Top 8 Pantang Larang Terbaik Menghadapi Gastrik

Gastrik sering dikaitkan dengan angin oleh orang Malaysia. Ia sebenarnya ialah radang dalam lapisan perut. Ia mungkin berlaku secara tiba-tiba dan teruk (gastrik akut) atau secara perlahan-lahan dan berlarutan untuk jangka masa lama (gastrik kronik). 

Gastrik yang tidak dirawat dari awal akan menyebabkan ulser perut dan berisiko mendapat kanser perut.

Gastrik

Gastrik ialah radang dalam lapisan dalam perut. Ia terjadi apabila lapisan mukus yang sepatutnya melindungi lapisan dinding perut menjadi nipis dan mendedahkan lapisan tersebut kepada asid perut. 

Asid perut berperanan mencerna dan menghadam makanan. Ia juga berfungsi membunuh kuman dan bakteria yang masuk melalui mulut ketika sedang bernafas dan makan.

Gastrik atau radang yang berterusan dan pada tahap teruk boleh menghasilkan ulser perut dan menyebabkan pendarahan pada lapisan dalam perut. Keadaan yang lebih teruk boleh mengakibatkan perut bocor. 

GERD (Gastroesophageal reflux disease)

Asid gastrik dirembes keluar ke esofagus.

GERD adalah penyakit kronik yang memberi kesan kepada sistem penghadaman. Ia adalah rembesan asid gastrik dari perut ke saluran esophagus.

GERD adalah sejenis penyakit yang melibatkan injap lower esophageal spincter (LES) yang berada diantara esofagus dan perut. Injap ini bertanggungjawab mengawal kemasukkan makanan dari esofagus ke perut dan mengelakkan asid dari perut (asid gastrik) daripada dirembeskan semula ke saluran esofagus.

Ketidakhadaman dan pedih ulu hati yang kerap (lebih dari 2 kali seminggu) meningkatkan risiko mendapat GERD. GERD akan berlaku apabila otot injap ini menjadi lemah dan tidak dapat bekerja dengan baik. Ia adalah masalah asid refluks yang serius dan dalam jangka masa lama. Penyakit ini boleh menyebabkan gejala muntah-muntah, sukar bernafas dan batuk.

Gastrik boleh berlaku disebabkan beberapa keadaan:

1. Jangkitan kuman Helicobacter Pylori

Bakteria ini boleh memasuki badan melalui makanan yang tercemar. Ia akan menghasilkan kompound yang akan melekat pada dinding perut dan mengeluarkan bahan kimia yang akan menyebabkan radang. Bakteria ini akan menjangkiti dan menghakis lapisan mukosa perut. Keadaan yang tidak dirawat akan mengganggu sel kelenjar yang menghasilkan mukus. Apabila lapisan perut tidak dilindungi dengan mukosa dari asid gastrik, ia akan menyebabkan lapisan perut terhakis atau radang.

2. Kesan ubat tahan sakit (NSAIDs)

Contoh : Aspirin, Ibuprofen, Ponstan

Ubat tahan sakit ini akan menyebabkan kompound prostaglandin dalam perut berkurangan. Prostaglandin bertanggungjawab merangsang penghasilan mukus untuk melindungi lapisan perut daripada hakisan asid. 

Pengambilan ubat tahan sakit akan menyebabkan penghasilan mukus berkurangan, seterusnya mendedahkan lapisan ini kepada hakisan asid.

3. Merokok

Merokok dengan rokok yang mempunyai nikotin akan meningkatkan kadar rembesan asid gastrik. Selain itu, merokok meningkatkan risiko mendapat ulser perut dan melemahkan injap esofagus yang menghubungkan perut dan esofagus.

4. Usia

Dengan peningkatan usia, dinding perut akan menjadi semakin nipis. Selain itu, bakteria Helicobacter Pylori lebih mudah menjangkiti golongan lanjut usia berbanding golongan muda atas faktor sistem imunisasi mereka yang tidak kuat.

5. Minuman beralkohol

Pengambilan minuman beralkohol dengan berlebihan akan menyebabkan hakisan dinding perut seterusnya mendedahkan lapisan tersebut kepada rembesan asid gastrik.

Simptom berlaku gastrik:

  1. Rasa menyucuk di dada
  2. Rasa sesak nafas 
  3. Pedih ulu hati 
  4. Selalu sendawa
  5. Kembung perut 
  6. Ketidakhadaman 
  7. Pening dan muntah

Tips menghadapi gastrik:

1. Makan makanan tinggi serat

Makanan berserat penting untuk memastikan kesihatan sistem penghadaman. Ia juga boleh membantu melancarkan sistem pencernaan. Sayur-sayuran adalah contoh makanan tinggi serat yang mempunyai kadar asid yang rendah. Ia mempunyai antioksidan yang tinggi dan nutrisi-nutrisi penting untuk melawan keradangan dan melancarkan proses penyembuhan gastrik.

Serat bertindak mengurangkan kepekatan asid hempedu di dalam perut. Ia juga dapat mengurangkan masa makanan melalui sistem penghadaman seterusnya mengurangkan kembung perut dan ketidakselesaan.

Contoh makanan yang boleh diambil ialah sayur daun hijau, brokoli, lobak merah, kangkung, bayam dan buah-buahan.

2. Amalkan makanan tinggi probiotik

Produk tenusu seperti yogurt mempunyai probiotik yang bagus untuk usus. Probiotik adalah bakteria hidup yang bermanfaat dalam pencernaan dan bekerja dengan sistem imunisasi untuk melawan patogen di saluran penghadaman dan meningkatkan kesihatan usus secara keseluruhan.

Ini dapat membantu mengurangkan bakteria Helicobacter Pylori di lapisan perut dan melengkapkan rawatan antibiotik secara semula jadi untuk gastrik.

Ramai berpendapat susu boleh memberi kelegaan sementara. Tetapi kajian membuktikan susu akan merangsang pengeluaran asid dan memberi rasa lebih sakit setelah kelegaan sementara tersebut.

Menurut kajian, susu rendah lemak akan merembeskan asid gastrik untuk kadar yang sedikit. Produk tenusu seperti yogurt rendah lemak mengandungi asid tetapi sedikit berbanding asid gastrik. Maka, yogurt rendah lemak lebih sesuai untuk menjadi pilihan.

Contoh makanan tinggi probiotik ialah yogurt, tempe, kimchi, jeruk timun dan keju (mozarella & cheddar).

3. Kurangkan makanan pedas, tinggi lemak, berminyak dan berasid

Makanan pedas, tinggi lemak, berminyak dan berasid akan meningkatkan rembesan asid gastrik. Makanan-makanan ini juga akan menyebabkan keradangan pada lapisan perut menjadi lebih teruk.

Contoh makanan tinggi asid ialah buah-buahan citrus seperti lemon, oren, limau dan tomato.

4. Makan dengan kerap tapi dalam kuantiti yang sedikit

Makan secara sedikit tetapi kerap boleh mengelakkan perut kosong terlalu lama. Ini juga dapat mengelakkan seseorang untuk mengambil makanan dengan banyak pada waktu makan seterusnya.

Selain itu, makan secara perlahan, kunyah dengan betul dan elakkan daripada menelan terus untuk mengelakkan berlaku ketidakhadaman.

5. Elakkan minuman berkafein dan air bikarbonat

Kedua-dua minuman ini mengandungi kandungan asid yang tinggi. Ini akan merangsang rembesan asid dari perut naik ke esofagus dan menghakis lapisan dinding perut. Ia boleh menyebabkan kekejangan perut

Contoh minuman berkafein ialah kopi, teh, dan coklat.

6. Elakkan merokok

Nikotin yang terdapat dalam rokok akan meningkatkan kadar asid gastrik seterusnya boleh menyebabkan gastrik. Selain itu, menghisap rokok boleh menambah udara yang tertelan dan boleh menyebabkan ketidakhadaman.

7. Elakkan minuman beralkohol

Minuman beralkohol akan mengikis lapisan dinding perut dan menyebabkan lapisan ini terdedah kepada asid gastrik. Terlebih pengambilan minuman beralkohol menyebabkan gastrik akut.

8. Mencuci tangan dengan betul sebelum menyentuh makanan

Bakteria Helicobacter Pylori mudah dijumpai dalam makanan tercemar. Untuk mengelakkan jangkitan bakteria dan kuman, perlu mencuci tangan dengan betul sebelum menyedia dan menyentuh makanan. Kawasan penyediaan makanan juga perlu dipastikan dalam keadaan bersih dan selamat dari sebarang bakteria.

Konklusi

Makanan bergoreng, berproses, bijirin halus, marjerin dan air bikarbonat perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan keradangan seterusnya gastrik akan menjadi lebih teruk.

Gastrik adalah masalah kesihatan yang tidak boleh dipandang ringan. Ia harus dicegah dari awal dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat serta pemakanan seimbang. Kebersihan tempat memasak dan penyediaan makanan amat penting untuk menjamin kualiti makanan tersebut di samping menghindari daripada jangkitan kuman dan bakteria.

Masalah gastrik dan GERD yang berlaku dalam tempoh masa lama boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti ulser perut, pertumbuhan polip atau tumor bukan kanser serta risiko kanser perut.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here