Menurut laporan 2019 yang diterbitkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, statistik penyakit diabetes di Malaysia, 3% kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh diabetes. Bukan itu sahaja, juga dilaporkan 1 daripada 5 individu di negara ini menghidap diabetes. Ini membawa maksud seramai 3.9 juta individu yang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes. Selain itu, laporan ini juga menyatakan bahawa sebanyak 37.3% daripada populasi di Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan yang menjadi faktor punca diabetes.
Diabetes atau lebih mesra dikenali di Malaysia sebagai penyakit kencing manis. Diabetes diakui serata dunia sebagai penyakit kronik yang menjejaskan kesihatan untuk jangka masa yang lama. Penyakit diabetes ini merujuk kepada keadaan kesihatan dimana kandungan gula dalam darah sangat tinggi.
Terdapat dua jenis diabetes yang biasa dijumpai iaitu:
- Diabetes Mellitus Type 1 – Penyakit kencing manis dimana seseorang individu mengalami masalah kandungan gula tinggi dalam darah sejak lahir.
- Diabetes Mellitus Type 2 – Masalah gula tinggi dalam darah yang berlaku kepada orang dewasa akibat daripada kecuaian dalam mencorak gaya hidup yang sihat. (Contoh: Pengambilan makanan manis berlebihan.)
Tiada punca yang dapat ditemukan bagi Diabetes Mellitus Type 1 di mana pankreas menghasilkan kandungan insulin yang sedikit. Manakala punca yang menyebabkan Diabetes Mellitus Type 2 adalah masalah berat badan berlebihan (obesiti), pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.
Selain itu, wujud juga Diabetes Insipidus yang sering dikelirukan dengan Diabetes Mellitus Type 1 dan Type 2. Diabetes Insipidus ini sebenarnya merujuk kepada keadaan di mana buah pinggang seseorang menghasilkan air kencing secara berlebihan daripada normal.
Bagaimana Diabetes Menjejaskan Penglihatan
Menurut Institut Mata Nasional, masalah penglihatan yang menjadi kabur adalah salah satu perubahan penuaan dan kemerosotan kesihatan. Kalau nak tahu, antara tanda-tanda awal Diabetes adalah apabila penglihatan seseorang individu mula menjadi kabur.
Gejala ini dikenali sebagai Retinopati Diabetik dimana Retinopati merujuk kepada kerosakan kepada retina mata. Retina mata kita memainkan penting kerana ia adalah lapisan saraf di belakang mata kita. Ia berfungsi untuk melihat atau “mengambil gambar” dan menghantar maklumat imej ke otak. Keadaan Retinopati Diabetik ini terjadi apabila dinding salur darah menjadi lemah mengakibatkan kapilari tersumbat dan kebocoran lemak. Seterusnya, perlahan-lahan menjejas dan mengehadkan penglihatan. Bukan itu sahaja, semakin lama merosot semakin tinggi risiko untuk mata seseorang menjadi buta.
Retinopati Diabetik ini menjejaskan kehidupan kesemua penghidap diabetes yang mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi dan tidak terkawal. Bukan mereka ini sahaja, siapa lagi yang berisiko untuk terkesan dengan Retinopati Diabetik ini?
Antara kumpulan penghidap diabetes yang mempunyai risiko untuk mendapat Retinopati Diabetik ini adalah seperti:
- Individu yang mengalami masalah paras HB (hemoglobin) yang rendah.
- Penghidap diabetes yang sedang hamil.
- Individu yang mempunyai masalah kadar kolesterol dan tekanan darah tinggi.
- Individu yang mengalami masalah berat badan seperti obesiti.
Peringkat Kemerosotan Penglihatan
Rata-rata di dunia menobatkan penyakit Diabetes sebagai penyakit kronik yang diam-diam merosakkan sistem dan fungsi tubuh badan untuk jangka masa yang lama. Diabetes memberi kesan kepada anggota dan organ penting dalam badan seperti jantung, buah pinggang, saraf, sistem reproduktif, mata malah otak juga tidak terkecuali!
Retinopati Diabetik yang disebabkan oleh Diabetes ini hanya mengambil 4 peringkat sahaja untuk sepenuhnya merosakkan mata dan penglihatan seseorang.
Peringkat 1
Microaneurysms atau titik pendarahan muncul dalam satu bahagian retina akibat saluran darah yang lemah dan mudah bocor.
Peringkat 2
Pada peringkat kedua, banyak titik darah (microaneurysms) dapat dilihat pada bahagian retina. Terdapat juga kebocoran, penyempitan salur darah dan pendarahan pada lapisan retina.
Peringkat 3
Terdapat lebih banyak titik pendarahan pada keempat-empat bahagian retina. Penyempitan salur darah dan pendarahan mengakibatkan oksigen pada retina tidak mencukupi.
Peringkat 4
Kekurangan oksigen pada retina mengakibatkan pertumbuhan salur darah yang tidak normal. Pendarahan dalam mata boleh berlaku.
Tanda-tanda Retinopati Diabetik
Pada peringkat awal gejala Retinopati Diabetik dikatakan masih tiada tanda atau simptom yang ketara dapat dikenalpasti. Ini kerana simptom-simptom masih belum dapat dilihat sehinggalah terdapat kerosakan utama dalam mata.
Apabila kadar gula dalam darah tinggi dan berlarutan untuk jangka masa yang lama tanpa dikawal, gejala-gejala yang akan timbul adalah seperti:
- Penglihatan mula menjadi kabur
- Susah untuk membezakan warna
- Terdapat bintik hitam atau gelap pada penglihatan (Juga dipanggil ‘floaters’)
- Susah untuk melihat pada waktu malam
- Hilang penglihatan
Rawatan dan Cara Mencegah Retinopati Diabetik
Antara cara yang terbaik untuk mencegah terjadinya Retinopati Diabetik dan Diabetes sendiri adalah untuk mengamalkan kesederhanaan dalam diet pemakanan harian. Bukan itu sahaja, malah dalam gaya hidup juga kesederhanaan memainkan peranan yang sangat penting.
Menjaga kadar gula dalam badan biar terkawal, mengubah gaya hidup seperti lebih kerap bersenam dan berhenti tabiat merokok. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, prinsip ini hendaklah dijadikan panduan dalam setiap hidup individu untuk menjalani hidup yang sihat dan bahagia.
Walaubagaimanapun, untuk individu yang sudah menghidap Retinopati Diabetik, pakar kesihatan atau doktor akan mencadangkan untuk menjalani rawatan laser bagi mengurangkan risiko pendarahan pada bola mata. Seterusnya, rawatan Virektomi iaitu pembedahan yang dijalankan untuk mengeluarkan darah dan membuat parut pada retina.
Rawatan yang akan dicadangkan oleh pakar kesihatan berkemungkinan mengikut atau bergantung kepada tempoh dan keadaan Retinopati Diabetik yang dialami.
Kesimpulan
Komplikasi yang disebabkan oleh diabetes adalah lebih mendalam dan bukan sahaja terhenti kepada masalah-masalah yang kita dapat lihat secara fizikal seperti ulser kaki. Salur darah pada mata yang bocor dan sempit akibat kadar gula yang tinggi dalam badan menyebabkan komplikasi Retinopati Diabetik. Hal ini menyebabkan penglihatan penghidap diabetes mula menjadi kabur dan boleh buta sekiranya tidak dirawat.