Rahsia Mendapat Kesihatan Terbaik Hanya Dengan Lemon

Lemon bukan asing lagi di Malaysia. Malah, kini, ia sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan untuk menambah rasa pada makanan tersebut. Berasal dari Asia, secara umumnya timur laut India, utara Myanmar atau China. Ia bersifat asid. Sebab itu, ia mempunyai rasa yang masam

Lemon biasanya diambil air jusnya. Jus lemon bukan sahaja digunakan dalam minuman tetapi juga dalam pembuatan kek, roti, pastri dan masakan Barat dan Melayu. Sebagai contoh, lemon digunakan dalam lemon meringue pie dan ayam masak lemon.

Bukan sahaja jus lemon diperlukan, tetapi juga hirisan lemon dan kulitnya dibuat hiasan pada makanan dan minuman. Sebagai contoh, kulitnya digunakan untuk hiasan dan menambah rasa pada makanan yang dibakar seperti puding, kek dan pelbagai makanan lain. Tidak dilupakan, ia juga sesuai untuk dimakan bersama salad, sebagai sos dan pencuci mulut.

Khasiat lemon:

Lemon adalah sejenis buah yang kaya dengan antioksidan, vitamin C, dan serat. Oleh itu, khasiatnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Ia baik untuk melicinkan dan mengekalkan keanjalan kulit serta baik untuk sistem penghadaman.

1. Meningkatkan penyerapan zat besi.

Zat besi adalah mineral penting yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan haemoglobin iaitu sejenis protein yang diperlukan dalam sel darah merah untuk membawa oksigen ke seluruh badan.  Mineral ini juga diperlukan untuk penghasilan hormon yang akan mengawal sistem badan. Hormon yang tidak stabil akan mengganggu perjalanan sistem  badan. 

Walaubagaimanapun, zat besi tidak mampu untuk menyerap dengan baik dengan sendiri. Ia memerlukan bantuan seperti vitamin C untuk mempercepatkan lagi penyerapan. 

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam lemon membantu meningkatkan penyerapan zat besi dalam darah.

Terdapat kajian yang membuktikan pengambilan 100g makanan tinggi vitamin C dalam makanan harian akan membantu menyerap zat besi lebih cepat sebanyak 67% berbanding individu yang tidak mengambil vitamin C. Oleh itu, pengambilan vitamin ini amat penting dalam penyerapan zat besi dalam darah.

2. Meningkatkan imuniti

Vitamin C membantu merangsang sistem imuniti badan untuk berfungsi dengan baik. Sebab itu, supplement vitamin C menjadi pilihan ramai untuk menguatkan imuniti badan. 

Vitamin C membantu meningkatkan penghasilan sel darah putih yang dikenali sebagai lymphocytes dan phagocytes. Mereka diperlukan untuk melindungi badan daripada jangkitan. 

Walaupun pengambilan vitamin C ini tidak mampu mencegah sepenuhnya kedatangan demam dan selsema disebabkan virus tetapi ia boleh melambatkan serangan penyakit tersebut serta mengurangkan kadar kesakitan. 

Campuran lemon dan madu sesuai diminum untuk menghilangkan batuk dan selsema. Ia telah diamalkan oleh orang-orang dahulu sebagai suplemen semulajadi. 

Di samping itu, vitamin ini juga membantu sel darah putih untuk berfungsi dengan baik. 

Selain itu, vitamin ini adalah komponen penting dalam sistem pertahanan kulit. Ia akan dihantar ke lapisan kulit dan bertindak sebagai antioksidan yang membantu menguatkan sistem pertahanan kulit. 

Bertindak sebagai antioksidan, ia melindungi sistem badan kita daripada radikal bebas dan mengurangkan keradangan dan meningkatkan imuniti. 

Malah, kajian juga telah membuktikan pengambilan vitamin C berupaya memendekkan masa penyembuhan luka dan mempercepatkan masa pemulihan.

3. Mengawal berat badan

Selain itu, lemon juga tinggi dengan antioksidan seperti polyphenol dan vitamin C. Polyphenol adalah sejenis antioksidan yang membantu menurunkan berat badan.

Ciri-ciri diuretik daripada buah ini juga akan membantu membuang toksik daripada badan. Dengan ini, ia akan membantu memecahkan lemak-lemak yang terkumpul dalam badan dengan mudah.

Secawan air lemon pada waktu pagi adalah masa terbaik untuk merangsang metabolisma badan. Minum air yang mencukupi dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit. 

Air dengan perahan lemon lebih sihat dan berperisa berbanding air manis lain seperti jus dan air bikarbonat. Kandungan kalorinya yang rendah, tidak menaikkan berat badan malah membantu memecahkan lemak-lemak dalam badan.

Tambahan lagi, air lemon dapat memberi rasa kenyang. Sebaiknya, ia diminum setiap kali sebelum makan utama. Dengan itu, individu dapat mengawal pengambilan makanan dan kalori untuk mengawal berat badan.

4. Melancarkan pencernaan

Lemon tinggi dengan asid. Ini membantu menyingkirkan toksin-toksin daripada badan dengan lebih efektif. 

Air lemon membantu menghasilkan hempedu dengan lebih banyak untuk melancarkan proses penghadaman dan detoksifikasi. Vitamin C dan serat daripada lemon membantu melancarkan penghadaman.

Apabila penghadaman lancar, ia akan memudahkan proses penurunan berat badan. Penghadaman yang terganggu akan menyebabkan metabolisma badan menjadi rendah dan hanya membakar kalori dengan sedikit. Masih banyak lemak terkumpul dalam badan dan berat badan kekal statik.

Penghadaman lancar dapat mengelakkan masalah sembelit dan cirit-birit yang boleh menyebabkan komplikasi penyakit lain seperti buasir.

Justeru itu, lemon sangat baik untuk diamalkan dengan konsisten untuk mendapat penghadaman yang lancar dan baik.

5. Kesihatan kulit

Lemon juga telah digunakan secara meluas dalam rawatan kulit seperti masalah jerawat, dan kulit berkedut. Paras pH yang rendah dari lemon membantu mengurangkan masalah keradangan dan kulit berminyak yang boleh menyebabkan kemunculan jerawat.

Selain itu, asid sitrik daripada asid alfa hidroksi (AHA) membantu menyingkirkan kulit-kulit mati yang boleh menyebabkan masalah blackhead atau whitehead. Kedua-dua masalah ini adalah jerawat yang terjadi apabila sel kulit mati, minyak dan bakteria terperangkap dalam liang-liang pori. Masalah ini sering terjadi di kawasan muka.

Antioksidan seperti vitamin C yang terkandung dalam lemon dapat mengurangkan risiko kulit berkedut, kulit kering, dan kulit rosak akibat sinaran UV. Ia akan melindungi diri daripada kerosakkan sel-sel akibat radikal bebas. Radikal bebas ini jika berlebihan dalam badan boleh memecahkan kolagen yang terdapat pada kulit kita. Ia boleh berlebihan dengan faktor-faktor luaran seperti terdedah kepada sinaran UV, asap rokok serta x-ray. Disebabkan itu, kulit akan menjadi berkedut, bintik gelap serta kulit kendur.

Dengan mengamalkan lemon secara konsisten setiap hari, ia membantu meningkatkan keanjalan kulit dengan melindungi kolagen pada kulit daripada kerosakkan.

Konklusi

Lemon adalah minuman yang sihat dan mengenyangkan. Khasiatnya bukan sahaja membantu menurunkan berat badan malah juga baik juga untuk keanjalan kulit untuk kekal remaja. Yang pasti, ia harus diamalkan dengan betul dan kurangkan pengambilan gula bersama lemon untuk kesan yang lebih baik.

Rujukan

  1. 7 Impressive Ways Vitamin C Benefits Your Body
  2. Weight Loss: 4-Ingredient Drink To Lose Weight And Burn Belly Fat
  3. Does Applying Lemon on Your Face Help or Hurt Your Skin?
  4. Are There Benefits to Using Honey and Lemon on Your Face?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here