Realiti Epilepsi: Pantau Orang Terdekat Anda Yang Menghidap Penyakit Sawan!

Epilepsi atau lebih sedia maklum dengan istilah sawan adalah sejenis keadaan kesihatan yang menjejaskan otak seseorang. Ianya adalah sejenis penyakit kronik otak yang tidak berjangkit dan boleh terjadi kepada individu dari semua peringkat umur. 

Secara dasarnya, Epilepsi atau sawan ini adalah gangguan dalam otak apabila sel saraf mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Hal ini menyebabkan kekejangan otot, pengsan, dan boleh menjejaskan perasaan dan tingkah laku. Semua ini diakibatkan oleh corak aktiviti neuron yang terganggu. 

Image Source: istockphoto.com

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 50 juta individu mengalami Epilepsi. Ini membuatkan penyakit Epilepsi sebagai penyakit neurologi yang banyak dialami oleh individu di serata dunia. 

Manakala, statistik Epilepsi di Malaysia pula dinyatakan dalam satu kajian yang dibuat pada tahun 2021 melaporkan kadar risiko mengalami serangan Epilepsi dalam sebarang peringkat hayat adalah 7.8 dalam setiap 1,000 penduduk. Bukan itu sahaja, malah kadar serangan Epilepsi atau sawan yang berterusan dan memerlukan rawatan adalah 4.3 dalam setiap 1,000 penduduk.

Jenis Epilepsi

Image Source: istockphoto.com

Menurut Pegawai Perubatan Paediatrik dari Jabatan Paediatrik Hospital Sultan Ahmad Shah mengatakan penyakit Epilepsi ini mempunyai beberapa jenis yang berlainan seperti:

  • Epilepsi Menyeluruh
  • Tanda dan gejala jenis Epilepsi ini kebiasaannya muncul pada peringkat kanak-kanak dan diwarisi secara keturunan atau sejarah keluarga.
  • Epilepsi Menyeluruh ini mempunyai 5 jenis yang berbeza iaitu:
    • Sawan Absense/Petit Mal
    • Sawan Tonik-Klonik/Grand Mal
    • Sawan Mioklonik
    • Sawan Atonik
    • Sawan Tonik
  • Epilepsi Separa
  • Epilepsi paling ringan yang bermula pada peringkat kanak-kanak dan kemungkinan hilang sewaktu mencapai akil baligh.
  • Epilepsi Separa juga mempunyai jenis yang berbeza iaitu:
    • Sawan Separa Mudah
    • Sawan Separa Kompleks

Punca & Faktor Risiko

Image Source: istockphoto.com

Masalah kesihatan Epilepsi ini boleh berpunca dari pelbagai faktor seperti:

  • Genetik dan sejarah keluarga
  • Kecederaaan di otak
  • Kecederaan pranatal (sebelum kelahiran)
  • Keracunan
  • Strok
  • Jangkitan dalam otak
  • Tumor/kanser otak
  • Penyakit Alzheimer
  • Pengambilan alkohol berlebihan

Selain itu, serangan sawan juga boleh terjadi akibat kekurangan tidur, stres kronik dan perubahan hormon.

Gejala Epilepsi

Image Source: istockphoto.com

Tanda dan gejala Epilepsi bergantung kepada bahagian atau kawasan otak yang terjejas. Gejala sawan juga berbeza dan boleh dikategorikan kepada jenis gejala sawan setempat dan menyeluruh.

Antara simptom dan gejala sawan setempat adalah:

  •  Halusinasi (Mendengar, rasa, bau dan melihat sesuatu tidak benar)
  • Emosi terganggu
  • Loya
  • Boleh terjadi sewaktu pesakit sedar atau tidak sedar
  • Melakukan pergerakan berulang-ulang seperti mengenyit mata, mengedip mata dan menggerakan mulut.

Manakala, gejala untuk sawan menyeluruh pula terjadi akibat aktiviti tidak normal pada kedua-dua belah otak. Antara tanda dan gejalanya adalah:

  • Pitam atau tidak sedarkan diri
  • Kekejangan otot yang teruk
  • Kancing gigi
  • Mulut berbuih
  • Terbuang air kecil/air besar
  • Kesukaran bernafas
  • Menggigit lidah

Komplikasi Epilepsi

Penyakit Epilepsi ini sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan normal penghidapnya. Bukan itu sahaja, malah ia juga boleh memberi kesan kepada orang sekeliling seperti keluarga dan rakan-rakan. 

Epilepsi memberi kesan kepada penghidap dari aspek masalah tingkah laku, emosi, memandu, pendidikan dan pekerjaan.

Selain itu, mereka juga perlu dipantau sewaktu beriadah sekiranya melakukan aktiviti riadah seperti belayar atau berenang. Pesakit Epilepsi digalakkan untuk melakukan aktiviti joging dan bola sepak kerana ianya lebih selamat sekiranya ingin beriadah.

Diagnosis dan Rawatan

Image Source: istockphoto.com

Untuk menentukan rawatan untuk Epilepsi, diagnosis yang tepat perlu dilakukan. Sekiranya seseorang individu pernah mengalami serangan sawan sekali seumur hidupnya belum tentu ia akan disahkan menghidap Epilepsi. Penyakit ini sering di diagnosis sekiranya individu tersebut mengalami serangan sekurang-kurang dua kali. Serangan yang pernah terjadi juga tidak berkaitan dengan sebarang penyakit yang lain.

Apabila Epilepsi sudah dikesan, rawatan akan dimulakan secepat mungkin. Antara rawatan yang akan diberikan adalah dari segi ubat-ubatan. Dikatakan rawatan ubat anti-epilepsi boleh mengawal sebanyak 80% pesakit Epilepsi manakala 20% yang lain sukar dirawat.

Sekiranya ubat-ubatan yang diberi tidak berkesan, doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan otak.

Apa Perlu Dibuat Sekiranya Seseorang Terdekat Alami Serangan Sawan

Perkara Perlu Dilakukan

  • Jangan panik. Sentiasa tenang.
  • Perhatikan pergerakan anggota badan sewaktu serangan
  • Elakkan kecederaan
  • Jauhi pesakit dari benda-benda merbahaya
  • Pusingkan pesakit ke kedudukan mengiring
  • Biarkan pesakit tidur selepas serangan
  • Dapat pertolongan doktor sekiranya serangan berterusan lebih dari 5 minit

Jangan Buat

  • Jangan pegang pesakit dengan kuat
  • Jangan letakkan objek keras dalam mulut untuk elakkan kecederaan
  • Jangan berikan makanan atau ubat melalui mulut
  • Jangan lakukan CPR

Kesimpulan

Kesimpulannya, penyakit Epilepsi ini menjejaskan kehidupan kebanyakan individu di serata dunia. Oleh itu, sekiranya kita mempunyai orang terdekat, keluarga dan rakan-rakan yang menghidap penyakit ini, kita hendaklah sentiasa memantau dan membantu mereka terutamanya sewaktu serangan sawan.

Rujukan

  1. Epilepsi (Sawan) – PORTAL MyHEALTH
  2. Epilepsi | Gleneagles Hospital
  3. 6 Punca Lazim Berlakunya Sawan Epilepsi! Nak Kawal? Cuba 4 Cara Ini!
  4. Rawatan Kecemasan Ketika Sawan – PORTAL MyHEALTH
  5. Gangguan otak punca epilepsi
  6. Epilepsy
  7. Epilepsy – NHS
  8. Jenis-jenis Sawan Menyeluruh
  9. Apakah Sawan Separa
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here