INFO LENGKAP MASALAH ANGIN DALAM BADAN YANG SEMUA ORANG KENA TAHU

Masyarakat Malaysia sering mengalami masalah angin berlebihan dalam badan. Apa sebenarnya masalah angin berlebihan dalam perut ini? Ia juga dikenali sebagai masalah kembung perut di mana kita berasa kembung di bahagian abdomen. Masalah ini juga didefinisikan di mana terbentuk ‘angin’ di dalam perut dan usus yang membuatkan perut kita berasa penuh. Istilah yang sering digunakan oleh masyarakat Malaysia adalah perut masuk angin. 

Semua peringkat umur berisiko untuk mengalami masalah angin berlebihan dalam badan, baik kanak-kanak mahupun dewasa. Dikatakan masalah ini lebih sering mengganggu wanita berbanding lelaki.

Angin berlebihan dalam perut atau badan membuatkan kita berasa tidak selesa, rasa penuh atau kembung. Setiap individu mungkin mengalami tanda atau gejala yang berbeza sebagai contoh, perut sesetengah individu menjadi kembung dan keras. Ada juga individu yang kerap sendawa dan kentut untuk mengeluarkan angin daripada badan. Proses sendawa dan kentut ini juga boleh terjejas.

Punca Masalah Angin Dalam Badan

Masalah angin berlebihan dalam badan atau kembung perut ini berhubung rapat dengan keadaan sistem penghadaman kita. Hal ini juga berkait rapat dengan diet pemakanan harian dan gaya hidup masing-masing. 

Antara punca angin berlebihan dalam badan yang berhubung kait dengan diet pemakanan, masalah kesihatan dan gaya hidup kita adalah seperti:

Punca Daripada Diet Pemakanan

Image Source: istockphoto.com
  • Pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula dan garam yang tinggi. 
  • Mengamalkan diet pemakanan yang tinggi serat dan laktosa.
  • Kerap makan makanan pedas.
  • Pengambilan minuman bergas dan alkohol secara tidak terkawal.

Punca Daripada Masalah Kesihatan

Image Source: istockphoto.com
  • Faktor kesihatan mental (anxiety (kegelisahan) dan kemurungan)
  • Kenaikan berat badan (Obesiti)
  • Jangkitan parasit usus
  • Gangguan sistem pencernaan
  • Fluks hormon (terutamanya untuk wanita)
  • Mengalami masalah sembelit 
  • Intoleransi makanan (alahan)

Punca Daripada Gaya Hidup

Image Source: istockphoto.com
  • Kurang bersenam
  • Merokok
  • Makan dengan laju
  • Tidak mengunyah makanan dengan sempurna
  • Tidak mengamalkan corak pemakanan yang sihat

Faktor diet pemakanan harian dan gaya hidup memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kesihatan badan yang baik dan berpanjangan. Kedua-dua faktor ini juga sangat penting dalam mengurangkan masalah kesihatan yang sedia ada. Bukan sahaja masalah angin dalam badan, kecuaian dalam menjaga diet pemakanan dan gaya hidup boleh menjadi penyumpang kepada komplikasi kesihatan yang lain.  

Simptom dan Gejala

Setiap individu mungkin mengalami beberapa simptom atau gejala masalah angin yang berbeza. Walaubagaimanapun terdapat tanda masalah angin yang sangat biasa terjadi iaitu perut kembung dan perut menjadi keras sekiranya ditekan-tekan. Kebanyakan simptom dan gejala masalah angin terjadi disebabkan terdapatnya gangguan dalam sistem penghadaman kita. Antara gejala masalah angin yang berkait rapat dengan sistem penghadaman adalah GERD dan gastrik.

GERD

Individu pedih ulu hati

GERD atau terma saintifiknya Gastroesophageal Reflux Disease adalah refluks asid dalam sistem pencernaan. Gejala GERD ini sering diiringi dengan sensasi pedih ulu hati. Tahap asid dalam perut juga tidak dapat dilaraskan dengan baik dan akan menyebabkan asid naik semula ke dalam salur makan. Asid yang naik semula ke dalam salur makan boleh menjadi punca salur makan kita radang atau rasa pedih ulu hati. 

Bukan sahaja asid perut malah kandungan makanan juga akan naik semula dalam salur makan kita yang buat badan berangin. Kita akan berasa pedih ulu hati, kerap sendawa, loya, muntah sakit dada dan pening.

GASTRIK

Individu loya akibat gastrik

Di dalam perut kita terdapat lapisan mukosa yang memainkan peranan melindungi dinding perut. Asid hidroklorik membantu untuk memecahkan makanan dalam perut. Semasa proses penghadaman, asid hidroklorik dalam perut boleh menjadi tidak stabil dan akan menghakis lapisan mukosa tersebut. Lapisan akan kian menipis dan akhirnya tiada perlindungan pada dinding perut kita. Ini akan mengakibatkan asid hidroklorik untuk mencederakan dinding perut.

Antara simptom dan gejala masalah angin yang lain adalah:

  • Sakit dada
  • Migrain
  • Kerap sendawa
  • Kerap buang angin
  • Gangguan mental (gelisah)
  • Cepat lesu
  • Hilang selera makan
  • Loya dan muntah
  • Tak lawas pembuangan

Risiko Komplikasi Yang Akan Meningkat

Image Source: istockphoto.com

Jangan pandang masalah angin dalam badan dengan sebelah mata tau. Kalau gejala masalah angin ini dibiar berlarutan boleh jadi punca risiko komplikasi kesihatan lain meningkat! Jadi, jangan ambil mudah walaupun masalah angin ini dikatakan masalah yang biasa berlaku dalam kehidupan harian kita.

Antara risiko komplikasi yang akan meningkat adalah komplikasi sindrom iritasi usus (IBS). IBS adalah sejenis gangguan sistem pencernaan yang menjejaskan usus besar. Pengecutan otot usus menjadi tidak normal dan najis berada dalam usus untuk jangka masa lama. Ini akan mendorong kepada masalah sembelit.

Bukan itu sahaja, masalah angin juga akan mendorong kepada masalah pencernaan iaitu Dispepsia. Masalah pencernaan ini sering dikatakan sebagai rasa tidak selesa dan sakit pada bahagian perut, esofagus dan duodenum (gastrousus atas).

Risiko komplikasi usus tersumbat juga kemungkinan akan meningkat. Usus tersumbat adalah keadaan di mana saluran usus kecil atau usus besar disekat. Makanan, cecair, asid gastrik dan angin (gas) akan berkumpul di kawasan penyumbatan. Usus tersumbat boleh bawa maut! Hal ini kerana, sekiranya tekanan pada saluran meningkat, usus kita boleh pecah dan kandungan usus akan bocor. Gejala usus tersumbat selalu diiringi dengan kembung perut kronik, kesukaran membuang najis dan kekejangan perut. 

Cara Kurangkan Masalah Angin

Image Source: istockphoto.com

1. Kurangkan pengambilan makanan berproses

Makanan berproses seperti makanan ringan mengandungi kandungan garam yang sangat tinggi. Kandungan bahan monosodium glutamate (MSG) juga tinggi bagi menambah rasa yang sedap. Pengambilan makanan berproses yang tinggi garam dan MSG boleh menyebabkan kekembungan. Bukan sahaja perut kembung malah risiko obesiti juga akan meningkat.

Tak salah nak makan makanan ringan tetapi berpada-pada jangan sampai ia menjadi ‘habit’ atau ketagihan sehingga menjejaskan kesihatan. 

2. Makan tepat pada waktunya

Sangat tidak digalakkan untuk saja suka-suka lambat makan atau skip waktu makan. Hal ini kerana, organ perut kita sentiasa mencari bahan untuk dicernakan apabila tibanya waktu makan. Sekiranya kita skip waktu makan atau makan lambat, perut kita akan menghasilkan gas atau angin. Ini akan membuatkan kita berasa kembung perut dan penuh.

Badan memerlukan makanan dan minuman yang secukupnya untuk menghasilkan tenaga, jadi jangan lah kita ‘skip’ waktu makan. 

3. Kurangkan minuman berkarbonat

Minuman berkarbonat atau lebih dikenali sebagai minuman bergas yang membuatkan kita kerap sendawa. Gelembung gas dalam minuman berkarbonat menghasilkan sensasi atau kesan bersoda (fizzy effect) dalam saluran pencernaan kita. Buih daripada sensasi ini akan terperangkap dalam perut yang menyebabkan kekembungan.

Bukan sahaja membuatkan perut kita kembung, minuman berkarbonat sangat tinggi dengan kalori dan 0 nutrisi.

4. Kurangkan telan terlalu banyak udara

Sebenarnya, bukan saja semasa bernafas je udara masuk dalam badan tau. Minum air dengan straw dan mengunyah gula-gula getah pun menyebabkan udara masuk dalam badan. Udara ini juga tak masuk dalam sistem pernafasan kita tetapi masuk ke dalam sistem pencernaan. Hal ini akan menyebabkan perut kita kembung dan kita berasa penuh serta loya. Selain itu, tabiat makan dengan laju dan sambil bercakap pun udara boleh masuk dalam sistem pencernaan kita. 

5. Lain-lain

Antara cara mencegah angin berlebihan dalam badan adalah dengan kerap melakukan aktiviti fizikal untuk mengaktifkan dan melancarkan sistem pencernaan kita. Selain itu, dengan berhenti merokok juga kita dapat elak daripada angin masuk dalam badan. Hal ini kerana, apabila kita menghisap rokok dan menyedut asap secara tidak langsung kita juga menelan udara. 

Sering makan dengan banyak boleh buatkan perut rasa tidak selesa selepas makan, dengan kecilkan saiz hidangan dan makan dengan perlahan boleh kurangkan perut kembung selepas makan.

Makanan Berangin Untuk Dielakkan

Image Source: istockphoto.com

Produk Tenusu

Susu dan makanan tenusu lain seperti keju dan aiskrim mengandungi laktosa. Ini boleh menyebabkan perut kita kembung dan berangin, terutamanya individu yang mempunyai masalah intoleransi laktosa (lactose intolerant).

Sayuran

Sayuran sihat juga kalau diambil secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan diri. Antara sayuran yang dibincangkan adalah brokoli, kubis brussel, kubis bunga dan kubis mengandungi sejenis karbohidrat, raffinose. Tubuh badan kita mempunyai kesukaran untuk bertoleransi dengan baik dengan jenis karbohidrat ini. 

Bukan itu sahaja, sayur-sayuran ini juga sukar untuk dicernakan oleh badan kita. Bila usus kita mencuba untuk mencerna sayur-sayuran ini, ia menghasilkan gas dalam perut. Manakala, sayuran yang baik untuk sistem pencernaan kita adalah seperti lobak, kacang hijau, bayam, dan zucchini.

Buah-Buahan Tinggi Fruktosa

Antara buah-buahan yang tinggi dengan fruktosa adalah epal dan pir. Buah-buahan tinggi fruktosa boleh menyebabkan kesan sampingan yang sama dengan laktosa yang tidak dicerna dalam perut.

Memilih buah-buahan yang kurang fruktosa adalah pilihan terbaik bagi mengurangkan masalah angin dalam badan. Beri, sitrus, anggur, kiwi, strawberi dan pisang adalah antara buah-buahan yang mengandungi kandungan fruktosa yang sedikit.

Kafein

Kafein terdapat dalam minuman seperti kopi, teh, coklat dan minuman bergas. Kafein boleh meningkatkan masalah cirit-birit dan perut kembung.

Petua Hilangkan Angin Dalam Badan

Image Source: istockphoto.com

Petua tradisional atau alternatif juga boleh diamalkan di rumah untuk melegakan masalah angin dalam badan atau perut kembung. Kebanyakan masyarakat Malaysia gemar menyapu minyak angin. Cara ini pun berkesan bagi mengurangkan rasa sakit dan tidak selesa akibat kembung perut.

#1 Melakukan yoga

6 teknik yoga ini membantu untuk melancarkan proses mengeluarkan gas daripada badan. Ini kerana relaksasi badan memainkan peranan penting dalam membuang gas dalam badan.

  • Child pose – Membantu untuk menggerakkan angin melalui usus.
  • Happy baby pose – Tekanan yang dirasai membantu mengeluarkan angin daripada perut.
  • Posisi lutut ke dada – Posisi ini memberikan tekanan pada perut kita untuk membuang angin.
  • Posisi membongkok ke hadapan – Membantu membuang angin melalui kentut.
  • Posisi memusingkan perut – Membuang angin dengan memberi tekanan pada bahagian dalaman badan.
  • Squat – Angin dapat dikeluarkan kerana bahagian kanan perut diberi tekanan.

#2 Urutan perlahan pada perut

Dengan mengurut pada bahagian perut dan abdomen secara perlahan, ia membantu melancarkan sistem penghadaman kita. Macam mana nak urut? Boleh ikut cara di bawah:

  • Letak tangan atas tulang pinggang
  • Sapukan minyak untuk melicinkan permukaan
  • Urut dalam gerakan membulat dengan tekanan yang sedikit pada sebelah kanan dan kiri tulang rusuk.
  • Ulang dengan perlahan-lahan

#3 Minum minuman halia

Campur sikit minuman halia dengan lemon dan madu untuk membantu masalah penghadaman dan masalah angin banyak dalam badan. Halia sangat baik dalam membantu melancarkan sistem penghadaman kita. Melegakan sembelit, kembung perut dan kekejangan gastrik.

Kesimpulan

Kesimpulannya, masalah angin dalam badan atau kembung perut sering terjadi dalam kehidupan semua orang. Walaubagaimanapun, janganlah kita membuat tidak endah akan tindak balas badan kita akibat daripada kecuaian kita sendiri. Diet pemakanan, gaya hidup dan masalah kesihatan memainkan peranan penting dalam memastikan fungsi setiap organ dalam badan berjalan dengan lancar. 

Masalah angin dalam badan terjadi akibat kecuaian menjaga 3 faktor penting ini dan gejala yang berlarutan boleh mendorong kepada komplikasi kesihatan yang lain. 

Rujukan

  1. Beat The Bloat
  2. Belching, gas and bloating
  3. Functional GI disorder
  4. Gas and Gas Pain
  5. Symptoms and Causes of Gas
  6. How to Decrease Bloating
  7. Large Bowel Obstruction
  8. 10 Foods That Cause Gas
  9. Kembung Perut
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here