Kalau Ada Gastrik, Boleh Ke Nak Berpuasa?

Semakin hari, semakin hampir kita dengan bulan mulia bagi orang beragama Islam iaitu bulan Ramadan. Di bulan mulia ini, orang beragama Islam seluruh dunia wajib berpuasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari selama sebulan. Di negara Malaysia, umat Islam berpuasa selama 13 jam.

Berpuasa merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu menahan diri daripada makan dan minum untuk jangka masa yang ditetapkan. Dalam konteks Islam pula, kita berpuasa untuk melatih diri untuk bersabar dan merasai kesakitan orang-orang susah mendapat makanan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Golongan Berisiko Tidak Diharuskan Berpuasa

Image Source: istockphoto.com

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa golongan yang dikecualikan untuk berpuasa atau lebih tepat lagi golongan yang diharuskan untuk berbuka puasa akibat daripada keadaan kesihatan.

Antara golongan yang terkesan adalah:

  • Wanita yang sedang hamil
  • Wanita yang sedang menyusu anak
  • Orang yang sakit
  • Orang yang kehilangan upaya untuk berpuasa (contoh: orang tua yang uzur)

Kenapa orang sakit diharuskan untuk berbuka puasa? Ini kerana dikhuatiri dengan berpuasa, ia akan merosotkan lagi kesihatan dan menambah kesakitan kepada individu tersebut. Antara individu berpenyakit yang tidak digalakkan berpuasa atau diharuskan berbuka puasa adalah seperti individu yang mempunyai penyakit seperti:

  • Diabetes Mellitus
  • Asma
  • Glaukoma
  • Epilepsi (Sawan)
  • Penyakit Hati Kronik (Hati berlemak, Hepatitis B, Hepatitis C)

Bolehkah Orang Dengan Gastrik Berpuasa?

Gastrik

Image Source: istockphoto.com

Bagaimana pula dengan individu yang mempunyai masalah atau penyakit berkaitan dengan penghadaman seperti gastrik? Digalakkan berpuasa atau tidak? 

Gastrik atau gastritis adalah keadaan di mana terdapat keradangan pada lapisan dinding perut kita. Dinding perut kita memainkan peranan untuk merembeskan asid hidroklorik dan sejenis enzim untuk mencernakan protein dan membunuh kuman. Gastrik terjadi disebabkan oleh tahap asid perut yang tak dapat dilaraskan boleh menjadi tidak stabil dan menghakis lapisan mukosa seterusnya mencederakan dinding perut. 

Antara simptom-simptom gastrik yang sering terjadi adalah seperti:

  • Rasa pedih dalam perut
  • Hilang selera makan
  • Kembung dan senak perut.
  • Loya dan muntah
  • Cepat kenyang walaupun hanya makan sedikit
  • Pening
  • Sedu yang teruk
  • Kerap buang angin

Faktor utama yang memberi impak signifikan kepada sistem pencernaan kita adalah diet pemakanan harian dan gaya hidup kita sendiri seperti corak pemakanan yang tidak baik. 

Kebiasaannya, gastrik boleh terjadi apabila seseorang mengabaikan waktu makan atau sengaja melambatkan waktu makan. Sangat tidak digalakkan untuk saja suka-suka lambat makan atau skip waktu makan. Hal ini kerana, organ perut kita sentiasa mencari bahan untuk dicernakan apabila tibanya waktu makan. Sekiranya kita skip waktu makan atau lambat makan, perut kita akan menghasilkan gas atau angin. Bukan itu sahaja, asid dalam perut juga boleh meningkat dalam keadaan perut kosong. Ini akan membuatkan kita berasa pedih perut dan penuh.

Puasa dan Gastrik

Image Source: istockphoto.com

Bagaimana nasib seseorang yang ada masalah gastrik pada bulan Ramadan? Yang tak digalakkan untuk ‘skip’ waktu makan?

Sekiranya sewaktu berpuasa kesakitan seseorang individu akibat gastrik bertambah teruk dan perlu mengambil ubat secepat mungkin, dia dinasihatkan untuk memecah puasanya. Ini untuk mengelakkan masalah gastrik menjadi lebih kritikal. Walaubagaimanapun, terdapat syarat yang ditetapkan iaitu individu tersebut tidak boleh menahan kesakitan dan perlu menggantikan puasa yang dipecah atau yang ditinggalkan. 

Pada bulan Ramadan, pola makan kita berubah kerana kita berpuasa untuk 13 jam sehari selama sebulan. Jadi, individu-individu yang mempunyai masalah gastrik dinasihatkan untuk membuat persiapan dan perubahan bersesuaian untuk menjalani bulan Ramadan dengan lancar.

Persiapan dan perubahan sangat penting untuk individu yang mempunyai masalah pencernaan seperti gastrik. Ini untuk memastikan enzim perut tidak ‘panik’ apabila berpuasa nanti. Makanan yang sesuai juga perlu dipertimbangkan seperti mengurangkan pengambilan makanan pedas, berminyak dan sebagainya.

Image Source: istockphoto.com

Antara persiapan dan perubahan yang boleh dilakukan oleh penghidap Gastrik adalah seperti:

  • Mengehadkan pengambilan makanan berlemak, berempah, berasid dan pedas pada waktu sahur dan waktu berbuka puasa.
  • Mengambil makanan dan minuman probiotik seperti yogurt sewaktu sahur atau waktu berbuka puasa.
  • Minum air yang secukupnya untuk mengelakkan diri daripada terhidrasi. Air membantu proses pencernaan.
  • Mengambil hidangan dalam saiz yang kecil waktu berbuka untuk mengelakkan tekanan mengejut dalam perut.
  • Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan produk tenusu.
  • Mengambil ubat yang dipreskripkan oleh doktor sewaktu sahur dan berbuka puasa.

Tips persiapan dan perubahan ini bukan sahaja untuk bulan Ramadan, malah digalakkan untuk penghidap gastrik mengamalkannya setiap hari dalam kehidupan untuk mengurangkan dan merawat komplikasi gastrik.

Kesimpulan

Pemakanan dan gaya hidup kita sememangnya memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan dan ketahanan sistem pencernaan kita. Pemakanan yang tidak sihat dan tidak bersih serta pola makan yang tidak baik bukan sahaja memberi kesan gastrik malah meningkatkan risiko kanser seperti kanser perut. 

Pengamalan kesederhanaan dalam pemakanan sangat dinasihatkan.

Rujukan

  1. Minimise Stomach Upsets During Ramadan | Malaysian Dietitians’ Association
  2. The effects of fasting on 24-h gastric secretion of patients with duodenal ulcers resistant to ranitidine
  3. Can Gastritis Patients Fast During Ramadan?
  4. Gastrik bukan alasan untuk tidak berpuasa
  5. Pesakit Gastrik: Panduan Untuk Berpuasa – Hello Doktor
  6. IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-165 : HUKUM PUASA PESAKIT GLAUKOMA YANG PERLU SENTIASA MEMINUM AIR
  7. SIAPA YANG DIHARUSKAN UNTUK BERBUKA PUASA? Orang Sakit • Sekiranya dia berpuasa akan menambahkan kesakitannya atau melambatk
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here