Obesiti Bukan Mainan. Hanya 30 Minit Sehari Untuk Dapatkan Bentuk Badan Ideal

Terlebih makan akan menyebabkan lebihan kalori harian. Kalori ini akan disimpan sebagai lemak simpanan dalam badan.

Perubahan corak pemakanan dan gaya hidup sederhana aktif atau tidak aktif menjadikan populasi orang gemuk atau obesiti meningkat di Malaysia dan juga dunia.

“Segalanya dihujung jari”

Seseorang berpotensi untuk makan lebih terutamanya apabila terdapat makanan kegemaran. Semakin maju teknologi, semakin kurang pergerakan manusia. Ini kerana mereka lebih meluangkan masa dengan “gadget” disamping pekerjaan sekarang yang banyak menggunakan tenaga mesin berbanding tenaga manusia.

Sehinggakan untuk membeli makanan juga boleh dipesan melalui panggilan telefon.

Kurus cara sihat

Untuk mengelakkan diri dari obesiti, seseorang perlu makan mengikut kalori yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk lelaki dewasa yang sederhana aktif, kalori yang disarankan ialah 1900kcal hingga 2200kcal sehari menurut KKM dalam buku panduan “Recommended Nutrient Intakes” (2017). Manakala untuk perempuan yang sederhana aktif, kalori yang disarankan ialah 1600kcal hingga 1900kcal sehari.

Individu yang ingin menurunkan berat badan dan mengekalkan berat badan ideal disarankan untuk mengambil makanan rendah kalori dan rendah lemak. Hal ini kerana makanan rendah kalori dapat mengurangkan pengambilan tenaga untuk mengekalkan berat badan sihat (Panduan Pemakanan Malaysia, 2010)

Menurut buku Panduan Pemakanan Malaysia (2010), makan makanan tinggi kalori boleh menyebabkan lebihan pengambilan kalori harian seterusnya berisiko meningkatkan berat badan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan panduan “Pinggan Sihat” untuk membantu memudahkan rakyat Malaysia kekal sihat dengan porsi hidangan yang betul.

Banyakkan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ianya mempunyai kalori yang rendah dan memberi kesan cepat kenyang.

Menurut satu kajian dari Hakim et al (2018), pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan harian dapat memberi rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan kalori harian.

Di samping itu, memperbaiki gaya hidup menjadi lebih sihat dapat megurangkan risiko obesiti serta dapat membantu menurunkan berat badan berlebihan secara sihat.

Bersenam 5 hari seminggu

Gaya hidup yang sihat terbukti membantu dalam menurunkan berat badan serta mengelakkan risiko penyakit. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk kekal cergas. Sebagai permulaan untuk yang tidak mengamalkan senaman, seeloknya dimulai dengan aktiviti ringan dalam masa beberapa minit.

Bersenam untuk kekal sihat

Kemudian, boleh menambah masa senaman kepada 15 hingga 30 minit setiap hari atau untuk 5 hari seminggu seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara aktiviti senaman yang boleh dilakukan ialah naik turun tangga, berjoging, berjalan laju, dan bermain badminton.

Nampak seperti sihat, tetapi sebenarnya seseorang berisiko untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Badan yang kurang bergerak akan menyebabkan pertambahan berat badan dan pengumpulan lemak pada bahagian perut (abdomen) dengan mudah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebihan lemak yang disimpan dan tidak digunakan akan meliputi organ-organ dalam badan dan mengganggu aktiviti organ-organ tersebut serta berpotensi mendapat penyakit.

Oleh itu, kekal aktif dan amalkan pemakanan sihat untuk mengurangkan risiko meninggal di usia muda.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here