Jangan Pandang Rendah Masalah Keputihan

Rata-rata wanita di seluruh dunia mengalami masalah ini pada bahagian sulit atau Miss V masing-masing. Masalah atau fenomena ini sememangnya adalah satu benda yang biasa berlaku dalam kitaran badan seseorang individu wanita. Fenomena atau sering dikatakan sebagai masalah ini adalah Keputihan. Dalam bahasa inggerisnya pula adalah Vaginal Discharge

Keputihan yang juga disebut sebagai leukorrhea adalah lelehan lendir berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita. Keputihan ini adalah fenomena semula jadi dalam badan wanita. 

Image Source: istockphoto.com

Apa fungsi faraj wanita mengeluarkan keputihan? Lelehan lendir keputihan ini dihasilkan oleh kelenjar di dalam faraj dan serviks yang membawa keluar sel-sel mati dan bakteria. Hal ini untuk memastikan faraj wanita kekal bersih dan bebas jangkitan. Jadi, konklusinya, keputihan juga memainkan peranan yang penting untuk faraj sebagai agen pembersih.

Walaubagaimanapun, fenomena keputihan ini boleh berlarutan hingga menjadi kronik apabila lelehan keluar dengan sangat kerap dan banyak seterusnya menjadi masalah. Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan faraj seperti meningkatkan risiko jangkitan.

Perbezaan Antara Keputihan Normal dan Keputihan Tak Normal

Untuk mengenal pasti sama ada keputihan kita normal atau tidak, kita boleh lihat daripada tekstur, bau dan warna keputihan tersebut.

Image Source: istockphoto.com

Keputihan fisiologi adalah keputihan yang normal dan kebiasaannya tidak disebabkan oleh gejala penyakit. Lelehan keputihan ini berlaku pada fasa sebelum kitaran haid dan sewaktu wanita sedang subur.

Manakala, keputihan kronik disebut sebagai keputihan patologik yang bersifat kronik dan terjadi akibat daripada gejala penyakit. Lelehannya juga mempunyai tekstur yang tidak normal seperti lelehan yang bergumpal, kental, banyak dan berbau. Warna lelehan juga warna yang jauh daripada kebiasaanya iaitu kuning, hijau, kelabu, dan merah jambu.

Image Source: @rockherbs.my on instagram

Punca Keputihan Terhasil

Selain daripada hormon estrogen yang merangsang penghasilan keputihan secara normal, apa faktor yang menyebabkan masalah keputihan keluar dengan sangat banyak dan tidak terkawal? Keputihan kronik atau keputihan patologik boleh terjadi akibat daripada beberapa faktor seperti keadaan kesihatan faraj dan sebagainya.

Faktor penyebab Keputihan Fisiologi

  • Kebersihan
  • Ubat antibiotik
  • Stres
  • Hormon
  • Kandungan gula tinggi (Hypoglisemia)

Faktor penyebab Keputihan Patologik (kronik)

  • Gangguan hormon wanita
  • Diabetes
  • Pengambilan pil perancang
  • Penyakit kelamin
  • Jangkitan pada faraj 
  • Kanser serviks
  • Diet yang tidak sihat
  • Kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Tidak menjaga kebersihan faraj
  • Memakai produk penjagaan wanita yang tidak sesuai

Komplikasi Daripada Masalah Keputihan

Keputihan yang normal tidak memudaratkan kesihatan faraj manakala keputihan kronik membawa komplikasi. 

Keputihan kronik adalah gejala yang menunjukkan paras kesihatan faraj seorang wanita itu dalam bahaya. Sebagai contoh keputihan kronik yang bertekstur kental dan berbau busuk adalah tanda jangkitan kulat. Sekiranya tidak dirawat untuk jangka masa yang lama boleh membawa komplikasi yang serius. 

Image Source: gettyimages.com

Selain itu, sebarang jangkitan pada faraj yang tidak dirawat boleh menjadi penyebab kandungan luar rahim dan risiko kemandulan. Kandungan luar rahim meningkatkan risiko kematian pada si ibu akibat daripada pendarahan dalaman yang kritikal.

Ada juga jangkitan yang boleh merebak pada bahagian lain sama ada dalam faraj atau organ badan yang lain.

Oleh itu, sangat penting bagi kaum Hawa untuk sentiasa memeriksa warna, bau dan tekstur keputihan masing-masing. Ini akan membantu kita untuk menjadi lebih peka dengan keadaan dan kesihatan faraj. Bukan itu sahaja, malah kaum Hawa juga dapat mengambil tindakan yang sepatutnya dengan lebih cepat sekiranya ada sebarang masalah.

Tips Mengurangkan Masalah Keputihan

Image Source: istockphoto.com

1. Kebersihan diri

Menjaga kebersihan diri adalah komponen yang sangat penting bagi mengelakkan jangkitan. Faraj kita haruslah sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Lap faraj dan kawasan sekitarnya dengan kain atau tisu bersih yang tiada bahan kimia atau pewangi.

Untuk pencuci wanita pula, sangat digalakkan untuk memilih produk yang sesuai dengan diri dan elakkan daripada menggunakan produk semburan serta produk yang mengandungi pewangi.

2. Pakaian

Pakaian yang ketat seperti legging dan seluar ketat boleh menyekat pengudaraan bahagian sulit kita. Ini boleh meningkatkan risiko jangkitan. Pakaian dalam wanita perlu sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak terlalu ketat.

Pemilihan pakaian dalam daripada material kapas lebih digalakkan kerana kapas berkesan dalam menyerap kelembapan. Elakkan material sintetik, hal ini kerana ia berisiko memerangkap kelembapan dan menyebabkan kerengsaan. Oleh itu, pilihlah pakaian yang sesuai untuk mengelakkan masalah keputihan daripada menjadi lebih teruk.

3. Tuala wanita dan pantyliner

Pemakaian tuala wanita dan pantyliner dengan kerap juga boleh menyebabkan keputihan. Oleh itu, elakkan memakai pantyliner dengan kerap. Jika ingin menggunakan tampon, tuala wanita atau pantyliner, dinasihatkan untuk memilih yang tidak mempunyai bau atau pewangi. Amalkan penggantian tuala wanita sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 3 jam sekali.

4. Gaya Hidup Sihat

Gaya hidup yang sihat terbukti dapat mengurangkan masalah keputihan dengan lebih efektif. Pemakanan yang sihat dan cukup nutrisi penting untuk memastikan penghasilan hormon yang berkualiti. Selain itu, amalkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk tempoh 3 ke 5 hari seminggu. Tidur yang cukup penting untuk kestabilan emosi. Dengan ini, hormon dapat dihasilkan dengan baik dan teratur.

5. Mengamalkan makanan kaya dengan khasiat

  • Makanan dan minuman probiotik (Mengandungi kultur hidup yang merangsang lebih banyak bakteria baik untuk badan.)
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan (Mempunyai antioksidan yang digunakan untuk menyembuh dan melindungi sistem badan daripada jangkitan.)
  • Bawang putih (Bertindak sebagai agen anti-bakteria dan anti-fungus.)
  • Air kosong (Kekurangan air dan faraj kering meningkatkan risiko jangkitan bakteria, virus dan yis.)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kaum hawa harus peka dan prihatin dengan perubahan kitaran badan kita. Terutamanya pada bahagian sulit kita. Daripada warna, tekstur dan bau keputihan kita dapat memeriksa keadaan dan tahap kesihatan faraj kita. 

Bukan itu sahaja, penjagaan rapi kebersihan faraj juga perlu dititikberatkan terutamanya pada sistem reproduksi. Hal ini kerana masalah keputihan yang tidak dikawal sejak dari awal boleh membawa kesan penyakit.

Rujukan

  1. Keputihan – Penyebab, Gejala, Rawatan Dan Pencegahan – DoctorOnCall
  2. 12 Punca SERIUS Keputihan Tak Normal, Boleh Jadi Simptom Penyakit Berbahaya!
  3. Vaginal Discharge: What’s Abnormal
  4. Vaginal discharge color guide: Causes and when to see a doctor
  5. Penyakit Keputihan – PORTAL MyHEALTH
  6. Vaginal Discharge: What’s Normal, What’s Not (for Teens) – Nemours KidsHealth.
  7. Vaginal discharge – NHS
  8. Vaginal discharge: evaluation and management in primary care – PMC
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here