Semua orang berisiko untuk mengalami gejala sembelit dalam kehidupan masing-masing. Kebiasaannya disebabkan oleh kecuaian dalam menjaga pemakanan harian. Ramai yang ingat sembelit ini adalah satu penyakit. Salah, sembelit adalah satu gejala dan bukan penyakit.
Apa sebenarnya sembelit? Sembelit didefinisikan sebagai keadaan di mana kita mengalami kesukaran nak membuang air besar dan kurang kerap membuang. Bukan itu sahaja, tekstur najis juga lain iaitu lebih keras daripada najis biasa.
Najis yang biasa atau normal tidak mempunyai tekstur yang terlalu cair atau terlalu keras. Najis yang normal juga tidak susah dan tidak menyakitkan untuk dibuang.
Sistem pencernaan badan kita memainkan fungsi yang sangat penting, begitu juga dengan makanan yang kita makan setiap hari. Pastikan cukup dengan serat dan nutrien yang diperlukan oleh badan.
Tanda-tanda dan Gejala Sembelit
Setiap individu berkemungkinan mengalami simptom dan gejala sembelit yang berlainan. Antara tanda dan gejala kita mengalami sembelit adalah seperti:
- Hilang selera makan
- Kurang membuang air besar
- Mempunyai najis yang keras dan kering
- Sakit apabila membuang
- Pembuangan tidak lawas
- Merasa seperti dubur tersumbat
Sekiranya mempunyai tanda atau gejala di atas yang berlarutan selama lebih seminggu, segera ambil tindakan. Kalau kita membiarkan gejala sembelit berlarutan tanpa mengambil apa-apa tindakan, ia boleh merosot dan mendorong kepada keadaan yang lebih teruk seperti sembelit kronik, buasir dan risiko kanser usus.
Faktor Yang Menyebabkan Sembelit
Pemakanan Yang Tidak Cukup Serat
Diet pemakanan harian yang tidak cukup dengan nutrien seperti serat boleh menjadi punca najis menjadi kering dan keras.
Dengan mengamalkan diet pemakanan yang tinggi dengan serat boleh membantu mengurangkan gejala najis keras. Hal ini kerana, makanan yang tinggi dengan serat membantu untuk melembutkan najis. Manakala, kalau kita mempunyai najis yang cair (cirit-birit), makanan tinggi serat boleh membantu untuk mengeraskan najis secara sedang-sedang untuk memudahkan kita untuk membuang.
Menahan Diri Daripada Membuang Air Besar
Kecuaian diri sendiri tidak menghiraukan keinginan membuang air besar boleh menjadi punca kita menghadapi masalah sembelit. Apa sebenarnya yang terjadi?
Usus besar kita memainkan peranan penting untuk menyerap air daripada sisa makanan yang sudah dicerna dan menghasilkan najis. Dalam usus besar kita juga terdapat otot-otot yang bekerja untuk mengeluarkan najis melalui dubur. Sekiranya najis berkumpul di dalam usus besar dalam jangka masa yang lama, ia akan mengeras.
Ini akan menyebabkan najis tersebut sukar untuk dibuang dan kita juga akan merasa sakit ketika membuang.
Kurang Melakukan Aktiviti Fizikal
Kekurangan melakukan aktiviti fizikal akan membuatkan badan kita menjadi tidak aktif. Bukan sahaja badan, malah pergerakan usus juga akan menjadi tidak aktif. Oleh sebab itu, sangat digalakkan untuk kita kerap melakukan aktiviti fizikal. Berjalan kaki di taman rekreasi selama 30 minit setiap hari juga sudah cukup untuk menyihatkan tubuh badan dan kesihatan jantung.
Tapi apa kena mengena dengan sembelit? Bila badan tidak aktif, pergerakan usus tidak akan aktif. Hal ini akan melambatkan pergerakan usus dan najis akan berada dalam usus besar untuk jangka masa yang lama menyebabkan najis menjadi keras.
Cara Atasi Masalah Sembelit
Menjaga Pemakanan
Bagi mengatasi atau mengurangkan masalah sembelit dan kehidupan harian, kita mestilah menjaga atau mengubah diet pemakanan kita. Antara perubahan yang kita boleh buat untuk menambah baik diet pemakanan harian kita sekaligus mengurangkan masalah sembelit adalah seperti:
- Banyakkan makan makanan yang tinggi dengan serat.
- Minum air yang banyak.
- Kurangkan pengambilan makanan rendah serat (daging, keju, dan susu.)
Kerap Melakukan Senaman Ringan
Dengan melakukan apa-apa aktiviti fizikal, badan kita akan menjadi aktif. Begitu juga dengan organ dalaman dan pergerakan usus selepas makanan dicerna. Pergerakan usus yang aktif akan lebih cepat membawa sisa atau najis untuk disingkirkan.
Bila najis dibuang dan tidak berada di dalam usus besar dalam jangka masa yang lama, najis tidak akan menjadi keras dan kering. Jadi proses membuang air besar akan menjadi mudah dan tidak menyakitkan.
Elakkan Daripada Menahan
Tindakan menahan daripada membuang air besar akan menyebabkan najis berada dalam usus besar untuk jangka masa yang lama. Akhirnya najis menjadi kering dan keras serta sukar untuk kita membuang. Hal ini juga akan menyebabkan najis tersekat dan tersumbat.
Bukan itu sahaja, bila najis tersumbat atau tersekat, tindakan meneran boleh memberi tekanan rektum dan boleh mencederakan sehingga terluka. Ini boleh menyebabkan terdapatnya darah dalam najis tersebut. Pembuangan air besar juga akan kerap menjadi satu proses yang menyakitkan dan sukar kerana terdapatnya luka di lubang dubur.
Makanan Cegah Sembelit
Yogurt dan Susu Kultur
Dalam yogurt dan minuman susu kultur terdapat kandungan mikroorganisma yang dikenali sebagai probiotik. Ianya adalah sejenis bakteria baik yang membantu penghadaman, meningkatkan kesihatan dan fungsi usus serta melembutkan najis.
Bakteria baik dalam yogurt dan minuman susu kultur merangsang penghadaman dan menyekat pertumbuhan bakteria tidak baik dalam usus kita.
Buah-buahan
Buah-buahan seperti avocado, limau, epal, anggur dan kiwi sangat baik dalam mencegah sembelit. Bukan sahaja mencegah, boleh juga mengurangkan dan melegakan masalah sembelit. Buah-buahan ini sangat kaya dengan air, serat dan vitamin yang melancarkan pergerakan saluran pencernaan dan meringankan sembelit. Najis juga akan lembut dan tidak kering.
Sayuran Hijau
Sayuran hijau juga kaya dengan kandungan serat, air, vitamin dan folat yang membantu untuk melancarkan pergerakan najis dalam usus.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh memberatkan najis yang berkumpul dan memudahkan kita untuk membuang. Antara sayuran hijau yang baik dalam meringankan masalah sembelit adalah seperti brokoli dan bayam.
Kesimpulan
Konklusinya, pemakanan harian kita adalah antara faktor yang memainkan peranan penting dalam kesihatan usus dan penghadaman kita. Sekiranya kita mengambil mudah hal ini, bukan sahaja sembelit malah risiko untuk kita mendapat penyakit yang lebih kronik seperti buasir dan kanser usus juga meningkat.
Kesihatan usus dan sistem pencernaan sangat penting untuk kita jaga dengan sebaik mungkin kerana kerosakan sistem ini boleh melumpuhkan sekurang-kurangnya setengah fungsi badan kita.