Kelemumur Jejas Keyakinan Diri! Ini Kandungan Bahan Yang Perlu Dicari Dalam Syampu!

Kelemumur adalah salah satu masalah biasa yang terjadi pada bahagian rambut. Masalah ini boleh berlaku kepada lelaki dan wanita. Kita semua sudah sedia maklum, bagi lelaki dan juga wanita, rambut memainkan peranan yang penting dalam penampilan kita. 

Penjagaan rambut tidaklah sukar, hanya memerlukan kesedaran dan masa. Hal ini kerana rambut juga memerlukan penjagaan yang rapi agar sentiasa sihat, kemas dan meningkatkan keyakinan diri kita.

Image Source: istockphoto.com

Walaubagaimanapun, masih ramai lagi terutamanya masyarakat di Malaysia yang tidak mengendahkan penjagaan rambut, baik lelaki mahupun perempuan. Ada yang membiarkan rambut basah tidak dikeringkan selepas mandi, ada juga yang hanya sentuh syampu rambut sekali sebulan. 

Akibat daripada tiada kesedaran akan penjagaan rambut, masalah seperti kelemumur, gatal kulit kepala dan rambut gugur sering dihadapi oleh masyarakat di negara ini. Masalah-masalah ini boleh menjejaskan penampilan dan juga keyakinan diri seseorang terutamanya kaum lelaki dan wanita yang tidak bertudung.

Dalam penulisan ini akan membahaskan dengan lebih teliti mengenai masalah kelemumur iaitu masalah kulit kepala yang biasa terjadi kepada sesiapa sahaja. 

Apa Sebenarnya Kelemumur?

Image Source: istockphoto.com

Kelemumur adalah suatu keadaan atau masalah yang melibatkan kulit kepala mati, kering dan mengelupas secara berlebihan. Sekiranya mendapati kepingan atau keruping berwarna putih yang melekat di kulit kepala anda, itulah sebenarnya kelemumur.

Lapisan kulit kepala yang mengalami masalah kelemumur tumbuh dengan cepat dan diperbaharui setiap 11 hari. Manakala untuk lapisan permukaan kulit kepala yang normal tanpa sebarang masalah kulit kepala diperbaharui setiap 28 hari. 

Proses lapisan kulit kepala yang mengelupas dengan cepat berbanding tempoh waktu yang sepatutnya akan menyebabkan sel kulit lama mati dan meninggalkan posisi mereka. Selain itu, minyak yang dihasilkan oleh kulit kepala juga memainkan peranan yang menyebabkan sel-sel mati ini melekat bersama seterusnya membentuk keruping putih.

Antara simptom dan gejala masalah kelemumur adalah seperti:

  • Kulit kepala kering atau berminyak
  • Gatal-gatal kulit kepala
  • Keruping kelemumur pada rambut dan bahu
  • Keruping kelemumur pada pakaian
  • Kulit kepala mengelupas dan kemerahan

Punca Kelemumur

Image Source: istockphoto.com

Mengabaikan penjagaan rambut sememangnya menyebabkan masalah kelemumur. Walaubagaimanapun, terdapat juga punca-punca yang lain yang menyebabkan masalah kelemumur ini. Ada antara punca-punca ini sebenarnya adalah tabiat atau cara gaya hidup kita yang tidak sihat.

Antara punca lain yang menyebabkan masalah kelemumur adalah seperti:

  • Masalah hormon
  • Stress
  • Penggunaan produk rambut yang tidak sesuai
  • Masalah kulit kepala berminyak dan kering
  • Jarang mencuci rambut menggunakan syampu
  • Tidak membasuh rambut dengan sepenuhnya selepas menggunakan syampu
  • Daya imuniti lemah

Ada juga masalah atau keadaan kesihatan yang menyebabkan kelemumur iaitu seperti:

  • Psoriasis – Masalah kulit yang menyebabkan gatal-gatal, bersisik, kemerahan dan berkeruping
  • Seborrheic Dermatitis – Penyakit kulit yang menjejaskan kulit kepala. Menyebabkan kulit kepala berminyak, gatal dan kemerahan.
  • Contact Dermatitis – Masalah atau tindak balas yang berlaku akibat alahan terhadap jenis produk rambut. 
  • Malassezia – Sejenis jangkitan kulat pada kulit kepala. Menyebabkan iritasi dan penghasilan kulit tebal pada bahagian kepala.

Cara Merawat Masalah Kelemumur

Image Source: istockphoto.com

Antara cara untuk mengatasi masalah kelemumur adalah dengan memulakan langkah pertama dalam penjagaan rambut iaitu memilih syampu yang bersifat anti kelemumur.

Bahan kandungan yang boleh dicari dalam produk syampu anti kelemumur adalah seperti:

  • Salicylic Acid – Membantu menghapus kelemumur
  • Tar – Memperlahankan pertumbuhan sel
  • Ketoconazole – Mencegah pelbagai jenis kulat
  • Selenium sulphide – Mengurangkan pertumbuhan sel dan kulat
  • Zinc pyrithione – Mengelakkan pertumbuhan kulat dan kelemumur

Rawatan tradisional menggunakan bahan semulajadi juga boleh dipertimbangkan. Antara bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk merawat masalah kelemumur adalah seperti:

  • Lidah buaya
  • Cuka epal
  • Bawang putih
  • Minyak zaitun
  • Minyak kelapa
  • Garam
  • Halba
  • Lemon

Selain itu, penjagaan rambut dan kulit kepala dari segi mencuci dengan sepenuhnya dan menggunakan perapi rambut juga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi kelemumur.

Kesimpulan

Konklusinya, masalah kelemumur yang kronik boleh menjejaskan penampilan dan keyakinan diri seseorang individu. Dengan hanya meluangkan masa dan usaha untuk menjaga kebersihan dan kesihatan rambut boleh meningkatkan penampilan seseorang. Sekiranya sudah mengalami masalah kelemumur, jangan risau. Masalah kelemumur ini adalah sangat biasa dan boleh diatasi serta dicegah.

Rujukan

  1. Ada Masalah Kelemumur Di Kepala? Ini Pilihan Syampu Yang Betul Untuk Merawatnya!
  2. Kelemumur: Apa Yang Sedang Berlaku Kepada Rambut Anda?
  3. Punca Kelemumur Sebenar Yang Buat Rambut Gatal? Ini Rawatannya
  4. Dandruff – Symptoms and causes – Mayo Clinic
  5. Dandruff: How to Get Rid of It, What Causes it, and More
  6. Kelemumur: Punca Dan Rawatan Yang Berkesan – DoctorOnCall
  7. Dandruff – NHS
  8. Kelemumur – PORTAL MyHEALTH
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here