Padah Tak Ambil Serius Masalah Pedih Ulu Hati!

Kita semua pernah mengalami gejala pedih ulu hati, tapi apa sebenarnya pedih ulu hati ini dan macam mana boleh terjadi? 

Pedih ulu hati ini adalah sensasi terbakar dalam dada, betul-betul di bahagian belakang tulang dada kita. Gejala ini biasa terjadi selepas makan dan akan ada rasa pahit atau berasid dalam mulut. 

Meskipun dikenali sebagai pedih ulu hati, gejala ini tidaklah berasal daripada jantung atau hati. Ia dikenali sebagai sakit ulu hati kerana ia dirasai pada bahagian berdekatan jantung dan bawah dada. 

Faktor Penyebab

Antara faktor yang mendorong peningkatan pengeluaran asid dan masalah struktur yang menjadi punca refluks asid dalam saluran makanan adalah seperti:

  • Pengambilan alkohol atau kafein berlebihan.
  • Mengambil makanan banyak lemak dan minyak.
  • Minum minuman berkarbonat dan jus berasid (nenas dan limau gedang)
  • Masalah kesihatan atau fizikal seperti mengandung dan obesiti.
  • Ubat-ubatan seperti aspirin dan ibuprofen.

Kebanyakan faktor penyebab peningkatan pengeluaran asid dalam saluran makanan adalah berpunca daripada kecuaian dalam corak pemakanan harian dan pengambilan secara berlebihan. Makanan berlemak, berasid, makanan pedas serta minuman berkafein dan beralkohol meningkatkan risiko malah boleh menjadi punca untuk sesetengah individu mengalami pedih ulu hati.

Gejala pedih ulu hati ini sering diambil ringan oleh kebanyakan individu. Hal ini kerana, ia dilihat sebagai satu gejala atau masalah yang tidak serius dan akan hilang dengan sendirinya. Sebenarnya, masalah pedih ulu hati yang kerap terjadi dan berlarutan sehingga beberapa jam serta tidak bertambahbaik walaupun mengambil ubat-ubatan boleh dikira sebagai kronik. Tanda-tanda kronik lain seperti kesukaran untuk menelan makanan, dan hilang selera makan untuk jangka waktu yang lama juga harus diperhatikan.

Gejala pedih ulu hati sering dikaitkan dengan masalah GERD. Istilah ini membawa maksud gastroesophageal reflux disease dimana refluks asid dalam sistem pencernaan. Tahap asid dalam perut juga tidak dapat dilaraskan dengan baik dan akan menyebabkan asid naik semula ke dalam salur makan. Asid yang naik semula ke dalam salur makan boleh menjadi punca salur makan kita radang atau rasa pedih ulu hati. 

Bukan sahaja asid perut malah kandungan makanan juga akan naik semula dalam salur makan kita yang buat badan berangin. Kita akan berasa pedih dan terbakar ulu hati, kerap sendawa, loya, muntah sakit dada dan pening. 

Kesimpulannya, GERD dan gejala pedih ulu hati saling berkait antara satu sama lain, apabila GERD terjadi, dimana asid naik ke saluran perut, ia menyebabkan sensasi terbakar pada ulu hati. Kedua-dua ini mempunyai faktor atau punca yang sama iaitu gaya hidup yang tidak ideal dan kecuaian dalam corak pemakanan.

Cara Atasi Masalah GERD dan Pedih Ulu Hati

  1. Mengubah cara hidup
  • Menjaga berat badan yang ideal.
  • Cuba berhenti merokok.
  • Kerap melakukan aktiviti fizikal.
  • Meninggikan bantal di kepala ketika baring supaya asid tidak naik kembali ke saluran.
  1. Menjaga corak dan tabiat pemakanan
  • Mengurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan refluks.
    • Makanan berlemak
    • Makanan berasid
    • Minuman berkafein dan beralkohol
    • Makanan panas dan pedas
  • Tidak baring selepas makan.
  • Makan tepat pada waktunya.
  • Kurangkan saiz hidangan.
  • Elak makan secara terburu-buru. 

Kesimpulan

Konklusinya, janganlah kita membuat tidak endah akan tindak balas badan kita akibat daripada kecuaian kita sendiri. Gaya hidup, tabiat dan corak diet pemakanan harian kita memainkan peranan penting dalam memastikan fungsi setiap organ dalam badan berjalan dengan lancar. 

Konsultasi pakar adalah dinasihatkan sekiranya tanda-tanda atau gejala GERD dan pedih ulu hati berlarutan untuk jangka masa yang lama. Antara tandanya adalah loya, muntah, rasa terbakar pada ulu hati, hilang selera makan dan sakit dada. Sekiranya tidak peka dengan keadaan kesihatan, ia boleh meningkatkan risiko untuk kita mendapat komplikasi kesihatan yang lain.

RUJUKAN

  1. Acid Reflux
  2. Heartburn and GERD
  3. Apa Itu GERD?
  4. Penyakit Perut
  5. GERD Treatment
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here