Manfaat Berharga Susu Ibu Untuk Si Manja

Proses menyambut kelahiran adalah saat paling menggembirakan bagi ibu bapa. Pelbagai persediaan bakal dilakukan untuk menyambut ahli keluarga baru termasuklah menuntut ilmu tentang penjagaan dan pemakanan bayi. Pemakanan bayi yang utama ialah susu. Susu ibu mengandungi pelbagai nutrisi penting dan lengkap untuk membantu bayi dalam proses tumbesaran di samping melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. 

Penyusuan susu secara eksklusif adalah penyusuan susu ibu sepenuhnya tanpa penambahan susu formula. Kebanyakkan pakar perubatan menyarankan penyusuan bayi dengan susu ibu secara eksklusif sehingga sekurang-kurangnya bayi berusia 6 bulan. Penyusuan ini digalakkan sehingga bayi berusia 2 tahun. 

Susu ibu bukan sahaja memberi manfaat untuk bayi. Malahan, ia juga memberi manfaat untuk para ibu.

Kebaikan susu ibu kepada bayi dan ibu :

1. Nutrisi mencukupi

Susu ibu mengandungi karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral yang penting untuk bayi terutamanya pada 6 bulan pertama kelahiran. Komposisi susu ibu berubah mengikut keperluan bayi bermula dari hari pertama kelahiran.

Sebagai contoh, kolostrum. Ia adalah sejenis susu pekat yang tinggi protein, nutrisi serta rendah gula yang cukup untuk bayi walaupun penghasilannya dalam kuantiti yang sedikit. Susu ini akan mengalami perubahan kepada susu ibu biasa setelah beberapa hari atau minggu selepas kelahiran. Susu ibu biasa juga mengandungi semua khasiat yang diperlukan bayi.

2. Menguatkan imuniti

Susu ibu kaya dengan antibodi untuk melawan virus dan bakteria yang mudah menyerang bayi. Kolostrum adalah susu ibu yang paling awal dan mengandungi antibodi yang tinggi iaitu immunoglobulin (IgA).

IgA diperlukan untuk melindungi bayi dari mudah jatuh sakit dengan menghasilkan lapisan perlindungan dalam hidung, tekak dan sistem pencernaan bayi.

Susu ibu adalah vaksin semula jadi untuk bayi. Ia dipanggil imuniti pasif. Kajian membuktikan bayi yang menyusu dengan susu ibu mempunyai tindak balas antibodi yang lebih kuat berbanding bayi dengan vaksin tambahan yang perlu diambil bayi. 

Selain itu, kajian juga menunjukkan bayi yang tidak menyusu dengan susu ibu lebih terdedah kepada masalah kesihatan seperti pneumonia, cirit-birit dan jangkitan. Oleh itu, susu ibu penting untuk menguatkan sistem pertahanan badan.

3. Mencegah masalah alahan

Alahan adalah tindak balas hipersensitif yang berlaku apabila sistem pertahanan badan bertindak balas terhadap bahan asing yang memasuki badan.

Masalah alahan adalah perkara yang mudah terjadi dalam kalangan bayi. Hal ini kerana bayi mempunyai sistem badan yang lemah. Sistem badan mereka masih belum menyesuaikan diri dengan persekitaran. Mereka mudah terdedah kepada serangan virus, bakteria dan bahan asing.

4. Mengandungi nutrisi untuk perkembangan otak

Susu ibu mengandungi komponen penting yang diperlukan bayi. Kajian menunjukkan bayi yang menyusu dengan susu ibu mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi serta kurang mempunyai masalah tingkah laku serta kesukaran belajar apabila bertambah usia.

5. Mengurangkan SIDS

SIDS (sudden infant death syndrome) adalah sindrom kematian bayi secara mengejut. Kajian membuktikan penyusuan susu ibu dapat mengurangkan risiko SIDS sebanyak 50%. Hal ini disebabkan kandungan nutrisi dari susu ibu membantu menguatkan sistem badan bayi.

6. Bersih dan selamat

Susu ibu adalah susu yang selamat dan bersih kerana ia adalah susu terus dari ibu tanpa sebarang pencemaran. Malah ia tidak ditambah air dan bahan-bahan tambahan lain yang tidak diketahui kebersihannya. 

7. Menguatkan hubungan ibu dan anak

Proses menyusu terbukti dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak melalui sentuhan kulit-ke-kulit. Kajian membuktikan sentuhan awal kulit-ke-kulit antara ibu dan anak dapat meningkatkan penghasilan susu ibu.

8. Ibu mempunyai tulang yang lebih kuat

Setelah putus haid, paras hormon estrogen akan menurun. Kadar pelupusan tulang akan meningkat 1 – 3% setahun bagi wanita. Manakala, kadar ketumpatan tulang wanita akan berkurang sebanyak 35 – 50%. 

Penjagaan tulang sejak dari muda penting untuk mengurangkan risiko osteoporosis apabila lanjut usia. Pakar nutrisi menyatakan, ibu yang menyusu bayi dengan susu ibu dapat mengurangkan risiko mendapat osteoporosis setelah menopause.  

Osteoporosis adalah penyakit sistemik di mana tulang menjadi lemah dan rapuh sehingga mudah untuk retak dan patah. Biasanya, penyakit ini akan menyerang apabila lanjut usia. Aktiviti harian akan terganggu dengan masalah ini.

9. Mengurangkan masalah berat badan

Proses mengandung akan meningkatkan berat badan ibu. Oleh itu, proses kelahiran dan berpantang adalah masa terbaik untuk para ibu mendapatkan semula berat badan ideal. Menyusu dibuktikan dapat membantu membakar lebih kurang 500 kalori pada setiap hari.

Susu ibu juga dapat mengelakkan bayi daripada obesiti. Ini kerana susu ibu tidak mempunyai bahan tambahan yang akan meningkatkan berat badan bayi secara berlebihan.

Konklusi:

Susu ibu mengandungi pelbagai khasiat yang penting untuk bayi. Ia adalah makanan utama dan sumber perlindungan semula jadi para bayi. Penyusuan susu ibu bukan sahaja memberi manfaat untuk bayi, malah juga untuk ibu. Oleh itu, pengetahuan tentang kepentingan dan nutrisi susu ibu sangat penting.

Rujukan:

  1. 11 Benefits of Breastfeeding for Both Mom and Baby
  2. Kebaikan Susu Ibu
  3. Penyusuan Susu Ibu: Mampu Mencegah Malnutrisi Dalam Kalangan Bayi
  4. Osteoporosis
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here