“Stretch Mark” Bukan Saja Mengganggu Ibu Mengandung, Ini 5 Tips Untuk Kurangkan “Stretch Mark”

“Stretch mark” atau tanda regangan sangat sinonim dengan wanita mengandung. Ia berlaku apabila kulit meregang atau mengecut dengan cepat. Perubahan secara tiba-tiba menyebabkan kolagen dan elastin dalam lapisan tisu yang menyokong kulit pecah. Ini mendedahkan saluran darah yang rosak seterusnya muncul parut lekukan.

Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina. Biasanya, ia berlaku kepada ibu mengandung, individu dengan berat badan berlebihan dan individu bina badan yang memerlukan badan berkembang dengan cepat. Tanda ini boleh dikesan di bahagian paha, perut, punggung dan payudara. Tanda regangan yang baru akan berwarna pink terang, merah, biru, hitam dan ungu. 

Hampir semua ibu mengandung mengalami masalah “stretch mark” pada perut. Hal ini kerana perut kian membesar seiring dengan tumbesaran bayi dalam kandungan. 

Faktor terjadi “stretch mark” :

Penyebab berlakunya “stretch mark” adalah disebabkan kulit meregang. Tahap keterukan bergantung pada beberapa faktor seperti genetik dan tahap tekanan pada kulit. Paras hormon kortisol iaitu sejenis hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal yang meningkat telah mengurangkan keanjalan kulit. Disebabkan itu, tanda regangan berlaku.

Tips mengurangkan “stretch mark” :

Tanda regangan atau “stretch mark” menimbulkan rasa tidak selesa dan kurang keyakinan diri dengan perubahan pada kulit badan. Beberapa kaedah semulajadi boleh dilakukan selain rawatan perubatan. 

1. Krim pelembap

Krim pelembap bantu kekalkan kelembapan kulit

Penggunaan krim pelembap tidak terbukti menghilangkan tanda regangan. Tetapi, ia membantu mengekalkan kelembapan kulit serta mengurangkan kegatalan yang boleh berlaku disebabkan kulit meregang. 

Kulit yang lembap mengurangkan risiko kemunculan tanda regangan dan mengurangkan tanda regangan daripada kelihatan dengan jelas. Hal ini kerana kelembapan akan meningkatkan pertumbuhan dan aktiviti kolagen dan elastin untuk mengekalkan keanjalan kulit.

2. Kekal hidrasi

Image via iStock

Minum air kosong secukupnya sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter setiap hari membantu mengurangkan dehidrasi. Ia membantu mengekalkan keseimbangan air dalam badan serta kelembapan dan kelembutan kulit. 

Kulit yang lembap dan lembut mengurangkan risiko mendapat tanda regangan dan tanda ini juga tidak jelas kelihatan. 

3. Pemakanan sihat

Image via iStock

Makanan sihat dan seimbang memberikan nutrisi yang baik dan cukup untuk sistem badan berfungsi. Ia juga membantu mengawal penghasilan hormon dalam badan. Apabila usia kian meningkat, kolagen dalam badan kian menurun. Oleh itu, pemakanan sihat dan seimbang serta cukup nutrisi penting untuk mengekalkan keanjalan kulit. 

Makanan tinggi vitamin C meningkatkan tona warna kulit, mengurangkan tanda penuaan dan memperbaiki kelembapan kulit. Mineral seperti zink membantu mengekalkan kesihatan kulit. Antara contoh makanan tinggi zink adalah kekacang, ikan, produk tenusu dan bijirin penuh.

Omega-3 iaitu lemak sihat, membantu meningkatkan keanjalan kulit. Ia akan memulihkan tanda regangan pada kulit dengan mengurangkan keradangan dan meningkatkan hidrasi kulit. Ia boleh didapati daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Antara contoh seperti ikan tinggi lemak (salmon, herring dan ikan tenggiri), chia seed, flaxseed, walnut dan kacang soya. 

Buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi dengan vitamin dan mineral yang membantu menyalurkan kulit dan badan manusia dengan nutrien-nutrien penting untuk kekal sihat. Kulit yang sihat mengurangkan risiko kemunculan tanda regangan. 

4. Berat badan sihat 

Kekalkan berat badan sihat boleh mencegah tanda regangan.

Perubahan pada berat badan secara cepat akan menyebabkan tanda regangan. Hal ini kerana, kolagen yang terdapat dalam lapisan kulit akan pecah. Seterusnya, ia mengakibatkan muncul tanda regangan di lapisan kulit.

Mengawal berat badan pada paras ideal mengurangkan risiko mendapat tanda regangan. Tanda regangan berlaku berikutan perubahan berat badan sama ada semakin meningkat atau menurun. Oleh itu, mengekalkan berat dan bentuk badan yang sihat boleh mencegah kemunculan tanda regangan.  

5. Kekal aktif

Image via iStock

Kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal setiap hari membantu mengawal berat badan sihat. Tanda regangan berlaku disebabkan perubahan kulit berlaku dengan cepat. Oleh itu, melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 5 kali seminggu membantu mengekalkan berat badan sihat. 

Menurut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu dewasa disarankan untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Untuk mendapatkan 150 minit seminggu, sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dengan 5 ke 6 kali seminggu atau setiap hari dengan kelajuan dan kekuatan sederhana disarankan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Berjalan laju
  • Jogging
  • Berbasikal
  • Berenang 
  • Menari
  • Lompat tali
  • Bola sepak
  • Badminton
  • Mendaki 
  • Tennis 

Konklusi:

Tanda regangan bukan saja terjadi pada ibu mengandung. Malah ia boleh terjadi pada sesiapa sahaja yang mengalami perubahan yang ketara pada kulit. Gaya hidup sihat dan kekal hidrasi mengurangkan risiko mendapat “stretch mark”.

Rujukan:

  1. Ten tips to prevent stretch marks
  2. How to Get Rid of Stretch Marks: 11 Ingredients to Try
  3. 7 Tips to Help Prevent Stretch Marks
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here