Berhati-hati dengan Kehamilan Ektopik! Boleh Mengancam Nyawa Ibu!

Percaya atau tidak, kehamilan ektopik ini bukanlah perkara yang ganjil atau unik, malah ia menjadi perkara biasa yang terjadi kepada segelintir wanita hamil. Ada wanita yang mengalami kehamilan ektopik selepas mengandung anak pertama, ada juga yang mengalami kehamilan jenis ini ketika mengandung anak kedua dan seterusnya. 

Masalah kehamilan ektopik ini memberi impak morbiditi dan mortaliti yang tinggi dimana ia mewakili sebanyak 6% daripada keseluruhan punca kematian kehamilan.

Image Source: istockphoto.com

Apa yang dimaksudkan dengan kehamilan ektopik ini sebenarnya? Terma ektopik memberi maksud “di tempat yang salah” jadi kehamilan ektopik sebenarnya merujuk kepada kehamilan yang tidak terjadi di dalam rahim. Bahasa mudahnya, kehamilan ektopik ini adalah keadaan dimana seseorang wanita yang hamil dengan kandungannya berada di luar rahim. Komplikasi kehamilan ini kebiasaannya terjadi sewaktu trimester pertama.

Kehamilan Ektopik Jenis Dalam Tiub Fallopian (Tubal Pregnancy)

Menurut, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal, kehamilan di luar rahim ini boleh mengancam nyawa ibu. Jadi, solusi yang terbaik adalah untuk menggugurkan kandungan luar rahim tersebut sepenuhnya.

Bagaimana kehamilan luar rahim ini boleh mengancam nyawa ibu?

Hampir 98 peratus kes kehamilan ektopik ini, telur yang disenyawakan didapati dalam tiub fallopio yang juga dikenali sebagai kehamilan tiub (tubal pregnancy). Sekiranya kehamilan ini dibiarkan berkembang, ia akan menyebabkan pendarahan dan kesakitan serta berisiko tinggi untuk tiub fallopio itu pecah. Pendarahan dalaman akan berlaku apabila tiub fallopio tersebut pecah sekaligus mendatangkan komplikasi lain pada ibu sekiranya tidak meragut nyawanya.

Jenis Kehamilan Ektopik

Image Source: istockphoto.com

Terdapat 3 jenis kehamilan ektopik yang berisiko dihidap oleh mana-mana wanita hamil. Antaranya adalah kehamilan dalam tiub fallopian, kehamilan selain daripada dalam tiub, dan kehamilan heterotopik.

Kehamilan dalam tiub fallopian (Tubal Pregnancy)

Kehamilan dalam tiub fallopian ini berlaku apabila telur yang disenyawakan menempel di dalam tiub tersebut. Komplikasi jenis ini adalah yang paling biasa dijumpai dimana hampir 98 peratus kes kehamilan ektopik berlaku di dalam tiub fallopian.

Hipotesis yang dibuat mengatakan kemungkinan kehamilan dalam tiub fallopian terjadi disebabkan oleh faktor seperti gangguan dalam pergerakan embrio dalam tiub fallopian dan perubahan persekitaran dalam tiub tersebut.

Kehamilan selain daripada dalam tiub fallopian

Dianggarkan sebanyak 2% daripada keseluruhan kes ektopik berlaku pada bahagian pangkal rahim, ovari dan pada bahagian dalaman abdomen.

Terdapat kes kelahiran hidup yang direkodkan dan kelahiran ini dikeluarkan atau dilahirkan pada bahagian abdomen. Selepas kelahiran, didapati uri menempel pada organ dalam abdomen banyak bekalan darah. Jadi, risiko morbiditi dan mortaliti kepada ibu sangat tinggi sekiranya uri tersebut dipisahkan daripada organ abdomen kerana ia akan menyebabkan pendarahan yang sangat banyak.

Pembedahan boleh dibuat tetapi tidak memisahkan uri daripada organ tapaknya sebaliknya membuang sebahagian daripada organ yang mempunyai uri di atasnya.

Kehamilan Heterotopik

Kehamilan heterotopik adalah kehamilan luar rahim yang jarang terjadi melibatkan 2 telur yang disenyawakan. Dimana satu telur menempel pada dinding rahim dan satu lagi berada di bahagian lain (di luar rahim).

Walaupun jarang terjadi, namun kini kehamilan heterotopik ini dilihat semakin meningkat melalui In-Vitro Fertilisation (IVF).

Faktor Risiko Kehamilan Ektopik

Image Source: istockphoto.com

Kehamilan Ektopik ini boleh terjadi kepada mana-mana wanita sebenarnya. Tetapi terdapat faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk seseorang wanita itu menghidap komplikasi kehamilan luar rahim ini. Faktor-faktor ini menyebabkan kerosakan pada tiub fallopian seseorang wanita.

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kehamilan ektopik adalah seperti:

  • Penggunaan IUD (Alat dalam rahim)
  • Mempunyai sejarah menghidap keradangan pelvis (PID)
  • Mempunyai sejarah pembedahan yang melibatkan tiub fallopian
  • Menghidap Endometriosis
  • Melakukan ikatan tiub (Tubal Ligation)
  • Pernah menjalani pembedahan pada bahagian dalam rahim
  • Merokok
  • Pernah menghidap kehamilan ektopik pada kehamilan lampau
  • Pernah terdedah kepada bahan kimia diethylstilbestrol (DES)
  • Berusia 35 keatas
  • Penggunaan ubat kesuburan
  • Menghidap jangkitan seksual (STIs)

Simptom dan Gejala Kehamilan Luar Rahim

Image Source: istockphoto.com

Tanda dan gejala kehamilan ektopik dikatakan hampir sama dengan gejala hamil normal, walaubagaimanapun, gejala tersebut boleh beransur teruk dan menjadi serius.

Sentiasa peka dengan gejala dan sentiasa bertanya dengan doktor sekiranya sedang hamil atau merancang untuk hamil.

Antara gejala yang dialami oleh wanita yang hamil luar rahim adalah seperti:

  • Kerap berasa loya dan cirit-birit yang teruk
  • Berlaku pendarahan dari faraj (Tidak sepatutnya berlaku ketika hamil)
  • Mengalami sakit kronik pada perut atau pada bahagian pelvis 
  • Berasa sakit pada hujung bahu, leher dan rektum
  • Pitam atau pengsan (Terjadi akibat tiub fallopian pecah dan pendarahan dalaman)
  • Mempunyai benjolan pada bahagian kanan atau kiri bawah abdomen
  • Bacaan hCG meningkat

Bagaimana Doktor Mendiagnos Kehamilan Ektopik?

Image Source: istockphoto.com

Terdapat dua ujian yang kebiasaanya digunakan oleh doktor untuk mendiagnos kehamilan ektopik seseorang wanita hamil. Kedua ujian tersebut adalah ujian serum bikimia dan ujian ultrasound.

Ujian Serum Hormon hcG

Ujian ini penting dalam penilaian diagnostik kehamilan ektopik dengan memerhatikan tahap dan peningkatan hormon hcG iaitu hormon yang dihasilkan oleh plasenta.

Komplikasi kehamilan luar rahim ini dikaitkan dengan sebarang peningkatan tahap hCG yang tidak lebih daripada 66%. Bukan itu sahaja, ia juga dikaitkan dengan sebarang penurunan hCG tidak melebihi 13 peratus daripada tahap asal dalam masa 48 jam.

Ultrasound

Ultrasound ini dilakukan melalui faraj (transvaginal ultrasound) dimana ujian ini mempunyai sensitiviti setinggi 90% dalam mengenal pasti kehamilan ektopik.

Seseorang wanita akan didiagnos dengan kehamilan ektopik sekiranya didapati kantung gestasi dan mempunyai bentuk jantung janin di sekitar kawasan tiub fallopian (kehamilan luar rahim jenis dalam tiub).

Rawatan Untuk Kehamilan Ektopik

Image Source: istockphoto.com

Doktor pakar sakit puan akan memilih rawatan yang sesuai untuk mengendalikan kes kehamilan luar rahim. Antara rawatan yang kemungkinan akan digunakan oleh doktor anda adalah penggunaan ubat-ubatan, pemerhatian rapi, dan pembedahan.

  1. Penggunaan Ubat-Ubatan 
  • Menggunakan ubat methotrexate untuk menghentikan perkembangan embrio dan mengakibatkan keguguran atau isinya diserap sepenuhnya oleh ibu. 
  • Ada juga yang dikeluarkan mengikut darah haid. 
  • Walaubagaimanapun, sekirannya menghidap penyakit darah, buah pinggang, hati atau saiz embrio melebihi ukuran 3.5 cm tidak sesuai untuk menjalani rawatan ini.
  1. Pemerhatian Rapi
  • Tahap hormon hCG dalam serum akan diperhatikan dan ultrasound akan dilakukan beberapa kali.
  • Sekiranya, paras serum hCG menurun, menunjukkan bahawa janin sudah mati akibat tidak dapat berkembang.
  1. Pembedahan
  • Sekiranya kedua-dua rawatan di atas tidak bersesuaian dengan pesakit, pembedahan akan dibuat.
  • Doktor akan membuat pilihan samada memotong tiub fallopian yang terjejas dan membuang kandungan luar rahim atau sekaligus membuang tiub fallopian yang terjejas.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sekiranya sedang hamil dan mempunyai tanda atau gejala kehamilan ektopik, segeralah berjumpa dengan doktor pakar sakit puan untuk rawatan lanjut. Jika tindakan segera diambil ia boleh menyelamatkan nyawa kita.

Oleh itu, wanita berkahwin digalakkan untuk berjumpa doktor pakar sakit puan apabila disahkan hamil lima minggu. Ini untuk mengesan keberadaan kandungan dan memastikan ia berada di tempat sepatutnya iaitu di dalam rahim. 

Rujukan

  1. Bahaya kehamilan ektopik
  2. Ectopic Pregnancy: Signs, Causes, Diagnosis, and Treatment
  3. Kehamilan Ektopik – PORTAL MyHEALTH
  4. Reasons Why An Ectopic Pregnancy Can Occur
  5. Ectopic pregnancy – NHS
  6. Ectopic Pregnancy
  7. 5 Tanda Dan Faktor Risiko Kehamilan Ektopik Yang Setiap Wanita Perlu Ketahui!
  8. Hati-Hati Dengan Kehamilan Luar Rahim, Ini WANITA Yang Berisiko Untuk Mengalaminya
  9. 11 Perkara Ini Boleh Menjadi PUNCA Kehamilan Luar Rahim, Bakal Ibu Kena Ambil Tahu
  10. Kehamilan Luar Rahim, Apakah Punca Ia Boleh Terjadi & Risiko Yang Ditanggung Ibu
  11. Ectopic pregnancy – Diagnosis and treatment – Mayo Clinic
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here