Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan. Virus ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus (MER-CoV).
Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Coronavirus 2019 (COVID-19). Ia mula disyaki pada Disember 2019. Jangkitan Coronavirus boleh menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.

Kini program vaksinasi yang diberikan telah membantu melindungi manusia daripada jangkitan virus Covid-19. Ibu mengandung dan menyusu juga diberikan suntikan vaksinasi ini kerana mereka adalah golongan paling berisiko disebabkan imuniti mereka rendah.
Pelbagai kajian telah menyokong penyusuan susu ibu walaupun si ibu atau anak mendapat jangkitan Covid-19. Hal ini kerana penyebaran virus Covid-19 melalui penyusuan terus susu ibu atau pemberian susu ibu melalui botol tidak dapat dikesan.

Tiada siapa boleh menyangkal kebaikan yang terdapat dalam susu ibu. Kesedaran mengenai khasiat susu ini telah menarik semua ibu untuk menyusu anak kesayangan mereka demi kesejahteraan ibu dan anak.
Penyusuan susu ibu dan sentuhan kulit ke kulit serta pemberian susu ibu sepenuhnya sejak awal kelahiran membantu bayi untuk membesar dan mendapat kesihatan yang berpanjangan.
Adakah covid boleh disebarkan dari ibu?

Persoalan ini pasti bermain difikiran para ibu kerana merisaukan keselamatan anak masing-masing.
Tidak. Tiada kajian yang membuktikan virus Covid-19 boleh disebarkan melalui penyusuan susu ibu. Hal ini kerana virus ini belum ditemui dalam susu ibu dengan ibu yang dijangkiti Covid-19.
Susu ibu mengandungi komponen antibodi yang yang akan melindungi bayi daripada jangkitan. Tambahan lagi, penyusuan susu ibu akan mengurangkan risiko kematian dalam kalangan bayi, dan meningkatkan kesihatan kanak-kanak dan ibu. Oleh itu, pemberian susu ibu sama ada secara terus atau malalui botol sangat digalakkan.
Adakah perlu menyusu kalau disyaki Covid-19?

Penyusuan susu ibu boleh diteruskan kerana penyebaran virus ini daripada ibu ke anak melalui susu ibu tidak ditemui. World Health Organisation (WHO) menyarankan ibu atau anak yang disyaki atau disahkan menghidap jangkitan Covid-19 perlu digalakkan untuk mula atau meneruskan penyusuan bayi. Ini kerana, kebaikan menyusu itu lebih penting daripada risiko penyebaran virus tersebut.
Kandungan yang terdapat dalam susu ibu penting untuk menguatkan sistem badan bayi yang tengah membesar. dddd
Adakah patut menyusu bayi yang sakit?

Bayi tetap perlu diberi susu ibu walaupun sakit atau dijangkiti virus Covid-19. Susu ibu sendiri mengandungi komponen-komponen yang diperlukan oleh bayi untuk melindungi diri daripada jangkitan dan penyakit. Penyusuan susu ibu akan meningkatkan sistem ketahanan badan bayi. Antibodi ibu akan disampaikan kepada bayi melalui susu ibu.
Tips penjagaan kendiri:

Langkah penjagaan diri dengan memakai pelitup muka semasa menyusu, mencuci tangan dengan sabun dan air atau pencuci beralkohol sebelum dan selepas menyentuh bayi amat penting untuk mengelakkan sebarang jangkitan. Kerap menyahkuman pada permukaan yang sering disentuh juga dapat mengelakkan kedatangan bakteria dan virus.
Konklusi:
Tiada bukti yang menyatakan virus Covid-19 boleh disebarkan melalui susu ibu. Ini disebabkan virus ini tidak dijumpai dalam susu ibu itu sendiri. Justeru itu, susu ibu perlu terus diberikan kepada bayi jika tiada larangan oleh doktor bertauliah.