Bahana Kadar Gula Dalam Badan Terlalu Rendah! Apa Nak Buat?

Kadar gula yang tinggi dalam darah membawa mudarat kepada diri dan meningkatkan risiko menghidap penyakit Diabetes. Tapi, bagaimana pula kalau kadar gula dalam darah yang terlalu sedikit? Bahaya atau tidak?

Keadaan di mana kadar gula dalam darah sangat rendah dipanggil sebagai Hipoglisemia. Kadar gula dalam darah dianggap sangat rendah apabila ia di bawah 4 mmol/L atau 70 miligram per desiliter (mg/dL). Manakala, Hiperglisemia pula adalah terma untuk kadar gula dalam darah yang sangat tinggi.

Gambaran keadaan kadar gula dalam darah: Hipoglisemia (Gula rendah) & Hiperglisemia (Gula tinggi).

Ternyata kadar gula dalam darah yang terlalu rendah juga tidak bagus, ini kerana jika berlarutan boleh menyebabkan sawan dan risiko untuk pengsan. Bukan itu sahaja, malah risiko untuk koma dan maut juga tinggi!

Oleh sebab itu, semua individu perlu sentiasa memantau dan peka dengan kadar gula masing-masing, bukan sahaja individu yang menghidap diabetes.

Kebiasaannya, hipoglisemia ini adalah salah satu kesan sampingan daripada rawatan penyakit diabetes dan ubat-ubatan. Selain itu, hipoglisemia ini juga boleh terjadi akibat daripada keadaan kesihatan yang lain.

Golongan Berisiko Hipoglisemia

Image Source: istockphoto.com
  • Mana-mana individu boleh terkesan dengan Hipoglisemia sekiranya terdapat faktor yang menyebabkan kadar gula dalam darah menjadi rendah.
  • Wanita yang mengalami Gestational Diabetes Mellitus iaitu Diabetes semasa hamil.
  • Penghidap Diabetes yang bergantung kepada suntikan insulin (Diabetes Type 2).

Punca Berlakunya Gejala Hipoglisemia

Image Source: istockphoto.com

Sekiranya penyakit Diabetes disebabkan oleh pengambilan makanan tinggi gula atau indeks glisemik tinggi secara berlebihan, bagaimana pula dengan Hipoglisemia?

Hipoglisemia disebabkan oleh faktor-faktor seperti:

  • Melakukan senaman dan aktiviti fizikal dengan terlalu kerap.
  • Makan terlalu sedikit.
  • Diet kurus yang keterlaluan dan boleh membahayakan diri sendiri.
  • Muntah dan cirit-birit.
  • Tidak mengambil ubat diabetes mengikut waktu.
  • Sering ‘skip’ atau melambatkan waktu hidangan.
  • Terdapat gangguan endokrin.
  • Pengambilan alkohol secara tidak terkawal.
  • Mengambil terlalu banyak insulin.
  • Mengambil insulin yang tidak disimpan dengan baik atau telah tamat tarikh luput.
  • Menggunakan pam insulin yang rosak.

Ada juga jenis-jenis ubat untuk rawatan Diabetes yang berpotensi menyebabkan gejala Hipoglisemia seperti ubat-ubatan diabetes di dalam kumpulan Sulfonylureas.

Simptom-Simptom Hipoglisemia

Image Source: istockphoto.com

Gula berfungsi untuk menghasilkan tenaga untuk tubuh badan kita bergerak dan bekerja. Apabila kekurangan atau kadar gula dalam badan sangat rendah, boleh menyebabkan kita rasa:

  • Lesu dan keletihan melampau
  • Mengantuk
  • Kelihatan pucat dan berpeluh
  • Rasa lapar
  • Keliru
  • Rasa nak pitam
  • Badan mula menggigil
  • Jantung berdegup dengan laju
  • Pening kepala

Bukan itu sahaja, tanda Hipoglisemia paling teruk adalah berisiko untuk terkena sawan dan boleh koma sekiranya berlarutan.

Rawatan & Tips Mencegah Hipoglisemia

Image Source: istockphoto.com

Penyakit Diabetes yang dikenali sebagai salah satu penyakit kronik dunia adalah keadaan di mana kadar gula dalam badan sangat tinggi. Manakala Hipoglisemia pula adalah keadaan di mana gula dalam badan sangat rendah. 

Apa yang perlu dibuat untuk mencegah atau mengurangkan kedua-dua komplikasi ini? Jawapannya adalah mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan kita. Kesederhanaan dalam gaya hidup dan juga corak pemakanan memainkan peranan yang signifikan dan memberi impak yang besar. 

Terdapat beberapa rawatan dan tips untuk mengurangkan risiko gejala Hipoglisemia yang boleh diamalkan. Walaubagaimanapun, nasihat atau tips-tips ini tidak boleh menggantikan nasihat dan konsultasi daripada yang lebih pakar.

Rawatan dan tips yang boleh diamalkan untuk mengurangkan gejala Hipoglisemia ini membantu untuk menambahkan keseimbangan glukosa dan insulin kepada normal. Antara tipsnya adalah untuk sentiasa membekalkan gula kepada badan terutamanya apabila mengalami episod Hipoglisemia. Bentuk gula yang boleh diambil adalah seperti gula-gula, jus buah, dan tablet glukosa.

Selain itu, boleh juga cuba:

  • Mengambil makanan yang seimbang dan sesuai dengan jumlah karbohidrat yang disarankan oleh doktor.
  • Memberi pencerahan kepada orang terdekat tentang diabetes dan cara menyuntik glukagon sekiranya diri hilang kesedaran dan pitam.
  • Memberi perhatian kepada setiap perubahan badan dan tanda Hipoglisemia. Makan makanan yang membekalkan gula sebaik sahaja paras gula menjadi terlalu rendah.

Kesimpulan

Kadar gula dalam darah yang tinggi memudaratkan kesihatan, begitu juga apabila kadar gula dalam darah terlalu rendah. Inilah sebabnya kita perlu mengamalkan kesederhanaan dalam gaya hidup dan corak pemakanan. Agar tidak memudaratkan dan memberi komplikasi kesihatan kepada diri sendiri. 

Rujukan

  1. Alami Badan Bergetar & Degupan Jantung Laju, Ini Petanda Hipoglisemia (Glukosa Darah Menurun)!
  2. Hipoglicemia Diabetes: Ketahui Punca & Simptomnya – Hello Doktor
  3. Hypoglycemia (low blood sugar)
  4. Low Blood Glucose (Hypoglycemia) | NIDDK
  5. Diabetic hypoglycemia – Symptoms and causes – Mayo Clinic
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here