Kenali Pembunuh Ketiga Terbesar Di Serata Dunia

Untuk yang belum sedia maklum, strok adalah penyumbang terbesar kematian ketiga terbesar di serata dunia. Berdasarkan data dari Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide yang dikeluarkan pada tahun 2016, sebanyak 5.5 juta kematian disebabkan oleh strok dilaporka. Bukan itu sahaja, malah dianggarkan sebanyak 80 juta orang hidup dengan penyakit strok. 

Statistik di Malaysia, menerusi kajian Monitoring Stroke Burden in Malaysia 2017, dianggarkan sekurang-kurangnya 150 dalam 100,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit strok. Dalam kajian yang sama, dilaporkan sebanyak 40% daripada pesakit strok adalah di bawah usia 60 tahun. Selain itu, dalam kajian yang sama menyatakan hampir 32 kematian setiap hari di negara ini berpunca daripada strok.

Image Source: istockphoto.com

Sekiranya tiada tindakan yang diambil, dianggarkan 1 daripada 4 penduduk Malaysia akan menghidap penyakit strok menjelang tahun 2040. Kesimpulan atau anggaran ini dibuat berdasarkan satu survey yang dibuat oleh Global Burden Of Disease Stroke Statistics Worldwide (2016).

Memahami Penyakit Strok

Strok atau lebih dikenali sebagai angin ahmar di negara ini terjadi akibat bekalan aliran darah yang perlu dibawa ke otak berkurangan atau sekaligus terputus. Bagaimana bekalan darah ke otak ini boleh berkurang atau terputus? Keadaan ini boleh berlaku apabila saluran yang membawa bekalan darah ke otak tersumbat atau pecah.

Hal ini akan menyebabkan nutrien terhalang daripada masuk ke otak. Bukan itu sahaja, malah sel-sel otak juga mati dengan cepat. Sekiranya bantuan perubatan tidak diberi dengan secepat mungkin ia boleh menyebabkan kecacatan kekal dan boleh meragut nyawa seseorang individu.

Terdapat 2 jenis strok yang biasa terjadi iaitu hemoragik dan iskemik.

Image Source: istockphoto.com

Strok Hemoragik

Strok jenis hemoragik juga dikenali sebagai strok berdarah yang terjadi akibat pendarahan di dalam otak. Pendarahan atau lebih tepat lagi kebocoran darah di dalam otak boleh berlaku apabila terdapat saluran darah yang pecah atau terkesan akibat tekanan darah tinggi.

Dengan terjadinya strok hemoragik (strok pendarahan dalam otak), tekanan akan meningkat dan sekaligus membunuh sel-sel otak. Ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Strok Iskemik

Strok Iskemik adalah jenis strok dimana berlakunya pembekuan darah atau penyumbatan yang disebabkan oleh plak-plak yang bergumpal di arteri yang menghalang aliran darah ke otak. Plak-plak ini terdiri daripada mendapan kolesterol dan plak ini juga boleh pecah seterusnya menghasilkan lebih banyak bekuan darah. Kedua-dua jenis strok ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Punca dan Faktor Risiko Strok

Image Source: istockphoto.com

Walaupun kedua-dua jenis strok ini berlaku dalam kawasan yang sama iaitu otak, mereka disebabkan oleh punca yang sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh strok iskemia boleh berpunca daripada Aterosklerosis iaitu keadaan di mana plak-plak berkumpul dan bergumpal pada saluran arteri darah ke otak. 

Untuk strok hemoragik pula, ia boleh disebabkan oleh tekanan darah yang sangat tinggi yang boleh melemahkan dan memecah saluran darah dalam otak. Ini akan mengakibatkan strok jenis hemoragik iaitu pendarahan dalam otak.

Walaubagaimanapun, faktor-faktor yang meningkatkan risiko seseorang individu untuk mendapat strok sama ada strok hemoragik atau strok iskemik adalah seperti:

  • Gaya hidup tidak sihat dan tidak aktif (Merokok, obesiti, pemakanan)
  • Mempunyai sejarah strok keluarga 
  • Masalah kesihatan (Tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, aterosklerosis, etc)
  • Peningkatan usia

Simptom dan Gejala Strok

Image Source: istockphoto.com

Lain individu mungkin lain simptom dan gejala strok yang dialami. Ini adalah simptom dan gejala strok yang LAZIM terjadi atau biasa dialami oleh pesakit strok di Malaysia.

  • Pening dan sakit kepala
  • Penglihatan kabur atau kehilangan penglihatan
  • Kekeliruan dan hilang daya ingatan
  • Kesukaran untuk bercakap dengan jelas
  • Lumpuh secara tiba-tiba
  • Lemah otot (muka, tangan dan lain-lain)
  • Hilang imbangan badan
  • Sukar menelan
  • Hilang keupayaan mengawal fungsi badan (Membuang air besar dan kecil)
  • Kebas-kebas tiba-tiba pada sebahagian badan

Ada juga simptom dan gejala yang jarang berlaku seperti:

  • Perubahan deria rasa dan bau
  • Mula berkhayal dan berhalusinasi
  • Lumpuh seluruh badan kecuali otot mata (Sindrom locked-in)

Diagnosis dan Rawatan

Image Source: istockphoto.com

Individu yang disyaki atau mengalami simptom, gejala atau serangan strok PERLU dibawa ke hospital untuk rawatan dengan secepat mungkin. 

Terdapat 6 cara strok didiagnosis iaitu:

  • Imbasan CT pada otak untuk memeriksa sama ada strok telah berlaku
  • Pemeriksaan fizikal untuk memeriksa sistem saraf yang boleh terkesan akibat strok
  • Ultrasound karotid untuk memeriksa pembuluh darah pada bahagian leher untuk melihat sekiranya berlaku penyumbatan
  • Imbasan MRI untuk mengenal pasti bahagian otak yang terkesan
  • Ujian darah untuk mengenal pasti tahap gula dan kecepatan darah membeku
  • Echocardiogram, prosedur gelombang bunyi memeriksa jantung untuk memeriksa gumpalan darah yang pecah

Seperti penyakit-penyakit yang lain, strok juga perlu didiagnosis terlebih dahulu sebelum pakar perubatan boleh memastikan jenis strok dan rawatan yang sesuai dengan pesakit.

Rawatan Strok Hemoragik

Bagi individu yang disahkan mengalami strok hemoragik, rawatan yang diberikan akan sedikit berbeza dengan pesakit strok iskemia. Hal ini kerana, terjadinya kebocoran atau pendarahan di dalam otak. Oleh itu, misi utama doktor atau pakar perubatan adalah untuk meminimumkan pendarahan dan tekanan di dalam otak pesakit.

Ubat-ubatan untuk mengurangkan tekanan darah dalam otak akan diberikan. Sekiranya ubat tidak berkesan, pembedahan akan dilakukan untuk menghentikan darah dan tekanan pada otak.

Rawatan Strok Iskemia

Untuk pesakit yang dikenal pasti mengalami strok iskemia pula, doktor atau pakar perubatan akan memberi rawatan untuk mengembalikan aliran darah ke otak. Antara rawatan dan ubat yang diberikan adalah ubat-ubatan untuk memecahkan darah beku. Ubat-ubatan ini diberikan melalui IV atau ada juga kes yang memerlukan ubat-ubatan ini disuntik terus ke otak.

Selain itu, terdapat beberapa kes di mana doktor perlu mencari dan mengeluarkan darah beku menggunakan alat seperti stent retriever. Kes strok iskemia yang memerlukan prosedur ini kebiasaannya disebabkan oleh darah beku yang tidak dapat dipecahkan oleh ubat.

Pesakit yang menderita strok iskemia atau strok hemoragik akan diberikan program pemulihan selepas prosedur rawatan bagi memulihkan kerosakan akibat strok.

Pencegahan Strok

Image Source: istockphoto.com

Untuk mencegah atau mengurangkan risiko serangan strok, kita perlulah melakukan perubahan dari segi gaya hidup, tabiat dan pemakanan. Gaya hidup seimbang, tabiat dan pemakanan sihat akan mencegah bukan sahaja strok malah penyakit-penyakit kronik yang lain.

Bagaimana nak amalkan keseimbangan dalam 3 aspek ini? Mudah sahaja, mengamalkan kesederhanaan ada yang terbaik. Apa sahaja yang diambil secara berlebihan berpotensi membawa pada kepada diri.

Antara perubahan gaya hidup, tabiat dan pemakanan yang boleh dibuat adalah seperti:

  • Berhenti tabiat merokok dan pengambilan alkohol
  • Melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk mengaktifkan badan
  • Mengamalkan pemakanan kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Mengurangkan pengambilan makanan tidak sihat seperti makanan kaya gula dan makanan diproses
  • Memantau dan mengawal berat badan supaya tidak melebihi indeks jisim badan masing-masing

Kesimpulan

Konklusinya, statistik pesakit strok di Malaysia akan sentiasa meningkat sekiranya tiada tindakan wajar yang diambil oleh kerajaan dan setiap individu di negara ini. Penyakit strok boleh meragut nyawa, kehidupan dan kebahagiaan semua orang. 

Pemakanan harian dan gaya hidup kita memainkan peranan yang penting dalam membentuk kesihatan dan ketahanan badan kita seiring dengan peningkatan usia kita. Perubahan dari segi gaya hidup dan pemakanan harian perlu dilakukan dalam mengurangkan risiko untuk kita menghidap penyakit-penyakit kronik, bukan sahaja strok.

Rujukan

  1. Kenali Penyakit Strok Dengan Lebih Mendalam- Ini Jenis, Penyebab & Rawatan Angin Ahmar
  2. Kenyataan Akhbar KPK 29 Oktober 2021 – Sempena Hari Strok Sedunia 2021
  3. Angin Ahmar / Strok – PORTAL MyHEALTH
  4. Strok | Gleneagles Hospital
  5. Apa itu Strok? | My Stroke Hospital
  6. Stroke – Symptoms and causes – Mayo Clinic 
  7. 7 things you can do to prevent a stroke – Harvard Health 
  8. Penyakit Strok Senyap Boleh Beri Kesan Kekal Pada Anda, Bahaya!
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here