Salmon Kegilaan Ramai… Hidup Bukan Sahaja Di Lautan

Siapa tak kenal dengan ikan salmon iaitu ikan yang mempunyai isi berwarna oren kemerah-merahan. Ia sering dikaitkan dengan harga yang agak tinggi tetapi baik untuk kesihatan.

Salmon adalah dari keluarga Salmonidae. Dalam keluarga Salmonidae, terdapat juga beberapa jenis ikan lain seperti trout, chum, sockeye, coho, pink dan king. Beberapa perbezaan diantara ikan salmon dan ikan trout ialah salmon hidup di dalam Atlantik dan Lautan Pasifik serta tasik-tasik besar. Manakala, ikan trout hidup di air tawar dan mudah ditemui di sungai-sungai gunung yang tidak tercemar.

Salmon adalah spesies ikan yang akan menetas di air tawar dan berpindah ke laut, kemudian kembali semula ke air tawar untuk membiak. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa spesies salmon yang boleh hidup di air tawar. Hal ini disebabkan penternakan tertentu yang digunakan untuk ikan ini. 

Ikan ini tidak dapat disangkal lagi dengan rasanya yang unik, sedap serta bau yang kurang hanyir berbanding ikan berlemak yang lain. Walaupun ia mempunyai lemak yang banyak, tetapi lemak ikan ini adalah lemak sihat. Ia dikenali sebagai omega-3 iaitu sebahagian daripada asid lemak tidak tepu. Ikan ini terkenal dengan kandungan nutrisinya yang tinggi dan dapat mengurangkan risiko penyakit. Ia sering menjadi pilihan individu yang menjaga pemakanan.

Fakta menarik ikan salmon:

1. Seekor ikan Salmon Chinook betina boleh membawa lebih 4000 telur dalam satu masa.

2. Ikan salmon tidak makan apa-apa makanan ketika mereka berenang ke hulu (upstream) untuk bertelur.

3. Perjalanan paling lama diambil oleh ikan salmon adalah 3,845km iaitu dari spesis salmon Chinook ke hulu untuk bertelur.

4. Apabila berenang ke hulu, ikan salmon boleh melompat 2 ela ke udara. 

5. Kebanyakkan ikan salmon akan mati kepenatan bertelur. Hanya tinggal beberapa peratus ikan salmon yang hidup dan akan bertelur beberapa kali sepanjang hidup mereka.

6. Salmon kaya dengan vitamin penting dan omega-3

Negara pengeluar salmon:

Terdapat beberapa negara pengeluar utama ikan salmon. Antara negara terlibat ialah Norway, Chile, Scotland dan Kanada. Ini kerana geografi negara tersebut terletak di kawasan yang bersesuaian. Antaranya ialah suhu optimum 8°C and 14°C (46°F – 57°F), pantai yang terlindung, dan keadaan biologi yang optimum. Kini, Australia, Iceland, Ireland dan New Zealand juga telah memulakan penternakan ikan salmon.

1. Salmon Norway

Norway adalah pengedar ikan salmon terbesar di dunia. Ia menyumbang kepada 50% pengeluaran salmon dunia. Pada tahun 2016, ia menghasilkan 1.3 juta tan salmon, merangkumi lebih kurang 8% eksport negara tersebut. Ikan salmon dari Atlantik lebih banyak digunakan berbanding salmon jenis lain. Ia akan membesar di kawasan Artik Norwey.

Menurut Norwegian Seafood Council kelebihan Salmon Norway ialah memiliki tekstur padat dan juicy tanpa bau amis sehingga sesuai untuk buat sushi dan sashimi. Sebab itu ramai gemar akan ikan salmon.

Norway mempunyai sistem pengeluaran ikan segar yang baik supaya ikan dapat dihidangkan dengan cepat dan bersih. Faktor keselamatan penting bagi ikan salmon, memandangkan ikan ini disajikan mentah dalam makanan sushi dan sashimi.

2. Salmon Chile

Chile merupakan pengeluar kedua terbesar ikan salmon selepas Norway. Salmon in dieksport ke serata dunia antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Rusia, dan Brazil.

Jenis-jenis ikan salmon:

Salmon liar vs salmon ternak

Terdapat dua jenis salmon iaitu salmon diternak dan salmon liar. Salmon liar mudah ditemui di laut, sungai atau tasik. Ia dianggap berkualiti tinggi disebabkan makanan yang dimakan serta pergerakkan yang banyak berbanding salmon diternak. 

Salmon liar dari Norway akan berenang ke hilir sungai dan melalui Fjord Norway keluar ke kawasan makan di laut sebelum ia kembali ke sungai untuk membiak. 

Di samping itu, salmon ternakan dikaitkan dengan penternakan intensif di kandang besar yang mengandungi antibiotik dan pencemaran alam sekitar lain seperti plumbum, kadmium, merkuri, dan racun perosak. Tetapi, hal ini dilarang di Norway dan salmonnya selamat dari bahan-bahan ini.

Salmon liar datang dari utara Pasifik berdekatan Alaska dan Rusia akan disejukbeku. Kemudian ia akan dinyahbeku sedikit untuk diasingkan isi dan tulang ikan (filet), kemudian disejukbeku semula. 

Salmon diternak dari Norway akan diasingkan isi dan tulang ikan (filet) di negara Baltik dan di eksport ke destinasi dalam masa 6 bulan dari tarikh ikan tersebut ditangkap. Oleh itu, ikan salmon akan disejukbeku terlebih dahulu sebelum dieksport untuk menjamin kesegaran ikan tersebut apabila tiba di destinasinya.

Nutrisi salmon liar vs salmon ternak:

Ikan salmon yang diternak mengandungi nutrisi berbeza dengan ikan salmon liar. Ia mengandungi asid lemak sihat yang tinggi iaitu omega-3, omega-6, vitamin D dan protein.

Dalam kajian selama 4 minggu dari 19 sukarelawan, makan salmon Atlantik ternakan dua kali seminggu meningkatkan kadar asid lemak DHA (dalam darah Omega-3) sebanyak 50%. Omega-3 dan omega-6 baik untuk kesihatan jantung dan mengurangkan risiko strok.

Salmon diternak lebih tinggi kalori dari salmon liar iaitu sebanyak 46%. Kalori ini datang dari sumber lemak sihatnya yang tinggi. Ikan salmon yang diternak juga mengandungi vitamin C kerana makanan yang dimakannya ditambah sumber vitamin C. Tetapi, salmon liar mempunyai lebih tinggi mineral iaitu kalium, zink dan besi (iron).

Ikan salmon diternak:

Salmon diternak kerana terdapatnya penyebaran kutu laut dan populasi ikan salmon liar telah menurun secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan. Menurut kajian dari Norway oleh Vitenskapelig Rad untuk Lakseforvaltning, populasi salmon liar telah menurun kepada 478,000 ekor daripada lebih satu juta pada tahun 1980-an.

Kutu laut berlipat ganda dalam jumlah besar untuk membunuh ikan ternakan dan menimbulkan risiko kepada salmon liar muda yang melalui kawasan ternakan dan dalam perjalanan ke laut terbuka.

Ini menyebabkan kerajaan Norway memperkenalkan sistem pada bulan Oktober 2017 di mana ladang di wilayah yang dinilai akan mengancam jumlah salmon liar dengan teruk akan dibekukan pengeluarannya dan bahkan dipotong untuk melindungi stok salmon yang diternak.

Makanan ikan salmon

Salmon yang diternak mengandungi lebih banyak lemak dan omega-3 berbanding salmon liar. Hal ini kerana ia diberi makan lebih kerap, dan kurang bergerak berbanding salmon liar. Setiap makanan salmon yang diternak dijaga dan dikawal oleh penternak. Mereka diberi makanan proses, tinggi lemak dan tinggi protein yang akan membantu mereka membesar. 

Manakala untuk salmon liar, ia akan berenang beribu batu dan makan apa sahaja makanan yang dijumpai ketika berenang.

Konklusi:

Salmon dari Norway atau Chile kedua-duanya mempunyai khasiat yang hampir sama. Tetapi ikan dari Norway lebih menjadi pilihan kerana teksturnya yang padat serta juicy. Yang menjadi perbezaan ialah di antara salmon diternak dan salmon liar. Salmon diternak lebih tinggi kalori dan lemak sihat yang baik untuk tubuh badan manusia.

Konklusinya, ikan salmon liar dan ternak sesuai untuk dijadikan makanan sihat dan diet tetapi perlu menjaga cara masakan supaya nutrisi baiknya tidak hilang.

Rujukan:

  1. 7 INTERESTING FACTS ABOUT SALMON
  2. ABOUT SALMON FARMING
  3. Wild vs. Farmed Salmon: Which Type of Salmon Is Healthier?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here