Pernah mengalami masalah sembelit berhari-hari dan pada masa yang sama perut kembung?
Sembelit dan kembung perut adalah masalah pada sistem penghadaman dan saling berkait. Ianya biasanya berlaku disebabkan kekurangan air, serat, serta menahan diri daripada membuang. Sembelit adalah keadaan di mana makanan yang dimakan telah diproses menjadi najis dan berada di dalam usus untuk tempoh masa lama.
Simptom daripada sembelit kronik ini adalah :
- Pergerakan najis di dalam usus besar kurang atau tiada
- Terasa sangat sukar untuk membuang air besar
- Terpaksa meneran dengan kuat untuk membuang air besar
- Najis yang mampu keluar sangat keras dan sedikit
Kembung perut adalah keadaan lebihan gas berkumpul di bahagian perut atau usus. Juga dikenali dengan perut sebu.
Bagaimana sembelit boleh sebabkan kembung perut?
Apabila najis berkumpul di dalam usus untuk tempoh masa lama, bakteria akan menghasilkan lebih banyak gas yang menyebabkan kembung perut. Najis ini juga menghalang pergerakan angin untuk keluar sehingga menyebabkan kekembungan pada perut.
Dianggarkan hampir 30% daripada populasi dewasa mengalami masalah kembung perut.
Tips menghadapi sembelit :
Mencegah lebih baik daripada merawat. Gaya hidup serta pemakanan sihat boleh mengurangkan dan mencegah masalah sembelit dan kembung perut.
1. Minum air dengan cukup
Air kosong yang mencukupi akan mengelakkan daripada dehidrasi atau kehilangan air daripada badan yang mengakibatkan najis mengeras seterusnya sembelit. Sekurang-kurangnya 2 liter atau 8 gelas air sehari diperlukan untuk mengembalikan air dalam badan. Hal ini kerana 80% daripada badan manusia adalah air. Air yang cukup juga menambah pukal pada najis yang akan melembutkannya dan mengurangkan sembelit.
2. Pengambilan serat yang cukup
Makanan berserat membantu pencernaan yang lancar. Antara contoh makanan berserat adalah sayur, buah, oat, nasi beras perang, pasta “wholegrain” dan roti “wholegrain”.
Serat menambah pukal dalam najis (melembutkan najis) untuk memudahkan ia keluar melalui dubur. Sekurang-kurangnya 22 – 34 gram serat diperlukan sehari. Walaubagaimanapun, serat yang berlebihan boleh menyebabkan kembung perut yang lebih teruk dalam sesetengah individu. Hal ini kerana serat boleh menghasilkan gas penyebab kembung perut. Oleh itu, ia perlu diambil dalam kuantiti sederhana.
3. Probiotik
Probiotik bukanlah julap tetapi ia bertindak membantu melancarkan pergerakan usus dan melembutkan najis. Ia adalah bakteria baik yang berada di usus. Probiotik diperlukan untuk mengawal bakteria di usus besar yang boleh menghasilkan gas penyebab kembung perut. Oleh itu, ia sangat baik untuk mencegah masalah sembelit. Sumber makanan probiotik terdiri daripada yogurt, susu masam, ‘buttermilk’, tempeh, cuka epal, dan keju.
4. Melakukan aktiviti fizikal
Aktiviti fizikal membantu sistem badan untuk berjalan dengan lancar di samping mencegah pelbagai masalah kesihatan. Dengan itu, najis tidak akan berada lama di dalam usus.
Aktiviti fizikal ringan seperti berjalan dan yoga juga memadai. Ini kerana sesetengah pergerakan yoga boleh menggerakkan otot untuk mengeluarkan angin dari badan. Antara aktiviti fizikal lain yang boleh dilakukan adalah berbasikal, berenang dan jogging. Aktiviti ringan membantu mengekalkan pergerakan usus yang lancar dan mengekalkan kesihatan usus.
5. Berhenti merokok
Tanpa disangka, merokok boleh meningkatkan simptom gastrousus seperti sembelit. Ketika merokok, individu tersebut akan menelan banyak angin yang boleh mengakibatkan kembung perut.
Selain itu toksin daripada rokok menyebabkan keradangan pada dinding perut dan usus sehingga mengakibatkan kembung perut. Tambahan pula, merokok juga membunuh bakteria baik di usus, kemudian merangsang pertumbuhan bakteria jahat menyebabkan kembung.
Konklusi :
Sembelit yang berpanjangan akan menyebabkan kembung perut. Gaya hidup dan pemakanan sihat akan mencegah masalah ini.