Pembunuh No. 1 Wanita, Kanser Payudara Kian Meningkat Dalam Golongan Muda

Kanser payudara adalah kanser yang tertinggi dalam kalangan wanita. Di Malaysia, 1 dalam 19 wanita berisiko mendapat kanser payudara berbanding 1 dalam 8 wanita di Eropah dan Amerika Syarikat. Dalam statistik dari KKM pada Februari 2022, 33.9% kes kanser adalah kanser payudara. Kanser ini mudah dijumpai dalam kalangan wanita berbanding lelaki sebanyak 1%. Kanser ini bermula di payudara. Kanser terjadi apabila sel mula tumbuh tanpa boleh dikawal. 

Ketumbuhan payudara bukan kanser adalah pertumbuhan sel tidak normal yang tidak merebak ke luar daripada payudara. Pertumbuhannya masih terkawal. Tetapi terdapat juga ketumbuhan yang berisiko menjadi kanser.

Kanser ini boleh dikesan dalam tempoh sehingga 2 tahun sebelum simptom seperti ketulan dapat dirasai.

Di mana kanser payudara bermula?

Kanser ini bermula daripada beberapa bahagian di payudara. Kanser payudara adalah penyakit di mana sel-sel dalam payudara berkembang di luar kawalan. Jenis kanser payudara bergantung kepada tempat permulaan sel-sel dalam payudara bertukar menjadi kanser.

Kanser ini boleh bermula daripada bahagian berbeza di payudara; kelenjar, saluran dan tisu payudara. Kelenjar menghasilkan susu, saluran mengalirkan susu ke puting dan tisu penghubung mengelilingi dan memegang semua dalam tempatnya. Kanser ini juga boleh merebak ke organ luar melalui saluran darah dan limfa.

Simptom awal kanser payudara :

  • Ketulan di sekitar payudara
  • Keluar cecair jernih dan kental daripada payudara – tanda masih di peringkat awal
  • Keluar cecair bercampur darah berwarna merah atau coklat – tanda sudah kronik
  • Warna kulit menjadi merah – apabila disentuh terasa hangat
  • Gatal pada puting susu, kulit sekitarnya mengelupas dan sangat sakit

Beza simptom kanser dan bukan kanser :

Tanda Mungkin Bukan KanserTanda Mungkin Kanser
Ketulan lembutKetulan terasa keras pada payudara atau bawah  ketiak
Ada beberapa ketulan payudaraKetulan hanya ada satu
Ketulan akan hilang selepas haidKulit payudara mengecut
Terdapat ketulan di payudara sebelahnyaTidak ada ketulan di payudara sebelahnya
 Keluar cecair lelehan dari ketulan tersebut

Punca terjadi kanser payudara :

Kanser payudara terjadi disebabkan mutasi genetik atau kerosakan pada DNA. Ia boleh dikaitkan dengan hormon estrogen, mewarisi kecacatan genetik atau mewarisi genetik sel kanser seperti BRCA1 & BRCA2. 

Sistem imuniti individu sihat akan menyerang DNA atau ketumbuhan yang tidak normal dalam badan. Namun, sistem imuniti pesakit kanser akan bertindak sebaliknya termasuklah pesakit kanser payudara. Kesannya, sel ini akan berkembang tanpa dikawal, membentuk ketumbuhan dan menyekat nutrien dan tenaga sel disekeliling. 

Kanser payudara biasanya bermula di kelenjar atau saluran payudara. Kemudian, ia boleh merebak ke kawasan sekeliling dalam payudara atau di luar.

Risiko mendapat kanser payudara :

Faktor risiko tidak boleh dikawal :

1. Wanita

Wanita 100 kali ganda berisiko berbanding lelaki untuk mendapat kanser payudara. 

2. Umur

Wanita 50 tahun ke atas berisiko 8 – 10 kali ganda kemungkinan mendapat kanser berbanding golongan muda. 4.7% wanita muda berusia 40 tahun ke bawah disahkan mendapat kanser payudara yang sudah merebak ke bahagian lain. Manakala lagi 3.6% wanita muda disahkan dengan kanser payudara yang tidak merebak. Namun begitu, kes ini kian meningkat dalam wanita muda. Menurut Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, ramai individu berusia 20 – 40 tahun disahkan menghidap kanser termasuk kanser payudara.

3. Sejarah keluarga 

Wanita yang mempunyai saudara mara yang menghidap kanser payudara berisiko lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara terutamanya jika saudara seperti ibu, kakak atau anak perempuan mendapat penyakit ini.

4. Sejarah lalu kanser payudara

Wanita yang pernah disahkan dengan kanser payudara pada suatu masa lalu atau pada sebelah payudara, risiko untuk mendapatkannya semula adalah tinggi. Malah ia boleh merebak ke payudara yang lain. 

5. Keturunan 

Wanita yang mempunyai mutasi gen yang diwarisi (termasuk BRCA1 dan BRCA2) mempunyai risiko mendapat kanser payudara kira-kira 5% hingga 10% daripada kes kanser payudara. Dalam kebanyakan wanita, gen BRCA1 dan BRCA2 yang berfungsi normal akan mencegah kanser payudara dengan mengawal pertumbuhan sel. Namun begitu, kanser ini terjadi apabila gen tidak lagi dapat mengawal pertumbuhan sel dengan mutasi (pertukaran DNA) yang betul.

Oleh kerana gen ini diturunkan daripada ibu bapa, adalah mungkin untuk anak membawa mutasi gen dari keluarga sebelah ibu atau bapa. Seorang wanita yang membawa sama ada mutasi gen BRCA1 atau BRCA2 berisiko sehingga 85% untuk mendapat kanser payudara pada usia 70 tahun. Walau bagaimanapun, untuk lelaki, mutasi gen BRCA2 dilaporkan meningkatkan risiko kanser payudara lebih daripada mutasi gen BRCA1. Lelaki yang membawa mutasi gen BRCA2 berisiko 6% untuk mendapat kanser payudara sepanjang hayat.

6. Haid awal

Wanita yang datang haid pertama sebelum usia 12 tahun berisiko untuk mendapat kanser ini. Hal ini disebabkan pendedahan pada hormon estrogen dan progesteron untuk jangka masa yang lama meningkatkan risiko kanser payudara.

7. Umur mendapat anak pertama

Jika seseorang wanita melahirkan anak pada usia 29 tahun atau ke atas, mereka berisiko lebih tinggi berbanding wanita yang melahirkan pada usia kurang daripada 29 tahun. Perubahan pada payudara yang berlaku ketika mengandung memberi perlindungan daripada kanser. Risiko mendapat kanser berkurang dengan pertambahan anak. 

8. Umur menopause

Wanita menopouse pada usia 54 tahun keatas berisiko lebih tinggi berbanding mereka yang menopause pada usia muda. Ia dikaitkan dengan tempoh pendedahan pada hormon estrogen dan progesteron untuk jangka masa lama. 

Faktor risiko boleh dikawal :

1. Obesiti 

Berat badan berlebihan atau obesiti meningkatkan risiko kanser payudara. Ini kerana tisu lemak yang tinggi dalam badan meningkatkan hormon estrogen dalam badan wanita. Keadaan ini lebih berisiko dalam wanita menopause.

Wanita menopause mempunyai hormon estrogen dan progesteron yang rendah. Namun, tisu lemak berlebihan dalam badan boleh menyebabkan peningkatan yang ketara pada kedua-dua hormon. Oleh itu, wanita perlu mengekalkan berat badan sihat untuk mencegah risiko kanser.

2. Penyusuan

Menyusu bayi mengurangkan risiko mendapat kanser payudara. Wanita yang menyusu anak dalam tempoh 1 ke 2 tahun mengurangkan risiko mendapat kanser payudara berbanding wanita menyusu untuk tempoh singkat. 

3. Alkohol 

Wanita yang mengambil minuman beralkohol berisiko 1.5 kali ganda lebih tinggi dari wanita yang tidak mengambil alkohol.

4. Aktiviti fizikal 

Aktiviti fizikal mengurangkan risiko mendapat kanser di samping mengekalkan kesihatan badan. Dengan kerap melakukan aktiviti fizikal, ia akan melambatkan kedatangan haid disebabkan peratusan lemak dalam badan yang rendah. Kanser payudara juga dipengaruhi oleh hormon. Apabila haid lambat, pendedahan pada hormon estrogen dan progesteron yang kurang turut mengurangkan risiko mendapat kanser.

Jenis-jenis kanser payudara :

1. Kanser saluran ‘Ductal carcinoma in situ

Kanser yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara. Sel ini masih tidak merebak ke tisu sekitar payudara. Kanser ini adalah yang paling awal dan mudah dirawat. Tetapi jika dibiarkan atau tidak dikesan daripada awal, lama-kelamaan boleh merebak ke tisu payudara di sekitarnya. 

2. Kanser lobular ‘Lobular carcinoma in situ

Sel tidak normal bermula di kelenjar susu dan tidak merebak ke tisu sekitar. Ia mudah dirawat. Namun, mempunyai kanser jenis ini pada 1 bahagian payudara berisiko mendapat kanser pada payudara kedua. 

3. Kanser saluran merebak ‘Invasive ductal carcinoma’

Kanser payudara paling lazim dijumpai sekitar 70 – 80% daripada semua kanser payudara yang dikesan. Sel kanser yang bermula di saluran susu telah merebak ke bahagian tisu payudara lain. Keadaan yang lebih teruk, sel kanser ini boleh merebak ke  bahagian badan yang lain. Ia juga salah satu kanser payudara yang kerap menyerang lelaki. 

4. Kanser lobul merebak ‘Invasive lobular carcinoma

Bermula di kelenjar susu dan boleh merebak ke tisu sekitar. Ia juga boleh merebak melalui darah dan sistem limpa ke bahagian badan yang lain. Kanser ini kedua mudah dijumpai dan lebih 10% kanser yang merebak adalah daripada jenis ini. Ia tidak mudah dikesan melalui ujian mammogram tetapi perlu dikesan dengan MRI. Kanser ini dikenali sebagai ketumbuhan secara perlahan terutamanya pada tahap 1 atau 2. Disebabkan itu, ia memerlukan terapi hormon. Tahap 4 menunjukkan kanser ini telah merebak ke organ lain seperti usus besar (kolon), rahim, ovari, perut, peparu dan tulang.

5. Kanser payudara meradang ‘Inflammatory breast cancer

Kanser jenis ini lebih aggresif dan cepat merebak. Ia tidak menghasilkan ketulan atau simptom. Tetapi, simptom akan muncul apabila saluran limfa terhalang seperti gatal yang berterusan, bengkak, panas dan kemerahan pada payudara.

Tahap Kanser Payudara :

Tahap 0 – Kanser setempat  (cancer in situ)

Tahap I – Kanser kurang dari 2 cm, masih boleh sembuh

Tahap II – Kanser 2 hingga 5 cm tanpa atau dengan bengkak kelenjar di ketiak, masih boleh sembuh

Tahap III – Kanser besar dari 5 cm atau penglibatan kelenjar ketiak yang banyak

Tahap IV – Kanser telah merebak ke luar payudara dan melibatkan organ lain dalam tubuh, tidak boleh sembuh

Rawatan untuk kanser payudara :

Kanser payudara dirawat melalui pelbagai kaedah seperti kemoterapi, pembedahan, terapi hormon, terapi biologi dan terapi radiasi. 

Pembedahan dilakukan untuk membuang tisu-tisu kanser

Kemoterapi untuk mengecutkan atau membunuh sel kanser melalui suntikan atau ubat tablet.

Terapi hormon akan menyekat hormon yang menyokong pertumbuhan sel kanser. 

Terapi biologi membantu sistem imuniti melawan sel kanser atau mengawal kesan sampingan daripada rawatan kanser yang lain. 

Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga tinggi seperti x-ray untuk membunuh sel kanser. 

Selain rawatan, pemakanan untuk pesakit kanser juga perlu dikawal kerana terdapat makanan yang boleh merangsang perkembangan sel kanser.

Makanan boleh makan untuk pesakit kanser payudara :

1. Sayur daun hijau

Sayur-sayuran hijau seperti kangkung, bayam dan sawi hijau adalah antara sayur hijau yang mengandungi ciri-ciri anti-kanser. Secara umumnya, sayur berdaun hijau mengandungi antioksidan seperti beta-karoten (karotenoid), lutein, dan zeaxanthin yang boleh mengurangkan risiko kanser payudara. 

Analisis ke atas 8 kajian dalam 7000 peserta menunjukkan wanita yang mempunyai paras karotenoid yang tinggi menunjukkan pengurangan risiko kanser payudara berbanding wanita yang mempunyai paras karotenoid yang rendah. 

Tambahan pula, kajian susulan dalam 32 000 wanita menghubungkan paras karotenoid yang tinggi dalam darah dengan pengurangan risiko kanser payudara sebanyak 18 – 28%. Malahan, ia turut mengurangkan risiko kanser payudara kembali dan kematian dalam kalangan wanita yang sudah mendapat kanser payudara. 

Di samping itu, kandungan folate iaitu vitamin B daripada sayur berdaun hijau juga melindungi diri daripada kanser payudara. Oleh itu, kandungan vitamin, mineral dan antioksidan yang terdapat dalam sayur berdaun hijau boleh mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.  

2. Buah-buahan citrus

Buah-buahan sitrus mengandungi folate, vitamin C, karotenoid (beta cryptoxanthin dan beta carotene) dan antioksidan flavonoid (quercetin, hesperetin, dan naringenin) yang melindungi diri daripada kanser payudara. Hal ini kerana nutrien ini memberi kesan antioksidan, anti-kanser dan anti-radang. Ini dibuktikan dengan 6 kajian keatas lebih 8000 individu yang mengambil buah sitrus dengan banyak. Hasil kajian menunjukkan 10% penurunan risiko kanser payudara. Antara buah sitrus termasuklah oren, lemon, limau nipis dan limau gedang.

3. Ikan berlemak

Ikan berlemak mengandungi lemak sihat iaitu omega-3 yang memberi perlindungan daripada kanser. Selain itu, ia turut mengandungi selenium, dan antioksidan seperti canthaxanthin.

Dalam analisis daripada 26 kajian dalam 883 000 individu yang mengambil makanan laut tinggi omega-3, menunjukkan pengurangan 14% risiko untuk mendapat kanser berbanding mereka yang mengambil dalam jumlah yang sedikit. Mengambil lebih ikan berlemak dan mengurangkan pengambilan minyak yang ditapis dan makanan berproses boleh mengurangkan risiko kanser payudara. Dengan itu, makanan tinggi omega-3 terutamanya makanan laut boleh diambil secara konsisten untuk mencegah risiko mendapat kanser payudara.

4. Buah-buahan beri

Mengamalkan buah-buahan beri secara konsisten boleh menurunkan risiko kanser termasuklah kanser payudara. Ia mengandungi antioksidan (flavonoid dan anthocyanin) yang melindungi sel daripada kerosakan serta perkembangan dan penyebaran sel kanser ke kawasan lain. Kajian dalam wanita yang mengambil buah beri dengan banyak menunjukkan risiko mendapat kanser payudara lebih rendah. Antara buah-buahan beri adalah strawberi, blueberi, raspberi dan cranberi.

5. Herba dan rempah 

Herba dan rempah adalah bahan yang sering digunakan dalam masakan harian. Contohnya parsley, rosemary, oregano, thyme, kunyit, dan halia. Herba ini mengandungi kompound yang boleh melindungi diri daripada kanser payudara seperti vitamin, asid lemak dan polifenol

Herba seperti oregano mengandungi antioksidan carvacrol dan asid rosmarinic di mana kajian tabung uji menyatakan ia memberi kesan anti-kanser terhadap sel kanser yang agresif. 

Kurkumin adalah bahan aktif dalam kunyit iaitu sejenis rempah yang banyak digunakan dalam masakan Asia. Ia mengandungi apigenin iaitu sejenis antioksidan yang turut terdapat dalam parsley. Menambahkan herba dan rempah dalam masakan harian mengurangkan risiko mendapat kanser dengan kandungan vitamin, mineral dan antioksidan.

Makanan perlu elak untuk kanser :

1. Makanan bergoreng

Makanan bergoreng boleh menjadi punca kanser. Ini dibuktikan dengan kajian yang menyatakan makanan bergoreng boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Tambahan lagi, dalam kajian melibatkan 620 wanita Iran, makanan bergoreng menjadi faktor risiko terbesar dalam perkembangan kanser payudara. Hal ini kerana makanan ini apabila digoreng dalam minyak masak mengandungi carcinogen iaitu bahan penyebab kanser.

2. Daging/ Makanan proses

Makanan berproses perlu dielakkan untuk mencegah kanser. Antara contoh makanan berproses adalah daging burger, pastri, dan sosej. Analisis ke atas 15 kajian menunjukkan makanan proses meningkatkan risiko kanser payudara sebanyak 9%. 

Selain itu, kajian pada 2018 menjumpai 10% peningkatan risiko kanser payudara dalam kalangan individu yang mengambil makanan berproses. 

Hal ini berlaku disebabkan kandungan sodium nitrate dalam makanan proses seperti sosej, burger dan pizza ditukar ke nitrosamine yang dikenali sebagai carcinogen. Risiko kanser meningkat 3 kali ganda dengan pengambilan makanan segera & proses setiap hari. Oleh itu, makanan ini perlu dielakkan untuk mencegah risiko mendapat kanser payudara.

3. Gula tambahan

Pengambilan gula dikatakan menjadi punca kanser dan makanan untuk sel-sel kanser yang sedia ada dalam badan. Tiada kajian spesifik mengatakan gula boleh menyebabkan kanser. Malah gula (glukosa) diperlukan untuk menghasilkan tenaga untuk melakukan aktiviti harian.  

Namun, pengambilan gula berlebihan sama ada makanan atau minuman manis akan meningkatkan berat badan, seterusnya meningkatkan risiko kanser payudara.

Konklusi :

Kanser payudara adalah kanser utama wanita. Mencegah risiko yang boleh diubah adalah kaedah terbaik.

Rujukan :

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here