Boleh Ke Pesakit Gout Berpuasa?

Sehingga hari ini, sudah 9 hari kita sebagai orang Islam berpuasa. Di bulan mulia ini, orang beragama Islam seluruh dunia wajib berpuasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari selama sebulan. Di negara Malaysia, umat Islam berpuasa selama 13 jam.

Image Source: istockphoto.com

Berpuasa merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu menahan diri daripada makan dan minum untuk jangka masa yang ditetapkan. Dalam konteks Islam pula, kita berpuasa untuk melatih diri untuk bersabar dan merasai kesakitan orang-orang susah mendapat makanan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Siapa Yang Tidak Diharuskan Berpuasa

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa golongan yang dikecualikan untuk berpuasa atau lebih tepat lagi golongan yang tidak diharuskan untuk puasa akibat daripada keadaan kesihatan. Ini kerana dikhuatiri boleh menjejaskan lagi komplikasi kesihatan mereka.

Antara golongan yang terkesan adalah:

  • Wanita yang menyusu bayi
  • Wanita yang sedang hamil
  • Orang yang sakit
  • Orang yang kehilangan upaya untuk berpuasa (contoh: orang tua yang uzur)

Kenapa orang sakit diharuskan untuk berbuka puasa? Ini kerana dikhuatiri dengan berpuasa, ia akan merosotkan lagi kesihatan dan menambah kesakitan kepada individu tersebut. Antara individu berpenyakit yang tidak digalakkan berpuasa atau diharuskan berbuka puasa adalah seperti individu yang mempunyai penyakit seperti:

  • Diabetes Mellitus
  • Asma
  • Glaukoma
  • Epilepsi (Sawan)
  • Penyakit Hati Kronik (Hati berlemak, Hepatitis B, Hepatitis C)

Bolehkah Orang Menghidap Gout Berpuasa?

Gout

Image Source: istockphoto.com

Gout adalah salah satu sakit sendi iaitu keradangan pada sendi. Ia adalah lebihan asid urik yang berkumpul di sendi. Ia menyebabkan bengkak dan sakit pada bahagian yang sendi penghubung seperti lutut, buku lali dan jari.

Asid urik yang terhasil daripada makanan tinggi purin yang dicerna dalam badan. Ia diproses dalam buah pinggang dan disingkirkan melalui air kencing. Apabila jumlahnya berlebihan, buah pinggang tidak dapat menyingkirkan asid urik dengan baik dan cekap. Asid ini akan mendap dan berkumpul dalam badan kemudian membentuk kristal tajam. Asid urik ini biasanya berkumpul di kaki dan kemudian ia akan merebak ke bahagian lutut, buku lali atau kaki. 

Tidak semua pesakit gout menunjukkan simptom. Ada yang mempunyai paras asid urik yang tinggi dalam darah tetapi tiada simptom. Ia dikenali sebagai Asymptomatic Hyperuricemia.

Antara gejala Gout adalah seperti:

  • Rasa terlalu sakit
  • Panas
  • Bengkak 
  • Merah 
  • Pergerakan menjadi terhad
  • Tidak selesa

Sekiranya gejala Gout yang tidak dirawat akan menjadi kronik. Asid urik akan bertambah mendap dan benjolan yang dipanggil tophi akan terjadi di sendi-sendi, kulit dan tisu lembut. Ia boleh mencederakan tulang dan tisu lembut dalam badan. Perubahan pada sendi ini adalah kekal.

Puasa dan Gout

Image Source: istockphoto.com

Persoalannya, bolehkah individu yang menghidap penyakit Gout berpuasa? Jawapannya adalah mereka boleh berpuasa. Walaubagaimanapun, persiapan dan panduan perlu dilakukan bagi memastikan individu yang menghidap Gout dapat menjalani bulan berpuasa dengan lancar.

Penyakit Gout juga mempunyai gejala dimana individu yang menghidapnya boleh terkena serangan pada bila-bila masa. Serangan ini sering datang dalam bentuk rasa sakit yang kritikal pada sendi yang terkesan akibat Gout. Apabila pesakit Gout terkena serangan, mereka perlu mengambil ubat-ubatan dengan segera. Ini bermakna sekiranya terjadi serangan ketika berpuasa, mereka perlu memecah puasa untuk mengambil ubat bagi mengurangkan serangan dan komplikasi lain.

Apa lagi panduan dan persiapan yang perlu dititikberatkan bagi membantu pesakit Gout untuk berpuasa?

  1. Kekal hidrasi
  • Badan memerlukan air yang mencukupi.
  • Kandungan air sangat penting untuk tubuh badan kita berfungsi dengan baik kerana kandungan air dalam badan memainkan peranan untuk proses mengawal suhu badan dan pengangkutan produk seperti nutrien.
  • Tanpa air yang cukup dalam badan, apa jua proses semulajadi badan kita tidak dapat berjalan dengan lancar.
  • Bukan itu sahaja, air yang banyak dalam badan akan meningkatkan penyingkiran asid urik dalam badan melalui pembuangan air kecil.
  1. Menurunkan atau mengekalkan berat badan yang sihat
  • Kebanyakan pesakit Gout dinasihatkan untuk menjaga berat badan mereka untuk mengelakkan jumlah asid urik bertambah dalam badan.
  • Oleh itu, pesakit Gout digalakkan untuk melakukan aktiviti ringan untuk kekal aktif pada bulan Ramadan.
  1. Pemakanan pada waktu sahur dan berbuka yang lengkap dengan nutrisi
  • Pola makanan yang banyak dengan sayur-sayuran dan makanan kaya dengan flavonoid sangat baik untuk mengurangkan risiko gout dan kawal asid urik.
  • Makanan yang tinggi dengan purin perlu dielakkan seperti makanan laut, daging merah, organ dalaman dan kekacang.
  • Makanan tinggi purin menghasilkan asid urik yang banyak dan boleh merangsang serangan Gout.
  1. Rehat yang cukup
  • Rehat yang mencukupi juga sangat penting untuk pesakit Gout untuk mengurangkan rasa sakit dan keradangan yang sendi yang membengkak.
  • Bukan itu sahaja, malah dengan berehat dapat mengurangkan tekanan. Tekanan atau stres boleh meningkatkan risiko terkena serangan.

Kesimpulan

Gout adalah salah satu sakit sendi iaitu keradangan pada sendi. Ia adalah lebihan asid urik yang berkumpul di sendi. Penyakit ini adalah penyakit yang biasa dialami oleh masyarakat di Malaysia dan bukanlah sejenis penyakit yang unik.

Pesakit Gout boleh berpuasa tapi sekiranya terkena serangan Gout, mereka harus memecah puasa dan mengambil ubat dengan segera untuk mengurangkan kesakitan serangan. Selain itu, pesakit Gout juga perlu mengikut panduan dan melakukan persiapan yang sepatutnya untuk berpuasa dengan lancar di bulan mulia ini. 

Rujukan

  1. Makanan Pesakit Gout, Ini 4 Jenis Yang Harus Dielakkan
  2. Tip Penjagaan Kesihatan Pesakit Gout Semasa Ramadan – Hello Doktor
  3. Gout: Causes, Symptoms, Treatment & Prevention
  4. Gout | Arthritis | CDC
  5. Fasting and Gout | Arthritis Foundation
  6. Diet bagi Pesakit Gout – PORTAL MyHEALTH
  7. The impact of Ramadan fast on patients with gout
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here