Sebagai perempuan, kita wajib ambil peduli tentang perubahan kitaran badan kita seperti kitaran haid, penurunan atau kenaikan berat badan yang ketara dan warna keputihan kita. Hal ini kerana, perubahan ketara pada kitaran fungsi badan kita boleh jadi simptom atau gejala kanser.
Dalam penulisan MStar, kenyataan dimana orang wanita lebih berisiko untuk menghidap apa-apa jenis kanser berbanding lelaki. Antara kanser yang sering menyerang wanita adalah kanser ginekologi dan kanser payudara.
Kanser ginekologi didefinisikan sebagai kanser yang terjadi pada organ pembiakan wanita. Kebanyakan penyakit atau kanser sering dinamakan dengan bahagian badan ia mula dikesan. Untuk kanser ginekologi pula, ia bermula di beberapa tempat yang berbeza pada bahagian pelvis wanita. Hampir semua kanser ginekologi memudaratkan golongan wanita sehingga membawa maut.
Antara kanser ginekologi yang sering menyerang golongan wanita adalah:
- Kanser Serviks
- Kanser Ovari
- Kanser Rahim
- Kanser Faraj
- Kanser Vulva
Bukan sahaja kanser ginekologi yang sering menyerang wanita, kanser payudara juga mencatat peratusan kematian wanita tertinggi di Malaysia. Dalam penulisan ini, setiap satu kanser akan diterangkan dengan lebih lanjut untuk memberi kesedaran kepada pembaca terutamanya wanita akan kemudaratan kanser-kanser ginekologi ini.
Kanser Serviks
Kanser serviks juga disebut sebagai kanser pangkal rahim. Pangkal rahim adalah bahagian yang terletak di bawah rahim dan sedikit sempit. Serviks atau pangkal rahim ini memainkan peranan menghubungkan rahim dan faraj serta membentuk saluran kelahiran. Kanser serviks terjadi apabila berlaku perubahan pada susunan DNA sel pangkal rahim. Bukan itu sahaja, kanser serviks ini juga menyekat laluan masuk ke rahim dan boleh menyerang tisu serta organ lain dalam badan.
Terdapat dua jenis perubahan atau mutasi sel pangkal rahim yang abnormal sebelum sepenuhnya menjadi kanser serviks. Dua keadaan tersebut adalah Atypia dan Dysplasia.
- Atypia – Keadaan di mana terdapat sedikit perubahan pada sel pangkal rahim. Ujian pap smear perlu dilakukan untuk mengesan perubahan. Boleh pulih atau bertambah teruk.
- Dysplasia – Terdapat perubahan abnormal yang sangat luar biasa pada sel pangkal rahim.
Kalau nak tahu, ada dua jenis kanser serviks iaitu Squamous cell carcinoma dan Adenocarcinoma.
- Squamous cell carcinoma – Kanser serviks yang biasa berlaku.
- Adenocarcinoma – Kanser serviks yang jarang berlaku dan kebiasaannya bermula dari sel glandular.
Faktor Yang Meningkatkan Risiko Kanser Serviks
Risiko untuk wanita menghidap kanser pangkal rahim atau kanser serviks bergantung kepada beberapa faktor yang boleh dikawal. Walaubagaimanapun, terdapat juga faktor yang tidak boleh dikawal seperti faktor umur dan sejarah kesihatan keluarga.
Salah satu faktor yang menyebabkan kanser serviks adalah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) yang dibawa oleh seorang individu ke individu yang lain. Jangkitan HPV ini merebak melalui hubungan intim atau seks.
Selain daripada jangkitan HPV, wanita yang mempunyai atau dijangkiti dengan Human Immunodeficiency Virus (HIV) juga berisiko untuk menghidap kanser serviks. Wanita yang dijangkiti dengan Herpes pada bahagian kemaluan juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser serviks ini. Kedua-dua jangkitan HIV dan Herpes ini merebak melalui hubungan seks. Oleh itu, pentingnya untuk kita orang Islam membuat ujian HIV dan sebagainya sebelum berkahwin.
Di samping itu, wanita yang merokok atau perokok pasif dimana wanita tersebut menghidu asap rokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser serviks. Hal ini disebabkan oleh kandungan kimia dalam asap tersebut. Bukan sahaja kanser serviks, malah risiko untuk dapat kanser atau penyakit lain juga akan meningkat.
Simptom Kanser Serviks
- Merasa sakit ketika seks
- Berlaku pendarahan selepas menopause (putus haid)
- Terdapat lelehan lendir dari faraj
- Ada pendarahan antara tempoh selepas haid
- Haid berpanjangan dan banyak daripada biasa
Kanser Ovari
Ovari adalah sepasang organ wanita yang memainkan peranan signifikan dalam penghasilan benih dan hormon wanita. Kebanyakan wanita yang mencecah umur 40-an ke atas lebih berisiko untuk menghidap kanser ovari. Individu perempuan berumur kurang dan 20 tahun ke atas juga mempunyai risiko untuk menghidap penyakit ini.
Kanser ovari timbul daripada permukaan ovari dan daripadanya ada sebahagian kecil sel benih telur. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, susah dan mengambil masa yang lama untuk mengesan kanser ovari kerana kedudukannya yang jauh ke dalam pelvis.
Siapa yang berisiko untuk menghidap kanser ovari ini? Individu wanita yang mempunyai adik-beradik atau ibu yang mempunyai sejarah kanser ovari mempunyai risiko yang agak tinggi. Selain itu, wanita yang lewat menopause, akil baligh awal dan tidak pernah hamil juga berisiko untuk mendapat kanser ovari.
Punca Kanser Ovari
Berbeza dengan kanser serviks yang mempunyai beberapa faktor yang menjadi penyebab kewujudannya dalam pangkal rahim wanita, punca kanser ovari masih belum dikenalpasti. Kajian untuk mengenalpasti hubung kait faktor jangkitan virus dengan kanser ovari juga dijalankan dan didapati jangkitan virus tidak menyebabkan kanser tersebut.
Tanda Kanser Ovari
Pada peringkat awal kanser ovari, tiada gejala yang spesifik dilaporkan walaubagaimanapun kebanyakan wanita yang menghidapnya akui mengalami rasa kembung perut dan sembelit. Ada juga yang mengalami bengkak di perut atau perutnya membusung disebabkan oleh cecair yang dihasilkan oleh kanser ini. Cecair ascites menegang dan membesarkan perut pesakit.
Kita sebagai wanita harus peka dan prihatin terhadap setiap perubahan kitaran badan kita walaupun perubahan tersebut perubahan yang kecil. Ini kerana, perubahan kecil tersebut boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan sekiranya kita leka.
Kanser Rahim
Kanser rahim juga dikenali sebagai kanser uterine atau kanser endometrial. Kanser ini wujud awalnya pada bahagian dinding rahim wanita. Dinding ini dikenali sebagai endometrium. Kanser ini dikatakan jenis “malignant” kerana ia boleh merebak dan memakan tisu-tisu yang berdekatan dengan cepat. Ia juga boleh berkembang ke organ-organ yang lain.
Menurut data yang dikeluarkan oleh National Cancer Institute, setiap 3 daripada 100 orang wanita dianggarkan berisiko menghidap kanser rahim.
Faktor Yang Meningkatkan Risiko Kanser Rahim
- Obesiti – Lemak yang berlebihan menjejaskan hormon dalam abdan.
- Umur lanjut – Wanita yang mencapai menopause lebih berisiko.
- Putus haid lewat (Menopause)
- Datang haid pada usia yang sangat muda (Menarche)
- Keseimbangan hormon wanita berubah
- HNPCC (Hereditary nonpolyposis colorectal cancer) – diwarisi daripada ibu bapa. Sindrom yang meningkatkan risiko kanser kolon dan kanser rahim.
Punca Kanser Rahim
Punca kanser rahim dikaitkan dengan mutasi genetik sel-sel pada lapisan rahim. Mutasi genetik pada dasarnya merupakan satu proses yang normal. Walaubagaimanapun dalam jangka masa yang panjang, sel-sel tersebut boleh bertukar menjadi tidak sihat dan tidak normal.
Sel-sel ini akan membiak, berkembang di luar kawalan dan akhirnya menjadi gumpalan tumor yang menyerang tisu dan organ lain dalam badan.
Gejala Kanser Rahim
- Pendarahan faraj yang tidak normal terutamanya setelah putus haid.
- Sakit bila membuang air kecil.
- Rasa sakit di bahagian pelvis.
- Penurunan berat badan yang drastik.
- Keluar cecair atau lelehan dari faraj.
- Keputusan ujian Pap Smear tak normal.
Kanser Faraj
Kanser faraj dikatakan antara kanser yang jarang berlaku, walaubagaimanapun langkah berjaga-jaga masih perlu diambil. Bukan itu sahaja, perubahan kitaran badan dan pada alat kelamin juga perlu diambil berat.
Kanser ini bermula di faraj wanita dimana bahagian ini membentuk satu tiub yang berongga dan terletak di bahagian luar badan dan di bawah rahim. Wanita yang berusia 60 tahun ke atas lebih berisiko untuk menghidap kanser faraj.
Terdapat 4 jenis kanser faraj berdasarkan jenis sel kanser ini bermula.
- Sarkoma faraj – Bermula dalam sel otot di dinding faraj.
- Melanoma faraj – Bermula dalam sel yang bertanggungjawab menghasilkan pigmen faraj.
- Karsinoma sel skuamosa faraj – Berkembang pada sel skuamosa yang melapisi permukaan faraj.
- Adenokarsinoma faraj – Berkembang pada sel kelenjar di permukaan faraj.
Punca Kanser Faraj
Sama seperti kanser rahim, kanser faraj juga terjadi akibat sel daripada mutasi genetik menjadi abnormal dan berkembang tanpa kawalan.
Simptom Kanser Faraj
- Kerap kencing (poliuria)
- Sakit pelvis
- Sakit semasa buang air
- Ketulan dalam faraj
- Keputihan cair
- Pendarahan faraj
Faktor Yang Meningkatkan Risiko
- Jangkitan HPV
- Pernah menghidap kanser serviks
- Merokok
- Berumur lebih 60 tahun
- Menghidap HIV
Kanser Vulva
Kanser Vulva
Kanser Vulva adalah kanser yang jarang berlaku, sama seperti kanser faraj. Kanser ini melibatkan bahagian vulva yang merangkumi labia minora dan labia majora. Labia majora dan labia minora ini adalah bahagian lipatan kulit yang melindungi pembukaan vagina dan urethral wanita.
Terdapat beberapa jenis kanser vulva, iaitu:
- Karsinoma vulva sel squamous
- Melanoma vulva
- Penyakit Paget Vulva
- Adenocarcinoma vulvar
- Karsinoma sel basal
Faktor dan Punca Kanser Vulva
- Dijangkiti HPV
- Dijangkiti HIV
- Merokok
- Sejarah keluarga melanoma
- Usia lanjut
Tanda Kanser Vulva
- Gatal dan rasa terbakar pada vulva
- Benjolan di vulva
- Pendarahan yang tiada kaitan dengan kitaran haid
- Sakit semasa buang air
Kesimpulan
Konklusinya, kanser ginekologi boleh membawa maut kepada wanita. Kebanyakan simptom dan gejala antara kanser ginekologi ini lebih kurang sama antara satu sama lain, jadi apa yang perlu kita lakukan adalah peka dan prihatin dengan perubahan kitaran badan kita. Antara perubahan kitaran ialah kitaran haid lambat atau tidak normal, terdapat tompokan darah, darah haid yang banyak dan terdapat lelehan dari faraj.
Bukan itu sahaja, ujian Pap smear dan ujian saringan juga perlu kerap dilakukan bagi mengesan gejala atau sel kanser dengan lebih cepat.