Penyakit kelamin atau sexual transmitted disease (STD) sangat membimbangkan di Malaysia dan juga peringkat dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (2019), lebih 1 juta kes baru penyakit kelamin (STD) dikesan setiap hari di seluruh dunia.
Penyakit kelamin terjadi disebabkan hubungan seks dengan pasangan yang telah mendapat jangkitan bakteria sama ada tanpa penggunaan alat pelindung atau hubungan seksual bebas. Terdapat pelbagai jenis penyakit kelamin dikesan disebabkan pelbagai jenis bakteria.
Jenis penyakit kelamin lengkap:
1. Klamidia
Penyakit klamidia berasal daripada bakteria Chlamydia Trachomatis yang banyak di kawasan alat sulit. Ia boleh menjangkiti wanita dan juga lelaki dengan hubungan seks aktif. Bakteria ini tersebar melalui hubungan seksual apabila air mani atau cecair faraj yang mengandungi bakteria ini bergerak dari seorang individu yang dijangkiti ke individu lain.
Penyakit ini boleh dirawat. Tetapi, ia juga boleh menyebabkan kerosakan kekal pada sistem pembiakan wanita sehingga menyukarkan proses mengandung serta berisiko mendapat kelahiran luar rahim. Ibu mengandung yang dijangkiti bakteria Chlamydia Trachomatis boleh menyebarkan bakteria ini kepada bayi ketika proses kelahiran. Mereka juga berisiko untuk keguguran dan melahirkan bayi pra-matang.
Golongan berisiko:
Penyakit Klamidia biasa berlaku dalam kalangan wanita. Risiko mendapat penyakit ini tinggi dalam kalangan remaja dan dewasa muda di bawah 25 tahun. Ia adalah jangkitan seksual paling tinggi di seluruh dunia. Menurut CDC (Centers for Disease Control and Prevention) (2018), dianggarkan 1 daripada 20 wanita muda aktif seksual berusia antara 14-24 tahun dijangkiti klamidia.
Simptom klamidia:
Penyakit ini lazimnya tidak menunjukkan simptom dan digelar “jangkitan secara senyap”. Kajian menyatakan 10% lelaki dan 5 – 30% wanita yang dijangkiti virus ini menunjukkan simptom. Antara simptom yang wujud adalah :
- Wanita akan mengalami radang serviks
- Keluar lelehan bercampur keputihan, lendir, darah dan nanah daripada faraj
- Rasa sensasi terbakar ketika membuang air kecil untuk lelaki dan wanita
- Kerap membuang air kecil
- Sakit dan bengkak di satu atau kedua-dua testis
Terdapat juga wanita dan lelaki yang dijangkiti klamidia pada bahagian hujung usus besar. Ia disebabkan hubungan seks dubur. Keadaan ini tidak menunjukkan apa-apa simptom tetapi akan menyebabkan pendarahan, sakit di bahagian dubur serta keluar cecair daripada dubur.
Komplikasi klamidia:
Penyakit klamidia yang tidak dirawat boleh meningkatkan risiko wanita mendapat penyakit radang pelvik. Antara komplikasi lain yang boleh berlaku disebabkan kesan penyakit ini adalah
- Pengumpulan nanah yang menghalang tiub fallopian dan ovari
- Hamil luar rahim
- Tidak subur (mandul)
- Sakit bahagian pelvik/abdomen untuk jangka masa panjang
Dalam kalangan lelaki, penyakit ini jarang menyebabkan komplikasi. Ia hanya mengakibatkan demam dan rasa sakit pada tiub yang menghubungkan buah zakar (testis).
2. Gonorea
Penyakit gonorea adalah jangkitan pada bahagian alat kelamin, tekak dan usus besar. Ia adalah penyakit seakan klamidia. Penyakit ini tersebar melalui hubungan seksual dengan individu yang terdahulu mendapat jangkitan gonorea. Ibu mengandung yang dijangkiti bakteria Neisseria gonorrhoeae boleh menyebarkan bakteria ini kepada bayi ketika proses kelahiran.
Bakteria ini dijumpai dalam air mani lelaki dan wanita. Bakteria boleh menjangkiti bahagian servik, tiub yang mengalirkan air kencing untuk keluar dan hujung usus besar (rektum). Menurut statistik di Malaysia, 2 339 individu mengalami penyakit gonorea pada tahun 2020.
Golongan berisiko:
Penyakit ini lazim menjangkiti anak muda berusia 15 ke 24 tahun. Individu yang aktif melakukan hubungan seksual dan bertukar-tukar pasangan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini.
Simptom gonorea:
- Rasa sensasi terbakar ketika membuang air kecil
- Keputihan dalam wanita
- Pendarahan di antara haid
- Keluar cecair putih, kuning atau hijau daripada testis
- Sakit atau bengkak pada testis
Komplikasi gonorea:
Pesakit gonorea yang tidak dirawat berisiko mendapat pelbagai komplikasi penyakit seperti wanita mengandung berisiko untuk keguguran, kelahiran bayi pra-matang dan bayi dilahirkan bersama konjungtivitis. Konjungtivitis adalah keradangan atau jangkitan pada selaput yang melapisi permukaan bebola mata atau kelopak mata (mata merah).
3. Sifilis
Sifilis adalah penyakit yang disebabkan jangkitan bakteria Treponema Pallidum. Bakteria ini biasanya terdapat di kawasan alat sulit, rektum (usus besar), mulut dan bibir. Penyakit ini bermula dengan pembentukkan kudis di bahagian alat kelamin, rektum (usus besar) atau mulut. Ia disebarkan melalui sentuhan kulit dengan kudis luka terutamanya melalui hubungan seksual. Menurut statistik di Malaysia pada tahun 2020, 3 462 individu dijangkiti sifilis.
Golongan berisiko:
Penyakit sifilis boleh menjangkiti sesiapa saja yang bersentuhan dengan kudis yang mengandungi bakteria Treponema Pallidum. Beberapa golongan ini berisiko tinggi mendapat penyakit sifilis iaitu:
- Individu yang melakukan seks dengan pasangan berlainan tanpa alat pelindung seperti kondom
- Lelaki melakukan hubungan seksual dengan lelaki
- Individu yang dijangkiti HIV
- Individu yang mempunyai pasangan dengan penyakit sifilis.
Simptom sifilis:
Penyakit ini mempunyai 4 tahap iaitu :
Tahap pertama
Tahap ini bermula 3 ke 4 minggu selepas jangkitan. Ia bermula dengan kudis-kudis kecil yang tidak menyakitkan tetapi berjangkit. Kudis ini boleh muncul di mana-mana bahagian yang boleh dimasuki bakteria seperti mulut, alat kelamin dan rektum (usus besar). Kudis ini boleh kekal di dalam badan manusia untuk tempoh 2 ke 6 minggu. Untuk sesetengah individu, simptom yang boleh dikesan hanyalah bengkak pada kelenjar limfa.
Tahap kedua
Ruam pada kulit yang tidak gatal dan sakit tekak mula muncul pada tahap ini. Ruam ini boleh berlaku pada tapak tangan atau kaki serta mana-mana bahagian badan. Antara simptom lain:
- Sakit kepala
- Bengkak pada kelenjar limfa
- Demam
- Hilang berat badan
- Sakit sendi
Tahap latent
Tahap ini juga dikenali sebagai tahap tersembunyi. Simptom tahap pertama dan kedua mulai hilang. Tiada simptom ditunjukkan pada tahap ini. Tetapi, bakteria masih terdapat dalam badan. Tahap ini boleh berpanjangan sehingga bertahun sebelum memasuki tahap ketiga.
Tahap ketiga
Hanya 14-40% pesakit sifilis yang memasuki tahap ini. Pada tahap ini, ia boleh mengancam nyawa. Simptom pada tahap ini adalah:
- Buta
- Pekak
- Masalah kesihatan mental
- Hilang ingatan
- Kerosakan tisu lembut dan tulang
- Penyakit saraf seperti stroke dan meningitis
- Penyakit jantung
- Neurosifilis (jangkitan pada otak atau saraf tunjang)
Komplikasi sifilis:
Wanita mengandung perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara kerap untuk mengelakkan komplikasi pada bayi. Antara komplikasi yang boleh terjadi pada bayi adalah katarak, pekak, sawan dan risiko meninggal.
4. HIV (human immunodeficiency virus)
HIV adalah sejenis virus yang menyerang sistem imuniti badan. Ia boleh disebarkan melalui hubungan seksual bebas, berkongsi jarum, sentuhan dengan darah atau cecair individu yang dijangkiti, dan daripada ibu kepada anak ketika hamil, kelahiran dan menyusu.
HIV juga boleh disebarkan melalui pertukaran pelbagai jenis cecair badan daripada individu berjangkit seperti darah, air mani, susu badan dan cecair vagina. Ia tidak boleh disebarkan melalui bersalaman, bercumbu, atau berkongsi barangan peribadi, minuman atau makanan.
HIV adalah penyakit yang tiada penawar tetapi terdapat rawatan yang boleh meningkatkan jangka hayat pesakit HIV untuk hidup sihat. Di Malaysia, 1 038 individu dijangkiti HIV pada tahun 2020.
Golongan berisiko:
Terdapat beberapa golongan berisiko untuk dijangkiti virus ini:
- Hubungan seksual tanpa alat pelindung
- Dijangkiti penyakit kelamin lain seperti sifilis, klamidia, herpes, gonorea, dan vaginosis bakteria
- Berkongsi jarum suntikan yang sama
- Menerima suntikan yang tidak selamat, pemindahan darah, pemindahan tisu dan prosedur perubatan melibatkan alat yang tidak bersih
Simptom HIV:
Antara simptom HIV adalah
- Demam
- Sejuk
- Bengkak kelenjar limfa
- Merah-kemerahan
- Berpeluh ketika waktu malam
- Ulser mulut
- Sakit otot
- Sakit tekak
- Batuk
- Cirit-birit
Komplikasi HIV:
Jangkitan HIV yang tidak dirawat berisiko menyebabkan penyakit AIDS. Selain itu, ia juga meningkatkan risiko penyakit tuberculosis (TB), cryptococcal meningitis, jangkitan bakteria teruk, dan kanser seperti limfoma and Kaposi’s sarcoma.
5. Human Papillomavirus (HPV)
HPV adalah jangkitan penyakit kelamin yang selalu dijumpai dalam kalangan wanita. Dianggarkan hampir 60 ke 80 peratus wanita yang aktif seks bebas mengalami jangkitan Human Papillomavirus (HPV). Terdapat lebih daripada 100 jenis penyakit berkaitan HPV dengan simptom atau gejala berbeza. Penyakit ini disebarkan melalui hubungan seks dengan individu yang terdahulu mendapat jangkitan virus ini. Ia juga boleh disebar melalui sentuhan kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seksual.
Golongan berisiko:
Jangkitan HPV berisiko ke atas
- Individu yang tidak menggunakan alat pelindung seks secara kerap
- Melakukan hubungan seksual dengan individu yang tidak berkhatan
- Mempunyai pasangan seksual yang ramai
- Hubungan seksual di usia muda (<20 tahun)
Simptom HPV:
Antara simptom yang ditunjukkan oleh pesakit HPV adalah keluar ketuat pada alat kelamin. Ia akan memberi rasa panas, gatal dan tidak selesa pada alat kelamin. Ia boleh terjadi di bahagian vulva, serviks, penis atau skrotum, anus dan pangkal paha. Ketuat ini boleh menjadi
- Besar atau kecil
- Rata atau berbentuk seperti bunga kobis
- Berwarna putih, pink, ungu-coklat, atau warna kulit
Selain itu, virus ini juga boleh menyebabkan ketuat biasa, ketuat tapak tangan dan kaki serta ketuat leper. Ketuat ini boleh berjangkit dengan sentuhan dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama.
Komplikasi HPV:
Penyakit ini biasanya akan sembuh dengan sendiri dalam tempoh 2 tahun. Tetapi, jika tidak sembuh, penyakit ini berisiko merebak menjadi ketuat pada alat kelamin atau kanser yang boleh mengancam nyawa. Ketuat adalah ketulan seperti jerawat di bahagian alat kelamin.
Mengambil suntikan vaksin adalah langkah awal untuk mencegah dan mengurangkan risiko mendapat jangkitan Human Papillomavirus (HPV).
6. Virus Herpes Simplex (HSV)
Herpes alat kelamin adalah penyakit yang terjadi disebabkan dua virus iaitu herpes simplex virus type 1 (HSV-1) dan herpes simplex virus type 2 (HSV-2). HSV-1 adalah virus yang menyerang bahagian mulut yang juga boleh merebak ke bahagian alat kelamin. HSV-2 adalah jangkitan yang berjangkit melalui hubungan seksual yang dipanggil herpes alat kelamin.
HSV-1 disebarkan melalui sentuhan dengan virus pada luka, air liur atau permukaan di dalam atau sekitar mulut. HSV-2 disebarkan ketika hubungan seksual dengan sentuhan pada alat kelamin, kulit, luka atau cecair daripada individu yang berjangkit. Menurut WHO (2022), dianggarkan 3.7 billion individu di bawah umur 50 tahun (67%) mendapat jangkitan HSV-1 di seluruh dunia. Manakala 491 million individu berusia 15-49 (13%) tahun mendapat jangkitan HSV-2.
Golongan berisiko:
Herpes mudah merebak melalui hubungan seksual, air mani, air liur, kudis herpes, sentuhan kulit bahagian dalam alat sulit atau mulut dengan individu bergejala.
Simptom HSV:
Simptom herpes jarang dapat dikesan kerana ia menyerupai simptom masalah kulit biasa. Penyakit ini boleh menjadi kudis seakan lepuh yang muncul di bahagian alat sulit, rektum (hujung usus besar) dan mulut. Lepuh ini boleh pecah dan menyakitkan. Ia mengambil masa hampir seminggu untuk kembali sembuh. Mereka juga boleh mengalami simptom demam, sakit badan dan bengkak kelenjar limfa. Individu yang dijangkiti herpes mulut akan mengalami kesemutan, kegatalan, atau sensasi panas di sekitar mulut sebelum terjadinya lepuh atau ulser.
Komplikasi HSV:
Jangkitan virus herpes simplex menyebabkan beberapa komplikasi penyakit. HSV-2 berisiko menyebabkan jangkitan HIV dan meningoencefalitis (jangkitan otak). Jangkitan HSV-1 menyebabkan komplikasi yang lebih teruk seperti encefalitis (jangkitan otak) atau keratitis (jangkitan mata).
7. Pelvic inflammatory disease (PID)
Penyakit kelamin yang tidak dirawat seperti gonorea dan klamidia boleh menyebabkan penyakit keradangan pelviks. Ia adalah jangkitan penyakit pada bahagian intim wanita. Ia berlaku disebabkan bakteria Chlamydia trachomatis (CT) and Neisseria gonorrhoeae (NG) merebak dari kawasan servik dan vagina naik ke kawasan rahim.
Golongan berisiko:
Risiko mendapat penyakit ini tinggi
- jika sudah mendapat jangkitan salah satu daripada penyakit kelamin
- membuat hubungan seksual dengan lebih daripada seorang pasangan
- aktif seks bebas
- berusia kurang dari 25 tahun
- menggunakan alat IUD untuk merancang kehamilan
- Mempunyai sejarah penyakit radang pelvik
Simptom PID:
- Demam (>38° C)
- Pendarahan pada faraj serta bau yang tidak menyenangkan
- Sakit yang teruk pada kawasan pelvis
- Sakit dan pendarahan ketika melakukan hubungan seksual
- Rasa sensasi terbakar ketika membuang air kecil
- Pendarahan di antara tempoh 2 haid
- Haid tidak teratur
- Kerap membuang air kecil
Komplikasi PID:
Menurut CDC (Centers for Disease Control and Prevention) (2022), wanita dengan masalah keradangan pelviks mengalami kesukaran untuk mengandung serta berisiko untuk mengalami kerosakkan pada organ pembiakan wanita. Penyakit ini boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal tetapi kerosakan pada organ disebabkan aktiviti bakteria tidak dapat dikembalikan.
Antara komplikasi daripada radang pelviks adalah:
- Pembentukkan tisu parut di kedua-dua tiub fallopian sehingga menyebabkan tiub tersumbat
- Kehamilan luar rahim
- Tidak subur (mandul)
- Sakit badan atau pelvik untuk jangka panjang
Kaedah pencegahan penyakit kelamin:
Beberapa kaedah pencegahan boleh dilakukan untuk mencegah diri daripada penyakit kelamin ini:
- Elak merokok dan pengambilan ubat terlarang
- Elak seks rambang dan diusia terlalu muda
- Pakai pelindung seks seperti kondom
- Mengambil ubat antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria
- Jaga kebersihan diri terutamanya pada bahagian alat sulit
Konklusi
Penyakit kelamin boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit serta mengancam nyawa jika tidak dicegah daripada awal. Penjagaan diri dengan mengelakkan hubungan seksual bebas boleh mencegah daripada mendapat jangkitan virus dan bakteria penyebab penyakit kelamin.