Sihat Tubuh Badan Dengan Buah Kurma: Khasiat Terbaik Dari Timur Tengah

Kita semua sudah sedia maklum dengan kewujudan buah kurma yang banyak tumbuh di negara-negara Arab atau Timur Tengah seperti Arab Saudi, Oman, Iraq dan Mesir. Nama saintifiknya ialah Phoenix dactylifera L. Sudah lama menjadi salah satu sumber makanan, hampir berabad lamanya kerana mengandungi pelbagai nutrisi dan manfaat yang dapat kita perolehi.

Buah kurma kaya dengan kandungan nutrisi seperti karbohidrat, vitamin B3, vitamin C dan serat. Mineral juga boleh didapati dalam buah kurma. Antara jenis mineral adalah seperti kalium, magnesium, fosforus dan kalsium yang membantu pembentukan dan kesihatan tulang. Di samping itu, buah kurma juga mengandungi fitokimia yang berbeza berdasarkan kematangan, jenis dan keadaan tanah kurma tersebut ditanam.

Antara jenis kandungan fitokimia yang terkandung di dalam buah kurma ialah:

  • Polifenol
  • Flavonoid
  • Anthocyanin
  • Quercetin
  • Steroid
  • Tannin
  • Saponin

Manfaat buah kurma untuk kesihatan

Dengan nutrisi dan khasiat yang banyak terkandung di dalam buah kurma, semestinya dapat memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan kita yang sentiasa memerlukan nutrisi yang cukup. Hal ini kerana, tubuh badan kita sentiasa menjalankan proses-proses penting untuk memastikan kita kekal hidup, sihat dan mampu menjalankan aktiviti harian seperti bekerja, belajar dan melakukan kerja-kerja rumah.

Hanya amalkan makan kurma sebanyak 3 biji sehari dalam seminggu, dah boleh nampak perubahan yang diberi kepada tubuh badan dan kesihatan kita. Rugi sekiranya kita sia-siakan manfaat yang dapat kita peroleh daripada buah kurma ini. Apa sebenarnya manfaat yang dapat kita peroleh dari buah kurma?

Membekalkan tenaga kepada badan

Buah kurma kaya dengan sumber karbohidrat semulajadi seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa yang merangkumi hampir 70% buah kurma. Glukosa, sukrosa dan fruktosa ini juga diklasifikasikan sebagai karbohidrat ringkas yang senang terurai atau pecah seterusnya menjadi pembekal tenaga yang baik untuk badan.

Sangat sesuai untuk dimakan sekiranya ingin bersenam, beriadah atau pun bila terasa letih dan tiada tenaga. Tambahan pula, nutrisi yang terkandung dalam buah kurma yang membantu membekalkan tenaga kepada badan adalah jauh lebih baik dan sihat berbanding minuman tenaga. Hal ini kerana, nutrisi tersebut bersifat semulajadi dan tiada bahan tambahan.

Tinggi dengan antioksidan

Fitokimia jenis flavonoid yang terkandung di dalam buah kurma. Ia sangat kaya dengan antioksidan yang membantu badan kita untuk membuang sisa toksin dari dalam sistem tubuh kita.

Flavonoid yang tinggi dengan antioksidan dalam buah kurma mampu membantu untuk mengurangkan risiko kita mendapat kanser, diabetes dan darah tinggi. Bukan itu sahaja, malah flavonoid juga dapat memperbaiki sel yang rosak, mengurangkan alahan, memberi kelegaan untuk arthritis dan apa-apa keradangan.

Melancarkan pencernaan dengan sumber seratnya yang banyak

Seterusnya, buah kurma sebenarnya merupakan sumber serat yang sangat baik untuk saluran pencernaan. Ia dapat mencegah dan mengurangkan masalah membuang air besar seperti sembelit biasa dan buasir. Tambahan pula, kitaran membuang air besar akan lebih teratur setiap hari.

Masalah penghadaman seperti gastrik, GERD dan angin dalam badan juga dapat dikurangkan apabila sistem pencernaan dapat berjalan dengan lancar. Tak lupa juga, individu yang mempunyai masalah gastrik di mana terlalu kenyang akan memberi masalah dan terlalu lapar disarankan untuk memakan kurma kerana kurma dapat menjadi alas perut dengan nutrisinya yang cukup dan baik untuk badan. Justeru itu, pengambilan buah kurma sebagai alas perut sangat baik untuk sistem penghadaman dan mengurangkan masalah gastrik.

Kesimpulan

Buah kurma sememangnya salah satu anugerah yang sangat baik dan member banyak manfaat kepada tubuh badan kita. Rugilah sekiranya kita tidak memanfaatkan khasiat yang dapat kita perolehi daripada buah kurma. Rasanya yang sedap dan manis, semestinya dapat menawan hati dan khasiatnya yang dapat menguatkan sistem badan kita.

Rujukan:

  1. FITOKIMIA
  2. Bagus Untuk Kandungan, Ini Rupanya Khasiat Kurma Yang Ramai Tak Tahu!
  3. 8 Manfaat Kurma Kepada Kesihatan Yang Perlu Anda Ketahui
  4. 8 Proven Health Benefits of Dates
  5. 12 Khasiat Kurma pada Kesihatan Yang Perlu Anda Tahu
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here