Buasir ialah saluran darah vena membesar di bahagian hujung usus besar iaitu rektum dan dubur. Keadaan ini semakin teruk apabila saluran darah tersebut membengkak atau menjadi radang.
Buasir terbahagi kepada dua:
1. Buasir dalaman
Buasir dalaman tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Saluran darah vena akan membengkak di usus besar bahagian rektum. Buasir ini biasanya tidak sakit tetapi pesakit hanya akan menyedarinya apabila terdapat darah dalam najis. Dalam sesetengah kes, pesakit akan merasa seperti terdapat unjuran yang terkeluar tetapi unjuran ini akan hilang dengan sendiri atau perlu menolak masuk semula.
2. Buasir luaran
Buasir luaran boleh dilihat. Ia adalah unjuran yang terkeluar di bawah bahagian dubur. Disebabkan banyak urat saraf yang sensitif di bahagian ini, buasir ini lebih menyakitkan dan kadar kesakitan yang dirasai mungkin berbeza untuk setiap orang. Meneran semasa proses membuang air besar akan menyebabkan pendarahan. Buasir ini yang paling biasa dialami oleh kebanyakan orang.
Makanan yang perlu elak untuk pesakit buasir
1. Makanan berminyak
Makanan berminyak atau berlemak seperti sambal, masak lemak, gulai, kari dan bergoreng akan meningkatkan risiko sembelit. Ini kerana lemak adalah sejenis makanan yang lambat dicerna oleh badan. Ia mengambil masa dan akan tinggal lama dalam sistem penghadaman. Ini akan menyebabkann najis mengeras dan berlaku sembelit.
Sembelit memaksa individu untuk meneran dan keadaan ini memberi tekanan kepada saluran darah di dubur. Keadaan ini seterusnya boleh mengakibatkan keradangan dalam usus dan buasir akan menjadi lebih teruk, besar, sensitif serta menyakitkan.
2. Makanan masin
Makanan masin boleh menyebabkan kembung perut kerana penggumpulan garam dalam darah. Pengambilan yang berlebihan akan melambatkan proses pencernaan. Ia juga boleh meningkatkan kebergantungan badan terhadap air dan memberi tekanan terhadap saluran darah.
Pengambilan makanan masin atau bergaram memerlukan air yang banyak untuk mengimbangi kandungan garam berlebihan dalam salur darah. Air akan keluar dengan banyak ke salur darah dan menyebabkan badan kekeringan dan mengganggu proses pencernaan badan.
Dehidrasi dan kembung perut akan memburukkan lagi keadaan buasir dan memberi ketidakselesaan kepada pesakit.
3. Makanan pedas
Makanan pedas tidak menyebabkan buasir. Tetapi ia akan memburukkan lagi keadaan yang sudah ada. Pesakit akan mengalami rasa seperti terbakar.
Kajian pada tahun 2008 dalam Diseases of the Colon and Rectum dilakukan kepada pesakit yang mempunyai pendarahan pada dubur (buasir). Peserta diberi kapsul placebo dan kapsul mengandungi serbuk cili. Peserta yang mengambil kapsul serbuk cili menunjukkan kesan yang semakin teruk. Manakala peserta yang mengambil placebo menunjukkan simptom semakin baik.
Makanan pedas akan menyebabkan cirit-birit. Ini terjadi kerana ia adalah perangsang pencernaan. Perubahan dalam proses pencernaan akan memberi ketidakselesaan kepada pesakit yang mempunyai simptom buasir.
Sembelit adalah najis keras yang menyebabkan kita perlu meneran dengan lama dan memberi tekanan kepada dubur. Ini akan memberi tekanan kepada saluran darah yang terdapat pada dubur. Ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan risiko buasir bertambah.
Pesakit yang sudah tidak mengalami buasir boleh makan makanan pedas seperti biasa dalam kadar yang sederhana.
4. Produk tenusu
Produk tenusu termasuk pelbagai jenis keju, yogurt dan susu. Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan apabila terjadinya sembelit. Ia juga akan menghasilkan gas serta mengakibatkan kekejangan perut.
Menurut satu kajian, kekerapan pengambilan makanan tenusu akan menyebabkan pengumpulan asid lemak dan kalsium daripada sumber tenusu dalam usus. Ini akan mengeraskan najis dan mengakibatkan sembelit. Sembelit akan memburukkan lagi keadaan buasir.
5. Daging merah
Daging merah mempunyai lemak yang banyak. Ia mengambil masa yang lama untuk dicerna. Proses pencernaan yang lambat akan memberi tekanan kepada usus disamping risiko najis menjadi keras. Keadaan ini akan menyebabkan sembelit. Sembelit yang berterusan memberi tekanan kepada saluran darah di bahagian dubur. Lama-kelamaan, buasir boleh berlaku.
6. Makanan proses
Makanan diproses mengandungi rendah serat, rendah nutrisi dan tinggi sodium. Contoh makanan berproses adalah daging burger, sosej dan kentang goreng. Ia sukar dihadam oleh badan. Oleh yang demikian, ia akan mengakibatkan sembelit disebabkan air tidak mencukupi.
Badan memerlukan air yang banyak untuk melancarkan proses pencernaan. Keadaan ini akan mendorong buasir menjadi lebih teruk.
7. Minuman berkafein
Minuman berkafein tidak akan menyebabkan buasir tetapi akan memburukkan lagi simptom buasir yang sedia ada. Kafein bukan sahaja kopi tetapi termasuk coklat, teh, air bikarbonat dan minuman tenaga.
Najis akan menjadi kering dengan minuman berkafein. Ia bertindak menyerap air daripada badan. Dehidrasi akan menyebabkan sembelit. Sifat kafein yang memberi kesan perangsang akan mengaktifkan sistem pencernaan dan menyebabkan kekerapan ke tandas. Ini memburukkan lagi kesan buasir serta melambatkan proses penyembuhan.
8. Bijirin halus
Bijirin yang sudah diproses untuk melembutkan teksturnya dikenali sebagai bijirin halus. Ia boleh dijumpai daripada roti, biskut, donut dan pasta. Serat daripada bijirin seperti bran dan germ telah dibuang. Tanpa serat penting, proses pencernaan akan terganggu. Keadaan ini akan mengganggu buasir
9. Minuman beralkohol
Kekerapan pengambilan minuman beralkohol meningkatkan tekanan darah tinggi. Ini akan memberi tekanan kepada saluran darah. Buasir adalah saluran darah yang mengalami tekanan yang keterlaluan menjadi radang. Ini akan menghasilkan simptom bengkak dan pendarahan.
Di samping itu, alkohol akan menyebabkan dehidrasi. Badan akan menyerap air dengan banyak untuk menampung alkohol yang diambil. Dehidrasi akan menyebabkan sembelit. Ini memerlukan tenaga yang lebih untuk proses pembuangan air besar. Tekanan yang diberikan ini akan menegangkan buasir.
Konklusi:
Buasir harus dicegah dari awal. Pemakanan yang seimbang dapat mengelakkan terjadinya penyakit buasir. Ia boleh terjadi tanpa mengira usia.
Konklusinya, elakkan makanan-makanan yang boleh menyebabkan buasir menjadi lebih teruk contohnya makanan sedas, mee segera, susu, minuman berkafein serta makanan berproses.