Fasted Cardio Cara Mudah Nak Kurus Dengan Cepat! Betul Ke?

Berat badan yang berlebihan atau melepasi tahap BMI yang normal boleh membuatkan seseorang individu hilang keyakinan diri. Bentuk fizikal atau rupa fizikal sering kali menjadi faktor yang mempengaruhi keyakinan diri seseorang. Bagi individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes, mereka akan mengelak daripada berjumpa dengan kenalan atau orang baharu kerana malu dengan rupa fizikal diri sendiri.

Image Source: istockphoto.com

Menerima kelemahan diri adalah sangat penting sejajar dengan mengambil tindakan untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat. Terutamanya individu yang mempunyai masalah berat badan akibat daripada kecuaian dalam pemakanan dan gaya hidup yang tidak seimbang. Antara contoh pemakanan dan gaya hidup yang tidak seimbang adalah pengambilan makanan segera secara berlebihan dan gaya hidup tidak aktif tanpa senaman atau aktiviti fizikal.

Akibat daripada mengabaikan perubahan gaya hidup yang perlu dibuat menjadikan negara Malaysia sebagai juara gemuk dalam negara ASEAN. Bukan itu sahaja, malah kadar obesiti di negara ini juga semakin membimbangkan.

Image Source: istockphoto.com

Tidak dinafikan, proses menurunkan berat badan tidaklah semudah yang disangka dan berbeza untuk setiap individu. Mengamalkan sebarang produk untuk kurus tanpa apa-apa usaha dari segi fizikal juga tidak akan membuahkan hasil. Hal ini kerana, untuk mengawal berat badan, seseorang individu hendaklah berusaha bukan sahaja dari segi menjaga pemakanan malah dari segi melakukan senaman.

Antara senaman atau aktiviti fizikal yang boleh dilakukan untuk membantu menurunkan berat badan adalah Fasted Cardio. Segala info tentang Fasted Cardio akan dibahaskan dalam penulisan ini, jom baca sampai habis!

Fasted Cardio

Image Source: istockphoto.com

Fasted Cardio atau terma dalam Bahasa Malaysia dipanggil sebagai puasa cardio dimana seseorang individu melakukan aktiviti fizikal sewaktu perut tidak mencernakan sebarang makanan. Bahasa mudahnya, kita melakukan aktiviti fizikal semasa perut kosong.

Betul ke kalau amalkan Fasted Cardio ini kita akan lebih cepat kurus? Secara teorinya, apabila seseorang melakukan Fasted Cardio, badannya akan menggunakan lemak dan karbohidrat yang tersimpan sebagai tenaga. Ini akan mendorong kepada kehilangan lemak yang lebih tinggi.

Kelebihan

Terdapat kajian yang dilakukan pada tahun 2013 menunjukan pembakaran lebih 20% lemak tubuh sekiranya melakukan senaman atau aktiviti fizikal dengan perut kosong pada waktu pagi. Badan manusia menyimpan bekalan tenaga dalam bentuk lemak walaupun kita belum makan. Apabila kita melakukan Fasted Cardio sebelum bersarapan misalnya, tenaga yang dibakar diperoleh daripada bekalan makanan yang sudah ada dalam tubuh.

Image Source: istockphoto.com

Di samping itu, dalam kajian yang sama menyatakan, melakukan Fasted Cardio pada waktu pagi tidak akan membuatkan kita ingin makan lebih banyak atau rasa lapar sepanjang hari. Ini membuatkan Fasted Cardio pada waktu pagi sebelum bersarapan sebagai sesi senaman yang ideal.

Bukan itu sahaja, malah melakukan aktiviti fizikal dengan perut kosong akan membantu tubuh badan kita untuk menyesuaikan penghasilan hormon insulin. Di mana hormon insulin akan bekerja dengan lebih sensitif untuk menyerap nutrien dengan lebih baik. Nutrien daripada makanan yang dimakan sewaktu bersarapan (selepas bersenam) juga akan disalurkan ke otot dan hati.

Risiko Fasted Cardio

Secara umumnya, Fasted Cardio ini adalah satu bentuk senaman yng selamat tetapi ia mungkin tidak sesuai diamalkan oleh beberapa individu. Fasted Cardio mungkin tidak sesuai bagi individu yang ingin melakukan senaman untuk tempoh masa yang lama. Hal ini kerana, sekiranya seseorang membiarkan perut kosong untuk jangka masa yang lama sambil melakukan aktiviti berat boleh menjejaskan badannya.  

Image Source: istockphoto.com

Seseorang individu berpotensi untuk mengalami pening-pening, lesu badan, penurunan kadar gula dalam darah, badan menggeletar dan dehidrasi. Sekiranya mengabaikan tanda-tanda ini, seseorang individu berpotensi untuk pitam.

Selain itu, Fasted Cardio boleh mengurangkan simpanan protein dalam tubuh sehingga 10.4% berdasarkan kajian National Strength and Conditioning Journal. Pembinaan otot juga akan terbantut akibat daripada jumlah karbohidrat yang tidak mencukupi di dalam sistem badan. Ini akan menyebabkan tubuh terpaksa melakukan proses glukoneogenesis yang menukarkan protein kepada tenaga. Kekurangan protein akan menyukarkan badan untuk membina semula otot.

Golongan individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan hipoglisemia (kadar gula dalam darah sangat rendah) dan tekanan darah dinasihatkan tidak mengamalkan Fasted Cardio. 

Tips Melakukan Fasted Cardio

Image Source: istockphoto.com
  1. Persiapkan diri daripada malam sebelumnya 

Pastikan diri mendapat tidur yang mencukupi untuk membantu badan lebih bersedia untuk melakukan senaman dan aktiviti fizikal pada pagi hari.

  1. Tidak memaksa diri untuk melakukan senaman berat

Lakukanlah senaman yang sesuai dengan keadaan diri. Sebagai contoh, sekiranya baru mula bersenam, boleh cuba senaman berintensiti rendah dahulu seperti berjalan dan berbasikal.

  1. Kekal terhidrasi

Pastikan badan sentiasa cukup dengan air sebelum dan selepas bersenam. Kita disarankan untuk cukupkan keperluan air 2-3 jam sebelum bersenam.

  1. Berehat bila perlu

Sekiranya berasa lapar atau penat, berhenti bersenam untuk mengelakkan penyusutan otot.

  1. Cukupkan pengambilan nutrien selepas bersenam

Pengambilan nutrien perlu dilakukan dalam jangka waktu maksimum 45 minit selepas bersenam. Walaubagaimanapun, elakkan hanya mengambil karbohidrat dan banyakkan pengambilan protein.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kita sebagai individu perlu sentiasa peka dengan keadaan kesihatan dan berat badan kita. Untuk mengawal berat badan, seseorang individu hendaklah berusaha bukan sahaja dari segi menjaga pemakanan malah dari segi melakukan senaman. Fasted Cardio ini mungkin tidak sesuai untuk segelintir individu, sekiranya mempunyai masalah kesihatan, hendaklah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Rujukan

  1. Nak Senaman Pagi Lebih Berkesan, Ambil Sarapan Sebelum Atau Selepas Bersenam? 
  2. Are There Benefits of Fasted Cardio?
  3. Bolehkah Bersenam Dengan Perut Kosong? | MEDOFU
  4. Tidak Makan Sebelum Bersenam Lebih Cepat Turun Berat Badan?
  5. True or False: More Weight Is Lost By Running on an Empty Stomach | Winchester Hospital
  6. Should you exercise on empty stomach?
  7. Is exercise best served on an empty stomach? | Proceedings of the Nutrition Society | Cambridge Core

                    

Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here