
Makanan berserat seperti sayur rendah kalori perlu diambil dengan lebih di samping oat dan bijirin penuh (nasi beras perang, roti wholemeal, pasta wholemeal) diambil suku pinggan. Makanan ini melambatkan penyerapan gula dari usus ke dalam darah seterusnya mengawal paras gula dalam darah.
Makanan yang boleh meningkatkan berat badan juga perlu dihadkan kerana berat dan lemak badan berlebihan meningkatkan risiko insulin tidak dapat berfungsi dengan baik. Antara makanan yang perlu dihadkan seperti makanan segera ; burger, kentang goreng, nugget & pizza.
Oleh itu, mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang boleh mengawal bacaan gula dalam darah pada paras normal.
5. Kekal aktif
Melakukan aktiviti fizikal boleh mengawal paras gula dalam darah pada paras stabil di samping meningkatkan tindak balas insulin dengan gula untuk dijadikan tenaga.
Menurut Panduan Pemakanan Malaysia (MDG) 2010 dari KKM, melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan kadar kelajuan atau kekuatan yang sederhana dapat mengurangkan risiko penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, tekanan mental dan stroke. Ia juga membantu mengelakkan penyakit yang sedia akan bertambah teruk sehingga boleh menyebabkan kematian pramatang. Ia turut mengawal berat badan yang sihat.
Untuk dapat 150 minit seminggu, 30 minit setiap hari dengan 5 ke 6 kali seminggu atau setiap hari dengan kelajuan dan kekuatan sederhana disarankan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan:
- Berjalan laju
- Jogging
- Berbasikal
- Berenang
- Menari
- Lompat tali
- Bola sepak
- Badminton
- Mendaki
- Tennis
Konklusi :
Diabetes ketoasidosis adalah paras gula dan keton yang tinggi dalam badan disebabkan lemak yang disimpan dalam badan digunakan sebagai tenaga. Proses ini turut menghasilkan asid yang dikenali sebagai keton yang boleh memudaratkan diri jika berlebihan. Mengawal paras gula membantu mengawal diabetes ketoasidosis.