Sista adalah masalah kesihatan yang biasa. Ia boleh terjadi di pelbagai tempat termasuklah ovari. Ramai wanita tidak sedar mereka mempunyai sista ovari. Sista ovari atau sindrom polisistik ovari (PCOS) adalah keadaan kesihatan yang mengganggu paras hormon dalam kalangan wanita. Wanita dengan masalah ini akan menghasilkan hormon lelaki (androgen) yang lebih dan mengakibatkan kitaran haid terganggu serta menjejaskan kesuburan.
Sista ovari adalah sejenis kantung tidak matang, berisi cecair seakan pepejal atau gas seperti darah, lemak dan tisu yang berkumpul dalam ovari. Kantung (folikel) sista ovari mempunyai saiz yang berbeza-beza sehingga saiz sebiji buah tembikai. Ovari yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 biji folikel atau isipadunya melebihi 10 ml dikenali sebagai polisistik. Hormon yang tidak seimbang menyekat kematangan telur, menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.
Wanita yang mengalami masalah ini akan mengalami kesukaran untuk mengandung. Malah, mereka juga berisiko mendapat rintangan insulin (diabetes), dislipidemia, hipertensi (tekanan darah tinggi) dan penyakit berkaitan obesiti.
Wanita PCOS juga akan mengalami masalah rambut tumbuh di bahagian muka, dan badan serta botak kepala. Biasanya sista ovari menyerang perempuan berusia 15 tahun hingga 44 tahun.
Menurut statistik di Malaysia, 1 daripada 10 wanita menghadapi masalah PCOS iaitu 10 hingga 15% wanita di peringkat umur reproduktif disahkan mendapat PCOS dan 50% wanita daripadanya mengalami PCOS tanpa pemeriksaan formal.
Jenis-jenis PCOS :
1. “Simple cyst”
Sista jenis ini biasa ditemui dalam kebanyakan wanita. Folikel ovari kian membesar selepas telur (ovum) dilepas keluar.
2. “Dermoid cyst”
Sel yang menghasilkan telur (ovum) bercampur lemak, cairan, gigi, atau kelenjar kulit.
3. Endometrioma
Juga dikenali sebagai sista coklat (“chocolate cysts”). Sel yang berada di dalam bahagian rahim tumbuh di bahagian luar rahim.
Faktor terjadi PCOS :
Hormon lelaki yang dihasilkan berlebihan oleh badan menghalang ovari wanita untuk menghasilkan hormon dan telur (ovum) dengan normal. Masalah ini boleh dirangsang oleh beberapa faktor seperti genetik, rintangan insulin (diabetes) dan keradangan.
1. Hormon
PCOS terjadi disebabkan hormon dalam badan wanita tidak stabil. Manakala hormon lelaki iaitu androgen dihasilkan berlebihan. Keadaan ini dirangsang oleh rintangan insulin. Insulin penting untuk membawa glukosa (gula) daripada saluran darah ke sel-sel dalam badan. Gula ini akan diproses menjadi tenaga.
Apabila insulin tidak dapat digunakan sebaiknya, badan akan menghantar isyarat kepada pankreas untuk menghasilkan lebih banyak insulin untuk bertindak balas dengan glukosa. Keadaan ini dipanggil rintangan insulin. Insulin yang dihasilkan berlebihan dalam badan akan merangsang ovari menghasilkan lebih banyak hormon lelaki. Rintangan insulin biasanya berlaku dalam individu obesiti (berlebihan berat badan).
Hormon androgen adalah hormon lelaki yang terlibat dalam proses reproduksi (pembiakan) dan perkembangan badan. Dalam badan wanita, hormon ini turut dihasilkan tetapi dalam kuantiti sedikit. Hormon yang berlebihan menghalang ovari daripada melepaskan telur (ovum) untuk persenyawaan. Disebabkan itu, mereka akan mengalami haid tidak teratur.
2. Keradangan
Wanita PCOS dan berat badan berlebihan berisiko meningkatkan paras keradangan dalam badan. Keradangan penting untuk melindungi diri daripada jangkitan, kecederaan dan toksin kerana ia terlibat dalam proses penyembuhan. Namun begitu, keradangan yang berlebihan akan meningkatkan hormon androgen iaitu hormon lelaki yang juga penyebab terjadinya PCOS dalam kalangan wanita.
3. Gaya hidup
Gaya hidup sihat seperti pemakanan sihat, kerap melakukan aktiviti fizikal serta tidak mengambil minuman beralkohol membantu mengekalkan berat badan sihat. Lebihan berat badan akan mengganggu kitaran hormon dalam badan, seterusnya lebih banyak hormon androgen dan estrogen dihasilkan. Sista ovari berisiko tinggi untuk terbentuk.
Simptom PCOS :
1. Haid tidak teratur
Proses ovulasi yang tidak berlaku dengan teratur menghalang dinding rahim daripada disingkirkan setiap bulan. Sesetengah wanita dengan masalah PCOS akan mengalami haid kurang daripada 8 kali setahun atau tiada haid langsung sepanjang tahun.
2. Pendarahan banyak
Apabila haid tidak dikeluarkan setiap bulan, dinding rahim akan dihasilkan semula dalam masa yang lama. Ini akan menyebabkan haid yang dikeluarkan banyak daripada biasa.
3. Pertumbuhan rambut
Hampir 70% wanita dengan masalah PCOS akan mengalami masalah pertumbuhan rambut di muka dan badan. Keadaan ini dikenali sebagai hirsutism.
4. Jerawat
Hormon lelaki berlebihan akan menyebabkan kulit muka berminyak lebih daripada biasa. Ini akan menyebabkan jerawat mudah untuk keluar.
5. Peningkatan berat badan
Sista ovari atau PCOS akan menyebabkan rintangan insulin yang seterusnya lebihan insulin akan dihasilkan untuk bertindak balas dengan glukosa. Insulin berlebihan akan meningkatkan rasa lapar. Hormon lain yang mengawal rasa lapar dan kenyang akan terganggu dengan adanya masalah PCOS. Disebabkan itu, peningkatan berat badan akan berlaku.
Antara simptom lain yang boleh didapati adalah
- Hilang rambut di kepala
- Perubahan emosi
Kesan PCOS :
1. Tidak subur
Kadar ketidak suburan wanita dengan masalah PCOS adalah 70% ke 80%. Kitaran hormon yang tidak stabil mengganggu pelepasan telur (ovum) daripada ovari.
Hormon androgen adalah hormon lelaki yang terlibat dalam proses reproduksi dan perkembangan badan. Hormon yang tinggi menghalang ovari daripada melepaskan telur (ovum) untuk persenyawaan. Disebabkan itu, mereka akan mengalami haid tidak teratur.
2. Sindrom metabolik
Wanita dengan masalah sista ovari mempunyai berat badan berlebihan. Mereka berisiko tinggi untuk mempunyai tekanan darah, paras gula dalam darah, dan LDL kolesterol tinggi serta HDL kolesterol rendah. Keadaan ini meningkatkan risiko mendapat masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan stroke.
3. Apnea tidur (sleep apnea)
Apnea tidur adalah masalah kesihatan apabila pernafasan terhenti tiba-tiba berulang kali ketika tidur. Ia lebih kerap terjadi dalam kalangan wanita berlebihan berat badan terutamanya yang mengalami masalah sista ovari.
4. Keguguran
Wanita dengan masalah sista ovari berisiko tinggi untuk mengalami keguguran di awal proses mengandung. Hal ini kerana wanita dengan masalah PCOS mempunyai paras hormon testosterone dan androgen yang tinggi. Mereka berisiko mendapat pre-eclampsia (tekanan darah tinggi) jika paras hormon testosterone tinggi pada awal trimester kedua. Rintangan insulin berkaitan PCOS juga meningkatkan risiko keguguran kerana insulin adalah toksik kepada sel uri awal.
Tips menghadapi masalah PCOS :
1. Makanan sihat
Pemakanan sihat dan seimbang baik untuk kesihatan tubuh badan. Makanan segar seperti buah dan sayur segar lebih baik daripada yang dimasak. Hal ini kerana nutrisi daripada buah dan sayur telah keluar ketika proses memasak.
Makanan tinggi serat membantu mengawal paras insulin dalam darah. Insulin yang tinggi mendorong ovari menghasilkan lebih banyak hormon androgen yang mengakibatkan terjadinya PCOS. Makanan berserat boleh didapati daripada bijirin penuh (oat, pasta wholemeal, roti wholemeal dan beras perang), buah-buahan dan sayur-sayuran.
Makanan manis dan berlemak tidak digalakkan untuk diambil kerana akan meningkatkan paras hormon androgen and estrogen. Hormon androgen yang tinggi akan menghalang proses ovulasi daripada berlaku. Manakala, hormon estrogen yang berlebihan akan memburukkan lagi simptom PCOS sedia ada.
2. Tambah makanan zat besi
Wanita dengan masalah PCOS berisiko mendapat anemia iaitu kehilangan sel darah merah. Pendarahan haid yang banyak lebih daripada normal menyebabkan kehilangan darah. Sel darah merah penting untuk membawa oksigen daripada peparu ke seluruh badan untuk berfungsi dengan baik. Zat besi diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah, pertumbuhan dan menghasilkan hormon. Oleh itu, para wanita digalakkan untuk mengambil makanan tinggi zat besi untuk menambah darah. Antara makanan tinggi zat besi adalah bayam, brokoli, telur, daging merah dan sumber protein.
3. Probiotik
Makanan probiotik baik untuk kesihatan usus dan membantu penghadaman yang lebih lancar. Selain itu, ia juga mengurangkan keradangan dan mengawal hormon seks seperti androgen dan estrogen. Hormon estrogen diperlukan untuk membentuk dan mengekalkan sistem pembiakan dan ciri-ciri kewanitaan.
Namun begitu, hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan haid tidak teratur, peningkatan berat badan, dan fibroid dalam wanita. Keadaan ini seterusnya menjurus kepada masalah PCOS. Antara makanan tinggi probiotik adalah kimchi, yogourt, susu, keju , tempeh dan jeruk buah.
Androgen adalah hormon seks yang membantu memulakan akil baligh, dan perkembangan badan. Ia juga mengawal fungsi organ. Hormon androgen yang tinggi akan menimbulkan jerawat dan bulu muka. Ini adalah salah satu ciri-ciri PCOS pada wanita.
4. Berat badan sihat
Mengekalkan berat badan sihat membantu mencegah masalah PCOS. Kajian menyatakan penurunan berat badan sebanyak 5% membantu mengurangkan PCOS. Malah, wanita juga boleh meningkatkan peluang untuk mengandung apabila berat badan kekal normal.
Kekal dengan berat badan sihat membantu mengawal paras insulin dalam badan, menstabilkan kitaran haid dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan PCOS seperti diabetes, jantung dan strok. Insulin yang tinggi merupakan penyumbang kepada masalah PCOS.
5. Kekal aktif
Kekal aktif dengan kerap melakukan aktiviti senaman membantu menurunkan berat badan dan mengekalkan berat badan sihat. Ia juga meningkatkan tindak balas badan dengan insulin. Dengan itu, ia mencegah daripada komplikasi penyakit seperti penyakit kronik. Paras insulin juga terkawal. Dengan ini, masalah PCOS dapat dicegah.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh para wanita untuk kekal sihat seperti
- Berjogging
- Berjalan pantas
- Berbasikal
- Berenang
- Yoga
Setiap individu digalakkan untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
Makanan perlu dielakkan untuk penghidap PCOS:
Beberapa jenis makanan tidak sesuai untuk diambil oleh wanita yang mempunyai masalah PCOS. Ini disebabkan makanan-makanan ini boleh meningkatkan hormon estrogen. Hormon ini secara berlebihan akan memburukkan lagi simptom PCOS dan peningkatan berat badan.
1. Makanan bergoreng dan berlemak
Pengambilan makanan lemak sihat mengurangkan rasa lapar serta membantu menghilangkan lemak dengan cepat. Oleh itu, berat badan dapat dikawal dan dapat mencegah masalah PCOS. Lemak tepu seperti keju, krim, daging merah dan makanan bergoreng meningkatkan penghasilan hormon estrogen. Hormon ini akan memburukkan lagi simptom PCOS sedia ada. Disebabkan itu makanan tinggi lemak tepu dan lemak trans perlu dielakkan.
2. Minuman manis
Makanan atau minuman manis tidak digalakkan untuk diambil kerana ia akan meningkatkan paras gula dalam darah, seterusnya meningkatkan paras insulin. Ia berasaskan karbohidrat ringkas yang boleh meningkatkan paras gula dengan cepat.
Insulin yang tinggi dalam badan memberi rasa mengidam akan makanan atau minuman manis. Keadaan ini akan mendorong peningkatan berat badan terutamanya apabila diambil berlebihan kerana ia mempunyai kalori yang tinggi. Paras insulin yang tinggi juga meningkatkan penghasilan hormon androgen dalam ovari. Berat badan berlebihan akan mengurangkan tindak balas insulin dalam badan. Justeru itu, pesakit PCOS berisiko tinggi untuk mendapat diabetes.
Kajian menunjukkan pengambilan makanan dan minuman manis menyumbang kepada 33% jumlah pengambilan gula tambahan. Gantikan air manis dengan buah-buahan semulajadi adalah lebih baik kerana ia mempunyai gula semula jadi yang lambat menyerap berbanding gula ringkas. Oleh itu, penghidap PCOS harus mengawal pengambilan makanan manis kerana ia meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat.
3. Makanan proses
Makanan berproses tinggi kandungan gula, garam dan lemak tepu yang akan menyebabkan keradangan berlaku. Keradangan adalah proses badan melawan jangkitan, kecederaan dan toksin untuk menyembuhkan diri. Wanita dengan masalah PCOS mempunyai keradangan yang kronik. Kadar yang berlebihan akan menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit seperti diabetes, penyakit jantung, dan obesiti. Antara contoh makanan diproses adalah daging burger, sosej, ais krim, roti putih, pencuci mulut bergula dan pastry. Makanan-makanan ini perlu dikawal pengambilannya.
4. Produk tenusu
Produk tenusu mengandungi hormon insulin-like growth factor (IGF-1) yang akan meningkatkan hormon androgen dalam badan. Hormon androgen membantu menghasilkan hormon estrogen yang akan memburukkkan lagi simptom PCOS. Produk berasaskan tumbuhan seperti soya, kacang badam dan oat merupakan alternatif terbaik untuk mengurangkan simptom PCOS.
5. Kopi
Kopi mengandungi pelbagai nutrisi seperti riboflavin (vitamin B2), niacin (vitamin B3), magnesium, potassium dan kompound fenolik. Nutrien-nutrien ini diperlukan oleh sistem badan manusia untuk berfungsi dengan lancar.
Kopi mengandungi kafein iaitu sejenis bahan kimia semulajadi yang bertindak sebagai perangsang. Ia akan meningkatkan aktiviti otak dan sistem saraf. Namun begitu, pengambilan kopi dalam kalangan wanita akan meningkatkan hormon estrogen. Hormon ini diperlukan untuk perkembangan ciri-ciri wanita. Walaubagaimanapun, hormon estrogen berlebihan akan memburukkan lagi simptom PCOS.
Pengambilan kopi juga akan mengganggu kitaran hormon androgen. Hormon androgen berlebihan akan menghasilkan sista ovari (kantung berisi air).
Konklusi
PCOS terjadi disebabkan hormon seks yang tidak seimbang. Gaya hidup, pemakanan sihat serta emosi yang stabil boleh mencegah masalah PCOS.