Haid bermasalah pasti merisaukan para wanita sama ada yang masih belum berkahwin atau sudah berkahwin. Haid adalah penyingkiran lapisan dinding rahim apabila tidak berlaku persenyawaan. Ia akan keluar sebagai darah bersama telur (ovum) dan tisu mati. Kitaran haid normal adalah 28 – 35 hari. Terdapat juga wanita yang mengalami kitaran yang melebihi 35 hari. Tidak semua wanita mengalami haid normal dan teratur. Kitaran haid wanita bergantung kepada kitaran hormon dalam badan manusia.
Jenis haid tidak normal :
1. Haid tidak teratur / oligomenorea
Oligomenorea adalah kitaran haid melebihi 35 hari atau tempoh haid berubah-ubah setiap bulan. Dalam setahun, kitaran haid untuk wanita dengan masalah oligomenorea kurang daripada 4 ke 9 kali.
Ia boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti :
- Hamil
- Pil perancang dengan kandungan hormon IUD
- Penyusuan bayi
- Perimenopause
- Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS)
- Fibroid
- Endometriosis
- Berat badan berlebihan
- Hilang berat badan dengan ekstrem
Antara simptom haid tidak teratur ialah :
- Payudara sakit
- Sakit kepala
- Tidur terganggu
- Perubahan emosi
- Kembung perut
- Cirit-birit
2. Pendarahan sikit / hipomenorea
Setiap wanita mempunyai masalah kitaran haid berbeza-beza. Pendarahan yang sedikit dikenali sebagai hipomenorea. Biasanya berlaku ketika baru baligh atau menjelang menopause. Ia biasanya kurang daripada 2 hari atau 80ml dalam setiap 1 kitaran.
Pendarahan sedikit dipengaruhi oleh faktor:
- Kadar lemak dalam badan yang rendah
- Kehamilan
- Sindrom Asherman
- Tekanan perasaan
- Ketidakseimbangan hormon
- Kegagalan ovari pramatang
3. Pendarahan banyak / menorrhagia
Menorrhagia adalah haid yang keluar secara berlebihan sehingga boleh mengganggu aktiviti harian dan menyebabkan ketidakselesaan.
Simptom pendarahan banyak :
- Perlu tukar pad 1-2 jam sekali
- Perlu gunakan 2 jenis produk kebersihan seperti tampon dan pad pada satu masa untuk menyerap darah haid dengan lebih baik
- Haid lebih daripada 7 hari
- Ketulan darah haid besar daripada 2.5cm
- Cepat penat dan nafas pendek ketika haid
- Tak mampu melakukan kerja harian sebaiknya
Pendarahan banyak boleh berlaku apabila baru mula haid, selepas mengandung dan ketika menopause. Ia juga boleh dipengaruhi oleh masalah kesihatan seperti :
- Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), fibroid, endometriosis, dan penyakit radang pelvik
- Pengambilan ubat-ubatan dan rawatan seperti ubat cair darah dan kemoterapi
- Tekanan perasaan dan kemurungan
Wanita dengan masalah pendarahan yang banyak berisiko mendapat penyakit anemia iaitu kehilangan sel darah merah. Pemakanan sihat dan cukup serta tinggi zat besi penting untuk mengembalikan darah yang hilang. Makanan tinggi vitamin C juga diperlukan untuk membantu penyerapan zat besi yang lebih baik.
4. Haid lewat atau terlepas haid
Haid lambat adalah haid lewat 1 atau lebih kitaran. Manakala, terlepas haid adalah apabila haid tidak datang lebih 3 bulan atau setelah berusia 15 tahun. Ia juga dikenali sebagai amenorea.
Faktor haid lewat atau terlepas haid :
- Hamil
- Menyusu badan
- Menopause
- Berat badan berlebihan
- Bersenam berlebihan
- Tekanan emosi
Tekanan akan mengganggu kitaran hormon yang normal. Malah, ia juga boleh meningkatkan berat badan dengan merangsang perasaan mengidam yang menyebabkan lebihan pengambilan makanan dan kalori. Senaman berlebihan juga boleh mengganggu kitaran hormon.
Tips atasi masalah haid :
1. Melakukan aktiviti fizikal
Melakukan aktiviti senaman ringan seperti yoga dan berjalan jarak dekat membantu melancarkan peredaran darah dan hormon yang baik. Ini dapat mengelakkan diri daripada terus lesu sepanjang hari.
Kajian membuktikan melakukan senaman sekurang-kurangnya 5 kali seminggu dengan sekurang-kurangnya 30 minit sehari membantu merendahkan hormon yang menyebabkan haid tidak teratur. Oleh itu, kekal aktif secara konsisten membantu wanita dalam menstabilkan kitaran haid mereka.
2. Berat badan sihat
Berat badan boleh mempengaruhi kitaran haid dan jumlah darah haid yang keluar dalam setiap kitaran. Berat badan berlebihan dan berat badan terlalu rendah akan menyebabkan haid tidak menentu. Penurunan berat badan secara ekstrem atau keterlaluan juga mempengaruhi kitaran haid. Wanita obesiti berisiko mendapat haid yang tidak teratur disamping pelbagai masalah kesihatan wanita lain.
Oleh itu, wanita disaran untuk mengekalkan berat badan sihat untuk kesihatan dalaman mereka. Kepada wanita yang bercadang ingin menurunkan berat badan disarankan untuk menurunkan berat badan secara sihat dan sedikit-sedikit. Ini untuk mengelakkan daripada berlaku perubahan yang ketara pada hormon badan.
3. Makan makanan sihat dan minum air mencukupi
Makanan sihat dan seimbang memberikan nutrisi yang baik dan cukup untuk sistem badan berfungsi. Ia juga membantu mengawal penghasilan hormon dalam badan.
Kekal hidrat ketika haid penting untuk mengelakkan simptom-simptom PMS seperti kembung perut, kejang perut, migrain, sakit kepala, air kencing sedikit, lemah dan letih.
Apabila badan tidak mendapat air mencukupi, tenaga badan akan turut berkurang. Ia juga boleh mengubah keseimbangan cecair dalam badan. Keadaan ini akan menjadikan badan kita lemah disebabkan jantung perlu bekerja keras untuk mengepam darah, menyalurkan oksigen dan nutrien ke seluruh badan. Air kosong adalah sumber oksigen untuk badan kita. Apabila air dalam badan tidak mencukupi, oksigen juga berkurang. Kekurangan oksigen akan mengakibatkan sakit kepala.
Makanan untuk atasi masalah haid:
1. Sayur hijau
Semasa haid, wanita akan kehilangan banyak darah daripada penyingkiran dinding rahim yang tidak berlaku persenyawaan. Sayur-sayuran penting bukan sahaja kerana kandungan serat, dan vitamin, ia juga mengandungi mineral seperti zat besi. Mineral ini penting untuk wanita kerana mereka akan kehilangan darah setiap bulan disebabkan haid. Ada yang mengalami pendarahan yang sangat teruk. Dengan mengamalkan makanan tinggi zat besi, ia membantu menambah darah dan mengelakkan risiko anemia.
2. Sumber protein rendah lemak
Makanan berasaskan sumber protein tinggi dengan zat besi. Mineral ini penting untuk mengembalikan sel darah dalam badan yang hilang akibat pendarahan haid. Wanita dengan haid yang banyak berisiko mendapat anemia jika makanan yang dimakan tidak memberi sumber zat besi yang cukup.
Antara contoh makanan berprotein adalah ikan, ayam, dan daging iaitu makanan yang sering kita jadikan lauk dalam setiap hidangan.
3. Kekacang
Kekacang mengandungi sumber zat besi yang tinggi. 1 cawan kekacang bersamaan 6.6mg zat besi. Darah haid yang banyak berisiko mendapat anemia (kehilangan sel darah merah). Zat besi diperlukan untuk mengembalikan sel darah dalam badan setelah kehilangan darah semasa haid. Oleh itu, pengambilan makanan tinggi zat besi semasa haid sangat penting. Kekacang sesuai untuk dijadikan sebagai “snacking” diantara waktu makan.
4. Vitamin D
Vitamin D membantu badan menyerap kalsium dengan lebih baik yang akan melindungi diri daripada PMS. Kajian pada tahun 2014 menyatakan paras vitamin D yang rendah menyebabkan haid tidak teratur. Manakala kajian pada 2014 membuktikan vitamin D berkesan merawat haid tidak teratur dalam kalangan wanita PCOS. Dengan ini, ia membuktikan vitamin D boleh merangsang pengeluaran haid.
Selain itu, vitamin D juga boleh mengurangkan sakit senggugut (dismenorea). Vitamin D boleh didapati secara semulajadi daripada matahari. Ia juga mudah didapati daripada sumber makanan seperti ikan tuna, salmon dan cendawan.
5. Vitamin C
Vitamin C diperlukan untuk meningkatkan penyerapan zat besi dalam darah dengan menyimpan zat besi dalam bentuk yang lebih mudah menyerap. Antara contoh makanan tinggi kandungan vitamin C adalah buah oren, jambu batu, sayur berdaun hijau, brokoli dan strawberi.
Konklusi:
Kitaran haid wanita boleh terganggu dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti hormon, pemakanan dan gaya hidup. Mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat membantu menstabilkan pengeluaran darah haid. Dengan ini, risiko mendapat komplikasi akibat masalah haid boleh dicegah.