Masalah kesihatan wanita terjadi disebabkan banyak faktor seperti ketidakseimbangan hormon, jangkitan, dan pertumbuhan tidak normal.
Haid atau menstruasi adalah pendarahan faraj normal yang berlaku pada wanita sebagai sebahagian kitaran bulanan. Kitaran menstruasi yang normal adalah 28 hari. Sesetengah individu akan mengalami tempoh kitaran yang tidak normal seperti lebih 35 hari dan jangka masa berubah-ubah.
Pelbagai masalah kesihatan wanita termasuklah haid tidak teratur, keputihan, senggugut, fibroid dan cyst.
Haid tidak teratur:
Kitaran haid tidak teratur dikenali sebagai oligomenorea.
Pelbagai faktor yang menjadikan haid tidak teratur:
1. Stress dan gaya hidup

Penambahan atau penurunan berat badan, penjagaan pemakanan (diet), perubahan rutin aktiviti fizikal, melancong, penyakit, dan perubahan dalam rutin harian akan mengganggu kitaran haid wanita.
Diet yang tidak seimbang dan tidak cukup nutrisi akan mengganggu penghasilan hormon.
2. Ubat perancang kehamilan

Ubat ini mengandungi hormon estrogen dan progestin. Ia bertanggungjawab menghalang kehamilan dengan menyimpan ovum untuk proses reproduksi. Pengambilan ubat yang tidak teratur akan mengganggu kitaran haid.
3. Fibroid rahim
Dianggarkan 60 hingga 65% wanita mengalami fibroid di usia 50 tahun. Ia adalah pertumbuhan tidak normal yang terbentuk di dalam atau pada rahim wanita. Ketumbuhan ini boleh menjadi besar dan menyebabkan rasa sakit perut yang teruk dan pendarahan haid yang berat serta tidak teratur.
4. Endometriosis
Endometriosis adalah keadaan tisu endometrium mula tumbuh di luar rahim. Ini disebabkan faktor perubahan hormon. Individu yang mengalami endometriosis akan mengalami simptom kesakitan pelvis kronik, keletihan, ketidaksuburan dan kesan kepada kesejahteraan fizikal, mental serta sosial. Ia menjadi salah satu faktor yang mengganggu kitaran haid.
Dianggarkan 176 juta wanita di dunia (1 daripada 10 wanita) berusia 15 hingga 49 tahun mengalami endometriosis.
5. Radang pada pelvik
Radang adalah jangkitan bakteria yang mengganggu sistem reproduksi wanita. Bakteria boleh memasuki bahagian vagina melalui hubungan seksual dan merebak ke bahagian rahim (uterus) dan bahagian atas reproduksi.
Bakteria ini juga boleh masuk ke bahagian rahim apabila terjadinya keguguran dan kelahiran bayi. J
6. Sindrom ovari polisistik (PCOS)

Ovari menghasilkan lebih hormon androgen (hormon lelaki). Kantung berisi cecair akan terhasil dalam ovari. Hormon ini akan menghalang ovum (telur) daripada ovari menjadi matang, dan proses ovulasi tidak berlaku.
Keadaan ini akan mengganggu kitaran haid yang didorong oleh faktor lebihan berat badan, ketidaksuburan dan hirsutism (lebihan pertumbuhan rambut atau jerawat).
7. Kekurangan ovari pramatang
Berlaku dalam kalangan wanita berusia kurang daripada 40 tahun. Kitaran haid berhenti sama seperti menopause. Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan pesakit kanser dengan kemoterapi atau radiasi serta sejarah keluarga yang mempunyai masalah ovari pramatang.
Sindrom sebelum haid (PMS):
PMS ialah pre-menstrual syndrome seperti sakit belakang, mual, cirit-birit, dan sakit kepala, kenaikan berat badan, kekembungan, mudah marah, dan kelesuan. Ia biasanya berlaku dalam tempoh 1 hingga 2 minggu sebelum haid bermula.
Sakit belakang berlaku semasa haid atau sebagai PMS adalah disebabkan hormon prostaglandin. Hormon berlebihan terhasil menyebabkan senggugut teruk atau haid yang menyakitkan. Kontraksi yang berterusan akan mendorong terjadinya sakit belakang yang akan merebak daripada bawah perut ke bawah pinggul.
Senggugut:

Senggugut juga dikenali dengan dysmenorrhea. Ia adalah kekejangan dan rasa sakit yang berdenyut-denyut di bahagian bawah perut. Hal ini berlaku kerana peningkatan penghasilan hormon prostaglandin yang boleh menyebabkan rahim berkontraksi.
Hormon ini akan merangsang pengecutan otot yang seterusnya menyingkirkan lapisan rahim dan mencetuskan kesakitan serta keradangan. Keadaan yang teruk boleh terjadi jika kontraksi yang terlalu kuat berlaku pada rahim. Ia boleh menekan saluran darah disekeliling rahim dan memutuskan bekalan oksigen ke tisu otot.
Dysmenorrhea terbahagi kepada 2 iaitu:
1. Primary dysmenorrhea
Ia adalah senggugut yang normal dan tidak meningkatkan risiko penyakit. Ia akan berulang setiap kali haid. Masalah ini biasa dialami oleh 50% hingga 90% wanita di seluruh dunia.
Senggugut ini berlaku disebabkan penguncupan dinding rahim. Rahim akan menguncup dan membantu dinding rahim (uterus) terlerai keluar sebagai haid. Kesakitan untuk senggugut ini akan berkurang apabila usia semakin tua.
Individu akan mengalami rasa tidak selesa atau sakit di bahagian bawah abdomen, belakang badan dan paha. Masalah senggugut ini boleh berlarutan hingga 12 ke 72 jam dari skala ringan hingga kronik. Simptom lain yang boleh dialami wanita senggugut ialah rasa loya dan muntah, keletihan, serta cirit-birit.
2. Secondary dysmenorrhea
Senggugut jenis ini meningkatkan risiko penyakit. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti endometriosis, adenomiosis, fibroid dan jangkitan. Kesakitan akan bertambah seiring penambahan usia. Pesakit akan mengalami rasa sakit yang lebih lama daripada kekejangan biasa.
Risiko mendapat sengugut:
1. Fibroid
Ia merupakan sejenis ketumbuhan bukan kanser yang memberi tekanan pada rahim, menyebabkan haid yang sakit dan tidak normal.
2. Endometriosis
Keadaan apabila sel daripada lapisan rahim tumbuh di bahagian organ lain, contohnya seperti di tiub fallopion, ovari atau tisu yang melapisi pelvik. Ini akan menyebabkan bengkak dan sakit pada bahagian yang mempunyai lapisan tersebut.
3. Adenomiosis
Keadaan apabila tisu endometrium yang melapisi rahim mula tumbuh pada bahagian dalam dinding otot rahim. Ia boleh menyebabkan keradangan, tekanan, dan kesakitan. Ia juga mengakibatkan kitaran haid lebih lama dan berat. Kesakitan ini hanya akan berlaku apabila wanita tersebut berusia 35 tahun ke atas.
Antara faktor lain senggugut:
- Berumur di bawah 20 tahun
- Mempunyai sejarah keluarga haid sakit
- Merokok
- Mengalami pendarahan berat dengan haid
- Mempunyai haid yang tidak teratur
- Tidak pernah melahirkan anak
- Mencapai akil baligh sebelum berumur 11 tahun
Cara mengatasi masalah haid tidak teratur, PMS dan senggugut:
1. Banyakkan air kosong

Air kosong penting untuk mengelakkan dehidrasi. Proses dehidrasi boleh menyebabkan sakit kepala.
Di samping itu, pengambilan air kosong yang cukup boleh mengelakkan individu daripada mudah rasa lapar dan terlebih kalori harian. Ini kerana ia membantu mengekalkan metabolisma badan yang baik.
2. Buah-buahan

Buah-buahan manis mengandungi glukosa yang lebih. Ia dapat mengurangkan rasa mengidam disebabkan PMS dan mengelakkan pengambilan makanan tinggi gula seperti donut, gula-gula dan kek serta minuman manis.
Pengambilan makanan atau minuman manis akan meningkatkan kalori serta paras gula dalam darah. Hal ini seterusnya boleh menyebabkan peningkatan berat badan. Masalah ini akan menyebab gangguan kitaran haid.
Vitamin C sangat penting untuk penyerapan zat besi dalam darah. Kekurangan vitamin ini akan mengganggu proses penyerapan zat besi dan penghasilan darah yang berkualiti. Ia boleh didapati dalam buah-buahan seperti jambu batu, oren, limau gedang, kiwi, tembikai, mangga, limau nipis dan tomato.
3. Sayur-sayuran hijau

Ketika haid, wanita akan kehilangan darah dengan banyak. Mineral penting seperti zat besi (iron) yang terdapat dalam darah akan turut sama keluar. Maka, makanan tinggi zat besi diperlukan untuk menggantikan mineral yang hilang bersama darah haid.
Zat ini ini diperlukan untuk membawa oksigen dalam sel darah merah ke seluruh badan supaya sel badan dapat menghasilkan tenaga.
Zat besi yang tidak mencukupi akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti. Dalam pada itu, individu juga akan mengalami keletihan, sakit-sakit badan dan pening.
Contoh makanan tinggi iron adalah bayam, brokoli dan buncis.
4. Halia

Halia merupakan sejenis rempah yang dapat menghilangkan mual dan loya. Simptom ini biasanya terjadi ketika pengeluaran haid atau beberapa hari sebelum haid disebabkan perubahan hormon.
Kajian pada tahun 2018 menyatakan pengambilan halia setiap hari dapat mengurangkan pening dan mual dalam trimester pertama mengandung. Walaubagaimanapun, lebihan akan menyebabkan pedih ulu hati dan sakit perut.
5. Makanan Protein

Makanan protein semula jadi (ikan, ayam, daging, touhu, tempe) kaya dengan nutrisi penting. Protein yang cukup memberi rasa kenyang dengan cepat dan dapat mengelakkan peningkatan berat badan. Kawalan berat badan penting untuk mencegah masalah haid tidak teratur.
Selain itu, ikan mengandungi omega-3 yang membantu mengurangkan kadar kesakitan disebabkan haid. Kajian membuktikan invididu yang mengambil omega-3 dengan cukup dapat mengurangkan risiko pengambilan ubat penahan sakit seperti ibuprofen.
Omega-3 juga boleh mengurangkan depresi atau tekanan untuk individu yang mengalami perubahan emosi dan tekanan sebelum atau semasa haid disebabkan PMS.
Contoh ikan kaya omega-3 ialah ikan bilis, ikan kembung, ikan parang, ikan sardin dan ikan tuna.
6. Coklat gelap

Coklat ini kaya dengan mineral seperti magnesium dan zat besi. mineral ini diperlukan dalam penghasilan dan peredaran darah. Zat besi yang tidak mencukupi akan menghasilkan darah yang kurang bermutu.
Kajian mendapati individu yang kurang pengambilan magnesium berpotensi mengalami simptom PMS yang lebih teruk. Pengambilan makanan mengandungi magnesium dengan kerap dapat mengurangkan kekejangan perut disebabkan PMS. Ia akan meredakan otot licin (smooth muscle) rahim dengan mengurangkan hormon prostaglandin yang menyebabkan senggugut.
7. Kekacang

Kekacang kaya dengan omega-3 iaitu lemak baik yang penting untuk badan. Lemak ini penting untuk mengelakkan platelet darah daripada bergumpal sesama sendiri.
Di samping itu, ia juga mengandungi magnesium yang dapat mengurangkan masalah senggugut yang berlaku disebabkan penghasilan hormon prostaglandin.
8. Yogurt

Yogurt mengandungi bakteria baik yang melindungi sistem badan daripada jangkitan. Individu yang sedang haid berisiko mendapat jangkitan yis pada vagina. Maka, makanan ini penting untuk mencegah jangkitan bakteria dan yis.
Selain itu, yogurt juga kaya dengan magnesium dan kalsium. Kekerapan pengambilan makanan tinggi kalsium dapat mengurangkan kesakitan berkaitan haid serta mengelakkan kehilangan air (dehidrasi) yang boleh berlaku sebelum haid. Kajian membuktikan kalsium dan magnesium membantu mengurangkan masalah PMS.
9. Kunyit

Kajian pada 2015 menyatakan, kunyit mempunyai bahan aktif kurkumin, merupakan agen anti-radang yang membantu mengurangkan kesakitan disebabkan PMS. Individu yang mengambil kunyit dalam pemakanan harian didapati mempunyai simptom yang kurang teruk berbanding individu yang tidak mengamalkan makanan ini.
Konklusi:
Setiap individu mempunyai kesan yang berbeza dengan dengan setiap makanan. Pengambilan satu-satu makanan secara konsisten dapat memberi kesan yang lebih positif kepada diri masing-masing.
Konklusinya, pemakanan yang seimbang dan sihat serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif penting untuk mendapat kitaran haid yang teratur. Ini juga dapat membantu mengurangkan masalah-masalah PMS yang sering melanda wanita setiap kali kedatangan haid.