Kebas-Kebas Antara Gejala Diabetes Yang Ramai Tak Tahu

Diabetes atau lebih mesra dikenali di Malaysia sebagai penyakit kencing manis. Diabetes diakui serata dunia sebagai penyakit kronik yang menjejaskan kesihatan untuk jangka masa yang lama. Penyakit diabetes ini merujuk kepada keadaan kesihatan dimana kandungan gula dalam darah sangat tinggi.

Menurut laporan 2019 yang diterbitkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, statistik penyakit diabetes di Malaysia, 3% kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh diabetes. Bukan itu sahaja, juga dilaporkan 1 daripada 5 individu di negara ini menghidap diabetes. Ini membawa maksud seramai 3.9 juta individu yang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes. Selain itu, laporan ini juga menyatakan bahawa sebanyak 37.3% daripada populasi di Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan yang menjadi faktor punca diabetes.

Image Source: FaceBook RockHerbs

Terdapat dua jenis diabetes yang biasa dijumpai iaitu:

  • Diabetes Mellitus Type 1 – Penyakit kencing manis dimana seseorang individu mengalami masalah kandungan gula tinggi dalam darah sejak lahir.
  • Diabetes Mellitus Type 2 – Masalah gula tinggi dalam darah yang berlaku kepada orang dewasa akibat daripada kecuaian dalam mencorak gaya hidup yang sihat. (Contoh: Pengambilan makanan manis berlebihan.)

Tiada punca yang dapat ditemukan bagi Diabetes Mellitus Type 1 di mana pankreas menghasilkan kandungan insulin yang sedikit. Manakala punca yang menyebabkan Diabetes Mellitus Type 2 adalah masalah berat badan berlebihan (obesiti), pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Tanda-Tanda Awal Diabetes

Berikut adalah tanda-tanda awal diabetes yang boleh kita nampak atau sedar, ini adalah tindak balas badan kita untuk memberi amaran bahawa kandungan gula sangat tinggi dalam darah.

  • Poliuria (Kerap buang air kecil)
  • Polydipsia (Kerap dan cepat dahaga)
  • Lesu
  • Mata kabur
  • Berat badan turun mendadak
  • Luka lambat sembuh

Apabila kita dapat mengenal pasti tanda awal diabetes, masih belum terlambat untuk kita mengubah gaya hidup dan pemakanan sebelum timbulnya gejala diabetes yang lebih kritikal seperti rasa kebas yang menyucuk pada anggota badan.

Bagaimana Diabetes Menyebabkan Masalah Kebas

Antara gejala yang biasa dialami oleh penghidap diabetes adalah merasa kebas-kebas pada beberapa anggota badan seperti kaki dan tangan. Gejala kebas ini adalah satu keadaan dimana seseorang individu kehilangan sensasi atau merasai sensasi sesemut. 

Kebiasaannya, kebas-kebas ini terjadi apabila kita duduk untuk jangka masa yang lama yang menyebabkan saraf kaki misalnya, termampat dan aliran darah tersekat. Tapi bagaimana diabetes menyebabkan gejala kebas pada penghidapnya? Kadar gula yang tinggi dalam darah berpotensi untuk menjejaskan saraf kita. Keadaan ini dipanggil sebagai Neuropati Diabetes. 

Kalau nak tahu, Neuropati Diabetes terdapat 4 jenis utama yang biasa dialami oleh 60%-70% penghidap diabetes iaitu Neuropati Autonomi, Neuropati Periferi, Neuropati Fokal dan Neuropati Proksimal.

Neuropati Periferi adalah sejenis Neuropati Diabetes yang menyebabkan penghidap diabetes menderita dengan gejala kebas-kebas anggota badan. Neuropati ini sering menjejaskan bahagian badan seperti pergelangan tangan, kaki dan betis. Malah, perut, lengan dan bahagian belakang perut juga boleh terjejas dengan Neuropati Periferi ini.

Macam mana boleh terjadi kebas-kebas ini dan apa kaitan dengan diabetes? Kadar gula yang tinggi dalam darah untuk jangka masa yang lama boleh menjejaskan dan merosakkan saraf badan kita. Inilah komplikasi Neuropati Periferi yang merosakkan saraf tunjang dan saraf di kawasan otak kita yang menyebabkan rasa lemah dan kebas pada beberapa anggota badan. 

Sistem Saraf memainkan peranan penting dalam menghantar isyarat ke seluruh badan. Selain itu, Sistem Saraf juga memainkan peranan seperti menerima dan memahami rangsangan serta memberi maklum balas. Apabila kadar gula tinggi dalam badan, ia menjejaskan cara badan kita berfungsi dan menyebabkan komplikasi.

Penghidap Diabetes yang mempunyai gejala Neuropati Periferi sering mengalami masalah seperti:

  • Kekejangan pada kaki atau tangan
  • Kebas-kebas yang menyucuk pada kaki dan tangan (Boleh merebak ke anggota badan yang lain)
  • Hilang deria sentuhan pada suhu (Sejuk atau panas)
  • Hilang keseimbangan badan dan susah nak berjalan.
  • Penglihatan dan pendengaran juga mengalami perubahan.

Tips Menguruskan Neuropati Periferi

Diabetes menjejaskan kehidupan dan juga gaya hidup seseorang individu yang menghidapnya. Tambah pula, serangan Neuropati Periferi yang menjadi salah satu komplikasi akibat daripada penyakit Diabetes. 

Semestinya, perubahan pada gaya hidup dan pemakanan harus dibuat untuk mengurangkan gejala. Bukan itu sahaja, malah untuk memudahkan individu menjalani kehidupan yang terjejas akibat penyakit Diabetes dan gejala Neuropati Periferi.

Antara tips berguna untuk membantu sesiapa yang mempunyai komplikasi Neuropati Periferi adalah seperti:

  1. Melakukan senaman ringan atau sebarang aktiviti fizikal mengikut kemampuan. Ini akan membantu untuk menguatkan otot.
  2. Kerap mengurut tangan dan kaki secara lembut untuk melegakan sensasi kebas dan melancarkan peredaran darah.
  3. Menggunakan alat bantuan bergerak seperti tongkat untuk membantu dengan masalah ketidakseimbangan badan.
  4. Elakkan daripada memandu kenderaan terutamanya individu yang sering kehilangan deria sentuhan.
  5. Memakai kasut yang tahan gelincir (indoor dan outdoor) untuk melindungi kaki terutamanya apabila merasa kebas.
  6. Menjaga pemakanan dan mengawal kadar gula untuk mengurangkan kerosakan tambahan pada saraf.
  7. Sentiasa memakai sarung tangan getah apabila mengendalikan benda tajam dan panas seperti, pisau, gunting, periuk panas, oven dan sebagainya. Sarung tangan getah membantu untuk menguatkan cengkaman dan melindungi tangan.

Kesimpulan

Komplikasi yang disebabkan oleh diabetes adalah lebih mendalam dan bukan sahaja terhenti kepada masalah-masalah yang kita dapat lihat secara fizikal seperti ulser kaki. Saraf yang rosak dan terjejas akibat kadar gula yang tinggi dalam badan menyebabkan komplikasi Neuropati Periferi. Hal ini menyebabkan penghidap diabetes sering merasa sakit, kejang, dan kebas menyucuk pada anggota badan. 

Rujukan

  1. Neuropati Periferi
  2. Komplikasi Neuropati Periferi
  3. Neuropati Diabetes
  4. Apa itu Neuropati Diabetes
  5. Gejala Kebas
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here